Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sabah: ATM nafi warga dijangkiti Covid-19 semasa undi awal

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan dakwaan terdapat jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga tentera setelah mencelup jari dalam dakwat sewaktu proses mengundi awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kelmarin.

Markas ATM, dalam kenyataan hari ini, menyebut maklumat yang tular di media sosial adalah tidak benar dan boleh menimbulkan kekeliruan, kebimbangan masyarakat serta mengganggu proses PRN Sabah, Sabtu ini.

“Mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” menurut kenyataan itu.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang berita yang boleh mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

“Sila dapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia berkenaan situasi semasa penularan wabak berkenan,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis nafi bayi 12 bulan diculik di Jalan Gombak

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Polis menafikan berlaku kes culik melibatkan bayi berusia 12 bulan di Batu 7, Jalan Gombak dekat sini yang tular melalui media sosial sejak beberapa hari lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata mesej sama pernah tular di Kluang pada Januari tahun lepas, namun telah dinafikan oleh polis daerah itu.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihati agar tidak tularkan perkara tidak disahkan kebenarannya, katanya dalam kenyataan hari ini.

Sambil menasihati masyarakat umum menyemak kebenaran berita terlebih dahulu sebelum menularkannya, Arifai berkata mereka yang menyebarkan berita palsu boleh diambil tindakan menurut Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, satu tangkapan layar mendakwa seorang bayi berusia 12 bulan diculik individu menaiki Proton Satria berwarna merah di Batu 7 Jalan Gombak dekat sini.

-BERNAMA