Categories
AGENDA NASIONAL

Tamat khidmat NGOi langgar syarat urus jenazah pesakit Covid-19

KLANG, 31 OGOS: Pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGOi) yang melanggar syarat ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk pengurusan jenazah pesakit Covid-19 akan dihentikan khidmat.

EXCO Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata tindakan tegas diambil bagi memastikan waris jenazah tidak ditindas dengan dikenakan caj perkhidmatan yang tinggi.

“Saya akan berjumpa dengan Pengarah Jais (Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad) serta NGOi yang terbabit mengurus jenazah bagi membincangkan perkara ini.

“Bagaimanapun waris perlu tahu mereka tetap perlu keluarkan kos antara RM350 hingga RM500 bagi upah gali kubur dan peralatan seperti papan penahan tanah dan keranda,” katanya selepas Program Minyak Hitam Percuma Penggerak Belia Selangor (PeBS) Sungai Kandis hari ini.

Dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) semalam, beliau berkata Jais akan menyiasat dakwaan terdapat pihak yang mengenakan caj pengurusan jenazah pesakit Covid-19 di hospital seluruh Selangor.

Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung isu tersebut membuat laporan supaya siasatan dapat dijalankan.

Pada 2 Ogos Jais menetapkan tiada bayaran dikenakan bagi pengurusan jenazah pesakit Covid-19 di negeri ini, namun waris perlu menanggung kos melibatkan tanah perkuburan mengikut ketentuan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Setakat ini seramai 189 sukarelawan terdiri daripada beberapa NGOi, individu, jabatan dan beberapa pihak berkerjasama dengan Jais bagi membantu pengurusan jenazah Covid-19 di Selangor.

 

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Jais teliti semula penglibatan NGO Islam urus jenazah pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 3 OGOS: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengambil keputusan untuk meneliti, menilai dan menstruktur semula peranan serta penglibatan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGOi) dalam mengurus jenazah Covid-19 susulan beberapa isu melibatkan pertubuhan itu dan kes lambakan jenazah di beberapa hospital di Selangor.

Pengarahnya Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata Jais komited dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang mengetepikan kepentingan umum dan mengeksploitasi keadaan genting ini untuk kepentingan yang lain.

Beliau berkata dakwaan dan tuduhan dari sesetengah pihak atau NGOi tertentu bahawa Jais menghalang mana-mana NGOi dari terlibat dalam pengurusan jenazah Covid-19 adalah tidak berasas sama sekali.

Jais menjalin kerjasama berterusan dengan lebih lapan NGOi dengan kekuatan lebih 130 sukarelawan yang terlibat secara langsung dalam pengurusan 2,071 jenazah Covid-19 sejak Januari tahun ini.

“Perlu diingat, sebarang ketetapan dan pendekatan yang diambil dan dilaksanakan oleh Jais adalah untuk kepentingan umat Islam seluruhnya.

“Dalam konteks ini, ia dibuat bagi menjaga kepentingan semua pihak termasuk pihak hospital, para petugas, sukarelawan, keluarga atau waris, agensi dan pihak-pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa yang sama, beliau berkata pihaknya mempelawa mana-mana NGOi yang berhasrat untuk menyertai Jais dan rakan NGOi lain sedia ada untuk bersama menunaikan tuntutan fardhu kifayah dengan syarat sanggup mematuhi syarat-syarat dan kod etika yang ditentukan oleh pihak Jais.

-BERNAMA