Categories
BUDAYA RENCANA

Kisah si anai-anai

Oleh Nieyna J

Ilustrasi Matarojit

DI SEBUAH kafe yang disuluh cahaya senja;

“Siapa yang lebih menggemari buku?” Tanya Ali. N tersenyum lalu meleretkan pandangan ke arah Ali yang sedang menyusun buku-buku di rak yang berketinggian separas kepalanya.

‘’Kenapa? Kau tengah cari idea untuk sebuah cerpen lagi?” Soal N dengan ketawa kecil di hujung ayat kemudian sambung, “Ali, galaksi kehidupan dalam cerpen kau berulang hanya perbincangan falsafah kosong.”

Ali terbatuk kecil, refleksi dari kata-kata N. Seketika keadaan di dalam kafe kembali sepi. Tak ada pelanggan, tak ada orang lalu-lalang, hanya kedengaran deruman kenderaan di jalan, manakala N khusyuk menonton drama Korea di telefon bimbitnya.

Ali, setelah selesai menyusun buku-buku yang berselerak di rak, melangkah ke arah N yang sedang bersandar selesa di atas sofa dengan dua cawan teh camomile di tangannya. Ali menyua secawan kepada N, N sambut dengan ucapan terima kasih.

Ali duduk berhadapan N. Ali dengan tenang mencicip teh yang masih panas dan berasap-asap itu.  Keharuman camomile menenangkan fikirasa dan memulihkan tenaga setelah seharian bekerja. N masih pegun di kedudukannya, memaku pandangan ke skrin telefon.

Ali berdehem beberapa kali, kemudian, “Hidup seperti kitaran roda. Seperti sebuah kereta, roda menggerakkan tubuh ke destinasi yang ingin dituju. Atas bawah, atas bawah merutini jalan yang sama atau jalan yang lain. Itu pilihan, tapi aku masih mengorbit kelaziman hidup yang sama. Cuma pandangan dilemparkan di sudut berbeza-beza. Mungkin sebab itu, cerpen yang aku tulis seakan berulang, Cuma institusinya sahaja berubah-ubah.”

N seakan terumpan dengan kata-kata Ali. Ali tahu klu pertama untuk memikat perhatian N kepadanya adalah ayat pendahuluan yang berfalsafah. N segera meletakkan telefon bimbit di atas meja, menghirup teh yang suam-suam kuku, menghela nafas kemudian melepaskan sebuah renungan mata yang anggun ke arah Ali.

“Okey, menjawab pertanyaan kau awal tadi, aku tak ada jawapan. Kau lebih kreatif untuk menjawab pertanyaan kau sendiri. Dan kau pun tahu aku suka mendengarnya,” tutur N sambil meleretkan jari telunjuk mengelilingi bibir cawan. 

Ali tersengih. Dia mencapai telefon bimbit N di atas meja. Membuka aplikasi Spotify. Smphony No.35 ‘Haffner oleh Mozart dimainkan. Ali menutup mata sebaik saja muzik tersebut memenuhi ruang pendengarannya. Ali menarik nafas dan menghembusnya perlahan-lahan.  Dahi N berkerut dengan seribu satu persoalan.

“Okey teruskan, siapa yang lebih menggemari buku? N terus ke topik utama perbualan mereka.

Ali membuka matanya perlahan-lahan. Dengan satu senyuman sinis dia menjawab, “jawapannya ada pada cerita ini”. 

“Ceritanya tragik tak? Tanya N.

Ali menggeleng kepala perlahan-lahan sebagai jawapan kemudian menaikkan kadar kelantangan telefon. Gesekan biola dan celo semakin laju dan mendebarkan. Ali beralih ke satu titik khayalan dan, “kisahnya begini…”  Dan N masuk ke dalam fantasi.

Di sebuah rak kayu, tempat tersimpannya koleksi sastrawala, kelihatan sekumpulan anai-anai sedang menjamah sebuah buku. Helaian demi helaian, perenggan demi perenggan, kata demi kata. Sungguh khusyuk dan berselera. Kunyah telan, kunyah telan.

“Sedap sungguh buku ini”. Kata seekor anai-anai yang menjadi ketua dalam kumpulan tersebut diikuti anggukan kepala anai-anai yang lain.

Seekor anai-anai tua mencelah, “sesungguhnya buku seorang penulis terkenal lebih sedap dijadikan makanan tengah hari kerana penulis terkenal tahu selera kita bagaimana. Tak begitu, Tok Ketua?” Tok ketua mengangkat ibu jari mengeyakan si anai-anai tua.

Melihat senyuman lebar Tok Ketua, seekor anai- anai muda dan solo bermata bulat terfikir inilah masa yang sesuai untuk menyatakan hasrat yang terbuku di benaknya sejak seminggu yang lepas.

Si anai-anai solo bersuara “Tok Ketua, ketika perjalanan kita ke sini, saya ada ternampak sebuah buku yang aneh. Kelihatan segar dan menyelerakan. Saya rasa kita tak pernah lagi merasai buku dari penulis tersebut.  Apa kata kita jadikan ia santapan untuk pesta ulang tahun perjumpaan kita dengan kumpulan anai-anai di rak sebelah?” 

Tok Ketua seakan tertarik dengan hasrat anai-anai solo lalu berkata “boleh juga!” sambil mengusap janggutnya. 

Si anai-anai tua mencebik kemudian mencelah, “aku lebih menikmati buku-buku terkenal. Buku mereka lebih tebal dan mengenyangkan, lebih berperisa dan berzat untuk kesihatan moral dan fizikal. Tak begitu, Tok Ketua?” 

Tok Ketua sambil mengusap janggutnya pun menjawab, “betul juga!”.

Si anai-anai solo kecewa walau pada dasarnya dia sudah mengagak perkara yang diajukannya tadi tidak akan diterima majoriti. Dan dia juga faham sukar untuk menemui buku yang dapat membuka ruang selera seorang tua.

“Kalau tak rasa, maka tak tahu. Kami yang muda di sini telah menerima semua buku yang disuap ke mulut sedari kecil. Tetapi apabila kami menawarkan sesuatu yang baru, terus menerima penolakan” Balas si anai-anai solo dengan rasa kesal.

Si anai-anai tua ketawa sinis “aku sudah merasa bermacam jenis buku, aku tahu membezakan yang mana bagus dan yang mana tak bagus untuk dimakan. Sesuatu yang baru berperisa milenial hanya sesuai untuk rasa lidah orang muda sepertimu.” Sejurus selesainya si anai-anai tua berhujah, Tok Ketua memberikan segemuruh tepukan, terpersona dengan tutur kata si anai-anai tua. 

Si anai-anai solo akur dengan selera makan turun-temurun kumpulannya. Dia meminta diri untuk pulang ke sarang dan ketika itu juga, dia terdengar bisik-bisik suara yang tidak menyedapkan telinga. “Buku-buku yang dia gemar hanya sesuai dibuat jajan. Sedap tapi tak mengenyangkan.”

Tak guna! sumpah si anai-anai solo di dalam hati. Saat berjalan menuju ke sarangnya, dia melepasi rak yang menyimpan buku-buku yang sudah rabak dirodok oleh kumpulannya sebelum ini. Mahagelora di dadanya berasa berdosa pada sisa-sisa buku yang dibiarkan begitu sahaja. Pada mulanya sedap dan enak kemudian berasa muak lalu ditinggalkan begitu sahaja. Hatinya menangis mengenang dosa yang pernah dilakukan secara berjemaah. 

“Anai-anai keji! Anai-anai tamak!” Marah si anai-anai solo sambil mengunyah jajan dari kertas majalah yang sering menjadi medium penulis melontarkan buah pemikiran. Berdebat dengan kata, berbincang tanpa suara.

Begitulah juga buku-buku di rak itu hilang tanpa jejak dimakan anai-anai. Sedar-sedar tinggal kulit.

Simfoni Mozart terhenti.

“Tamat” Kata Ali dengan satu hembusan asap rokok.

“Macam tu je? Kenapa tinggal kulit? kenapa tak makan semuanya?” N menembak soalan bertubi-tubi.

“Sebab tak sedap,” jawab Ali bersahaja.

N menggaru kepalanya yang tak gatal. “Jadi siapa yang lebih suka buku? Aku tak faham”

Ali ketawa terbahak-bahak, mematikan rokoknya di dalam asbak. “Jawapan untuk soalan tadi adalah subjektif. Kau perlu zum rinci setiap dialog yang diungkap si anai-anai dan buat kesimpulan ikut kefahaman pemikaran kau sendiri.”

N tersenyum dan menyoal, ““kau berani hantar cerpen si anai-anai ke editor?” 

Ali menghirup habis sisa teh di dalam cawan, kemudian “aku suka bila orang quote nama aku”

N ketawa besar manakala Ali segera bangun dari kerusi, membawa dua cawan kosong ke sinki.

Di sebuah kafe yang disuluh cahaya senja yang kian ditenggelami malam, N dan Ali tanpa sedar mereka sedang diperhatikan oleh sekumpulan anai-anai sehingga cerpen ini ditamatkan dengan taipan noktah di hujung ayat.

Categories
BUDAYA RENCANA

Qxysmina

Oleh Nieyna J

DALAM putih ada hitam, dalam hitam ada putih.

Ceritanya bermula dengan seorang perempuan bernama Qxysmina. Qxsymina serumit ejaan namanya, namun dia hanya seorang perempuan berskala biasa, memilih kopi sebagai menu sarapan dan memiliki keinginan untuk berkeluarga. Tapi ada sesuatu tentang Qxysmina yang berjaya menarik jiwa ingin tahuku untuk berhubungan dengannya – sebagai teman bicara.

Minggu lalu, aku tak ingat hari apa dan berapa haribulan, Qxsymina menjemputku ke rumahnya. Aku terkejut dan meneka mungkin Qxsymina ingin bersembang hal-hal besar dan intim, melanjutkan hubungan kami daripada pasangan kenalan kepada sahabat. Aku teruja sehingga tidak dapat menyebut perkataan lain selain “ya”. Sebelum itu, kami makan-makan di warung mi rebus berdekatan apartmennya sebelum balik berjalan kaki seperti yang kami lakukan dalam pertemuan-pertemuan sebelum ini. Katanya, berjalan kaki adalah terapi selain mempercepatkan proses pencernaan makanan.

Masih segar di ingatan perbualanku dengan Qxsymina ketika senja ketiga aku menemaninya berjalan kaki. Qxsymina memberiku satu soalan: Pencuri tidak akan muncul jika di dunia ini tidak ada kunci. Kunci adalah kebebasan. Juga kurungan. Jika sesuatu ruang tidak mempunyai pintu, maka ruang itu boleh dimasuki sesiapa sahaja. Dan jika ruang itu mempunyai pintu dan kunci, ia seakan-akan kurungan. Jadi, menurutmu, bagaimana manusia memiliki ruang peribadi dengan mutlak dan polos? Tanpa keraguan, keterpaksaan dan kepentingan diri semata-mata? Sehingga hari ini, aku tiada jawapan untuk soalannya itu.

Sesampainya di hadapan pintu rumah Qxsymina, adrenalin mengalir deras, jantungku berdegup kencang. Qxsymina memulas tombol pintu, menjemputku masuk. Kemudian terus dia ke dapur meninggalkanku yang telah mengambil tempat duduk di sofa.

Qxsymina kembali dengan membawa dua gelas milo panas. Dihulurkannya segelas untukku sebelum mengajakku ke kamar tidurnya. Aku pada mulanya teragak-agak kerana masih terlalu awal untuk masuk ke ruang peribadi seseorang yang baru peringkat kenalan bukan sahabat atau lebih daripada itu. Tetapi selepas dipujuk dengan satu jelingan berenigma, aku akhirnya menerima ajakannya itu.

Qxsymina duduk di kerusi berhadapan meja tulis, manakala aku di hujung katil sambil memerhati sekeliling. Qxsymina membuka ikatan rambutnya kemudian mengikatnya kembali. Telefon bimbitnya berdering namun dibiarkan sahaja.

“Kau nak makan apa-apa?” Soal Qxsymina.

Aku geleng kepala.

“Masih kenyang makan mi rebus tadi, terima kasih,” balasku sambil menarik senyuman nipis pada akhir ungkapan. Senyuman itu dibalas dengan simbol ‘okay’ dari jari Qxsymina.

Qxsymina bangun mendekati tingkap, membukanya sedikit. Angin sepoi-sepoi bahasa masuk, memberi kami aroma selesa. Selepas itu, Qxsymina kembali duduk di kerusi dan mencapai sebalang kerepek pisang di meja tulis.

“Kau tahu kenapa manusia cipta tingkap?” soal Qxsymina sambil mengunyah.

Aku menggaru kepala yang tidak gatal.

“Untuk melihat dunia luar? Di sebalik dinding yang menutupi pandangan?” balasku.

Qxsymina ketawa. Aku menyampah dengan ketawa sinisnya. Tapi jauh di sudut hati, sebenarnya aku suka. Ya, aku suka.

“Tingkap yang manusia cipta ada lebih daripada satu fungsi. Contohnya, dalam rumah ini ada tiga ruang. Setiap ruang ada fungsi tersendiri, begitu juga tingkap yang diciptakan untuk ruang-ruang tersebut.”

Qxysmina mencicip sedikit Milo yang masih panas sebelum menyambung.

“Tingkap di dalam bilik ini memperlihatkan suasana yang lain daripada tingkap di dapur dan ruang tamu. Kau rasa kalau tingkap bilik aku memberikan pemandangan lorong-lorong gelap dan menakutkan, aku akan dengan senang hati membukanya pada malam hari?”

Aku menggelengkan kepala beberapa kali.

“Soalan itu sepatutnya kau jawab sendiri.”

Qxysmina ketawa kecil sambil menganggukkan kepalanya beberapa kali.

“Tentunya tak. Jika tingkap di dapur memberikanku pemandangan langit biru dan cerah setiap pagi dan bintang-bintang terang, pasti akan kuhabiskan waktu di sana walaupun dapurku tidak senyaman dan secantik kamar tidurku.”

“Ya, aku pun akan buat perkara yang sama,” balasku, mengeyakan kenyataannya.

“Itulah tingkap yang kita buka hari-hari. Tingkap yang memberikan ketenangan pada waktu siang yang resah dan malam yang mesra. Tingkap yang tidak dapat ditiru untuk diletakkan di mana-mana ruang yang kita mahu. Seperti tingkap yang sedang aku pandang pada kau sekarang.”

Aku tercegang. Dengan spontan aku menyoal.

“Apa?”

“Mata,” balas Qxymina.

Aku memandang Qxsymina. Qxsymina menarik senyuman nipis, kepalanya ditekurkan ke pinggir meja sambil pandangan matanya dilempar ke arahku.

“Ya, mata. Pandangan mata, satu-satunya jendela yang tidak dapat ditiru atau disalin. Pengalaman memandang jauh ke dalam mata seseorang tidak dapat ditulis tepat walaupun kau cuba mewujudkannya sebagai sebuah sajak yang indah. Rasa itu tidak akan sama seperti kau berhadapan dengannya.”

Aku terkesima dengan kata dan pandangan mata Qxsymina. Kami beradu pandang buat seketika.

“Mata adalah jendela kepada hati. Kalau dilihat, mata kita ada hitam dan putih. Betul tak?”

Aku seperti biasa hanya mengangguk.

“Dalam hitam ada putih, dalam putih ada hitam,” bisik Qxsymina.

“Maksudnya?” Soalku.

Qxsymina meletakkan balang kerepek pisang di atas meja sebelum membalas,

“Sama ada kau sedar atau tidak, cebisan-cebisan kecil persoalan yang tuhan berikan, jawapannya ada pada setiap tingkap kehidupan kita. Kita hanya perlu membuka setiap tingkap yang ada. Mungkin ini sudah menyimpang dari apa yang kita bualkan tadi, tapi percayalah, pecahan-pecahan perbualan kita membentuk satu kosmik kehidupan seperti Yin dan Yang yang mempunyai banyak tafsiran dan falsafah. Bagiku, kita berada dalam satu bulatan yang sama. Bezanya cuma warna. Dalam bulatan Yin dan Yang, ada satu garis pemisah hitam dan putih. Garis itu bagiku adalah tingkap. Tingkap untuk kita melihat satu sama lain. Bergerak mencari kebahagiaan. Menunaikan harapan-harapan tertangguh. Selagi ada tingkap, selagi itu ada ruang perubahan. Jadi, bukalah tingkap di setiap sudut pandangan hidup untuk merasai sendiri kehidupan di sebaliknya.”

Sekali lagi Qxsymina membuatkan aku terpegun. Kata-kata dari lidahnya berdenyut dalam satu harakat yang mengasyikkan.

“Aku faham maksudmu. Seperti yang kau kata, mata adalah tingkap kepada hati. Tidak ada hati yang hitam sepenuhnya, tidak ada hati yang putih sepenuhnya. Jika begitu, kita pasti akan terus ke neraka atau syurga. Tetapi kita berdiri di Bumi. Kita, manusia, semuanya. Bermaksud ada ruang perubahan.”

Segaris senyuman terukir di bibir mongel Qxsymina. Memandang tepat ke dalam mata hitamnya memberiku satu kesunyian yang mengasyikkan. Mungkin mata itu akan menjadi sebuah tingkap yang bakal aku buka setiap hari. Dari tingkap bilik Qxsymina, kami sama-sama membuang pandangan ke arah rona senja yang semakin kelam dan Maghrib yang semakin tua.

Jangan risau, dalam hitam ada putih, dalam putih ada hitam.

Categories
BUDAYA RENCANA

Rokok dan sebiji gula-gula strawberry

Oleh Nieyna J

 

D menjadi vibes aku untuk kali ini—

Di ruang tamu, D duduk di sofa sambil mengunyah keropok kentang. Pandangannya jauh dilepaskan ke luar balkoni apartment L, melihat pinggir malam yang sepi. L, mati dalam khayalan. Kaku dalam imejan-imejan ciptaannya sendiri sambil memandang susuk tubuh D yang tidak memandangnya. Namun L melebarkan senyuman. Khuldi di batang tengkuknya bergerak-gerak menelan rasa manis dari gula-gula perisa mangga dan debar dari raut wajah D yang bagi L menawan tetapi bagi aku cuma biasa-biasa sahaja.

L pernah bercerita perihal D kepadaku. Katanya dia suka melihat D tercomel-comel ketika Ali, hamster peliharaannya dilepaskan bebas di ruang tamu. Aku hanya mengangguk kepala dan mendengarnya dengan tekun. Aku melihat L seperti sebuah televisyen dan D adalah sebuah fiksi bertih jagung yang diputar-ulang siarannya. 

L pernah kata, D cantik hanya dengan sekali pandang dan aku membalas kenyataan itu dengan, perempuan sebelum dilihat lelaki mereka melihat diri sendiri berpuluh-puluh kali. L merajuk. Demi sebuah cerita, aku segera mengiyakan kata-kata L itu lalu memujuknya.

Ada sebuah cerita tentang D yang bakal diceritakan. Sebelum L memulakan sesi, dia menyoal “kita nak makan mana malam ni?” Pen di tanganku berhenti bergerak dan buat pertama kalinya D memandang L dengan bersungguh-sungguh. Tiba-tiba dunia ini begitu senyap sehinggakan air menitis di dalam sinki juga dapat didengar.

“Tak boleh keluar rumah, sekarang perintah berkurung.” Aku terpaksa bersuara dan mengekang niat L. L menepuk dahinya sekali dan membalas, “Oh!” D kembali mengalihkan pandangannya ke luar balkoni sambil memutar kepingan keropok kentang di dalam mangkuk kaca, aku kembali menulis sesuatu pada buku catatan dan air di sinki berhenti berbunyi.

L menyalakan sebatang rokok, menyedut kemudian hembus ke arah titik pandang D yang melihat langit tanpa bintang dan bulan. L menyandarkan tubuhnya di sofa kemudian menyeluk kocek seluar dan menghulurkan gula-gula perisa strawberry kepadaku. Aku ambil, buka dan segera memasukkannya ke mulut.

“Kau rasa sajak itu apa?” Soal L bersahaja. Seperti yang aku tahu L gemar membaca sajak tetapi tidak pernah menulisnya. Aku meletakkan pen di atas meja dan membetulkan duduk, mencari titik selesa.

“Aku tak tahu. Sejujurnya aku tak tahu apa yang harus ditulis untuk membentuk sebuah sajak. Aku hanya menulis tentang jalan-jalan lengang yang aku lalui setiap hari dan percakapan-percakapan rutin yang biasa didengar.” Balasku.

L ketawa kemudian, “sama ada kau sedar atau tidak, nada suara dalam tulisan kau selalu berubah. Kadangkala aku berasa seperti membaca diri sendiri dan kadangkala aku seperti membaca diri kau yang berperwatakan aku,” kata L. Aku hanya senyum dan memandang sekilas ke arah D yang sedikit pun tidak menghiraukan kehadiran aku dan perbualan antara aku dengan L.

 Bagi kau, sajak itu apa?” soal aku, kembali kepada tajuk perbualan kami. Aku yakin pasti ada sesuatu tentang D yang terselit pada makna sebuah sajak.

“Sajak tu macam kau hisap rokok. Nikmat dan sedap. Bila habis, kau nyalakan lagi, lagi dan lagi. Kau tahu ia memudaratkan diri kau sendiri. Tapi kau dah ketagih,” balas L.

L mematikan rokoknya yang masih separuh di asbak kecil yang terletak di atas meja. Kemudian dia membuka plastik gula-gula berperisa mangga lalu dimasukkan ke dalam mulut. “Satu lagi, sajak tu macam kau hisap gula-gula. Manis, santai dan selamat. Apabila habis rasa manis itu, lidah kau kembali tawar tanpa rasa. Kau akan bosan dengan rasa manis yang tidak membawa apa-apa makna dan kepuasan.”

Aku terjeda untuk beberapa ketika. Kata-kata L membuatkan aku melihat dirinya di luar lingkungan kebiasaan aku melihatnya. L menarik senyuman manis di bibirnya dan saat ini kami berkongsi tatapan yang sama. Aku pandang L, L pandang aku. Semilir malam yang menjengah masuk dari pintu balkoni yang terbuka luas menyentuh rambut L yang kerinting. Membelai gerak rambutnya ke kiri dan ke kanan. Hati aku berdebar.

“Roy, hati kau keras!” Aku dan L tersentak. Lamunan kami terhenti dek bunyi yang keluar secara tiba-tiba dari televisyen, dialog yang diucapkan oleh seorang pelakon di dalam filem Gila-Gila Remaja. D memohon maaf kerana tertekan volume pada paras maksimum dengan mata yang dibuat bulat-bulat, menyengetkan kepala kemudian berkelip laju-laju seperti pari-pari dari kayangan. Begitulah D, gerak tubuhnya lebih banyak bercakap daripada mulutnya.

“Comel,” bisik L secara spontan yang dapat didengar oleh telingaku tetapi aku berpura-pura tidak mendengarnya.

“Aku dah faham sekarang, sajak adalah proses. Itu sebenarnya yang kau maksudkan, betul kan?” Aku menebak.

L terkekeh ketawa. Entah apa yang mencuit hatinya aku malas hendak bertanya lebih. 

“Ya betul. Sajak itu proses. Setelah selesai dan aku tahu bagaimana membentuknya aku akan berhenti.”

“Kenapa?” Aku meminta penjelasan.

L menyalakan rokok kedua. Hisap dan hembus ke arah mukaku. Aku terbatuk-batuk manakala L ketawa kecil memandang aku yang mengibas asap rokok jauh dari ruang pernafasanku dengan buku catatan.

L berpusing ke arah D sekali lagi kemudian, “sebab aku letih dan aku nak nikmati sajak yang sebenar-benarnya sajak,” balas L.

 Dia diam seketika, menyedut rokok kemudian hembus dan, “sajak seharusnya membuatkan kau berdebar, berenigma dan tidak seharusnya kau bogelkan ia dengan merungkai maksudnya satu-persatu. Biarkan ia terbentuk begitu, ia cantik begitu. Macam kau makan gula-gula. Kau koyak bungkusan plastik dan nikmatinya sampai habis. Apabila habis kau akan terfikir, alangkah bagusnya jika aku tidak membuka bungkusan itu, hati dan seluruh deria rasaku akan sentiasa berdebar untuk tahu seperti apa manisnya dia. Aku suka perasaan seperti itu.” Terang L dengan panjang lebar.

“Macam rasa kau untuk D?” tanya aku. L senyum nipis dan menggelengkan kepalanya perlahan-lahan sebagai jawapan dan aku hanya tersengih.

Nada panggilan telefon aku berbunyi, tiba-tiba segala menjadi pegun dan berubah bentuk. L kaku sambil memegang sebatang rokok, D kaku berbaring di atas sofa. Pintu balkoni tertutup, gula-gula kembali ke dalam bungkusan plastik, rokok-rokok di asbak kembali ke dalam kotak, ruang tamu apartment L perlahan-lahan berubah menjadi halaman buku catatan. Sambil menghisap manis dari gula-gula strawberry aku menekan dakwat hitam dengan kuat ,membunuh L dan D dengan tanda noktah. Maka tamatlah idea tentang D yang digerakkan oleh L.

 Aku tersenyum puas kemudian mengangkat panggilan, “Hello, cerpen dah siap!”