Categories
BERITA UTAMA

Penduduk sedih gadis Ireland ditemui mati

NILAI, 14 OGOS: Penduduk sekitar di sebuah resort di Seremban meluahkan rasa sedih dan terkejut dengan penemuan mayat Nora Anne Quoirin, 15, pada hari ke-10
kehilangannya daripada penginapan keluarganya di sebuah resort di situ

Rata-rata penduduk tidak menyangka kehilangan misteri Nora Anne berakhir dengan titik hitam dengan kejadian tersebut.

Mohamad Afendi Azhar, 26, berkata, kejadian orang hilang dan ditemui dengan kematian di kawasan itu merupakan kejadian pertama.

Dia dan penduduk kampung sekitar turut cuba mencari gadis Ireland berkenaan selepas hari kedua mangsa dilaporkan hilang.

“Saya sanggat sedih dan bersimpati dengan keluarga mangsa,” kata Mohamad Afendi ketika ditemui.

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Malik, 28, turut terkejut dengan penemuan mayat Nora Anne kira-kira 2.5 kilometer dari resort didiami
keluarganya.

“Kejadian menimpa Nora Anne sukar untuk diterima. Saya sangat sedih dan bersimpati dengan keluarga mangsa. Perkara yang menjadi persoalan bagaimana Nora Anne boleh
hilang,”kata Malik.

Malik memberitahu, kebanyakan kes-kes orang hilang di kawasan resort tersebut hanya dalam tempoh beberapa hari sebelum mereka ditemui selamat.

Mohd Raffiq Ismail, 31, yang turut serta dalam operasi mencari Nora Anne berasa terkilan kerana gagal menemui mangsa sebelum dia ditemui meninggal dunia.

“Semasa operasi mencari, kawasan tersebut sudah diteroka tetapi tidak menemui apa-apa. Saya menyertai operasi mencari pada hari ketiga,”‘ katanya.

Nora Anne dan keluarganya tiba di Malaysia pada 3 Ogos lalu untuk bercuti. Bagaimanapun, Nora Anne dikesan hilang pada pukul 8 pagi pada 4 Ogos.

–  BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kehilangan Nora Anne terus jadi tanda tanya

NILAI, 13 OGOS: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, memasuki hari kesepuluh hari ini sejak gadis itu dilaporkan hilang daripada sebuah resort di Pantai, Seremban, 4 Ogos lepas.

Keberadaan dan nasib remaja itu terus menimbulkan tanda tanya bukan sahaja dalam kalangan masyarakat, bahkan juga dalam kalangan pengamal media tempatan dan antarabangsa yang telah berkampung di lokasi kejadian sejak hari pertama Nora Anne dilaporkan hilang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, SuperintendanMohd Nor Marzukee Besar dalam kenyataan ringkas di aplikasi WhatApps di sini memberitahu media yang mereka dibenarkan mengikuti petugas Op SAR buat kali kedua selepas pelawaan pertama dibuat semalam.

“Anda hendaklah melapor kepada Inspektor Harminder di substek (khemah pusat operasi SAR). Adalah diingatkan risiko keselamatan adalah tanggungjawab sendiri,” katanya ringkas.

Operasi bagi mengesan Nora Anne yang memasuki hari kesepuluh hari ini, setakat semalam membabitkan 353 anggota, pasukan SAR terbesar setakat ini dengan sidang media akan perkembangan pencarian hari ini dijangka diadakan pada pukul 5 petang ini.

Nora Anne disedari hilang daripada bilik penginapannya di sebuah resort di Pantai oleh keluarganya pada 8 pagi 4 Ogos. Remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di negara ini.

Semalam ibu kepada remaja istimewa itu, Meabh Jaseprine Quoirin, 46, menawarkan wang ganjaran RM50,000 kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat sehingga menemukan gadis.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Wartawan dipelawa sertai misi cari Nora Anne

NILAI, 12 OGOS: Pengamal media buat pertama kalinya selepas sembilan hari berkampung di Pantai, Seremban bagi liputan kes kehilangan remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, diajak untuk bersama-sama menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) gadis itu.

Pelawaan berkenaan dibuat Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar kepada petugas media pada pagi ini menerusi aplikasi whatApps.

“Salam.. Media yang nak cover Op SAR boleh tunggu di kaki Gunung Berembun,” katanya ringkas.

Sebelum ini, pengamal media hanya menunggu di khemah yang disediakan berhampiran pintu resort remaja berkenaan dilaporkan hilang dan juga Balai Polis Pantai, Seremban.

Sementara itu, sidang media berkaitan operasi berkenaan dijangka akan diadakan pada pukul 5 petang ini di Balai Polis Pantai, Seremban.

Operasi bagi mengesan Nora Anne yang memasuki hari kesembilan hari ini, setakat semalam membabitkan 296 anggota.

Nora Anne yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di sebuah resort di Pantai.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapannya oleh keluarganya pada pukul 8 pagi hari berikutnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cuaca mendung, kabus tebal selubungi SAR Nora Anne

NILAI, 10 OGOS: Hari ini genap seminggu remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, hilang dan keazaman pasukan menyelamat untuk menemukan mangsa tidak pernah padam.

operasi mencari dan menyelamat (SAR) gadis itu terus diperhebatkan dengan kehadiran pasukan elit Polis Diraja Malaysia (PDRM), Komando VAT 69.

Pemerhatian Bernama mendapati kawasan operasi yang bermula pada 7 pagi dan berakhir 4 pagi keesokan harinya, sejak seminggu lalu, diselubungi kabus tebal awal pagi ini, ekoran dikelilingi hutan tebal, berbukit dan berdekatan dengan Gunung Berembun.

Sepanjang minggu ini, perubahan cuaca yang tidak menentu termasuk hujan pada hari kelima dan semalam menyebabkan kawasan pencarian berkabus, mendung dan agak gelap sehingga tengah hari.

Perubahan cuaca itu akan menyebabkan kawasan pencarian di dalam kawasan hutan lembab, licin dan berlumpur sekali gus akan memberi cabaran kepada anggota operasi SAR itu.

Seawal 7 pagi juga, petugas media tempatan dan antarabangsa mula berkampung bagi mengikuti perkembangan lanjut operasi SAR berkenaan.

Sementara itu, aset keselamatan yang membawa anggota operasi dilihat bergerak masuk ke kawasan kejadian seawal 7 pagi, dan ia berterusan.

Sehingga semalam, kekuatan anggota operasi berkenaan terus ditingkatkan kepada 261 anggota dan diperkuatkan dengan penglibatan pasukan Komando VAT 69 dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Selain polis, agensi keselamatan yang turut terlibat adalah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih, PGA Batalion 3 unit Senoi Praaq, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Perhutanan negeri.

Remaja Ireland yang mengalami masalah pembelajaran itu dilapor hilang selepas tiba di Malaysia bersama keluarganya untuk percutian dua minggu di sebuah resort di Pantai, Seremban.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapan oleh keluarganya, pada 4 Ogos lalu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tesco, MR. D.I.Y sumbang makanan kepada pertugas cari Nora Anne

KERAJAAN NEGERI, SWASTA SALUR MAKANAN KEPADA PETUGAS SAR NORA ANNE

NILAI, 9 OGOS: Misi pencarian remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang memasuki hari keenam, turut mendapat perhatian pelbagai pihak swasta yang tampil menghulurkan sumbangan makanan dan minuman kepada petugas operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Semalam, Tesco Senawang dan kerajaan Negeri Sembilan menyumbangkan makanan kepada petugas SAR susulan timbul laporan mengenai kekurangan makanan buat petugas di kawasan berkenaan, dan hari ini MR.D.I.Y Trading Sdn Bhd (MR. D.I.Y), peruncit perkakas rumah terbesar Malaysia, turut melakukan perkara sama.

MR.D.I.Y cawangan Seri Kembangan, Selangor, menyumbang 63 kotak air mineral dan 13 karton biskut kepada pasukan operasi SAR yang disampaikan oleh Penolong Pengurusnya Mohd Sufian Mat Zin kepada Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar.

“Ini tanggungjawab sosial korporat syarikat dan diuruskan pagi tadi sebelum dihantar terus ke lokasi. Selepas ini, jika ada apa-apa lagi diperlukan, kita akan bantu,” kata Mohd Suffian kepada pemberita di sini hari ini.

Selain Tesco, kerajaan negeri dan MR.D.I.Y, turut memberi sumbangan kepada sumbangan kepada petugas SAR ialah Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dan individu.

Nora Anne yang mengalami masalah pembelajaran, dilaporkan hilang selepas tiba bersama keluarganya pada Sabtu untuk percutian dua minggu di sebuah resort di sini.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapan oleh keluarganya pada pagi Ahad.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penduduk lakukan solat hajat permudah pencarian Nora Anne

NILAI, 9 OGOS: Penduduk di sekitar pekan Pantai di sini mengadakan solat hajat selepas menunaikan solat Jumaat hari ini bagi memohon dipermudahkan usaha mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne Quoirin, 15, remaja perempuan warga Ireland yang dilaporkan hilang sejak Ahad.

Solat hajat itu dipimpin Imam 2 Masjid Kariah Pantai, Mohd Taufek Awaludin dan disertai Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar bersama kira-kira 300 jemaah dari beberapa kampung.

Mohd Taufek berkata, jawatankuasa masjid bersedia melakukan solat hajat secara berterusan sekiranya operasi pencarian itu berlarutan.

“Perkara (kehilangan Nora Anne) ini berlaku dalam kawasan kampung kami, jadi inilah ikhtiar kami agar Allah SWT memudahkan operasi mencari mangsa. Solat hajat ini kali pertama dilakukan penduduk di sini bagi kes kehilangan orang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada hari keenam misi pencarian itu hari ini.

Menurut Mohd Taufek, kehilangan remaja itu kali pertama membabitkan tempoh agak lama yang pernah terjadi di situ.

“Sebelum ini ada dilaporkan kejadian serupa namun dalam kebanyakan kes, mangsa berjaya ditemui dalam masa singkat,” katanya.

Sementara itu, polis terus mengedarkan gambar Nora Anne berserta butiran seperti nama penuh, umur, nombor pasport dan tarikh hilang di sekatan jalan raya.

Selain itu, gambar remaja itu turut ditampal di kawasan tumpuan awam antaranya stesen bas dan kedai makan.

Ahad lepas, gadis yang mengalami masalah pembelajaran itu dilaporkan hilang selepas tiba bersama keluarganya dari London pada Sabtu untuk percutian dua minggu di sebuah resort di sini.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapan oleh keluarganya pada pagi Ahad.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Kehilangan Nora Anne masih jadi tanda tanya

NILAI, 9 OGOS: Selepas 120 jam berlalu, nasib remaja perempuan warga Ireland Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang ketika menginap di resort The Dusun, Pantai, di sini, Ahad lepas, masih menjadi tanda tanya.

Memasuki hari keenam operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja itu hari ini, pasukan operasi pencarian dijangka berdepan sedikit cabaran susulan perubahan faktor cuaca yang hujan dalam sehari dua ini.

Pemerhatian Bernama mendapati kawasan lokasi kejadian dan pencarian mangsa pada pagi ini mendung dan diselubungi kabus yang agak tebal.

Pergerakan kenderaan yang masuk ke kawasan ini dari arah Pekan Pantai turut berdepan beberapa halangan kecil akibat pokok tumbang, namun telah dialihkan oleh penduduk tempatan.

Seawal 7 pagi lagi, petugas media tempatan dan antarabangsa sudah pun berkampung di kawasan ini bagi mengikuti perkembangan lanjut operasi itu.

Sementara itu, aset keselamatan yang membawa anggota operasi dilihat bergerak masuk ke kawasan kejadian sejak awal pagi.

Sehingga semalam, kekuatan anggota keselamatan yang terlibat seramai 252 orang membabitkan pelbagai agensi keselamatan seperti polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih, PGA Batalion 3 unit Senoi Praaq, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Perhutanan negeri.

Nora Anne, yang mengalami masalah pembelajaran, tiba bersama keluarganya dari London pada Sabtu untuk percutian dua minggu di sebuah resort di sini.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapan oleh keluarganya pada 8 pagi Ahad.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

OP SAR: Suara ibu Nora Anne ‘bergema’ di hutan

NILAI, 8 OGOS: “Nora darling, Nora I love you…mom is here”.

Itu antara ayat daripada rakaman suara Meabh Jaseprine Quoirin, ibu kepada Nora Anne Quoirin, 15, yang ‘bergema’ dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja itu, hari ini.

Panggilan ibu remaja itu mula kedengaran di sekitar kawasan hutan itu tengah hari ini apabila pasukan mencari dan menyelamat memainkan rakaman suara wanita itu memanggil anaknya melalui alat pembesar suara dalam usaha mengesan remaja berkenaan.

Rakaman itu akan terus dimainkan pada alat pembesar suara dan telefon anggota di enam zon pencarian sepanjang operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan secara bersepadu membabitkan lebih 200 anggota dengan diketuai unit Senoi Praaq.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop pada sidang akhbar petang ini berkata suara ibu remaja yang juga anak istimewa itu dirakam pagi ini yang mana beliau adalah individu paling rapat dengan Nora Anne.

Ditanya sama ada ibu bapa remaja itu turut menyertai operasi mencari dan menyelamat, Mohamad berkata setakat ini pihaknya tidak menggalakkan mereka ikut serta dalam operasi itu atas faktor keselamatan.

Operasi mencari dan menyelamat remaja itu memasuki hari kelima hari ini, selepas dia dilapor hilang, pada 4 Ogos lalu.

Nora Anne, yang mengalami masalah pembelajaran tiba bersama keluarganya dari London sehari sebelum itu untuk percutian dua minggu di sebuah resort, di sini.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapan oleh keluarganya, pada 8 pagi.

-BERNAMA