Categories
AGENDA SUKANKINI

Hafizh Syahrin mahu kembali berlatih secepat mungkin

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah harap dapat kembali berlatih dalam masa terdekat selepas menjalani pembedahan mengeluarkan plat besi pada tangan kanannya baru-baru ini.

Beliau yang beraksi bersama pasukan baharunya NTS RW Racing GP musim ini mengakui teruja untuk memulakan latihan secara ringan seperti disarankan oleh doktor menjelang kempen Kejohanan Grand Prix (GP) Dunia 2021 di Litar Antarabangsa Losail, Qatar pada 28 Mac depan.

“Proses pemulihan ambil masa tiga hingga empat minggu dan doktor menasihati supaya tidak melakukan kerja berat menggunakan tangan, apa-apa pun saya jangkakan boleh mula berlatih secara ringan dalam tempoh dua minggu ini.

“Sasaran saya untuk cepat pulih supaya boleh beraksi di Qatar, saya tidak berani kata saya akan kembali cergas 100 peratus tetapi 90 peratus itu saya yakin,” katanya kepada media tempatan dalam kiriman audio menerusi aplikasi WhatsApp.

Pelumba berusia 26 tahun itu berkata keputusan untuk mengeluarkan plat besi pada tangan kanannya adalah sebagai usaha memperbaiki serta mempertingkat prestasinya di atas litar.

“Keluarkan besi (plat) ini disebabkan gangguan dan rasa tidak selesa yang memperlahankan tindak balas gerakan tangan, jadi terpaksa buang besi itu untuk atasi masalah ini dan masa depan lebih baik,” tambah beliau.

Khamis lepas, media tempatan melaporkan Hafizh menjalani pembedahan membuang plat yang ‘ditanam’ di tangannya sejak enam tahun lepas di sebuah hospital swasta di sini, setelah mengalami kemalangan di GP Valencia pada 2015.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hafizh Syahrin sertai NTS RW Racing GP untuk musim 2021

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Pelumba Moto2 Malaysia Hafizh Syahrin Abdullah akan mewakili NTS RM Racing GP dalam Kejohanan Grand Prix Motosikal Dunia 2021.

Pelumba berusia 26 tahun itu yang kembali dalam kelas Moto2 bersama pasukan Angel Nieto tahun ini selepas dua musim beraksi dalam kelas premier (MotoGP) akan menyertai rakan sepasukan baharu, pelumba berumur 16 tahun dari Belgium, Barry Baltus.

“Saya gembira kekal dalam Moto2 dan menyertai NTS RW Racing GP. Saya tahu usaha yang diperlukan untuk membangunkan sebuah jentera baharu tetapi saya percaya dengan projek ini. NTS dan pasukan ini telah banyak membuat penambahbaikan jentera ini dalam masa yang agak singkat, satu demi satu.

Saya berharap dengan pengalaman dan maklum balas saya, kami akan membuat perubahan besar. Saya yakin kami boleh menghasilkan sesuatu yang lebih baik secara bersama. Saya tidak beraksi pada tahap terbaik saya musim ini kerana itu saya sungguh gembira dan amat berterima kasih dengan keyakinan NTS RW Racing GP terhadap saya,” kata Hafizh Syahrin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pasukan itu hari ini.

Sementara itu, Pengurus Pasukan NTS RW Racing GP Jarno Janssen berkata pasukan itu gembira dan bangga kerana berjaya mendapatkan khidmat Hafizh Syahrin yang bukan sahaja berpengalaman tetapi juga seorang pelumba berbakat.

“Kami semakin baik dan kukuh setiap minggu tetapi kami masih lagi dalam memproses membangunkan jentera itu. Input dan maklum balas daripada seorang pelumba seperti Hafizh adalah amat penting dalam proses ini,” katanya.

NTS RW Racing GP akan memulakan musim baharu dengan ujian persendirian pada 26 dan 27 November di Jerez.

– BERNAMA