Categories
AGENDA NASIONAL

TUDM tamatkan khidmat helikopter Nuri dalam lima tahun

SUBANG JAYA, 18 DIS: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menamatkan perkhidmatan kesemua helikopter Nuri dalam tempoh lima tahun, kata Panglima TUDM Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

Beliau berkata antara faktor untuk menamatkan perkhidmatan helikopter itu adalah kerana usia Nuri yang berkhidmat melebihi 52 tahun, dan faktor keusangan kerana kebanyakan komponen serta alat ganti sudah tidak dikeluarkan kilang.

“Pihak kerajaan memutuskan untuk menamatkan Nuri kerana kos penyelenggaraan helikopter itu semakin tinggi, dan membuat TUDM menghadapi kesulitan untuk meneruskan pengoperasian.

“Faktor usia dan cabaran daripada aspek senggaraan secara langsung mengakibatkan kos pesawat semakin tinggi dan ‘downtime’ pesawat semakin panjang, apabila berlaku kerosakan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan TUDM Tahun 2020 di Pangkalan Udara Subang dekat sini hari ini.

Beliau berkata bagi penggantian Nuri, tender terbuka tempatan untuk penyewaan helikopter dibuka sejak 15 Oktober lepas dan ditutup semalam (17 Disember).

Ackbal berkata proses selanjutnya adalah untuk menilai tender, sebelum diputuskan syarikat tempatan mana yang akan dianugerahkan tender berkenaan.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa TUDM akan memperoleh pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircarft (FLIT/LCA), dalam tempoh tiga tahun ini.

Beliau berkata seiring dengan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55), pihaknya merancang untuk memperoleh sebanyak 36 pesawat (FLIT/LCA) secara berfasa, namun ia bergantung kepada kelulusan pihak kerajaan.

“Untuk keperluan TUDM dalam perolehan FLIT/LCA, pesawat platform tunggal dwi-fungsi ini perlu memiliki keupayaan yang seimbang, dalam melaksanakan peranan untuk latihan juruterbang pesawat pejuang dan pelbagai misi operasi.

“TUDM telah memohon peruntukan dari pihak kerajaan untuk perolehan Fasa 1 sebanyak 18 pesawat, melalui pendaftaran projek baharu 2021 dan permohonan untuk perolehan Fasa 2 bagi 18 pesawat lagi akan dilaksanakan, dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13),” katanya.

Terdahulu, Majlis Anugerah Kecemerlangan TUDM Tahun 2020 disambut secara norma baharu dan mencatatkan kelainan dalam penganjurannya, berikutan negara dilanda krisis pandemik COVID-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Masalah teknikal punca pendaratan cemas Nuri

JOHOR BAHRU, 3 OGOS: Insiden pendaratan cemas sebuah helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di kawasan Kem Gubir dekat Kedah, petang semalam, dipercayai berpunca daripada kerosakan mekanikal.

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tan Sri Affendi Buang berkata, masalah mekanikal yang dikesan berlaku pada bahagian sawat kipas helikopter berkenaan.

Affendi berkata, kipas rotor dipercayai tidak dapat mengekalkan kelajuannya sekali gus menyebabkan pesawat berkenaan kekurangan tenaga untuk terbang lebih tinggi.

“Kami belum dapat spesifik lagi, tapi daripada diskripsi juruterbang atau kapten pesawat, ia berkemungkinan disebabkan masalah mekanikal…rotor kipas tidak dapat kekalkan kelajuan.

“Itu yang kami tahu dan mungkin selepas selesai siasatan lebih lanjut baru kami akan dapat lebih terperinci lagi,” katanya.

Affendi berkata demikian kepada pemberita selepas tamat Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Awam (UA) ke-38 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, hari ini.

Menurutnya, TUDM kini menggantung sementara operasi helikopter Nuri sehingga keputusan siasatan punca sebenar diperoleh.

“Apa-apa pun, keputusan akan dibuat selepas lembaga penyiasatan membuat rumusan dan keputusan,” katanya.

Affendi dalam pada itu turut memaklumkan, TUDM masih menggunakan khidmat lapan pesawat Nuri yang diperoleh sejak 1970-an yang beroperasi di Skuadron Kuching, Sarawak dan Butterworth, Pulau Pinang.

Semalam, TUDM dalam kenyataan berkata kejadian berlaku ketika pesawat yang berpangkalan di Pangkalan Udara Butterworth itu sedang membawa empat anak kapal serta 11 anggota Tentera Darat Malaysia dan sedang melaksanakan penerbangan untuk misi ulang bekal.

Semua anak kapal serta penumpang helikopter selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Kesemua mereka diberi rawatan oleh pasukan perubatan tentera yang bertugas di kem tersebut, menurut kenyataan terbabit.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

TUDM rancang peroleh helikopter baharu ganti pesawat Nuri

 

KUALA LUMPUR, 31 Mei : Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) merancang untuk memperoleh helikopter baharu bagi menggantikan pesawat Nuri sebagai tambahan kepada aset sedia ada.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Panglima TUDM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata, perolehan berkenaan adalah terbuka kepada semua jenis helikopter termasuk pesawat Eurocopter EC725.

Beliau, bagaimanapun berkata TUDM sentiasa mengoptimumkan keupayaan pengoperasian aset sedia ada serta meningkatkan kebolehan pasukan itu.

Ditanya mengenai sama ada TUDM berminat memperoleh pesawat Yakovlev Yak-130 semasa lawatan beliau ke Rusia pada April lepas, Affendi berkata, proses perolehan pesawat penggempur ringan itu masih di peringkat awal.

“Saya hanya menyaksikannya (pesawat Yak 130) pada Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019 baru-baru ini, dan saya ke sana hanyalah untuk memenuhi jemputan pihak Rusia untuk memperlihatkan pesawat berkenaan secara lebih dekat terutamanya sistem radar dan persenjataan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama dalam wawancara khas sempena Hari Ulang Tahun (HUT) TUDM ke-61 yang bakal disambut esok.

Pesawat berkenaan dibangunkan pada April 1996 mula memasuki perkhidmatan Tentera Udara Rusia pada 2009.

Pesawat berkelajuan maksimum 1,037 kilometer sejam (km/j) dan berkemampuan membawa sistem persenjataan peluru berpandu udara ke udara serta udara ke darat, Yak-130 menjadi pesaing utama beberapa pesawat jenis sama seperti Tejas dan FA-50/T-50 andai kerajaan Malaysia berhasrat memperkukuhkan aset TUDM pada masa akan datang.

Ditanya mengenai perkembangan projek pembangunan semula kemudahan di Pangkalan Sendayan, Negeri Sembilan, beliau berkata projek berkenaan masih belum disiapkan sepenuhnya.

“Ketika ini, penyediaan kemudahan berada di peringkat akhir dan menunggu sijil perakuan siap dan pematuhan,” katanya. -BERNAMA