Categories
AGENDA NASIONAL

TUDM tamatkan khidmat helikopter Nuri dalam lima tahun

SUBANG JAYA, 18 DIS: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menamatkan perkhidmatan kesemua helikopter Nuri dalam tempoh lima tahun, kata Panglima TUDM Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

Beliau berkata antara faktor untuk menamatkan perkhidmatan helikopter itu adalah kerana usia Nuri yang berkhidmat melebihi 52 tahun, dan faktor keusangan kerana kebanyakan komponen serta alat ganti sudah tidak dikeluarkan kilang.

“Pihak kerajaan memutuskan untuk menamatkan Nuri kerana kos penyelenggaraan helikopter itu semakin tinggi, dan membuat TUDM menghadapi kesulitan untuk meneruskan pengoperasian.

“Faktor usia dan cabaran daripada aspek senggaraan secara langsung mengakibatkan kos pesawat semakin tinggi dan ‘downtime’ pesawat semakin panjang, apabila berlaku kerosakan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan TUDM Tahun 2020 di Pangkalan Udara Subang dekat sini hari ini.

Beliau berkata bagi penggantian Nuri, tender terbuka tempatan untuk penyewaan helikopter dibuka sejak 15 Oktober lepas dan ditutup semalam (17 Disember).

Ackbal berkata proses selanjutnya adalah untuk menilai tender, sebelum diputuskan syarikat tempatan mana yang akan dianugerahkan tender berkenaan.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa TUDM akan memperoleh pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircarft (FLIT/LCA), dalam tempoh tiga tahun ini.

Beliau berkata seiring dengan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55), pihaknya merancang untuk memperoleh sebanyak 36 pesawat (FLIT/LCA) secara berfasa, namun ia bergantung kepada kelulusan pihak kerajaan.

“Untuk keperluan TUDM dalam perolehan FLIT/LCA, pesawat platform tunggal dwi-fungsi ini perlu memiliki keupayaan yang seimbang, dalam melaksanakan peranan untuk latihan juruterbang pesawat pejuang dan pelbagai misi operasi.

“TUDM telah memohon peruntukan dari pihak kerajaan untuk perolehan Fasa 1 sebanyak 18 pesawat, melalui pendaftaran projek baharu 2021 dan permohonan untuk perolehan Fasa 2 bagi 18 pesawat lagi akan dilaksanakan, dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13),” katanya.

Terdahulu, Majlis Anugerah Kecemerlangan TUDM Tahun 2020 disambut secara norma baharu dan mencatatkan kelainan dalam penganjurannya, berikutan negara dilanda krisis pandemik COVID-19.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tun M: Rusia berminat jual pesawat kepada Malaysia

SINGAPURA, 14 NOV: Rusia menawarkan kepada Malaysia untuk membeli pesawatnya, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tawaran itu dibuat pada mesyuarat dua hala antara Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Rusia Vladimir Putin pada Selasa malam.

“Beliau (Putin) membangkitkan kemungkinan menjual pesawat mereka kepada kita. Ia bergantung kepada kedudukan kewangan kita,” kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Christine Lagarde di sini.

Dr Mahathir berada di sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-33 dan sidang kemuncak berkaitan, manakala Lagarde berada di sini sebagai tetamu.

Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak mendedahkan sama ada tawaran itu untuk tujuan ketenteraan atau komersial.

Ditanya sama ada Rusia akan membantu menyelenggara pesawat yang dibeli dari Moscow, Dr Mahathir berkata: “Beliau akan membantu kita. Kita mempunyai sejumlah Sukhoi…sebahagiannya tidak dapat melakukan penerbangan.”

Pada mesyuarat dua hala dengan Rusia, Dr Mahathir berkata Malaysia perlu “banyak belajar tentang cara untuk menyelenggara dan membaiki pesawat.”

Kementerian Pertahanan Malaysia yang mengendalikan pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM dan MiG-29.

Dilaporkan terdapat isu berhubung penyelenggaraan dan servisnya.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu telah menyatakan bahawa hanya empat daripada 18 pesawat Sukhoi dapat melakukan penerbangan dengan baik, manakala yang lain sedang dibaiki.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Pesawat SIA baharu dibeli terpaksa berpatah balik

SINGAPURA 4 NOV: Sebuah pesawat Singapore Airlines (SIA) yang baharu dibeli dan melakukan penerbangan sulung dari Los Angeles ke Singapura tanpa henti terpaksa berpatah balik selepas menghadapi masalah bacaan meter minyak enjin.

Pesawat Airbus A350-900ULR bagi penerbangan SQ37 itu dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles pada pukul 11.24 malam (2.24 petang waktu Singapura) dan sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Changi 18 jam kemudian.

Seorang jurucakap SIA memberitahu portal Channel NewsAsia, pesawat yang membawa 141 penumpang itu telah berlepas selama 40 minit namun berpatah balik ke Los Angeles selepas kru penerbangan mengesan masalah tersebut.

“Sekumpulan jurutera telah memeriksa pesawat itu dan memaklumkan ia boleh beroperasi semula,’’ katanya.

SUMBER: AGENSI

Categories
GLOBAL

11 cedera pesawat langgar gunung

LOS ANGELES 11 JUL: Sebuah pesawat membawa 11 penumpang dan anak kapal terhempas semalam di kawasan pergunungan di Alaska, kata pegawai dan penyelamat, tetapi tiada kematian.

“Dilaporkan 11 orang yang terbabit dalam nahas pesawat selamat, tetapi mengalami kecederaan,” kata Pengawal Pantai Amerika Syarikat dalam kenyataan susulan kejadian berhampiran bandar raya Ketchikan.

Pesawat De Havilland DHC-3T Turbo Otter itu membawa 10 penumpang dan juruterbang, menurut stesen televisyen KTVA.

Ia melaporkan, 10 orang cedera apabila ia merempuh sisi Gunung Jumbo pada ketinggian 600 meter, dan semuanya dalam keadaan stabil.

Pihak berkuasa berkata, juruterbang menghubungi mereka sejurus sebelum jam 9.00 pagi waktu tempatan dan Pengawal Pantai menghantar dua kru helikopter ke lokasi yang terletak 65 kilometer ke barat daya Ketchikan.

Semua 11 mangsa dibawa ke bandar raya itu untuk menerima rawatan.

SUMBER & FOTO: AFP

 

Categories
GLOBAL

Pesawat bawa 71 penumpang terhempas di Kathmandu

KATHMANDU 12 MAC: Sebuah pesawat penumpang terhempas ketika cuba mendarat di lapangan terbang antarabangsa Kathmandu hari ini kata pegawai.

Pesawat milik syarikat US-Bangla Airlines itu dilaporkan terbakar dan pasukan penyelamat sedang berusaha memadamkan kebakaran.

“Kami dalam proses memadamkan kebakaran dan menyelamatkan penumpang,’ kata jurucakap lapangan terbang, Prem Nath Thakur kepada AFP.

Menurut laporan BBC, pesawat berkenaan membawa seramai 67 hingga 78 penumpang.

Beberapa media melaporkan, ramai penumpang maut dalam kejadian itu dan sebilangan lagi cedera.

SUMBER: AGENSI/ FOTO SUMBER: AFP

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Pesawat kargo terhempas, korban puluhan mangsa

SHAH ALAM, 16 JAN: Sekurang-kurangnya 30 mangsa terkorban apabila seebuah pesawat kargo pajakan Turkish Airlines terhempas berdekatan Lapangan Terbang Manas di Talas, Kyrgyzstan, hari ini.

turkish actBerdasarkan laporan Reuters, kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 pagi waktu tempatan ketika pesawat itu cuba melakukan pendaratan dalam keadaan cuaca sukar berkabus tebal.

Nahas berlaku itu dikatakan memusnahkan lebih kurang 15 rumah di lokasi berkenaan.

Laporan turut memaklumkan pesawat model Boeing 747 itu dalam penerbangan dari Hong Kong ke Istanbul yang dijadual membuat persinggahan di Manas.

Difahamkan, mayat seorang juruterbang serta 15 masyarakat tempatan yang tinggal di sekitar lokasi kejadian dijumpai pasukan penyelamat yang menjalankan operasi menyelamat.

“Kita menyampaikan ucapan takziah kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga dalam insiden tragis melibatkan pesawat ACT Airlines di Kyrgyzstan,” lapor Turkish Airlines dalam akaun Twitter rasminya.

-NFN-