Categories
SELANGOR

“Rumah kami dipantau samseng malam nanti” – Penguatkuasa

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 2 OKT: Keselamatan pegawai, anggota dan ahli keluarga penguatkuasa Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) sering terancam sebaik selesai mengadakan operasi besar-besaran.

Ini berikutan, kediaman mereka akan dipantau kuncu-kuncu samseng pusat perjudian yang diserbu dalam operasi sebelumnya bagi menakutkan anggota atau pegawai terlibat.

20141001_124109“Biasanya operasi seperti ini tak berakhir di sini sahaja sebab sebelah malamnya mereka hantar orang perhatikan rumah kami.

“Maka disebabkan itu, setiap kali adakan operasi saya bawa isteri dan anak-anak saya keluar ke tempat lain beberapa hari,” kata Hairol Azman sebaik sahaja selesai operasi yang melibatkan pusat perjudian haram, ‘Ops Dadu’ di sekitar Bandar Baru Salak Tinggi, semalam.

Hairol Azman berkata, beliau juga menyedari beberapa ‘kepala’ samseng memerhatikan pergerakkan mereka dari jauh ketika Ops Dadu dijalankan.

Tinjauan Selangor Kini sepanjang operasi dijalankan, didapati beberapa lelaki yang berada di luar pusat perjudian mula menghubungi seseorang melalui telefon bimbitnya sebaik menyedari kehadiran kami.

Kecurigaan Selangor Kini terhadap lelaki terbabit berasas apabila sedang anggota penguatkuasa sibuk memunggah keluar set-set komputer, lelaki itu memasuki ke dalam cyber cafe haram itu dan cuba membawa keluar beberapa peralatan penting yang dipercayai ‘server’ milik pusat perjudian terbabit.

Bagaimanapun perbuatan lelaki itu sempat dihalang beberapa orang anggota lain yang menyedari tindak-tanduk beliau itu.

Ops Dadu yang dijalankan MPSp semalam dijalankan serentak di 19 pusat perjudian cyber cafe haram seluruh Bandar Baru Salak Tinggi.

Dalam serbuan itu, MPSp berjaya merampas lebih 3,900 set komputer serta kelengkapan lain bernilai lebih RM200,000.

HM

Categories
SELANGOR

Enggan diludah anak cucu kemudian hari, penguatkuasa tolak rasuah RM10k

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 2 OKT: Perbuatan menerima rasuah bukan sahaja salah di sisi agama dan undang-undang, malah perbuatan khianat itu juga mendatangkan kemudaratan kepada generasi hari ini dan akan datang.

Pegawai Penguatkuasa Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) Hairol Azman Razali tidak teragak-agak menolak mentah-mentah wang tunai RM10,000 yang ditawarkan kepadanya oleh seorang pengusaha pusat perjudian haram cyber cafe.

Tawaran itu dibuat sejurus Hairol Azman dan 60 anggota penguatkuasa lain tiba ke lokasi serbuan untuk menjalankan operasi cegah pusat judi haram cyber cafe yang dinamakan Ops Dadu di Bandar Baru Salak Tinggi, semalam.

20141001_124109“Dia jumpa saya tadi dan minta saya ke restoren berhampiran untuk serahkan RM10,000 tetapi kalau saya terima, bukan sahaja tak selamat di akhirat tetapi nafkah untuk menyara keluarga juga jadi tak berkat.

“Kami berkerja, hidup berkeluarga, Insya-Allah akan bersara di sini dan tentunya kami tak mahu generasi anak cucu kami yang membesar di sini terjebak dalam gejala seperti ini kalau kami tak tegas.

“Jangan esok anak cucu kami meludah ke muka kami dan bertanya kenapa kami tak tegas dan rasuah hingga mereka atau anak mereka terjebak,” kata Hairol Azman sejurus operasi itu selesai dijalankan.

DSC_9313Jelas beliau, perkara ini turut ditekankan kepada seluruh anggota MPSp bagi mengingatkan mereka akan tanggungjawab yang diamanahkan dan kesan buruk rasuah terhadap agama, bangsa dan negara.

Kata Hairol lagi, sikap amanah yang diterapkan dalam diri setiap anggota penguatkuasa MPSp itu menjadi salah satu faktor penting kawasan pentadbiran MPSp bebas daripada sarang pelacuran dan pusat karaoke.

DSC_9292“Ini adalah usaha berterusan di mana kami tak tunggu dah banyak baru cantas tetapi asal naik sedikit kami terus cantas awal-awal dan pusat karaoke pula, jika ada sahaja kesalahan dilakukan kami tidak teragak-agak bertindak tegas,” kata Hairol Azman lagi.

Bagaimanapun ujar Hairol Azman, pusat perjudian haram sukar untuk dibendung memandangkan sikap pengusaha yang berani mengambil risiko diserbu lantaran mampu memperolehi keuntungan berlipat kali ganda berbanding hukuman yang dikenakan.

“Pusat perjudian ini akan terus wujud selagi ada permintaan tetapi kami tetap berusaha sebaik mungkin dengan harapan orang ramai menjauhi tabiat berjudi,” kata Hairol Azman lagi.

Sementara itu ketika anggota penguatkuasa sibuk memunggah barang rampasan ketika operasi dijalankan, dua lelaki sekitar 50an dilihat sujud di atas permukaan jalan berhampiran salah satu lori penguatkuasa yang berada di situ.

Hairol memberitahu Selangor Kini, tindakan dua lelaki yang dipercayai ahli kariah surau berdekatan itu, berikutan rasa syukur dan gembira apabila melihat pusat-pusat perjudian berhampiran kediaman mereka itu diserbu.

HM