Categories
AGENDA NASIONAL

Kukuhkan PAKATAN, tingkat kerjasama antara parti pembangkang

SHAH ALAM, 20 DIS: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan terus mengukuhkan Pakatan Harapan (PAKATAN) dan meningkatkan kerjasama dalam kalangan pembangkang.

Pengarah komunikasinya berkata parti itu sentiasa mendukung prinsip kerjasama, persefahaman dan gabungan politik melalui Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat serta kini PAKATAN.

Fahmi Fadzil berkata prinsip berkenaan didukung sejak penubuhan KEADILAN pada 1999 sebelum menempuh pilihan raya umum (PRU) pada tahun sama diikuti empat lagi kemudiannya.

“Selama tempoh itu, kerjasama, persefahaman dan gabungan politik ini berpegang kepada prinsip mendokong agenda Reformasi, menolak rasuah, kronisme serta kebobrokan yang berlaku dalam negara.

“Oleh itu, KEADILAN akan sentiasa menilai perkembangan politik semasa secara bersama selain meneruskan persiapan jentera dan perbincangan berkait PRU15,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malah, ahli parlimen Lembah Pantai menjelaskan kerjasama dalam kalangan pembangkang dilakukan semasa sesi parlimen lalu.

Menurutnya, ketua pembangkang juga menjemput semua wakil parti pembangkang untuk bersama membincangkan strategi menghadapi Belanjawan 2021.

Terdahulu, KEADILAN mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bulanan bagi membincangkan beberapa isu dasar berhubung masalah rakyat, tatakelola dan keadaan politik semasa.

Melalui perbincangan itu, Fahmi berkata pimpinan diarah meneliti isu rakyat membabitkan pengangguran, harga barang dan ekonomi yang kekal suram ketika Covid-19.

Beliau menambah mesyuarat turut mengulangi komitmen yang termaktub dalam perlembagaan parti bahawa minima 30 peratus anggota wanita KEADILAN diutamakan dalam penetapan calon dan lantikan politik.

“Secara prinsipnya, KEADILAN berpegang teguh kepada usaha mengupayakan wanita termasuk di dalam bidang politik,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar dakwa belanjawan masih boleh ditolak peringkat jawatankuasa

SHAH ALAM, 29 NOV: Belanjawan 2021 masih boleh ditolak pada bacaan dan perbahasan di peringkat jawatankuasa jika tidak memenuhi aspirasi rakyat, dakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang berkata ahli parlimen diingatkan jangan terlalu gembira kerana belanjawan tersebut kini baharu diluluskan pada peringkat dasar.

“Kami menolak secara lisan tetapi tidak meminta perpecahan untuk membolehkan perbahasan di peringkat jawatankuasa berlanjutan.

“Bagaimanapun, 15 Disember akan menjadi keputusan utama sama ada Belanjawan 2021 itu diterima atau tidak,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) menerusi wawancara dengan The Vibes semalam.

Khamis lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 di peringkat dasar melalui undian suara selepas sebahagian besar ahli Parlimen termasuk pembangkang tidak menyokong cadangan undian secara belah bahagi.

PAKATAN menyatakan sokongan selepas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan beberapa pindaan dan pemberian tambahan yang membantu rakyat seperti isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium.

Perbahasan Belanjawan 2021 ini akan diteruskan ke peringkat jawatankuasa bermula esok dan pusingan undian seterusnya akan menyaksikan sama ada ia akan diluluskan dengan sebarang pindaan atau sebaliknya.

Anwar menegaskan semasa perbahasan di peringkat tersebut dan bacaan RUU perbekalan peringkat ketiga, PAKATAN akan menolak Belanjawan 2021 sekiranya tidak memenuhi keperluan rakyat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Perubahan intipati belanjawan dorong PAKATAN sokong – Anwar

SHAH ALAM, 29 NOV: Pakatan Harapan (PAKATAN) menyifatkan beberapa pindaan dan pemberian tambahan diumum kerajaan dalam Belanjawan 2021 membantu rakyat dan tidak perlu dibantah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perubahan intipati menyentuh isu seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium mendorong pihakya menyokong belanjawan dibentang pada 6 November lalu.

“Seminggu sebelumnya saya mengeluarkan kenyataan sekiranya tuntutan kita tidak dipenuhi, kita memilih untuk menolak keseluruhan Belanjawan 2021. Apa yang berlaku (Khamis lalu) ialah menteri kewangan membuat perubahan besar.

“Malah, pindaan dibuat membantu rakyat, mengapa kita harus tolak. Tetapi jika tidak dipenuhi, PAKATAN pilih untuk tolak,” katanya menerusi wawancara dengan The Vibes semalam.

Pengerusi PAKATAN berkata perubahan tersebut seperti mana dicadangkan termasuk program pengeluaran i-Sinar KWSP dengan had pengeluaran dinaikkan kepada RM10,000.

Selain itu, katanya, ia termasuk moratorium automatik pembayaran balik pinjaman bagi mereka yang berada dalam kategori berpendapatan rendah (B40) serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Khamis lalu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan beberapa pindaan dan pemberian tambahan hingga disokong PAKATAN serta diluluskan pada peringkat dasar.

Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan 2021: PAKATAN teliti peruntukan untuk Jasa, KKM

SHAH ALAM, 29 NOV: Pakatan Harapan (PAKATAN) akan meneliti peruntukan RM85.5 juta dalam Belanjawan 2021 bagi mewujudkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

Ketua pembangkang berkata dana yang besar itu lebih sesuai dibelanjakan untuk kebajikan rakyat dan diberi kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menangani virus Covid-19.

“RM85.5 juta yang tidak diketahui untuk Jasa dan keperluan dana besar untuk KKM antara isu akan diteliti PAKATAN di peringkat jawatankuasa,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi wawancara dengan The Vibes semalam.

Beliau memaklumkan pihaknya tidak akan memberi laluan mudah pada peringkat tersebut yang dimulakan esok berbanding Khamis lalu selepas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan beberapa pemberian tambahan hingga diluluskan pada peringkat dasar.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2021, PAKATAN membidas peruntukan besar untuk Jasa yang menjangkau lebih RM80 juta.

Sebelum ini, Jasa dibubarkan pada Mei 2018 oleh kerajaan PAKATAN selepas menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN teliti Belanjawan 2021, nyata pendirian peringkat kementerian

SHAH ALAM, 27 NOV: Keputusan tidak membuat undi belah bahagi Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 semalam sebagai langkah meneliti keseluruhan belanjawan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang berkata melalui tindakan itu, ahli parlimen Pakatan Harapan (PAKATAN) boleh melihat dengan lebih terperinci penerangan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Ahli parlimen berhak mempersoal sama ada ia merupakan peruntukan tambahan atau hasil pemotongan dari mana-mana kementerian.

“Kita boleh soalkan juga jumlah sebenar belanjawan, kesan terhadap situasi kewangan negara, isu pemandu teksi dan pengusaha kantin mendambakan bantuan selain isu pengeluaran dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta moratorium,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pengerusi PAKATAN berkata pendirian mereka masih boleh ditegaskan melalui peringkat jawatankuasa.

“Sejarah perjalanan parlimen Malaysia belum pernah meminda belanjawan dengan jumlah atau dengan cara seperti ini.

“Ini tanda kesediaan Perikatan Nasional melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa, termasuk melanggar parlimen,” katanya.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan RUU itu selepas mendapat sokongan majoriti ahli parlimen daripada kerajaan dan pembangkang tanpa melalui undian belah bahagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan digesa tingkat infrastruktur air di Selangor, Kelantan dan Pahang

SHAH ALAM, 1 NOV: Projek naik taraf infrastruktur air di Selangor, Kelantan dan Pahang tersenarai cadangan utama Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam Belanjawan Perpaduan 2021.

PAKATAN turut menyarankan peruntukan disalur kepada projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

“Kami berharap cadangan ini diterima dan menteri memasukkan ke dalam Belanjawan Perpaduan 2021.

“Kami menunggu langkah dan respon berikutnya daripada kerajaan dalam proses rundingan ini,” katanya menerusi kenyataan bersama dibuat Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Terdahulu, ketiga-tiga mereka bertemu Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz bagi mengemukakan enam cadangan utama Belanjawan Perpaduan 2021.

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN saran kerajaan lanjut moratorium bank hingga Mac

SHAH ALAM, 1 NOV: Lanjutkan moratorium bank sehingga 31 Mac tahun hadapan antara cadangan Belanjawan Perpaduan 2021 dikemukakan Pakatan Harapan (PAKATAN) kepada menteri kewangan hari ini.

“Dalam suasana krisis Covid-19, ekonomi Malaysia mencabar survival perniagaan kecil, pekerjaan, masa depan dan keadaan kewangan rakyat.

“Penting bagi kerajaan dan pembangkang untuk bersama menghasilkan Belanjawan Perpaduan yang khusus membantu rakyat mengatasi dan bertahan dalam kegawatan Covid-19,” kata kenyataan bersama dibuat Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Pada 29 Julai lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar untuk tempoh tiga bulan dengan fokus kepada golongan benar-benar memerlukan seperti mereka hilang pekerjaan atau masih belum mendapat pekerjaan baharu.

Selepas tiga bulan menurutnya, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank bergantung kepada situasi individu masing-masing.

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid,  sebelum itu berkata bank pusat berkenaan tidak berhasrat melanjutkan langkah berkenaan kerana memberi kesan yang sebaliknya mahu dielak oleh pihak bank.

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Majlis Presiden Pakatan sokong Dr Mahathir calon perdana menteri

SHAH ALAM, 29 FEB: Majlis Presiden Pakatan Harapan (Pakatan) hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri.

Pakatan dalam kenyataan pagi ini berkata Pakatan tegas menentang sebarang usaha ‘kerajaan pintu belakang’ terutama melibatkan kleptokrat dan pengkhianat perjuangan yang merosakkan usaha reformasi.

“Pakatan merupakan gabungan yang mendapat mandat jelas pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Oleh itu, demi mempertahankan perjuangan Pakatan menyatakan sokongan penuh terhadap Tun Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri,” katanya.

Kenyataan itu juga menegaskan,Pakatan berpegang teguh kepada prinsip dan akan terus memperjuang manifesto.

Pagi tadi, perdana menteri sementara bertemu pemimpin Pakatan dan memperoleh sokongan untuk membentuk kerajaan baharu sekali gus beliau sedia dilantik sebagai perdana menteri kelapan

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Hala tuju kerajaan PAKATAN jelas, perkembangan positif

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyangkal tuduhan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) tiada hala tuju, memberikan contoh terdapat pelbagai perkembangan positif untuk membuktikan sebaliknya.

Antara lain, beliau berkata kerajaan telah melancarkan skim Kemakmuran Bersama yang menggariskan laluan jelas untuk berkembang maju yang sesetengah pengkritik mungkin tidak dapat melihatnya.

“Tetapi bagi kerajaan, hala tujunya adalah jelas. Kami tidak mahu sekadar pulih dan menjadi makmur. Kami mahu kongsikan kekayaan negara kita secara saksama,” kata Dr Mahathir dalam catatan bertajuk ‘Kerajaan PH’ di dalam blognya hari ini.

Untuk itu, beliau berkata kerajaan telah melaksanakan inisiatif pelan perindustrian baharu, dilengkapi dengan pelan pertanian baharu.

“Kami tahu hala tuju kami. Orang luar mungkin tidak. Tetapi kami tahu. Kami amat jelas dengan apa yang kami mahu lakukan dan bagaimana kami akan lakukannya. Pelan-pelan mungkin mengambil masa seminggu atau lebih untuk dirumuskan tetapi pelaksanaannya akan mengambil masa lebih lama, sekurang-kurangnya dua tahun atau lebih. Tetapi kerja sudahpun bermula,” katanya.

Bagi pemerhati ia tampak seolah-olah tiada apa yang bergerak, katanya sambil menggunakan pepatah ‘Rome tidak dibina dalam masa sehari’ untuk menunjukkan bahawa pelbagai inisiatif yang dilaksanakan akan mengambil masa untuk membuahkan hasil.

“Beri kerajaan sedikit masa dan ambil bahagian sepenuhnya dalam dasar-dasar Kemakmuran Bersama, dan dalam dua tahun lagi anda akan sedar bahawa hala tuju kerajaan adalah betul,” kata Dr Mahathir dalam tulisannya itu.

Beliau berkata tuduhan bahawa kerajaan PAKATAN tiada hala tuju dibuat oleh mereka yang enggan menerima hakikat.

“Mari lihat apa yang ia telah lakukan. Disebalik hutang besar lebih satu trilion ringgit, yang jelas bahawa ia dapat mengekalkan kemampuan negara. Pemberi hutang tidak menyaman kerajaan. Malah, ada antaranya yang mahu meminjamkan lebih banyak wang pada kadar rendah. Kerajaan jelas mempunyai kepercayaan kredit. Hutang telah dikurangkan,” katanya.

Dr Mahathir turut menegaskan bahawa negara turut stabil dari segi politik.

“Ya, terdapat sedikit gangguan oleh anggota dalam parti gabungan kerajaan. Tetapi itu adalah lazim. Tiada siapa yang cuba menggulingkan kerajaan menerusi undi tidak percaya. Mereka tahu ia tidak akan berjaya,” katanya.

Berhubung ekonomi, perdana menteri berkata ia masih berkembang pada kadar baik bagi sebuah negara yang pembangunannya pada tahap ini dan bahawa Malaysia masih mempunyai simpanan terbesar, antara lain, rizab Bank Negara amat tinggi – lebih RM400 bilion.

Dr Mahathir berkata dana lain seperti Permodalan Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan dana lebih kecil yang lain keseluruhannya berjumlah lebih RM1.5 trilion dan syarikat minyak negara milik kerajaan Petronas turut cemerlang dengan pendapatan lebih RM100 bilion.

Disebalik semua itu, perdana menteri mengakui bahawa ringgit menyusut.

“Di banyak negara lain, rizab pada saiz ini akan menjamin kekukuhan mata wang negara. Tetapi pasaran tampaknya tidak percaya dengan kekukuhan kewangan dan mata wang Malaysia,” katanya.

Dr Mahathir menegaskan ekonomi dan mata wang Malaysia adalah kukuh.

Beliau turut menulis bahawa Malaysia semakin pulih daripada bencana yang disebabkan oleh kerajaan kleptokratik terdahulu dan kini menikmati tadbir urus lebih baik.

Katanya PAKATAN mengambil alih daripada kerajaan kleptokratik yang telah merompak negara selama bertahun-tahun, memusnahkan kewangannya, memperlekehkan pentadbiran agensi-agensinya, melanggar undang-undang, membuat pinjaman lebih tinggi daripada had dibenarkan, meletakkan negara di laluan untuk muflis, menjadikan rakyat bergantung kepada kerajaan dengan rasuah dan amnya menghakis moral rakyat.

“Sudah tentu, banyak orang yang gembira untuk menikmati wang rasuah dan banyak keistimewaan yang salah di sisi undang-undang. Mereka mahu amalan buruk ini diteruskan.

“Tetapi majoriti rakyat tahu akan keadaan teruk dialami negara dan memastikan kerajaan rasuah digulingkan,” kata perdana menteri.

Dr Mahathir berkata boleh dikatakan sebagai satu keajaiban berikutan pihak yang mengambil alih negara merupakan pakatan “bercampur-aduk” empat parti, bersama-sama dengan satu lagi parti di luar pakatan itu dan “malah seorang individu yang tiada kaitan pun dengan parti-parti berkenaan”.

Dr Mahathir berkata mereka akhirnya membentuk kerajaan dan saling bekerja bersama-sama, selepas membentuk Kabinet tanpa sebarang perjanjian bertulis berhubung siapa yang akan memegang jawatan apa.

“Ini merupakan keajaiban kedua. Kabinet berjalan lancar. Sekurang-kurangnya mereka boleh bertemu, berbincang dan membuat keputusan. Sudah tentu, ramai mengkritik keputusan mereka. Ini perkara biasa.

“Tiada kerajaan yang boleh mendapat persetujuan daripada semua orang pada setiap masa. Apa yang penting adalah kabinet yang ‘rapuh’ ini masih berfungsi,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

WKB 2030 mercu pencapaian, tingkat usaha penuhi komitmen PAKATAN

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Penyediaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) merupakan mercu tanda pencapaian Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) bagi tahun lepas, kata Menterinya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, bagi merealisasikan matlamat dan objektif WKB 2030, MEA telah melaksanakan 390 sesi libat urus membabitkan pelbagai pihak dalam penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“2019 merupakan tahun yang produktif bagi MEA untuk terus membingkai muafakat yang utuh atas asas yang kukuh bagi pelaksanaan agenda pembangunan negara.

“Saya bersama seluruh pimpinan dan anggota Kementerian akan terus mempertingkatkan lagi usaha bagi memenuhi komitmen Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) kepada rakyat,” katanya dalam Laporan Pencapaian 2019 MEA yang dikeluarkan hari ini.

WKB 2030 merupakan hala tuju baharu pembangunan negara yang melibatkan penstrukturan semula ke arah ekonomi yang bernilai tinggi selain mengurangkan jurang perbezaan antara kelas pendapatan, kaum, wilayah dan rantaian nilai.

Dokumen WKB 2030 yang cukup menyeluruh dan komprehensif telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 5 Oktober 2019.

Selain itu, Mohamed Azmin berkata MEA juga telah berjaya memenuhi lima janji daripada empat teras secara keseluruhan dan tiga iltizam khusus untuk warga FELDA dalam Buku Harapan yang telah dipertanggungjawabkan kepada kementerian itu yang bertindak selaku peneraju perancangan pembangunan sosioekonomi negara yang mampan, maju dan inklusif.

Kementerian itu juga telah membentangkan Kertas Putih FELDA bagi menyuntik dinamisme baru dan mengatasi kesulitan semasa demi masa depan sebanyak 112,635 peneroka dan keluarga mereka.

Malah, sejajar usaha membela nasib peneroka, bantuan kewangan kerajaan berjumlah RM6.23 bilion dalam bentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan telah disediakan di bawah Pelan Pemulihan Felda bagi tempoh 2019-2025, kata beliau.

Menurut laporan itu, baki pinjaman FELDA dengan institusi kewangan telah berkurangan kepada RM6.89 bilion sehingga 31 Disember 2019 berbanding RM7.8 bilion pada 2017.

Baki hutang dengan vendor turut berkurangan sebanyak 60 peratus kepada RM445 juta berbanding RM1.12 bilion pada 2017.

Selain itu, pencapaian lain MEA sepanjang 2019 bagi memacu ekonomi negara termasuk menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM13.05 bilion untuk pembangunan enam negeri kurang membangun – Perlis (RM299 juta), Kedah (RM1.26 bilion), Kelantan (RM1.6 bilion), Terengganu (RM1.13 bilion), Sarawak (RM4.18 bilion) dan ​​​​​​​Sabah (RM4.59 bilion).

Kementerian itu juga berjaya memperkasa pembangunan industri halal negara menerusi kerjasama ekonomi Malaysia-Korea Selatan yang berpaksikan Dasar Pandang Ke Timur 2.0 serta penstrukturan semula agenda pembangunan industri halal negara melalui Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH).

MEA turut memperkasa aktiviti pertanian dan pembangunan pekebun kecil serta tanah berkelompok negara menerusi bantuan peningkatan produktiviti dan pembangunan pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah yang berjumlah RM43.78 juta.

Bagi pembangunan inklusif dalam menangani kemiskinan, MEA telah memperuntukkan sejumlah RM100 juta bagi Program Peningkatan Kapasiti dan Kapabiliti Kumpulan Sasar Khusus dalam kalangan isi rumah B40 melibatkan kira-kira 20,000 orang penerima manfaat tersebut.

Selain itu, lebih RM7.64 juta telah dibelanjakan oleh penerima Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) bagi pembelian barangan keperluan asas bernilai RM250 sebulan dan rawatan kesihatan di klinik swasta bernilai RM500 setahun.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan perlu guna media rasmi ubah persepsi negatif

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Kerajaan Persekutuan diterajui Pakatan Harapan (PAKATAN) disaran menggunakan media rasmi milik mereka dengan sebaiknya, kata pengamal media, Nazri Kahar.

Beliau yang juga editor di sebuah agensi media terkenal di negara ini berkata, seharusnya kerajaan yang sudah memerintah hampir dua tahun itu menggunakan sepenuhnya media dari Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA) dan Radio Televisyen Malaysia.

“Saya lihat media ini masih tidak membawa agenda kerajaan dan tidak menjawab salah faham rakyat terhadap Kerajaan PAKATAN.

“Ia termasuk isu kontroversi mengenai kononnya DAP mendominasi kerajaan, subsidi yang dipotong serta agenda nasional mengenai perumahan.

“Persepsi ini masih tidak dapat dijelaskan sehingga dilabelkan sebagai gagal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi pembentangan pada Seminar Pasca Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai anjuran ILHAM Centre di Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, di sini, hari ini.

Turut sama membentangkan hasil kajian ialah Ketua Penyelidik ILHAM Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim; Felo ILHAM Centre, Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid; Pengarah Eksekutif SAUDARA, Lim Hong Siang dan Wartawan Malaysian Insight, Cham Kok Leong.

Pada 16 November lalu, Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kembali kerusi Parlimen Tanjung Piai daripada PAKATAN dengan majoriti besar 15,086 undi.

Wee Jeck Seng (BN) mendapat 25,466 undi, menewaskan pencabar terdekat daripada PAKATAN, Karmaine Sardini (10,380 undi).

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN berusaha selesai rasa tidak puas hati semua kaum

PONTIAN, 9 NOV: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) sentiasa berusaha menyelesaikan masalah semua kaum dan rasa tidak puas hati mereka, kata Timbalan Presiden PAKATAN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Presiden BERSATU itu berkata, bagi menyelesaikannya, kerajaan bagaimanapun memerlukan sokongan rakyat untuk meneruskan peranannya itu.

“Saya tahu masyarakat Tiong Hua tak berapa puas hati. Saya cakap dengan orang Melayu mereka juga beritahu rasa tak puas hati dan orang India pun turut tak puas hati,” katanya pada majlis makan malam bersama persatuan-persatuan Cina Pontian di Dewan Hai Kee di sini malam tadi.

Katanya, jika bercakap mengenai masalah, tidak akan ada orang yang akan rasa puas hati dengan apa keadaan sekalipun, tetapi yang penting adalah mencari jalan untuk selesaikan masalah.

“Sebab itu, saya hendak jelaskan di sini sempena hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 16 November nanti, kita kena memikirkan supaya dapat memilih calon yang berupaya menjadi wakil rakyat dan boleh tolong kita,” katanya.

Beliau berkata, jika rakyat membuat keputusan untuk memilih calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng pada pilihan raya itu, beliau percaya Wee tidak dapat membantu rakyat, kerana bukan lagi berada dalam kerajaan.

“Sebab itu, dalam PRK ini kita letakkan calon Haji Karmaine Sardini. Ini calon kita daripada PAKATAN. Walaupun beliau daripada BERSATU, dia mewakili semua parti…KEADILAN, DAP, AMANAH bermakna bergabung dalam satu,” katanya.

Katanya, dengan pemilihan Karmaine sebagai wakil rakyat, dia mampu memudahkan pelbagai urusan kerana negeri Johor dan di peringkat pusat berada di bawah pentadbiran sama.

Majlis berkenaan dihadiri kira 1,000 ahli persatuan terbabit.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada PAKATAN pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

Pada PRK ini, calon PAKATAN berdepan pertandingan enam penjuru melawan Wee yang mewakili BN, calon GERAKAN, Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (BERJASA), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon BEBAS, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

– BERNAMA