Categories
SELANGOR

BN tak perlu menanti peluang, Selangor kekal bawah Pakatan

Oleh: HAFIZAN TAIB

SEKINCHAN, 17 JUN: Timbalan Setiausaha DAP Selangor, Ng Suee Lim yakin masalah antara parti itu dengan PAS mampu diakhiri dengan nada gembira dan Pakatan Rakyat (Pakatan) kekal mendokong amanah rakyat ke arah pembaharuan di negara ini.

Adun Sekinchan itu berkata, gabungan DAP, PAS dan PKR dalam Pakatan sejak 2008 tidak sunyi daripada masalah namun mampu diatasi hasil kerjasama semua pihak.

Grafik-Selangor-Pakatan“Saya yakin semua masalah ini pasti ada penyelesaiannya. Pasti ada jalannya.

“Jika kita komited, ikhlas, yakin, hormati mandat rakyat dan boleh bertoleransi, banyak perkara boleh diselesaikan,” katanya kepada Selangor Kini, di sini.

Suee Lim berkata, pentadbiran Kerajaan Selangor tidak terkesan dengan isu yang timbul dan segalanya berjalan seperti sedia kala.

Katanya, DAP Selangor memberi kerjasama baik kepada Kerajaan Negeri dan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali seiring kepercayaan diberi rakyat.

“Memang realitinya Pakatan bagaikan tidak wujud tetapi rakyat mengharapkan kita terus memimpin Selangor dan membela hak rakyat.

ngsueelim“Ini masanya pemimpin DAP, PAS dan PKR perlu memikirkan untuk mencari satu penyelesaian dan menerokai mekanisma baharu,” katanya.

Suee Lim menyatakan keyakinan Selangor akan terus kekal ditadbir Pakatan, sekali gus menutup ruang Barisan Nasional (BN) kembali.

“Saya beritahu musuh khususnya Umno dan MCA tak perlu menanti peluang kerana tiada ruang.

“Selangor akan kekal ditadbir Pakatan di bawah Mohamed Azmin. Kekal, majoriti kita ada,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

AMK: Rakyat dulu baru parti

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 14 JUN: Pemimpin DAP dan PAS digesa mengutamakan kepentingan rakyat dan berhenti menyulam kemelut demi kepentingan parti masing-masing, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad

Nik Nazmi berkata, pertelingkahan dua parti itu tidak mendatangkan kebaikan, bahkan seperti mengkhianati kepercayaan rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

“Pakatan Rakyat (Pakatan) dibina atas jalan persamaan dan ketika PRU lalu menjadi harapan rakyat untuk memperjuangkan isu berkepentingan mereka.

nik nazmi“DAP dan PAS perlu mencari titik persamaan menangani kemelut mereka,” katanya dipetik Sinar Harian.

Nik Nazmi berkata, pihaknya bersedia menjadi orang tengah dan kini dalam usaha berunding dengan kepimpinan DAP dan PAS bagi mencapai kesepakatan.

Katanya, Kerajaan Selangor masih berjalan dengan baik memandangkan dua parti itu dapat bekerjasama.

“Setakat ini, dalam mesyuarat Exco semuanya baik dan berharap isu ini dapat diselesaikan segera,” katanya.

Muktamar PAS ke-61 meluluskan usul tergempar memutuskan hubungan dengan DAP namun mengekalkan kerjasama politik dalam Pakatan, pada 6 Jun lalu.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Azmin: Bincang dalam semangat kekeluargaan

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 13 JUN: Semangat kekeluargaan harus dihidupkan kembali dalam kalangan komponen Pakatan Rakyat (Pakatan) bagi merungkai pergeseran antara PAS dan DAP, kata Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

“Eloklah kita (Pakatan) berbincang dalam semangat kekeluargaan,” katanya ketika ditemui Selangor Kini selepas merasmikan Program Semarak Ramadan Negeri Selangor 2015, di Dataran Kemerdekaan, di sini, malam ini.

pakatanSebelum ini, Mohamed Azmin yang membawa suara PKR komited mendamaikan rakan komponennya itu melalui meja rundingan.

Komitmen sama turut dizahirkan, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, yang menzahirkan usaha pendamaian itu akan diteruskan dari masa ke masa.

Katanya, ia akan dilakukan secara berasingan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang berusaha memulihkan keadaan itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai optimis Pakatan masih berpeluang melangkah ke Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengeseran mula menjadi serius apabila, Muktamar Tahunan PAS ke-61 yang berlangsung di Kuala Selangor, pada 6 Jun lalu meluluskan usul Dewan Ulama PAS Pusat tanpa dibahas bagi memutuskan hubungan dengan DAP.

Usul Dewan Ulama PAS Pusat itu susulan beberapa kenyataan pimpinan DAP terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terutama dalam isu hudud.

Bagaimanapun, usul berkenaan mahu PAS mengekalkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dalam Pakatan bersama PKR.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Exco: Berfikir seperti negarawan, hentikan percakaran

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 JUN: Pemimpin politik diingatkan bertindak sebagai seorang negarawan apabila berhadapan dengan krisis dengan memikirkan nasib rakyat.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata sikap pemimpin yang memikirkan kepentingan sendiri hanya menyebabkan isu rakyat semakin terpinggir.

Iskandar Samad“Siapa yang hendak memikirkan nasib kakitangan MAS yang dibuang kerja? Kenapa GST seperti dilupakan walhal rakyat terus tertekan?

“Kenapa penentangan terhadap akta zalim kurang kedengaran lagi,” kata Iskandar dalam kenyataan medianya hari ini.

Katanya, pemimpin politik harus menanam perasaan kasihan kepada rakyat yang dahagakan pembelaan atas pelbagai faktor menghimpit kehidupan mereka.

“Rakyat masih menunggu akan pembelaan daripada kita,” katanya.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Cari penyelesaian terbaik atasi konflik

Oleh: TAN SRI MUHAMMAD MUHAMMAD TAIB
Merujuk kepada kenyataan Pengerusi DAP Selangor YB Tony Pua berdasarkan laporan akhbar Sinar Harian hari ini, saya ingin menasihatkan beliau supaya tidak memberi tekanan kepada YAB Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali supaya memilih antara DAP dengan PAS. Ini kerana kenyataan tesebut tidak mencerminkan semangat Pakatan Rakyat yang telah diberi mandat besar oleh rakyat negeri Selangor dalam Pilihanraya Umum ke 13 yang lalu.
Saya juga ingin memberikan pandangan kepada pimpinan tertinggi PAS dan DAP supaya mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani konflik yang berlaku sekarang ini. Buat permulaan, saya ingin mencadangkan DAP supaya menarik balik kenyataan untuk memutuskan kerjasama dengan Presiden PAS, Datok Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang. Saya juga memohon Ahli Majlis Syura Ulamak dan pimpinan tertinggi PAS supaya dapat mengambil satu sikap yang dapat menyelamatkan hubungan sesama parti dalam Pakatan Rakyat.
Jangan disia-siakan harapan rakyat Malaysia yang telah memberi undi 52% kepada Pakatan Rakyat, khususnya harapan rakyat negeri Selangor yang telah memberi mandat kepada Kerajaan Pakatan Rakyat. Dalam keadaan Umno BN sedang lemah dengan pelbagai isu yang melanda mereka, Pakatan Rakyat perlu menunjukkan contoh alternatif terbaik kepada rakyat bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke 14 nanti.
 
# Tan Sri Muhammad Muhammad Taib adalah Bekas Menteri Besar Selangor
Categories
SELANGOR

Minta Azmin pilih PAS atau DAP idea karut

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 11 JUN: Idea menggesa Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali memilih sama ada PAS atau DAP kekal dalam Kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) Selangor disifatkan idea mengarut.

Naib Presiden PKR, Tian Chua, berkata hal itu berikutan rakyat Selangor mahu kerajaan yang stabil bukannya memilih PKR, PAS atau DAP.

“Ini karut, Pakatan dipilih rakyat Selangor. Orang Selangor tak pilih PAS, DAP atau PKR tetapi beri mandat kepada Pakatan dalam PRU lalu.

tian chua pc pkr 01“Sebab itu tak wujud isu kita kena pilih PAS atau DAP atau PKR. Ini satu perbuatan adu domba akibat masalah dalaman PAS dan DAP.

“Kalau DAP atau PAS rasa tak boleh bersama dalam rangka Pakatan untuk mentadbir dengan tertib mengikut kehendak rakyat Selangor, lebih baik buat keputusan serah balik mandat untuk mereka pilih semula.

“Ini tidak berasas. Tak ada isu langsung. Tiada kena mengena dengan rakyat Selangor.

“Rakyat Selangor mengharapkan kerajaan yang dipilih mereka mentadbir negeri dengan terbaik mengikut apa yang kita janjikan,” kata Tian Chua kepada Selangor Kini.

Katanya, keadaan itu dihangatkan lagi dengan tindakan sesetengah individu yang sengaja mengeluarkan kenyataan sehingga mencetuskan ketegangan politik.

“Ini mengecewakan rakyat. Saya harap kita hentikan polemik ini dan tumpukan kepada isu yang ada kepentingan rakyat,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Azmin: Tak perlu paksa saya campur permainan ‘kanak-kanak’

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali meminta DAP dan PAS tidak memaksa beliau mencampuri krisis antara parti berkenaan yang disifatkan sebagai ‘permainan kanak-kanak’.

Beliau berkata demikian dalam reaksinya berhubung desakan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua yang memintanya memilih antara PAS atau parti itu, semalam.

MB Azmin lawat tapak banjir di depan Stadium (9)“Saya dah cakap semalam. Jangan paksa saya dalam permainan kanak-kanak, peranan PKR untuk menguatkan Pakatan Rakyat (Pakatan).

“Kita mesti penuhi aspirasi rakyat termasuk dalam Selangor ,” katanya yang dipetik portal The Malaysian Insider.

Bercakap kepada media di lobi Parlimen ketika ditanya berkenaan parti yang bakal dipilih, Timbalan Presiden PKR itu hanya memberi gambaran akan memilih apa yang dikehendaki rakyat.

“Kita pikul amanah rakyat. Hanya akan buat pilihan apa yang dipilih mereka kerana itu tanggungjawab saya,” katanya.

Desakan Pua, ekoran keputusan PAS dalam muktamarnya yang meluluskan usul memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP.

Walaupun usul yang dibawa Dewan Ulama itu memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP tetapi terus mengekalkan hubungan dengan PKR dan Pakatan.

Categories
SELANGOR

MB: Pakatan teguh di Selangor, tumpu agenda bangun negeri

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 9 JUN: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali memberi jaminan Pakatan Rakyat (Pakatan) Selangor akan terus melaksana tanggungjawab melunaskan amanah rakyat.

Katanya, tiga komponen Pakatan masih teguh di Selangor, bahkan PKR komited merungkai kemelut yang sedang melanda rakan komponennya, PAS dan DAP di peringkat pusat.

suk pakatan selangor“PKR punya tanggungjawab besar pastikan Pakatan terus kuat. Ini peranan yang dimainkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dan akan diteruskan demi kepentingan negara dan rakyat.

“Saya sendiri di peringkat negeri ingin melihat Pakatan terus kukuh.

“Memang ada pandangan berbeza tetapi selaku wakil rakyat, kita punya tanggungjawab besar memenuhi aspirasi rakyat yang memilih Pakatan dalam pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Katanya, usul Dewan Ulama PAS menuntut memutuskan hubungan dengan DAP tidak sewajarnya dimanipulasi berikutan belum dimuktamadkan di peringkat tertinggi parti Islam itu.

markshort mb4Sehubungan itu, Mohamed Azmin menggesa semua pimpinan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada agenda besar membangunkan negeri dan kebajikan rakyat.

“Kita berada di Selangor atas sokongan kuat rakyat yang ingin Pakatan mentadbir negeri. Sokongan ahli parti sahaja belum tentu membolehkan kita mampu membentuk kerajaan.

“Rakyat letak harapan tinggi, jadi kita perlu tunjukkan kesungguhan membawa aspirasi mereka yang memilih Pakatan pada pilihan raya umum dahulu,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Pakatan tak berakhir, kekal terajui Selangor

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 9 JUN: PAS dijangka akan terus bertahan sebagai komponen Pakatan Rakyat (Pakatan) sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Penganalisa Politik, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar berkata, PAS akan terus kekal dan tidak memutuskan hubungan kerana parti Islam itu mendapat manfaat dalam Pakatan.

“Politik Pakatan tidak berakhir dengan Muktamar PAS tetapi masih ada masa yang panjang sehingga PRU. Rumusan segera tidak boleh dilakukan.

Prof Datuk Mohamad Abu Bakar“Dengan sikap lebih banyak menunggu, PAS dilihat hanya akan keluar jika parti itu dipecat DAP dan PKR.

“Namun, itu juga tidak semestinya isyarat PAS akan bekerjasama secara rasmi dengan Umno,” katanya kepada Selangor Kini.

Mengulas senario politik Selangor, Mohamad positif kerajaan PR akan terus kekal menerajui negeri termaju di Malaysia itu.

“Hubungan Pakatan boleh mencair di Pulau Pinang kerana DAP yakin boleh bergerak dan berdiri sendiri di sana.

“Tetapi keadaan itu berbeza dengan Selangor apabila hubungan itu harus dikekalkan. Perbezaan pandangan itu perlu diraikan setiap komponen supaya Kerajaan Pakatan Selangor tidak runtuh,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

PKR: Isu perbezaan DAP & PAS mampu diselesaikan

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 8 JUN: PKR yakin isu membabitkan hubungan antara PAS dan DAP mampu diselesaikan menerusi pertemuan diatur Pakatan Rakyat (PR) dalam masa terdekat.

Ketua Whip Parlimen PKR, Datuk Johari Abdul, berkata perbincangan terbabit dijangka merungkaikan segala kekusutan melanda ketika ini antara kedua-dua parti berkenaan.

PAKATAN RAKYAT“Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjelaskan akan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat dengan pimpinan PAS dan DAP untuk mendengar pandangan mereka.

“Saya rasa boleh diselesaikan, masalahnya persepsi yang berbeza-beza. Kita tidak pasti apa yang dicakapkan dan apa yang dimaksudkan,” katanya kepada media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Johari berkata, pertemuan itu dijangka diadakan selepas Wan Azizah kembali dari lawatan kerjanya di Sabah hari ini.

Katanya, PAS perlu memberi penjelasan berhubung definasi ‘tidak bekerjasama dengan DAP tetapi masih kekal dalam PR’.

“Isu-isu ini perlukan penjelasan dan ia dijangka akan mampu menjernihkan keadaan seterusnya rakyat lebih faham apa maksud pimpinan PAS itu,” katanya.

 

EZY

Categories
SELANGOR

Iskandar: Pengalaman PAS dalam Kerajaan Pakatan Selangor diambil kira

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 JUN: Usul mengkaji hubungan dengan DAP yang dikemukakan Dewan Ulama PAS di Muktamar Tahunan PAS semalam masih belum diluluskan.

Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, sebaliknya usul itu dibawa ke Mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama untuk dibincang sama ada hendak diluluskan atau tidak.

“Saya yakin perbincangan mengambil kira semua faktor. Saya turut yakin pandangan dan pengalaman PAS Negeri-Negeri juga diambil kira.

PAKATAN RAKYAT“Contohnya bagi Selangor, PAS tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana parti Pakatan Rakyat. Hubungan di dalam dan di luar kerajaan berjalan biasa dan pentadbiran Kerajaan Negeri berjalan lancar,” kata Iskandar dalam kenyataan medianya di sini, hari ini.

Terdahulu, Dewan Ulama PAS membentangkan usul di Muktamar PAS supaya parti Islam itu mengkaji hubungan dengan DAP.

Bagaimanapun muktamar memutuskan untuk membawa usul terbabit ke mesyuarat AJK PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama untuk diputuskan memandangkan perkara ini melibatkan isu hukum agama.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya selepas itu berkata mesyuarat terbabit  diadakan secepat mungkin.

EZY

Categories
SELANGOR

Pimpinan Pakatan Selangor perlu pragmatik penuhi mandat rakyat

Oleh: AFEEQA AFEERA

KLANG, 7 JUN : Pemimpin Pakatan Rakyat (Pakatan) Selangor disarankan supaya bersikap pragmatik dalam menghadapi pentadbiran Kerajaan Negeri demi memenuhi mandat diberikan rakyat.

Naib Presiden DAP Selangor, Datuk Teng Chang Khim, berkata pemimpin tidak boleh memandang ringan tanggungjawab yang diberikan meskipun timbul percanggahan.

pakatan selangor“Walaupun di antara parti (dalam Pakatan) keadaan agak tegang, tetapi semua pihak harus menghormati aspirasi dan mandat yang diberikan rakyat.

“Kita mempunyai tanggungjawab untuk terus mentadbir negeri terutama di Selangor.

“Bagaimana untuk mewujudkan cara kerja yang lebih baik antara parti ini kita akan bincang dari masa ke masa,” katanya selepas menyerahkan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di Dewan Taman Eng Ann, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas perbezaan pandangan yang timbul antara dua komponen parti Pakatan iaitu DAP dan PAS.

Dalam pada itu, Chang Khim yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian IKS & Perdagangan serta Pengangkutan , berkata jika hubungan antara parti komponen terputus, tidak semestinya Kerajaan Negeri yang ditadbir terputus sama.

“Itu sudah jadi isu lain,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua parti itu perlu diberikan masa untuk bertenang sebelum perbincangan baru boleh dimulakan semula dalam waktu terdekat.

“PAS pun baru sahaja selesai bermuktamar, berilah mereka masa untuk rehat dan kedua-dua pihak perlu bertenang sebelum teruskan perbincangan.

“Apa yang penting semua pihak perlu bersikap pragmatik untuk pentadbiran negeri,” katanya.

EZY