Categories
NASIONAL

Suhu Panas: Kementerian Pendidikan dicadang tutup sekolah

KUALA LUMPUR 19 MAC : Kementerian Pendidikan dicadang menutup sesi persekolahan di Alor Setar, Kedah dan Chuping, Perlis esok berikutan suhu melebihi 37 darjah celsius yang dicatatkan di kedua-dua lokasi itu sejak 1 Mac.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata Alor Setar mencatat bacaan suhu paling tinggi di negara ini semalam iaitu 39.1 darjah celcius, bacaan tertinggi dalam tempoh 12 hari berturut-turut.

Suhu-panas-eksterm-416x250Di Chuping pula, bacaan yang dicatat semalam adalah 38.9 darjah celsius, selain mencatat suhu tertinggi 39 darjah celcius pada Isnin lepas, katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini, lapor BERNAMA.

“Berdasarkan Garis Panduan Pelan Tindakan Menangani Gelombang Haba maka sesi persekolahan di Alor Setar dan Chuping boleh dicadangkan agar ditutup bermula pada Ahad, 20 Mac,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun, keputusan sama ada sesi persekolahan akan ditutup atau tidak, akan diumumkan oleh Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid sepertimana diarahkan oleh kabinet.

Sementara itu, Madius berkata, Keningau di Sabah dan Batu Embun serta Temerloh di Pahang mencatat bacaan suhu melebihi 35 darjah celsius bagi tempoh lebih 10 hari berturut-turut.

Katanya, keadaan ini disebabkan fenomena El Nino yang sedang berlaku dan dijangka berterusan sehingga suku pertama tahun ini.

Beliau berkata cuaca panas dan kering yang kini berlaku di Perlis dan Kedah akan turut dirasai di seluruh Semenanjung sehingga penghujung Mac ini.

Katanya keadaan sama dijangka berlaku di Sabah dan bahagian Limbang serta Miri di Sarawak.

EZY

Categories
NASIONAL

Elak aktiviti luar minimumkan risiko strok haba

SHAH ALAM, 19 MAC : Atlet negara yang melakukan aktiviti di kawasan luar kecuali sukan akuatik, dinasihatkan membatalkannya jika suhu melebihi 36 darjah celsius bagi meminimumkan risiko strok haba.

Institut Sukan Negara (ISN) dalam kenyataan menyarankan atlet terbabit supaya melakukan aktiviti sukan di tempat redup atau dalam dewan.

Suhu-panas-eksterm-416x250Atlet negara juga disarankan merendahkan intensiti aktiviti sukan selain mengehadkan tempoh bersukan kurang daripada satu jam bagi setiap sesi sekiranya suhu berada antara 31 dan 35 darjah celsius.

“ISN juga turut mengesyorkan kepada persatuan sukan kebangsaan atau penganjur kejohanan, jika boleh untuk menunda sebarang aktiviti fizikal luar bagi memastikan tahap kesihatan atlet dan penonton terjamin andai fenomena El Nino berterusan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan turut memaklumkan ISN memantau selain memberi kenyataan nasihat dari semasa ke semasa mengenai situasi dan fenomena yang sedang melanda negara ketika ini.
EZY

Categories
NASIONAL

Sekolah tutup jika suhu lebih 37 darjah celcius lebih 72 jam

PUTRAJAYA, 18 MAC: Jawatankuasa khas mengenai cuaca panas mengeluarkan garis panduan tetap mengenai pelan tindakan menangani gelombang haba merangkumi tiga peringkat amaran yang berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata ia melibatkan semua pihak berkaitan termasuk tindakan oleh Kementerian Pendidikan untuk menutup sekolah di sesuatu kawasan jika suhu melebihi 37 darjah celcius selama lebih 72 jam, iaitu dalam amaran peringkat kedua.

Suhu-panas-eksterm-416x250Beliau berkata ‘Kecemasan Gelombang Haba’ pula akan diisytihar di sesuatu kawasan jika suhu meningkat melebihi 40 darjah celcius selama atau lebih tujuh hari.

“Bagaimanapun, pelan tindakan bagi menghadapi situasi buruk seperti itu akan diperhalusi oleh jawatankuasa teknikal melibatkan semua kementerian dan agensi terlibat pada Isnin depan,” katanya dipetik BERNAMA.

Beliau berkata pada amaran peringkat pertama, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan mengeluarkan amaran gelombang haba jika suhu sesuatu kawasan melebihi 37 darjah celcius selama 72 jam.

“Kementerian Pendidikan seterusnya boleh mengeluarkan arahan untuk menghentikan aktiviti pelajar di luar kelas seperti aktiviti kokurikulum, perhimpunan, perkhemahan dan sebagainya,” katanya.

Wan Junaidi berkata pada peringkat itu, nasihat akan turut dikeluarkan kepada orang ramai untuk mengehadkan aktiviti luar terutama bagi warga emas dan kanak-kanak, menghentikan segala aktiviti sukan di tempat terbuka, nasihat keselamatan pekerja dan nasihat berkaitan masalah strok haba.

Beliau berkata amaran peringkat kedua pula dikeluarkan jika suhu melebihi 37 darjah celcius selama lebih 72 jam dan peningkatan suhu berterusan yang merangkumi arahan penutupan sekolah.

“Pada peringkat ini, jawatankuasa khas akan bermesyurat untuk bincang tindakan kecemasan) bagi menangani cuaca panas melampau yang berpanjangan dan impak kepada pelbagai sektor,” katanya.

Wan Junaidi berkata ramalan Jabatan Meteorologi cuaca panas dan kering yang dialami akibat fenomena El-Nino ketika ini dijangka berakhir pada Mei atau Jun.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Persiapkan diri hadapi fenomena panas melampau

OLEH : DR DAROYAH ALWI

Negara hari ini dikejutkan dengan kehadiran fenomena iklim apabila matahari berada tepat di atas garisan khatulistiwa yang mengakibatkan cuaca panas ekstrem dan diramal akan berlaku sehingga 20 Mac nanti.

Fenomena iklim yang dikenali ‘Equinok’ bakal mengakibatkan peningkatan suhu panas yang mampu memberi tekanan fizikal kepada tubuh badan dan kesihatan manusia termasuk menyebabkan kematian seperti strok haba.

Suhu-panas-eksterm-416x250Dalam cuaca panas sebegini, tiada siapa yang terlepas dari risiko menjadi mangsa strok haba. Walau bagaimanapun, mereka yang terlibat dengan aktiviti luar dan terdedah lebih lama dalam cuaca panas adalah lebih berisiko.

Oleh yang demikian, kita semua dinasihatkan agar meminum air kosong dalam kadar yang banyak tanpa menunggu rasa dahaga dan tanpa mengira tahap aktiviti fizikal yang kita lakukan.

Pengambilan minuman yang mengandungi alkohol dan kafein akan menyebabkan badan kita lebih cepat terhidrasi. Kita juga disarankan untuk meminum minuman isotonik kerana ini boleh menggantikan garam dan mineral yang hilang akibat berpeluh.

Dalam masa terdekat ini terutamanya cuti sekolah, ibu bapa perlulah memantau aktiviti anak-anak mereka, kurangkan melakukan aktiviti di luar dan dapatkan rehat yang secukupnya. Bagi menyejukkan tubuh, sentiasalah menggunakan kipas angin dan penghawa dingin serta mandi.

Jika terpaksa melakukan aktiviti di luar, pastikan kita memakai pakaian yang bersesuaian, tidak ketat dan berwarna cerah. Penggunaan topi dan payung juga dapat mengurangkan risiko.

Walaupun diramalkan panas sampai ke petang, kita berharap dan berdoa agar turunnya hujan di tengahari agar dapat menyejukkan cuaca dan suhu seharian.

Dalam situasi sekarang, kita hendaklah sentiasa bersedia dan menjaga kesihatan diri dan keluarga.

Keadaan cuaca panas yang dirasai adalah disebabkan oleh keadaan cuaca kering, tiada hujan yang turun dalam tempoh yang panjang dan kesan fenomena El Nino yang kuat. Fenomena ini bukan baru dan ia akan dirasai setiap tahun iaitu setiap bulan Mac dan September

Walaubagaimanapun, dimaklumkan pada penghujung bulan Mac 2016 fenomena ini dijangka berkurangan berikutan musim peralihan yang akan membawa lebih banyak hujan dan ribut petir pada lewat petang.
*DR DAROYAH ALWI adalah Exco Kesihatan Negeri Selangor.

Categories
SELANGOR

Musim panas: Jaga kesihatan, hadkan aktiviti luar elak mudarat

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 23 FEB: Masyarakat diseru mengambil langkah berjaga-jaga berdepan Fenomena Ekuinoks yang dijangka melanda negara menjelang minggu hadapan.

Exco Kesihatan, Dr Daroyah Alwi berkata musim panas melampau itu mampu memberi tekanan fizikal kepada tubuh badan manusia termasuk menyebabkan kematian akibat serangan strok haba.

Suhu-panas-eksterm-416x250“Kekurangan air dalam badan akibat musim panas adalah paling bahaya kerana perubahan kandungan garam galian dalam badan boleh menyebabkan strok haba.

“Masyarakat dinasihatkan untuk banyakan pengambilan air dan hadkan aktiviti luar yang terdedah terus kepada cuaca panas,” katanya kepada Selangor Kini.

Fenomena Ekuinoks adalah cuaca panas melampau yang dijangka bermula minggu depan sehingga awal April, terjadi ekoran kedudukan matahari berada tepat di atas garisan khatulistiwa.

Fenomena cuaca panas ini menjurus kepada peningkatan suhu antara satu hingga dua darjah Celcius.

Suhu di Malaysia ketika ini ialah sekitar 33 hingga 35 darjah Celcius.

Mengulas lanjut, Daroyah berkata semua orang berpotensi menjadi mangsa tetapi terdapat kumpulan yang lebih berisiko terkesan dengan perubahan iklim tersebut.

daroyah“Selain orang normal yang terdedah dengan aktiviti fizikal diluar, warga emas, kanak-kanak serta pesakit darah tinggi, kencing manis, buah pinggang antara juga antara kumpulan yang berisiko tinggi,” katanya.

Daroyah turut mengesa semua sekolah di Selangor mengambil cakna perubahan cuaca ini dengan menghadkan aktiviti pelajar di kawasan terdedah panas.

“Sekolah diharap lebih prihatin kepada pelajar, perhimpunan mingguan buatlah di kawasan yang berbumbung, jangan jemur mereka di bawah panas.

“Begitu juga bagi pendidikan jasmani, pilih sukan yang tidak terdedah kepada panas,” katanya.

Menjelang cuti persekolah pada pertengahan Mac ini, Daroyah turut mengesa ibu bapa merancang percutian dan aktiviti anak-anak semasa cuti sekolah agar terhindar dari ancaman cuaca panas.

EZY