Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Belanjawan 2021: MB minta rakyat kemuka pandangan

SHAH ALAM, 9 SEPT: Rakyat diminta mengemuka idea dan pandangan berhubung belanjawan tahun depan menerusi portal amirudinshari.com/selangor2021 untuk penilaian dan pertimbangan.

Dato’ Menteri Besar berkata beliau mahu Belanjawan Selangor 2021 bersifat lebih menyeluruh apabila pandangan rakyat turut dilibatkan.

“Belanjawan umpama reaktor bagi sesebuah negeri mahupun negara itu merencanakan masa depan kerana pembentukan polisi ekonomi berkait rapat dengan hala tuju belanjawan.

“Oleh itu, saya menjemput setiap warga Selangor untuk turut serta membangunkan Belanjawan Selangor 2021 ini supaya sifatnya lebih inklusif serta menyeluruh,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook, malam tadi.

Isnin lalu, Kerajaan Negeri menganjurkan Dialog Belanjawan Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City yang turut melibatkan ahli mesyuarat kerajaan negeri.

Mengulas mengenai dialog berkenaan, Amirudin berkata semua peserta berbincang dan ‘memerah otak’ bagi mendapatkan formula terbaik khususnya ketika berdepan cabaran ekonomi pasca Covid-19.

“Belanjawan Selangor 2021 merangkumi lima tonggak utama iaitu pertama membabitkan pertanian, pelancongan dan agro pelancongan. Kedua mengenai kesihatan awam dan bandar berdaya huni.

“Sementara ketiga adalah usahawan mikro, digitalisasi dan kemiskinan bandar serta keempat penciptaan kekayaan dan kelima ialah industri kreatif.”

Categories
PBT SELANGOR

Draf RKK Bandar Malawati: Orang awam diminta beri pandangan

KUALA SELANGOR, 4 OGOS: Orang awam diminta memberi pandangan berhubung Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bandar Malawati Kuala Selangor 2025 yang dilancarkan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata konsep perancangan bersama dan mesra rakyat membantu Kerajaan Negeri serta pihak berkuasa tempatan mendapat keputusan lebih cepat dan tepat.

“Kerjasama ini akan membentuk persekitaran pembangunan yang lebih sistematik dan berkesan, malah persekitaran yang mampan dan kehidupan penduduk lebih selesa dan berkualiti dapat dicapai.

“Justeru, saya menyeru agar semua penduduk di bandar Kuala Selangor dapat memanfaatkan peluang semasa tempoh publisiti ini dijalankan, anda boleh mengemukakan bantahan atau cadangan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian di Dataran Malawati, hari ini.

Amirudin menjelaskan orang ramai mempunyai tempoh sehingga akhir Ogos ini untuk berbuat demikian dan mereka boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai projek itu menerusi laman web rasmi MDKS atau memuat naik aplikasi RKKBMKS di Google Play.