Categories
AGENDA NASIONAL

Polis panggil empat individu langgar SOP majlis berbuka puasa

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Polis telah memanggil empat individu untuk memberi keterangan berhubung isu pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada majlis berbuka puasa di sebuah hotel, Khamis lepas.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata mereka yang dipanggil setakat ini ialah tiga orang daripada pihak penganjur dan seorang daripada pihak pengurusan hotel.

“Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 21a Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (no. 4) 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Zainal berkata kesemua yang terlibat akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi keterangan dalam masa terdekat, dan kertas siasatan akan diserahkan ke Pejabat Pendakwa Raya apabila siasatan telah selesai dijalankan.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03- 2115 9999, IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Baru-baru ini tular di media sosial sekumpulan individu termasuk selebriti popular berbuka puasa di sebuah hotel tanpa penjarakan fizikal.

– BERNAMA