Categories
SELANGOR

Umpama helang, MB ‘tawan’ Jugra

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 12 APR: Teruja dan menakjubkan! Itu ungkapan yang disifatkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari selepas membuat pendaratan luncur udara atau paragliding di Bukit Jugra, petang tadi.

Beliau ketika ditemui dilihat sangat bersemangat dan yakin biarpun kali pertama melakukan sukan ekstrem berkenaan.

Tanpa rasa takut, Amirudin diterbangkan juruterbang, Mohd Fahrol Jamaluddin dengan ketinggian 120 meter dari paras laut.

Amirudin berkata, pengalaman meluncur di udara itu sangat berharga dan menarik untuk merakamkan keindahan alam semula jadi sesuai untuk bersantai sambil menghirup udara segar.

Katanya, pengalaman terbang selama 10 minit di sekitar Bukit Jugra, mampu memberi perspektif baharu kepada sesiapa yang pertama kali mencuba aktiviti berkenaan.

Beliau bertuah kerana berpeluang melihat sendiri keindahan Kuala Langat khususnya Jugra.

“Saya sangat gembira dan begitu teruja dengan pengalaman ini, insyallah selepas ini saya akan mencubanya lagi.

“Kali ini rasa selamat kerana ada juruterbang bersama, belum mencuba seorang diri, namun kita faham untuk terbang sendirian memerlukan kemahiran dan latihan yang tinggi,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas usaha Kerajaan Negeri untuk terus memperkenalkan sukan lasak di kawasan berkenaan, Amirudin berkata, ia termasuk dalam gugusan eko pelancongan dan pelan menyeluruh akan dirangka supaya ia terkenal di seluruh dunia.

Katanya, pihaknya percaya Majlis Daerah Kuala Langat mempunyai rancangan untuk menaiktaraf insfrastruktur dan kemudahan sedia ada selain mempertingkatkan pembangunan sukan itu.

“Ini termasuk menyediakan kawasan pendaratan yang lebih baik selain meletakkan aktiviti itu dalam kalendar Tourism Selangor dengan penganjuran pertandingan atau aktiviti yang berkualiti.

“Bukit Jugra adalah salah satu kawasan yang menyediakan aktiviti paragliding ini, sudah tentu ia akan menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara,” katanya.

Bukit Jugra dibuka pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Samad yang memerintah negeri Selangor dari 1859 hingga 1898.

Ia adalah kawasan strategik kerana berhampiran dengan laut, menghadap perairan Selat Melaka.

Bukit Jugra berasal dari sebuah perkampungan kecil Melayu bernama Tanjung Kera.

 

 

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)

 

Categories
SELANGOR

Paragliding Bukit Jugra dinaik taraf bertaraf antarabangsa

Oleh: NAEEM RAFFI

BANTING, 20 JUL: Pusat Paragliding Bukit Jugra antara kemudahan sukan yang tersenarai untuk dinaik taraf dalam perancangan jangka panjang, kata Exco Sukan, Amirudin Shari.

Katanya, sukan lasak itu berpotensi besar untuk dibangunkan memandangkan ia pernah dipertandingkan dalam kejohanan Sukan Asia Tenggara (SEA) di Indonesia, 2011 lalu.

paragliding1“Sudah sampai masanya, Kerajaan Negeri meneliti semula dalam perancangan tahun depan untuk menambahbaik kemudahan sukan ini.

“Kita juga akan bekerjasama dengan pelbagai pihak berkaitan dalam kempen memakmurkan sukan ini kepada masyarakat,” katanya kepada Selangor Kini.

Pusat Paragliding Bukit Jugra adalah lokasi tunggal di Selangor dalam penganjuran aktiviti paragliding dan tersenarai dalam peta dunia sejak Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menganjurkan beberapa siri kejohanan bertaraf antarbangsa sejak 2006.

Kejayaan menganjur beberapa siri kejohanan bertaraf antarbangsa pada 2006, 2007 dan 2008, MDKL diberi kepercayaan menganjurkan Paragliding Accuracy World Cup (PGAWC) Jugra pada 2009.

Bagi 2014, kejohanan ini ditukar kepada Jugra Paragliding Accuracy Championship (JIPGAC) dan berterusan tahun ini.

JIPGAC 2015 yang berlangsung Mei lalu menyaksikan penglibatan 55 peserta dari Vietnam, Korea Selatan, Filipina, Jepun, Singapura, Hong Kong, Indonesia, Switzeland dan juga Malaysia berentap memburu tiga kategori dipertandingkan.

“Kita pastikan agensi terlibat memainkan peranan agar prestasi sukan ini seiring dengan negara luar yang mempunyai jaguhan ternama.

“Tidak mustahil semua ini dapat dicapai kerana kita sudah terdedah dengan beberapa kejohanan di peringkat negara dan antarabangsa,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

MDKL perlu RM500,000 naik taraf Pusat Paragliding Bukit Jugra

Oleh : NAEEM RAFFI

BANTING, 1 JUN: Kemudahan asas di Pusat Paragliding Bukit Jugra perlu dinaik taraf bagi memenuhi keperluan penganjuran sukan lasak itu di peringkat antarabangsa.

Yang Dipertua MDKL, Mohd Azhar Mohamed Ali berharap Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan peruntukan RM500,000 bagi kerja menambahbaik padang pendaratan, tandas awam dan pondok rehat.

“Saya sudah memanjangkan usaha naiktaraf prasarana pusat ini kepada Exco Pelancongan. MDKL juga membuktikan penganjuran acara ini sejak 2006 berjaya menarik ramai peserta dari luar negara, sekali gus membantu ekonomi dan pelancongan setempat.

jugra 3“Segala kemudahan ini menjamin kelancaran penganjuran program pada masa depan. Sudah tentu kita mahu menjaga imej Selangor di mata peserta dan pengunjung luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Selangor Kini selepas Majlis Penutup Jugra International Paragliding Accuracy Championship (JIPGAC) 2015, di sini, baru-baru ini.

Jugra adalah lokasi tunggal di Selangor dalam penganjuran aktiviti paragliding dan tersenarai dalam peta dunia sejak MDKL menganjurkan kejohanan bertaraf antarbangsa itu, pada 2006.

paragliding“Kita terpaksa menyewa tandas bergerak pada penganjuran kali ini. Ia perlu diberi perhatian kerana kedudukan tempat ini jauh dari kawasan bandar.

“Kerja naik taraf jalan masuk dan utama ke puncak bukit juga perlu dilakukan. Kini, kita bergantung sepenuhnya kepada ihsan Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.

JIPGAC 2015 berjaya menarik penglibatan 55 peserta dari lapan buah negara iaitu dari Vietnam, Korea Selatan, Filipina, Jepun, Singapura, Hong Kong, Indonesia, Switzeland dan Malaysia yang berkampung sepanjang tiga hari bermula 29 Mei lalu.

Majlis itu dirasmikan Exco Pelancongan, Elizabeth Wong yang turut disertai Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Lapan negara berentap di JIPGAC 2015

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 28 MEI: Lapan buah negara bakal berentap dalam pertandingan Jugra Paragliding Accuracy Championship (JIPGAC) 2015 yang akan berlangsung di Pusat Latihan Paragliding Jugra, pada 29 hingga 31 Mei ini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, 55 peserta bakal tampil dari Malaysia, Indonesia, Hong Kong, Singapura, Jepun, Filipina, Korea Selatan dan Vietnam.

Paragliding“Penyertaan tertinggi adalah dari Indonesia membabitkan 2 penyertaan 28, diikuti Malaysia seramai 15 peserta.

“Tahun ini, terdapat peningkatan 20 peserta pelbagai negara berbanding tahun lalu,”katanya dalam kenyataan media.

Mohd Azhar berkata, peserta berpeluang membawa pulang wang tunai RM3,000 dan sijil bagi pemenang kategori individu terbuka dalam kejohanan itu.

“MDKL turut menyediakan Anugerah Juruterbang Termuda sebagai pendorong dan pembakar semangat untuk generasi muda menceburkan diri dalam sukan ekstrim,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Kerajaan galak sukan paragliding pacu pelancongan

Oleh: SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 22 SEPT: Kerajaan Negeri sentiasa memberi sokongan terhadap sukan paragliding bertujuan melahirkan masyarakat cergas dan sihat dan mempromosikan pelancongan.

Exco Belia dan Sukan, Ahmad Yunus Hairi berkata, Kejohanan Paragliding Antarabangsa kali ini menjalinkan ikatan perpaduan, memperluaskan pergaulan dan memupuk interaksi sihat di kalangan pelbagai negara.

Slide9Beliau berkata, ekoran daripada pembangunan sukan paragliding ini memberikan kesan positif dengan menyumbang pendapatan kepada operator perhotelan, restoren dan homestay.

“Seramai 30 orang peserta dari Spain, Taiwan, Singapura, Indonesia dan juga Malaysia menyertai kejohanan pada kali ini.

“Kejohanan seperti ini dapat memberi peluang dan ruang kepada lebih ramai generasi muda untuk bergiat cergas di dalam bidang sukan,” katanya.

Tapak acara ini juga telah menyaksikan beberapa siri kejohanan bertaraf antarabangsa dan dunia pada tahun 2006, 2007, 2008 dan kali terakhir MDKL menganjurkan kejohanan ini adalah pada tahun 2009.

“Semua agensi kerajaan dan swasta yang terlibat agar mengekalkan kerjasama yang ada agar kemajuan pembangunan sukan paragliding ini akan terus dicapai.

“Diharap peserta dapat menimba seberapa banyak pengalaman dan membina keyakinan serta semangat juang yang tinggi melalui kejohanan ini,” katanya.

EZY