Categories
AGENDA NASIONAL

‘Saya masih lagi pengerusi’ – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Jawatan Setiausaha Kerja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tiada dalam perlembagaan parti dan tiada kuasa untuk memecat ahli, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, pemecatan beliau sebagai pengerusi parti dan empat lagi pemimpin parti semalam adalah satu perkara di luar kebiasaan dan menyifatkan keputusan itu tidak sah.

“(Jawatan) setiausaha kerja tiada dalam perlembagaan parti dan dia tidak mempunyai apa-apa kuasa pun berdasarkan perlembagaan. Dia cuma menjalankan tugas dan arahan tyang diberi oleh setiausaha.

“Tiba-tiba semalam saya dapat surat setiausaha kerja pecat saya, pengerusi boleh kena buang oleh setiausaha kerja,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat Bersatu di Menara Yayasan Selangor, di sini hari ini.

Semalam, keahlian Dr Mahathir dan empat pemimpin lagi dihentikan serta-merta kerana mereka menyertai blok pembangkang semasa sidang Parlimen baru-baru ini.

Empat lagi ialah Anggota Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) serta Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar). Dr Mahathir merupakan Anggota Parlimen Langkawi.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata beliau juga telah membuat keputusan untuk melucutkan jawatan Muhammad Suhaimi sebagai setiausaha kerja Bersatu dan digantikan dengan Datuk Sazmi Miah berkuat kuasa hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai status jawatannya di parti itu, Dr Mahathir berkata beliau masih lagi pengerusi Bersatu yang sah.

“Saya masih pengerusi kerana apabila mereka cuba mengeluarkan saya, ia tidak sah,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Keahlian Dr Mahathir, empat ahli parlimen Bersatu terhenti serta-merta

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Keahlian Tun Dr Mahathir Mohamad serta Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam parti itu terhenti berkuat kuasa serta-merta.

Turut menerima nasib yang sama ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Maszlee Malik dan Datuk Amiruddin Hamzah, serta Ketua Armada Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Surat yang ditandatangani Setiausaha Kerja Bersatu Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya berhubung perkara itu tular di media sosial hari ini.

“Dalam sidang Parlimen pada 18 Mei 2020, YB Tun juga telah menyertai dan duduk di blok pembangkang.

“Maka, dengan ini dimaklumkan bahawa menurut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, keahlian YB Tun dalam Bersatu adalah terhenti serta-merta,” menurut surat itu.

Surat itu juga menyatakan kelima-lima ahli Parlimen berkenaan duduk di blok yang tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Presiden/Pemangku Pengerusi Bersatu pada sidang Dewan Rakyat lepas.

Sementara itu, Syed Saddiq gagal dihubungi bagi mengesahkan tentang surat tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perhimpunan Agung, Pemilihan BERSATU pada 20 Jun 2020

PUTRAJAYA, 29 OGOS: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan mengadakan Mesyuarat dan Perhimpunan Agung tahunan serentak dengan pemilihan parti pada 20 Jun tahun depan, kata Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, di peringkat cawangan pula, persidangan dan pemilihan akan diadakan mulai 25 Januari hingga 1 Mac manakala di peringkat bahagian pula pada 4 April depan.

Dr Mahathir yang juga perdana menteri berkata, BERSATU melantik Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar sebagai pengerusi jawatankuasa pemilihan.

“Mereka yang akan hadir (ke Perhimpunan Agung adalah) mereka yang membayar yuran. Kita akan kutip yuran untuk dua tahun kali ini pasal tahun sudah kita tidak kutip yuran.

“Setiap orang mesti membayar RM4 sahaja. Sangat murah,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Tertinggi BERSATU, di sini, hari ini.

Dr Mahathir dalam pada itu berkata, parti akan mengambil tindakan displin terhadap ahli yang membuat kenyataan yang boleh merosakkan imej parti.

“Perlu ada disiplin dalam parti khususnya ahli-ahli dalam majlis presiden dan majlis tertinggi, iaitu mereka yang ada dalam parti dan pegang jawatan, mereka perlu berhati-hati bila membuat pengumuman.

“Kalau mereka membuat pengumuman yang merosakkan imej parti, maka tindakan akan diambil terhadap mereka dan ini diputuskan berkenaan dengan unjuran kononnya parti Pakatan Harapan akan kalah (pada pilihan raya akan datang),” katanya.

Dr Mahathir berkata, BERSATU juga tidak pernah melantik ketua strategik parti.

“Berkenaan orang yang mengaku dirinya ketua strategik, tidak pernah ada. Itu bukan lantikan secara rasmi oleh parti kita, itu gelaran yang diberi oleh diri sendirilah kot,” katanya.

Beliau berkata, ada pimpinan dalam parti yang sedang dalam pemerhatian dan tindakan akan diambil sekiranya mereka membuat kenyataan yang merosakkan parti.

“Ulasan (berkenaan parti) boleh tapi jangan kata parti ni nak kalah. Semua tu rosak imej parti,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas ahli UMNO jadi wakil rakyat bebas diterima BERSATU

PUTRAJAYA, 29 OGOS: Ahli UMNO yang keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas kini boleh menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), kata Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun Perdana Menteri berkata, hanya bekas ahli UMNO yang tidak mempunyai masalah, umpamanya kes di mahkamah sahaja yang boleh diterima.

“Yang lain, yang tidak terlibat, mereka akan diterima,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pimpinan tertinggi BERSATU di sini, hari ini.

Semasa ditanya mengenai jumlah bekas ahli UMNO yang telah menyertai BERSATU, Dr Mahathir berkata tiada anggaran yang dapat diberikan setakat ini.

“Di Sabah hampir semua (anggota BERSATU) adalah bekas UMNO. Di Semenanjung, beberapa ahli terutama Ahli Dewan Rakyat dan dewan undangan negeri telah menyertai BERSATU,” katanya.

Ditanya jika ada bekas ahli UMNO yang menyertai Bersatu akan bertanding dalam pemilihan parti, Dr Mahathir berkata pada waktu ini belum ada.

Sementara itu, Dr Mahathir berharap pihak berkuasa mengambil kira banyak kesalahan yang dilakukan UMNO pada masa ini.

Menurutnya, ketika beliau menjadi Presiden UMNO dahulu, tiga cawangan tidak mengadakan mesyuarat parti telah diharamkan.

Bersatu turut diharamkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 tahun lepas tetapi UMNO yang banyak kesalahan masih diterima dan tidak dibatal pendaftarannya, katanya.

“Saya bukan mendesak sesiapa tapi hanya menyuarakan pendapat yang dibangkitkan dalam mesyuarat,” katanya.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bersatu ke Sabah beri sokongan penuh kepada Warisan

PETALING JAYA, 4 APR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memberi sepenuh sokongan kepada Kerajaan Sabah pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu itu menegaskan kehadiran Bersatu di Sabah bukan bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada dan merebut mana-mana jawatan.

“Kita pergi ke Sabah untuk mengadakan parti Bersatu di Sabah dan parti Bersatu ini bukan bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada (di sana),sebaliknya kita akan sokong sepenuhnya kerajaan Warisan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di sini, semalam.

Dr Mahathir turut mengakui menjelang majlis pelancaran parti itu di Sabah Sabtu ini, ada cubaan pihak tertentu mengambil kesempatan melaga-lagakan Bersatu dan Warisan.

“Ada pihak-pihak yang mungkin tidak setuju dengan parti Warisan yang akan cuba mempengaruhi keadaan parti Bersatu untuk diperalatkan bagi menentang kerajaan Warisan,” katanya.

Dr Mahathir, bagaimanapun, berkata pihak berkenaan tidak akan diambil menjadi anggota Bersatu.

“Mereka itu tak payahlah nak suruh masuk jadi ahli Bersatu kerana parti Bersatu ini berpendirian untuk sokong kerajaan Warisan di Sabah, kita beri pengakuan tentang perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata Bersatu akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada Mei ini bagi membolehkan perlembagaan parti itu dipinda.

Katanya, pindaan itu membabitkan antara lain cara mengurus parti di peringkat cawangan, bahagian dan ibu pejabat.

Sementara itu, Dr Mahathir menegaskan sekali lagi Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil alih jawatan perdana menteri selepas beliau berundur.

Mengulas dakwaan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, bahawa beliau (Dr Mahathir) tidak mahu Anwar menggantikannya sebagai perdana menteri, Dr Mahathir berkata: “Dia ada hak untuk buat pendapat dia, tetapi saya dah buat kenyataan bahawa apabila saya berhenti, maka Anwar akan ambil alih.”

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bersatu yakin raih undi Melayu Umno

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 1 MEI: Media kawalan Umno-Barisan Nasional (BN) dibidas ekoran sengaja memberi gambaran salah berkaitan sambutan masyarakat Melayu terhadap perjumpaan anjuran Pakatan Harapan (Pakatan).

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sebaliknya sambutan diterima sangat menggalakkan dengan kehadiran pada perjumpaan Pakatan mampu mencecah 12,000 hingga ke 15,000 hadirin.

“Kalau kita mengikuti kehadiran Melayu dalam perjumpaan yang diadakan Pakatan jumlah mereka begitu besar sehingga meningkat kepada 12,000 hingga 15,000 walaupun mengikut ‘tv tiga suku’ cuma 200 sahaja, tetapi itu kerana mereka tak boleh bilang.

MAHATHIR BERSATU“Kita nampak ramai Melayu yang keluar dan kita dapati ramai antara mereka itu terdiri daripada ahli Umno. Jadi nampaknya ahli Umno juga berminat dengan kita sebab itulah kita yakin kita boleh menang,” katanya.

Mahathir berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan di Ibu Pejabat Bersatu, Bangunan Yayasan Selangor, di sini, semalam.

Sementara itu ketika menjawab satu soalan, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan berita ahli Bersatu keluar parti seperti disiarkan media kawalan Umno sebagai perkara biasa sebelum menjelang pilihan raya.

MUHYIDDIN BERSATUJelasnya, realitinya, jumlah keahlian anggota baru Bersatu terus meningkat setiap hari sehingga sudah mencecah ribuan orang.