Categories
KENYATAAN MEDIA

Berapa ramai lagi PATI dapat kad UNHCR palsu?

OLEH SANDREA NG

Saya ingin meluahkan rasa bimbang mengenai ramai pelarian Rohingya menggunakan khidmat ‘orang tengah’ bagi mendapatkan kad identiti rasmi daripada Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) seperti yang dilaporkan.

Mereka dikatakan bertindak demikian kerana prosiding untuk mendapatkan kad tersebut terlalu lama sehinggga lima tahun,malah tidak kisah membayar sejumlah wang lebih kurang RM2500 kepada agen tersebut.

Perkara sebegini yang menyebabkan peningkatan jumlah pelarian saban tahun. Berdasarkan statistik, seramai 150,600 pelarian telah berdaftar dengan UNHCR di Malaysia pada akhir April tahun ini, berbanding akhir tahun lalu dengan jumlah pelarian 149,500.

Saya juga ingin bertanya berapa ramai dalam kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang kini ada memegang kad UNHCR palsu ini?

Saya yakin bukan hanya pelarian sahaja yang memohon tetapi pendatang tanpa izin seperti dari Bangladesh juga pasti mengambil kesempatan diatas suaka ini.

Walaupun UNHCR menafikan ada pihak ketiga yang dikatakan terlibat mempercepatkan pengurusan kad itu, namun pengkaji etnik Rohingya di Institut Asia Eropah dari Universiti Malaya, Azlinariah Abdullah sendiri tidak menolak dakwaan wujud ‘orang tengah’ itu kerana ada pengakuan daripada pelarian Rohingya sendiri.

Prosiding yang terlalu lama sebegini telah menyebabkan secara tidak langsung gejala ‘rasuah’ berlaku. Saya khuatir kemunculan kad palsu ini akan menimbulkan risiko negara diporak-perandakan oleh sindiket jenayah dan pedagang pemerdagangan manusia.

Perkara ini perlu perhatian yang serius oleh pihak berkuasa kerana sekiranya tidak bertindak segera, pelbagai masalah lagi yang akan timbul di masa akan datang dan memberi kesan kepada rakyat juga negara.

*Sandrea Ng adalah Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN Perak

Categories
KENYATAAN MEDIA

PATI: Bukan sekadar usir tetapi pastikan tidak kembali

OLEH DATIN PADUKA DR TAN YEE KEW

Merujuk kenyataan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata lebih 23,000 warga asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melakukan pelbagai kesalahan telah diusir ke negara asal dalam tempoh 1 Januari hingga 29 Mei tahun ini.

Katanya, daripada jumlah itu, warga Indonesia dan Bangladesh adalah yang tertinggi diusir iaitu masing-masing 6,849 orang dan 4,020 orang.

Saya menghargai tindakan pihak berkuasa dalam tindakan di atas. Tetapi perkara yang lebih penting ialah memastikan PATI yang diusir tidak sewenang-wenangnya kembali secara mudah ke dalam negara ini.

Ini kerana jika perkara ini tidak dihalang pihak PATI akan kembali mengulangi aktiviti jenayah sebelum ini seperti pelacuran dan rumah urut yang dilihat antara kes jenayah tertinggi membabitkan warga asing.

Selain itu, keadaan ini juga berlaku kerana kebanyakkan PATI melanggar syarat pas lawatan dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan sehingga melakukan perbuatan jenayah yang tertakluk di bawah bidang kuasa serta tindakan pihak polis seperti meragut, menculik atau membunuh.

tan yee kewDengan lambakan PATI ini juga akan memberi impak terhadap masyarakat Malaysia bukan sahaja daripada segi ekonomi malah melibatkan masalah sosial.

Makin ramai kemasukkan PATI ke negara ini juga menyebabkan peluang warga belia mendapatkan pekerjaan terjejas kerana majikan akan mengambil PATI bekerja atas faktor kos upah yang rendah.

Selain itu, PATI yang terlibat dengan jenayah ini juga akan menjadi beban kepada pihak berkuasa untuk tangani.

Hakikatnya, kenaikan kadar jenayah di Malaysia dewasa ini memang ada kaitan dengan kebanjiran warga asing.

Penglibatan mereka dalam jenayah kekerasan kebelakangan ini juga amat membimbangkan.

Untuk rekod, pada Januari hingga Ogos 2014 sebanyak 167 atau 49.4 peratus daripada 338 kes bunuh dilakukan warga asing.

Jumlah itu meningkat daripada 66 (11 peratus) daripada keseluruhan 602 kes bunuh dilakukan warga asing pada tahun 2012.

PATISelain jenayah bunuh, ada sesetengah warga asing yang bekerja atau belajar di negara ini turut dilaporkan terlibat dalam jenayah samun, rogol dan ragut.

Menurut perangkaan, jumlah sebenar pekerja asing berdaftar dan tidak berdaftar adalah meningkat sekitar 6 juta setakat tahun 2016.

Dengan trend pertambahan pengambilan pekerja asing ini akan menyebabkan kerajaan tidak dapat mengawal secara menyeluruh masalah ini.

Kerajaan harus menyemak semula cadangan untuk menambah pengambilan pekerja asing ini agar kebanjiran mereka ini dapat dikurangkan dan memberi jaminan akan keselamatan masyarakat di negara ini.

*Dr Tan Yee Kew adalah Bendahari Agung KEADILAN

Categories
NASIONAL

Lebih 23,000 warga asing, PATI diusir sehingga Mei

PUTRAJAYA, 1 JUN: Lebih 23,000 warga asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melakukan pelbagai kesalahan diusir ke negara asal dalam tempoh 1 Januari hingga 29 Mei tahun ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, bilangan itu termasuk banduan asing yang tamat menjalani hukuman penjara atas kesalahan dilakukan.

Katanya, daripada jumlah itu, warga Indonesia dan Bangladesh adalah yang tertinggi diusir iaitu masing-masing 6,849 orang dan 4,020 orang.

“Dalam hal undang-undang, kami bertegas tanpa mengira kecil atau besar kesalahan dilakukan.

“Ia termasuk kesalahan ‘paling ringan’ seperti melanggar syarat pas lawatan dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan sehingga melakukan perbuatan jenayah yang tertakluk di bawah bidang kuasa serta tindakan pihak polis seperti meragut, menculik atau membunuh,” katanya lapor BERNAMA.

Mustafar berkata, kegiatan tidak bermoral seperti pelacuran dan rumah urut juga antara kes jenayah tertinggi membabitkan warga asing.

Beliau berkata, kebanyakan kegiatan tidak bermoral itu berlindung di sebalik perniagaan spa dan refleksologi.

“Kami secara berterusan melakukan operasi pembanterasan kerana penglibatan PATI dalam kegiatan tidak bermoral adalah tidak dibenarkan di negara ini,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Imigresen dan MCPF akan menjalin kerjasama strategik dala usaha mengenal pasti langkah terbaik untuk menangani masalah jenayah berkaitan warga asing.

Categories
NASIONAL

Maritim Klang tahan 23 Pati

SHAH ALAM, 2 FEB: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Daerah Maritim 4 Klang menahan 23 pendatang asing tanpa izin (Pati) dalam dua operasi di perairan Selangor, semalam kerana disyaki cuba menyeludup masuk ke Malaysia.

Pengarah Maritim Daerah, Kapten Maritim Mohd Rosli Abdullah berkata, tiga Pati ditahan dalam operasi pertama kira-kira jam 9.15 pagi, hasil pemeriksaan sepasukan anggota Maritim ke atas bot penumpang, 0.9 batu nautika (1.6 kilometer) dari Pulau Ketam, Klang, dekat sini.

Beliau berkata, walaupun bot penumpang yang dalam perjalanan dari Pulau Ketam ke Pelabuhan Klang itu mempunyai dokumen operasi sah, namun ketiga-tiga lelaki disyaki warga Indonesia berkenaan tiada dokumen pengenalan diri.

“Dalam operasi kedua kira-kira jam 11.15 pagi, sepasukan anggota Maritim memeriksa pula sebuah feri penumpang pada kedudukan 1.9 batu nautika (3.5 kilometer) dari Pulau Ketam.

“Feri yang dalam perjalanan ke Pelabuhan Klang itu juga mempunyai dokumen operasi sah, namun pemeriksaan mendapati 20 penumpang iaitu 15 lelaki dan lima wanita, disyaki warga Indonesia tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata, kesemua Pati berumur 21 hingga 61 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan dan pengenalan diri yang sah.

-AA-

Categories
SELANGOR

63 pendatang asing ditahan di Pasar Besar Meru

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 JUN:  Penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) menahan 63 individu disyaki Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam operasi di Kompleks Pasar Besar Meru, pada jam 3 pagi, pada 12 Jun lalu.

Operasi yang diselaraskan Jabatan Penguatkuasa MPK itu turut dibantu Jabatan Pelesenan juga Penilaian dan Pengurusan Harta mensasarkan beberapa lokasi dikenalpasti bagi membanteras peniaga warga asing.

meru 2Ia turut mendapat kerjasama beberapa agensi lain antaranya Jabatan Imigresen dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang menjalankan pemeriksaan di Blok A, B dan C, kompleks pasar terbabit.

Pengarah Jabatan Penguatkuasa MPK, Andry Arman Masrom, berkata kehadiran peniaga warga asing menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan peniaga tempatan hingga menimbulkan persaingan tidak sihat.

“Selepas pemeriksaan dokumen, seramai 17 individu ditahan dan dibawa ke Pejabat Imigresen, Pelabuhan Klang kerana tidak mempunyai dokumen yang sah.

“Antara yang ditahan adalah dua warga India, lima (Bangladesh), lapan (Myamar) dan seorang dari Kemboja serta Indonesia,” katanya dalam kenyataan.

meru 3Beliau berkata, MPK juga akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga tempatan yang mengaut untung atas angin hasil bayaran tinggi terhadap warga asing bagi membolehkan mereka menyewa tapak di pasar itu.

“MPK tidak akan berkompromi dalam menangani isu ini. MPK juga komited untuk meneruskan operasi seperti ini dari semasa ke semasa melalui pemantauan dan risikan.

“Kita juga mengalu-alukan orang ramai melaporkan sebarang aktiviti perniagaan warga asing terutama sekitar kompleks pasar pagi dan pasar malam serta kawasan perumahan masing-masing,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Dr M Adalah Orang Pertama Harus Di Siasat RCI

 

SHAH ALAM, 2 JUN : “Orang pertama yang harus di siasat dan didakwa berhubung isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.” tegas Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin (CheguBard).

Beliau berkata demikian ketika di hubungi TV Selangor berhubung cubaan kerajaaan pusat kononnya mahu menubuhkan
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendatang asing di Sabah baru-baru ini.

Katanya, Pakatan Rakyat (PR) mahu kerajaan pusat bukan sekadar menubuhkan RCI berhubung isu PATI di Sabah malah di seluruh negara sahaja sekiranya kerajaan ikhlas mahu menangani isu tersebut secara telus.

Gesaan itu disifatkan wajar kerana isu pendatang asing turut berlaku di kawasan-kawasan lain seluruh negara sejak sekian lama.

Menurutnya, perkara itu sudah menular sejak dari zaman pemerintahan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertanggungjawab membawa masuk lebih setengah juta pendatang asing ke Sabah pada era 1980’an lalu untuk menjatuhkan kerajaan PBS, pimpinan Datuk Pairin Kitingan.

“Saya menyambut baik penubuhan RCI ke arah untuk menyelesaikan atau penyiasatan terhadap isu kad pengenalan palsu yang diberikan Tun Dr Mahathir sehingga sekarang. Kerajaan kononnnya nak tunjukkan sikap prihatin mereka terhadap isu ini di Sabah.

“Dr Mahathir harus menjadi sasaran utama suruhanjaya ini kerana masalah ini sudah menular sehingga merosakkan daftar pemilih kita. RCI juga boleh ditubuhkan jika benar-benar mahu bersihkan pilihan raya untuk ambil hati pengundi,” tegasnya.

Apa yang menjadi keutamaan katanya, RCI perlu dilaksanakan secara efisyen supaya ia tidak menjadi siasatan dangkal yang akhirnya gagal membongkarkan siapa yang bersalah.

Jelasnya, ketelusan dalam melakukan siasatan adalah penting kerana ia membabitkan soal masa depan negara terutama terhadap generasi muda.

“Bagi saya jelas bahawa RCI perlu melihat apakah hasil siasatannya. Kita boleh bercakap apa sahaja malah Tun Dr Mahathir boleh menafikannya, tetapi RCI seharusnya meneliti sehingga kita boleh membongkarkan siapa sebenarnya yang terlibat serta puncanya. Mesti ada pihak yang bertanggungjawab kerana isu kad pengenalan adalah masalah yang tidak pernah selesai,” ujarnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan kerajaan bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani masalah berkaitan pendatang asing tanpa izin di Sabah.

Beliau berkata, kerajaan komited untuk menangani isu itu yang menurutnya mampu menjejaskan kesejahteraan dan keharmonian rakyat Sabah.