Categories
AGENDA NASIONAL

Kaut hasil laut, RM700 juta aset nelayan asing dirampas

PASIR PUTEH, 4 OKT: Hampir RM700 juta aset nelayan asing yang digunakan bagi mengaut hasil laut negara ini dirampas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sejak tahun 2019 hingga September lepas.

Ketua Pengarahnya Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata jumlah rampasan itu melibatkan nilai bot, lelongan hasil tangkapan, denda serta kompaun yang dilaksanakan melalui Op Naga dan Op Kuda Laut di seluruh negara.

“Menerusi Op Naga, Maritim merampas 303 bot dengan nilai rampasan berjumlah RM445 juta termasuk bot dan hasil lelongan, selain 2,000 kru bot nelayan terdiri daripada warga Vietnam dan Indonesia ditahan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan rasmi ke Pusat Tahanan Vesel Maritim Malaysia Kelantan, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Maritim Kelantan Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman.

Mohd Zubil berkata menerusi Ops Kuda Laut pula sebanyak 149 bot dirampas dengan nilai keseluruhan RM224 juta sementara 1,516 kru nelayan asing ditahan.

“Sejak penubuhan Maritim Malaysia, saya anggarkan sudah berbilion nilai rampasan melibatkan aset nelayan asing ini dilakukan. Apa yang boleh saya rumuskan 90 peratus bot yang menceroboh masuk ke perairan negara ini adalah milik nelayan Vietnam,” tambahnya.

— BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Maritim guna bom air padam kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat

SHAH ALAM, 4 MAC: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengguna pengeboman air bagi memadamkan kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan.

Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor berkata operasi yang bermula dari jam 9 pagi hingga 2.30 petang semalam menggunakan 190,000 liter air.

“Sehingga kini, sebanyak 14 hektar kawasan kebakaran berjaya dipadamkan serta masih berbaki 18 hektar belum dipadamkan sepenuhnya,” kata agensi kepada SelangorKini.

UPBN menjelaskan 12 telaga tiub yang menggunakan air bawah tanah turut diaktifkan di kawasan terbabit.

“Bagi memantau lokasi berkenaan dengan lebih rapi, UPBN juga menggunakan dron untuk pemantauan dari udara.

“Sehingga kini lebih 190 anggota iaitu antaranya UPBN Selangor, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat, Majlis Perbandaran Kuala Langat membantu dalam operasi bersepadu pemadaman kebakaran berkenaan,” katanya.

Pada Selasa lalu, dilaporkan kira-kira 34 hektar kawasan hutan simpan kekal terbabit terbakar berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata kebakaran itu meliputi 0.45 peratus daripada 7,416 hektar keseluruhan kawasan hutan.

Kebakaran itu mengakibatkan tumbuhan daripada spesies mahang, sendayan serta tanaman kontan milik petani musnah.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bomba, maritim kerjasama padam kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat

SHAH ALAM, 3 MAC: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bekerjasama memadam kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Banting yang terbakar pada Ahad lalu.

Timbalan Pengarah JBPM Selangor, Penolong Pesuruhjaya Bomba Wan Md Razali Wan Ismail berkata pihaknya memberi tumpuan kepada pemadaman di atas tanah manakala pesawat APMM membantu dari udara, lapor Harian Metro.

“Sabtu lalu, kita menggunakan helikopter untuk 12 ‘bom air’ pada sebelah pagi dan petang membabitkan dua penerbangan (sortie).

“Bermula semalam (kelmarin), pesawat Bombardier CL 415 milik APMM digunakan untuk operasi itu dan kita akan bekerjasama memadam kebakaran hingga keadaan pulih sepenuhnya,” katanya yang turut memaklumkan sebanyak 15 balai bomba dan penyelamat dikerah untuk operasi pemadaman.

Pada Ahad lalu, media melaporkan 35 hektar daripada kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Banting terbakar.

Categories
NASIONAL

Bawa lebih muatan, dua bot penumpang ditahan

SEREMBAN, 30 JUN: Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan menahan dua bot penumpang atas pelbagai kesalahan, di kedudukan 0.1 dan 0.7 batu nautika barat Pantai Telok Kemang, Port Dickson kira-kira 4 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Amran Daud berkata penahanan dua bot penumpang terbabit dilakukan anggota Maritim Malaysia yang membuat rondaan di sekitar perairan Negeri Sembilan dalam satu rutin operasi harian.

“Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas kedua-dua bot mendapati, sebuah bot telah menjalankan operasi dengan lesen yang tamat tempoh manakala sebuah lagi bot membawa penumpang lebih muatan. Kedua-dua tekong serta dua bot ditahan dan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau juga berkata, sepanjang tahun 2019 Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan telah membuat lima tangkapan ke atas bot penumpang atas pelbagai kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Justeru beliau menasihatkan pengusaha-pengusaha bot penumpang tidak mementingkan keuntungan semata-mata dengan mengabaikan aspek keselamatan ketika membawa pelancong bagi mengelakkan sebarang kecelakaan berlaku.

Beliau menegaskan pihaknya sedang meningkatkan operasi penguatkuasaan seumpama ini bagi memastikan keselamatan orang awam diutamakan di perairan Melaka dan Negeri Sembilan, dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat jenayah dan kecemasan di laut di talian Pusat Operasi Maritim 06-3876730 dan 999 yang beroperasi secara 24 jam.

—BERNAMA

Categories
NASIONAL

Maritim Malaysia tingkat rondaan, operasi musim perayaan

 

KOTA KINABALU, 3 Jun : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah akan terus mempertingkatkan rondaan dan operasi pada musim perayaan ini bagi memastikan tahap keselamatan perairan negara khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) berada dalam keadaan terkawal.

Pengarah Maritim Malaysia Sabah, Laksamana Muda (M) Kamaruszaman Abu Hassan berkata fokus utama operasi adalah untuk membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) sekali gus mencegah aktiviti penyeludupan barangan terkawal ke negara jiran terutama menjelang sambutan Aidilfitri.

“Penguatkuasaan dan rondaan semestinya dipertingkatkan bagi membendung aktiviti jenayah di laut. Oleh itu, aset-aset sedia ada akan diatur gerak bagi melaksanakan operasi tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kamaruszaman berkata Maritim Malaysia Sabah juga akan terus melakukan rondaan dan penguatkuasaan bagi mengekang kemasukan PATI, penyeludupan barang-barang terkawal dan aktiviti menyalahi undang-undang perairan di Sabah.

Dalam pada itu, Kamaruszaman turut mengingatkan komuniti maritim yang menggunakan jalan laut untuk berhari raya ke rumah saudara mara dan rakan taulan di pulau-pulau untuk menjaga keselamatan dengan memastikan mereka menggunakan jaket keselamatan serta membawa alat keselamatan semasa di laut.

Komuniti maritim dan orang awam juga boleh melaporkan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang dengan menghubungi talian kecemasan MERS 999 atau pihak Maritim Malaysia Sabah di talian 088-270165 atau 088-270107, katanya. -BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Ops SAR: Dua mayat dipercayai nelayan hilang ditemui

JOHOR BAHRU, 26 MEI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua nelayan yang dilapor hilang di perairan Pulau Pisang, dekat Pontian, menemukan dua mayat dipercayai kedua-dua mereka, hari ini.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, mayat pertama ditemukan terapung di kedudukan kira-kira 1 batu nautika barat daya Tanjung Laboh, Batu Pahat, pada 8.15 pagi tadi manakala mayat kedua ditemui terapung kira-kira 1 batu nautika barat daya Sungai Tampok, Benut, dekat Pontian, pada 9.50 pagi.

“Mayat pertama ditemukan pasukan SAR dari Zon Maritim Batu Pahat lebih kurang 23.5 batu nautika arah barat laut dari lokasi mangsa dipercayai hilang.

“Mayat kedua pula ditemukan nelayan tempatan yang turut serta dalam pencarian, lebih kurang tujuh batu nautika barat laut dari lokasi mangsa dipercayai hilang,” kata Aminuddin menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mayat pertama dihantar ke Hospital Batu Pahat manakala mayat kedua pula ke Hospital Pontian bagi proses pengecaman serta pengesahan oleh pihak keluarga masing-masing.

Khamis lepas, kedua-kedua nelayan, Mohd Yusni Mohd Yusof, 43, dan sepupunya, Mohd Khair Ismail, 38, pergi ke perairan Pulau Pisang tersebut untuk menjaring ikan danj tidak pulang semula ke rumah masing-masing.

Keluarga mereka yang bimbang dengan keadaan tersebut membuat laporan polis keesokan harinya, sebelum operasi SAR digerakkan melibatkan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM), bomba, Pasukan Polis Marin dan nelayan setempat.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

PATI menyorok dalam hutan untuk balik raya dicekup

LUMUT, 24 Mei: Sanggup menyorok di dalam hutan selama tiga hari untuk balik ke kampung halaman, namun kecekapan pasukan penguatkuasa, akhirnya dapat mengesan dan menahan 74 pendatang tanpa izin Indonesia berjaya ditangkap.

Kesemua pendatang tanpa izin terdiri daripada 57 lelaki dewasa, 15 perempuan dewasa serta dua kanak-kanak lelaki, yang kesemuanya berumur antara 11 bulan hingga 53 tahun itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kira-kira 23 batu nautika selatan Pulau Jarak, dekat sini kira-kira pukul 1.50 petang semalam.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata bot dinaiki pendatang tanpa izin itu dikesan Kapal Maritim (KM) Marlin yang diketuai Pegawai Memerintah Wanita Pertama Maritim Malaysia Leftenan Maritim Aida Arzahari.

“Warga asing itu dipercayai sudah menunggu lebih awal di kawasan paya bakau di Hutan Melintang sebelum bot tiba untuk membawa mereka ke Pelabuhan Tanjung Balai, Indonesia, dan ketika ditahan bot baru sahaja belayar enam jam,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Wan Mat berkata semasa dipintas, seorang tekong dan dua kru bot terjun ke laut untuk melarikan diri sehingga memaksa KM Marlin membuat pencarian mangsa, namun kedua-duanya gagal ditemui dan operasi mencari dan menyelamat diteruskan hari ini.

“Pemeriksaan awal mendapati kesemua pendatang tanpa izin itu bersembunyi dalam petak-petak bot yang dijadikan tempat persembunyian semasa pelayaran,” katanya.

Wan Mat berkata hasil maklumat mendapati kesemua pendatang tanpa izin tersebut datang dari Perak, Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kuala Lumpur dan dengan bayaran untuk balik ke kampung halaman sebanyak RM1,000 hingga RM1,500 seorang.

“Kita juga mengesyaki bot tersebut diuruskan sindiket warga tempatan, dan juga warga Indonesia yang menetap di negara ini,” katanya.

Katanya, bot pendatang tanpa izin itu dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Kampung Bharu, Sitiawan dan kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.

Sementara itu, seorang pendatang tanpa izi, Jefri Irawan, 31, berkata dia terpaksa menggunakan ‘laluan belakang’ tersebut selepas ditipu ejen yang menguruskan pasportnya beberapa bulan lalu.

Jefri yang berasal dari Tanjung Balai berkata dia kemudian mengikut rakannya untuk menggunakan laluan tersebut dengan bayaran RM1,000 yang dikumpulnya hasil bekerja sebagai pencuci di Petaling Jaya.

“Sedihlah sepatutnya kami sampai ke Indonesia awal pagi tadi, dan saya telah berjanji dengan ibu saya untuk pulang selepas hanya sekali pulang bersama mereka sejak bekerja dua tahun lalu,” katanya. -BERNAMA

 

Gambar Ihsan Maritim Malaysia Negeri Perak

Categories
NASIONAL

Maritim Klang tahan 23 Pati

SHAH ALAM, 2 FEB: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Daerah Maritim 4 Klang menahan 23 pendatang asing tanpa izin (Pati) dalam dua operasi di perairan Selangor, semalam kerana disyaki cuba menyeludup masuk ke Malaysia.

Pengarah Maritim Daerah, Kapten Maritim Mohd Rosli Abdullah berkata, tiga Pati ditahan dalam operasi pertama kira-kira jam 9.15 pagi, hasil pemeriksaan sepasukan anggota Maritim ke atas bot penumpang, 0.9 batu nautika (1.6 kilometer) dari Pulau Ketam, Klang, dekat sini.

Beliau berkata, walaupun bot penumpang yang dalam perjalanan dari Pulau Ketam ke Pelabuhan Klang itu mempunyai dokumen operasi sah, namun ketiga-tiga lelaki disyaki warga Indonesia berkenaan tiada dokumen pengenalan diri.

“Dalam operasi kedua kira-kira jam 11.15 pagi, sepasukan anggota Maritim memeriksa pula sebuah feri penumpang pada kedudukan 1.9 batu nautika (3.5 kilometer) dari Pulau Ketam.

“Feri yang dalam perjalanan ke Pelabuhan Klang itu juga mempunyai dokumen operasi sah, namun pemeriksaan mendapati 20 penumpang iaitu 15 lelaki dan lima wanita, disyaki warga Indonesia tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata, kesemua Pati berumur 21 hingga 61 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan dan pengenalan diri yang sah.

-AA-