Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Akan Teliti Perlaksaan Siaran Langsung Mesyuarat PBT Daerah

teng chang kim  pc dun 1 jul 01

KUALA LANGAT 15 JULAI : Kerajaan Selangor bakal menjadi negeri pertama mengadakan siaran langsung mesyuarat pihak berkuasa tempatan peringkat daerah sekiranya siaran langsung mesyuarat PBT mendapat maklumbalas positif.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Kim berkata Kerajaan Negeri juga bersedia menyalurkan dana kepada PBT yang kurang kemampuan kewangan seperti yang di luar bandar, bagi menjayakan usaha tersebut.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, objektif siaran langsung tersebut adalah supaya orang ramai mendapat maklumat tentang gerak kerja dan perkembangan PBT mereka.

“Kalau sekiranya ada masalah kewangan, kita boleh bantu dengan syarat kita nak pastikan berbaloi untuk melakukannya.

“Itu kita nak lihat bagaimana perlaksanaannya di peringkat bandaraya dan perbandaran dahulu,” kata Teng.

Beliau berkata demikian ketika sidang media dalam lawatan kerja ke Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) di sini hari ini.

Menurut Chang Kim, kebanyakan kawasan tadbir PBT daerah adalah kawasan luar bandar dengan bilangan penduduk yang menggunakan internet sederhana.

Sehingga kini, lapan PBT, majoritinya kawasan bandar dan pinggiran bandar, yang telah diarahkan untuk mengadakan siaran langsung mesyuarat mereka.

PBT terlibat adalah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Turut terlibat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSp).

Dalam isu yang berlainan, Chang Kim berkata, program bas komuniti juga bakal diperluaskan ke peringkat daerah selepas dinilai keberkesanannya di peringkat perbandaran dan bandaraya.

Minggu lepas, Selangorkini melaporkan bahawa lapan PBT, di bandaraya dan pinggiran bandar, sedang memperhalusi perancangan untuk mengadakan bas komuniti.

Kesemua PBT perbandaran dan bandaraya sedang mengemukakan kertas cadangan bas bagi usaha tersebut kepada Kerajaan Negeri untuk dinilai dan diteliti.