Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKPD: Penghuni Pangsapuri Bandar Bukit Tinggi 1 disaring Rabu

SHAH ALAM, 19 JULAI: Penghuni bergejala di Pangsapuri Bandar Bukit Tinggi 1, Klang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) akan menjalani saringan Covid-19 mulai Rabu ini.

Pegawai Daerah Klang Mohd Zainal Mohd Nor berkata Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sedang melaksanakan bancian melibatkan 2,875 penghuni di 998 unit rumah untuk menilai status kesihatan mereka.

“Buat masa ini tumpuan saringan melibatkan individu bergejala namun PKD akan membuat penilaian risiko sama ada terdapat individu tidak bergejala yang perlu menjalani saringan atau tidak.

“Kepada penduduk yang tidak bergejala pula, mereka akan diberi vaksin mulai Sabtu ini,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak 1,000 bakul makanan diagihkan kepada penduduk menerusi kaedah pintu ke pintu hari ini.

Pada 16 Julai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan empat kawasan baharu dalam empat daerah di Selangor akan dikuat kuasa PKPD selama dua minggu mulai 18 Julai.

Kawasan tersebut ialah Damai Apartment, mukim Damansara, Petaling; Jalan Pandan Indah, mukim Ampang, Hulu Langat; Jalan Batu Nilam, mukim Klang, Klang dan Taman Samudera, mukim Batu, Gombak.

Categories
SELANGOR

RM56 ribu pasang lampu solar, tanam pokok di Klang

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 30 NOV : Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan RM56 ribu bagi kerja pemasangan lampu solar di Pengkalan Nelayan, Kampung Rantau Panjang dan penanaman pokok di enam kampung sekitar daerah Klang.

Pegawai Daerah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor berkata, pemasangan lampu solar bertujuan meningkatkan kemudahan dan keselesaan penduduk Kampung Rantau Panjang yang sering menggunakan laluan itu terutamanya pada waktu malam.

“Pemasangan lampu solar dengan peruntukan RM49,000 ini juga membantu orang luar yang sering berkunjung ke kawasan ini mendapatkan bekalan makanan laut pada harga murah.

“Kerja pemasangan lampu solar ini sudah bermula sejak awal November lalu,” katanya.

Beliau berkata ketika merasmikan Program Penyerahan Lampu Solar dan Program Penanaman Pokok, Di Pengkalan Nelayan, Sayang D’Sayang, Kampung Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Zainal berkata, program penanaman pokok di kawasan kampung itu turut dilakukan selain terdapat simbolik penyerahan pokok kepada enam kampung sekitar daerah Klang.

“RM7,000 disalurkan bagi penanaman pokok adalah bertujuan menghijaukan kawasan kampung ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk bersama menjaga keseimbangan pembangunan pesat di daerah Klang.

“Selain Kampung Rantau Panjang, kampung lain yang turut mendapat penyerahan pokok adalah Kampung Pandamaran Jaya, Kampung Kapar, Kampung Batu Belah, Kampung Perigi Nenas dan Kampung Jawa,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2 juta dalam Belanjawan 2018 untuk Pelan Tindakan Teknologi Hijau Negeri Selangor 2016-2018 membabitkan 33 program berteraskan teknologi hijau di 88 lokasi di seluruh negeri ini.