Categories
AGENDA NASIONAL

Seramai 4,186 doktor kontrak dilantik jawatan tetap mulai Jun

SHAH ALAM, 10 FEB: Seramai 4,186 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi yang berkhidmat secara kontrak di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  diserap jawatan tetap mulai Jun depan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata lantikan tetap itu melibatkan 3,586 pegawai perubatan, 300 pergigian dan 300 farmasi.

Selain itu, katanya kerajaan juga bersetuju melantik sekurang-kurangnya 1,500 pegawai perubatan pada setiap tahun mulai 2023 hingga 2025.

“Bagi menambah baik perkhidmatan kesihatan, kerajaan turut bersetuju supaya 800 jawatan tetap pakar perubatan dan 70 pakar pergigian diwujudkan di KKM pada setiap tahun mulai 2023,” katanya menerusi sidang media secara dalam talian hari ini.

Khairy berkata menerusi langkah tersebut, 8,686 perjawatan tetap pegawai perubatan, pergigian dan farmasi diwujudkan sepanjang tempoh 2022 hingga 2025.

Sebelum ini, Gerakan Hartal Doktor di seluruh negara mengambil tindakan drastik untuk tidak bekerja pada 26 Julai tahun lalu susulan kegagalan kerajaan menawarkan perjawatan tetap kepada doktor kontrak.

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan setuju tawar kontrak dua tahun kepada petugas kesihatan

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Kerajaan bersetuju agar pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan kontrak perkhidmatan untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan hari ini berkata langkah itu bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.

Jelasnya ia merupakan antara beberapa langkah penyelesaian segera dipersetujui Kabinet selepas kertas cadangan berhubung penambahbaikan kumpulan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak itu dibentangkan Kementerian Kesihatan (KKM) kepada Mesyuarat Kabinet pada 14 Julai lepas.

“Kerajaan amat memahami tuntutan kumpulan petugas kesihatan berstatus kontrak ini dan sedar bahawa sumbangan dan peranan mereka sebagai barisan hadapan adalah amat penting dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat, terutamanya dalam situasi pandemik Covid-19,” katanya.

Perdana Menteri berkata Kabinet juga bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun bagi pegawai perubatan dan pegawai pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama.

Langkah itu bagi memastikan pegawai berkenaan berjaya melengkapkan pengajian kepakaran masing-masing, kata Muhyiddin.

“Kabinet turut memahami kebimbangan dan masalah yang dihadapi kumpulan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak berhubung kesetaraan laluan kerjaya mereka.

“Bagi memastikan laluan kerjaya yang setara dan adil, Kabinet bersetuju agar pelantikan secara kontrak diuruskan mengikut kesetaraan kerjaya pegawai tetap dan ditawarkan Cuti Belajar Bergaji penuh serta tajaan pengajian yang setara dengan Cuti Belajar Bergaji Penuh dan Hadiah Latihan Persekutuan,” katanya.

Perdana Menteri berkata antara persetujuan lain yang turut dicapai adalah menambah baik kemudahan atau faedah yang ditawarkan kepada pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak seperti Cuti Tugas Khas Perubatan, Cuti Tibi dan kemudahan tambang mengunjungi wilayah asal.

Keputusan itu juga akan memberi ruang kepada kerajaan untuk memuktamadkan kajian reformasi sistem kesihatan yang sedang dilaksanakan, meneliti ketetapan sedia ada dalam Akta Perubatan 1971 dan merangka hala tuju jangka panjang bagi perkhidmatan perubatan.

Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus komited memastikan kebajikan dan laluan kerjaya petugas kesihatan lantikan kontrak berkenaan diberikan perhatian sewajarnya serta bersifat adil.

-BERNAMA