Categories
AGENDA NASIONAL

Skim PeKa: Lebih 150,000 golongan B40 hidap penyakit tidak berjangkit

PUTRAJAYA, 6 JULAI: Kira-kira 33 peratus atau 151,729 individu daripada 457,462 orang dalam kumpulan B40 yang menjalani saringan kesihatan menerusi Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) dikesan menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit tidak berjangkit, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

“Mereka sebelum ini tidak pernah mengetahui mereka menghidapi penyakit tidak berjangkit,” katanya ketika membentangkan Laporan PeKa B40 2019-2020 secara maya hari ini.

Beliau berkata antara penyakit tidak berjangkit yang dikesan melalui saringan berkenaan adalah kencing manis sebanyak 10.4 peratus, kolesterol tinggi (29.8 peratus), darah tinggi (13.8 peratus), masalah mental seperti kemurungan (1.6 peratus) dan keresahan (1.4 peratus).

“Sebelum menjalani saringan PeKaB40, mereka tidak pernah menjalani saringan kesihatan seumpamanya, apatah lagi mendapatkan rawatan susulan,” katanya.

Skim PeKa B40 itu diuruskan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd yang menyediakan empat manfaat iaitu saringan kesihatan, bantuan alat perubatan sehingga RM20,000, insentif melengkapkan rawatan kanser (RM1,000) dan insentif tambang pengangkutan sehingga RM1,000.

Skim berkenaan yang memberikan fokus kepada penyakit tidak berjangkit, diberikan secara percuma kepada semua penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) serta pasangan mereka yang berumur 40 tahun dan ke atas.

Dr Adham berkata sebanyak RM62.5 juta dibelanjakan dalam tempoh 15 April 2019 hingga 31 Disember 2020 untuk membiayai skim PeKa B40 yang bertujuan membuat pengesanan awal terhadap penyakit tidak berjangkit kumpulan B40.

Daripada jumlah itu, RM38.5 juta dibelanjakan untuk manfaat saringan kesihatan yang meliputi pengambilan sejarah kesihatan, pemeriksaan fizikal, saringan kesihatan mental, pemeriksaan kanser payudara dan prostat serta ujian air kencing dan darah.

Beliau berkata saringan kesihatan PeKa B40 itu boleh dilakukan di klinik swasta dan juga klinik kesihatan KKM seluruh negara.

“Bagi manfaat bantuan alat perubatan, sebanyak RM20.9 juta dibelanjakan bagi membiayai permohonan 10 jenis alat perubatan antaranya alat bantuan pendengaran, bantuan sokongan nutrisidan kerusi roda,” katanya.

Sejumlah RM1.6 juta pula telah dibelanjakan bagi insentif melengkapkan rawatan kanser manakala RM1.5 juta dibelanjakan untuk insentif tambang pengangkutan untuk meringankan beban perbelanjaan kos perjalanan, kata beliau.

Dr Adham berkata seramai 2,112 pengamal perubatan am swasta dan 182 makmal perubatan swasta terlibat dengan skim PeKa B40.

“PeKa B40 adalah inisiatif kerajaan dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan di Malaysia dalam aspek penjagaan kesihatan jangka panjang.

“Kita amat berharap agar lebih ramai rakyat kumpulan B40 mendapat manfaat daripada skim ini demi memastikan pengesanan awal penyakit tidak berjangkit dapat dilakukan seterusnya mengelakkan komplikasi rawatan di masa hadapan,” katanya.

Laporan penuh PeKa B40 2019-2020 boleh dimuat turun dilaman web www.protecthealth.com.my.

Categories
PENDAPAT RENCANA

Skim Peduli Kesihatan sejajar konsep WKB 2030

PETALING JAYA, 11 OKT: Kerenah waktu menunggu yang lama di klinik dan hospital kerajaan untuk rawatan penyakit termasuk yang kronik atau pun pemeriksaan kesihatan ringan bukan perkara baru malah sudah sekian lama berantaian dalam sistem kesihatan negara.

Hakikatnya, polemik ini bukan disebabkan ketidakcekapan para petugasnya tetapi lebih menjurus kepada faktor jumlah pesakit yang semakin ramai membanjiri hospital dan klinik kerajaan.

Pergantungan masyarakat untuk mendapatkan khidmat rawatan di sektor perubatan negara adalah sangat tinggi. Berdasarkan satu laporan media, hospital awam menerima kira-kira 60 hingga 70 peratus pesakit sedangkan kemampuan serta kemudahan yang ada hanyalah 40 ke 50 peratus sahaja.

“Sama ada kita sedar atau tidak, kesesakan dan masalah menunggu lama untuk mendapatkan rawatan atau melakukan ujian saringan di sektor kerajaan menyebabkan ada yang hilang minat khususnya warga emas untuk tampil membuat pemeriksaan.

“Bagi mereka yang mampu mungkin boleh melakukannya di klinik mahupun hospital swasta tetapi, bagaimana pula dengan golongan B40 di mana kebanyakannya bergantung dengan hospital kerajaan? Kita ambil contoh paling mudah, ramai rakyat Malaysia tidak menyedari mereka menghidap NCD (penyakit tidak berjangkit) dan antara puncanya tidak melakukan ujian saringan,” kata Pakar Perunding Paru-Paru Pusat Perubatan Pakar UiTM, Prof Dr Mohammed Fauzi Abdul Rani.

Menurut beliau, ujian saringan seperti ujian darah, air kencing dan penyakit NCD di klinik swasta boleh mencecah sehingga lebih RM150.

Sehubungan dengan itu, beliau melihat Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang dilaksanakan April tahun ini dengan memberi fokus terhadap NCD adalah sejajar dengan konsep kesaksamaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Pakar Perunding Paru-Paru Pusat Perubatan Pakar UiTM, Prof Dr Mohammed Fauzi Abdul Raniketika ditemu ramah berkata, pelaksanaan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) adalah sejajar dengan konsep kesaksamaan WKB 2030 di mana semua rakyat berhak mendapat akses kesihatan berkualiti tanpa mengira status mahupun jurang pendapatan.

Di bawah wawasan berkenaan, semua rakyat berhak mendapat akses kesihatan berkualiti tanpa mengira status mahupun jurang pendapatan.

Tidak perlu tunggu lama

Berkonsepkan model kerjasama awam-swasta, PeKa B40 membolehkan golongan berpendapatan rendah dalam kalangan penerima bantuan sara hidup, membuat ujian saringan kesihatan di mana-mana klinik swasta yang berdaftar dengan program tersebut secara percuma.

Ini sudah tentu mampu menarik perhatian kumpulan berkenaan tampil membuat pemeriksaan.

Setakat 8 Oktober, hasil pencarian di laman sesawang rasmi skim berkenaan mendapati sebanyak 2,354 klinik swasta seluruh negara berdaftar dengan PeKa B40 yang mempunyai agenda khusus dalam meningkat serta memperluaskan akses perkhidmatan kesihatan kepada rakyat B40.

Dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan dengan peruntukan permulaan sebanyak RM100 juta dan menyasarkan seramai 800,000 individu, PeKa B40 yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2019 berjaya memanfaatkan 40,119 orang sejak dilaksanakan pada April tahun ini.

Berdasarkan statistik dalam satu petikan akhbar, rakyat Sarawak paling ramai menggunakan perkhidmatan skim berkenaan iaitu seramai 9,852 orang diikuti Kedah (6,324 orang), Pulau Pinang (4,852 orang) dan Perak (4,209 orang).

Malah, bagi menarik lebih ramai tampil untuk melakukan saringan kesihatan dan menjalani rawatan lebih awal, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam satu laporan media menyatakan had umur skim berkenaan diturunkan daripada 50 tahun menjadi 40 tahun.

“Kebanyakan masyarakat cenderung untuk melakukan pemeriksaan di klinik berdekatan rumah mereka dan biasanya memilih klinik swasta yang terdapat di mana-mana sahaja berbanding klinik kesihatan dan hospital kerajaan yang bukannya ada di semua tempat.

“Dengan adanya PeKa, golongan berpendapatan rendah boleh melakukan ujian kesihatan di mana-mana klinik swasta berdaftar. Biarpun ia hanyalah ujian saringan kesihatan dan rawatannya pula perlu merujuk klinik dan hospital kerajaan, namun manfaatnya sangat bermakna buat mereka.

“Mereka tidak perlu lagi menunggu lama untuk melakukan ujian saringan kesihatan dan langkah ini juga sedikit sebanyak mengurangkan kesesakan di hospital dan klinik kerajaan di mana kita memfokuskan hospital dan klinik sebagai tempat rawatan semata-mata,” kata Prof Dr Mohammed Fauzi.

Selain manfaat utama iaitu saringan kesihatan, PeKa B40 juga memberi bantuan alat perubatan (had maksimum RM20,000), insentif melengkapkan rawatan kanser (RM1,000) serta insentif tambang pengangkutan (had maksimum RM500 untuk Semenanjung atau RM1000 untuk Sabah/Sarawak/Labuan).

Mengapa B40?

Mengulas lebih lanjut, Prof Dr Mohammed Fauzi berkata, matlamat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memberi fokus kepada pendekatan bersifatkan pencegahan berbanding penyembuhan menerusi program PeKa yang mengalakkan pemeriksaan awal adalah bertepatan dengan masanya.

Ini memandangkan masalah NCD di Malaysia semakin membimbangkan kerana prevalen faktor risiko penyakit itu di negara ini adalah tertinggi di rantau ASEAN.

Malah ia dikesan antara menjadi penyebab utama purata jangka hayat rakyat negara ini tidak dapat dipertingkatkan iaitu hanya sekitar usia 75 tahun.

“Ada sebab kalau kita lihat PeKa B40 memberi tumpuan pada golongan B40. Selain faktor pergantungan mereka sepenuhnya kepada hospital dan klinik kerajaan kerana tidak mampu mendapatkan rawatan di sektor perubatan swasta, kajian mendapati masalah NCD adalah paling tinggi dalam golongan berkenaan berbanding M40 dan T20.

“Justeru, saya rasa pengenalan PeKa ini merupakan satu inisiatif sangat bagus dan contoh terbaik kerjasama awam-swasta bagi mengalakkan kumpulan berpendapatan rendah ini tampil membuat pemeriksaan seawal mungkin dan rawatan sebaiknya bagi mengelakkan berlakunya komplikasi akibat NCD,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dipetik sebagai berkata, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 menunjukkan secara umumnya sebanyak 17.5 peratus rakyat negara ini menghidap penyakit kencing manis dan daripada jumlah itu, 23.5 peratus terdiri dalam kalangan B40.

Bagi penyakit darah tinggi pula, beliau dipetik berkata, sebanyak 30 peratus rakyat negara ini menghidap penyakit itu dengan 36 peratus daripada pesakit terdiri daripada golongan B40.

Situasi ini membimbangkan kerajaan kerana komplikasi daripada penyakit NCD misalnya kencing manis bukan sahaja akan mengganggu kualiti hidup penghidapnya seperti perlu melalui proses dialisis mahupun amputasi anggota badan bahkan KKM menanggung beban kewangan besar untuk rawatan.

Kerajaan dilaporkan menampung kos rawatan hemodialisis berjumlah RM2.2 bilion setahun bagi 50,000 pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan di hospital kerajaan. Dianggarkan kos untuk seorang pesakit menjalani rawatan itu sebanyak tiga kali seminggu sekitar RM44,000 setahun.

Harapan Belajawan 2020

Ketika ditanya mengenai harapan untuk Belanjawan 2020, Prof Dr Mohammed Fauzi berkata, kerajaan perlu mengkaji kembali inisiatif PeKa B40 daripada sudut keberkesanan dan kelemahannya serta mencadangkan supaya rawatan NCD yang telah dikesan boleh dilakukan di klinik sama yang melakukan ujian saringan.

“Kalau boleh, biarlah klinik swasta yang sama juga buat rawatan dan tidak perlulah pesakit ini pergi ke hospital atau klinik kerajaan melainkan sekiranya ia melibatkan sebarang komplikasi akut.

“Mungkin, kerajaan boleh buat satu pakej pembayaran misalnya seorang pesakit kencing manis layak untuk mendapat sebanyak RM500 setahun untuk rawatan di klinik swasta yang berdaftar dengan program PeKa, “ katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (IMEDIK), Prof Dr Azizi Ayob pula berkata, skop PeKa B40 dan manfaatnya wajar diperluaskan kepada golongan berpendapatan sederhana atau M40.

“Dianggarkan golongan ini adalah sekitar 2.7 juta orang dan masih ramai belum mempunyai insurans kesihatan untuk mereka dan ahli keluarga. Saranan perluasan skop ini juga bertepatan dengan konsep kesihatan untuk semua golongan tanpa mengira latar belakang sosial dan ekonomi,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 100,000 berdaftar dengan PeKa B40

KUALA KANGSAR, 6 OKT: Lebih 100,000 golongan B40 sudah mendaftar bagi Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) setakat ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata mereka yang layak adalah golongan berpendapatan rendah yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan saringan kesihatan adalah percuma di klinik kesihatan serta swasta yang berdaftar.

“Saringan kesihatan itu membabitkan ujian darah tinggi, kencing manis, kolesterol, buah pinggang dan kesihatan mental.

“Selepas ujian saringan itu mereka layak mendapatkan rawatan dan pengangkutan jika ada kanser, alat perubatan seperti kanta untuk katarak, ujian jantung, alat bantuan pendengaran, oksigen, sendi tiruan, besi untuk tulang yang patah dan kerusi roda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Menderma Darah anjuran Persatuan Guangxi Kuala Kangsar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tsung Wah, di sini hari ini.

Projek rintis PeKa B40 dimulakan April tahun ini membabitkan peruntukan RM100 juta bagi sasaran 800,000 individu.

Dalam perkembangan lain, Dr Lee berkata Kementerian Kesihatan memerlukan 2,000 pek darah setiap hari dengan keperluan terbanyak adalah untuk kes kemalangan jalan raya selain ibu bersalin, demam denggi dan kanser.

“Keperluan juga banyak untuk mereka yang menghidapi penyakit berkaitan dengan masalah darah,” katanya.

Katanya, setiap darah yang didermakan akan menjalani ujian mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) termasuk untuk pengesanan penyakit HIV bagi memastikan keselamatan penerima.

“Kementerian sangat menggalakkan pendermaan darah secara berkumpulan bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Golongan B40 di Kedah digesa segera rebut manfaat PeKa B40

ALOR SETAR, 4 Jun : Penerima Bantuan Sara Hidup berusia 50 tahun dan ke atas di Kedah, digesa supaya segera merebut manfaat Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang diperkenalkan sejak 15 April lepas.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Norhizan Ismail berkata berdasarkan rekod pihaknya, hanya 378 orang yang layak mendapat kemudahan disediakan Kementerian Kesihatan itu telah menjalani saringan menerusi skim berkenaan setakat 14 Mei lepas.

“Bajet yang diluluskan kerajaan untuk PeKa B40 tahun ini adalah sebanyak RM100 juta bagi seluruh negara dan setelah pecahan dibuat, kuota Kedah boleh meliputi 71,920 orang.

“Tapi setakat ini sambutan sangat perlahan di Kedah dan pihak kami berharap lebih ramai mereka yang layak mengambil peluang ini bagi menentukan tahap kesihatan mereka dan mendapatkan rawatan awal jika dikesan menghidap sebarang penyakit,” katanya di sini.

Beliau berkata orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai PeKa B40 daripada klinik-klinik kerajaan atau merujuk kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung di kawasan masing-masing.

“Atau mereka juga boleh terus membuat semakan di laman sesawang www.pekab40.com.my untuk mengetahui sama ada mereka layak atau tidak dan dalam laman itu juga terdapat senarai klinik swasta dan kerajaan yang boleh menjalankan saringan kesihatan bagi skim ini,” katanya.

Beliau berkata saringan kesihatan secara percuma itu termasuk pemeriksaan kesihatan mental, klinikal payudara dan klinikal prostat (jika perlu), manakala pemeriksaan makmal merangkumi ujian darah, diabetes, tahap kolestrol, air kencing dan fungsi buah pinggang. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

PeKa B40: 6,000 pesakit sudah buat saringan kesihatan

IPOH, 19 MEI: Hampir 6,000 pesakit yang layak menerima Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) telah membuat saringan kesihatan di klinik-klinik yang terlibat setakat ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata sehingga bulan ini, hampir 1,000 doktor dari klinik perubatan swasta telah terlibat dan sekurang-kurangnya 46 doktor telah membuat saringan kesihatan itu kepada pesakit.

“Terdapat empat komponen PeKa B40 ini iaitu saringan kesihatan, bantuan alat perubatan, rawatan kanser dan subsidi untuk pengangkutan ke hospital kerajaan.

“Bantuan alat perubatan ini termasuklah sekiranya perlu tukar sendi atau kerusi roda juga boleh digunakan,” katanya selepas merasmikan kempen kesedaran kesihatan anjuran Dewan Perhimpunan China Perak (Bahagian Wanita), Lee Eye Centre dan Hospital Pantai Ipoh di sini hari ini.

Pada April lepas, Kementerian Kesihatan menyasarkan projek rintis yang melibatkan peruntukan sebanyak RM100 juta itu akan memanfaatkan 800,000 penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang berusia 50 tahun ke atas.

Semakan kelayakan dan klinik yang terlibat dalam skim itu boleh dilakukan di laman web www.pekab40.com.my.

Dalam pada itu, mengenai program hari ini, Dr Lee menyeru orang ramai supaya memberi penekanan tentang ujian saringan kesihatan kerana menerusinya penyakit boleh dicegah atau dirawat sekiranya dikesan pada peringkat awal.

– BERNAMA