Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pekawanis biaya yuran pelajar, peruntukan lebih RM200,000

BANTING, 1 DIS: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) memperuntukkan RM215,000 bagi membiayai yuran pelajar di 43 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Yang Dipertuanya, Datin Seri Masdiana Muhamad berkata setiap DUN menerima RM5,000 dan perlu memilih pelajar yang benar-benar layak.

“Memandangkan yuran setiap sekolah berlainan, antara RM45 hingga RM100 untuk seorang pelajar, jadi kita tidak tahu berapa ramai pelajar yang dapat dibiayai.

“Bagaimanapun kita akan pastikan pelajar yang layak terutama golongan berpendapatan rendah menerima manfaat ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat taska tempat kerja Hospital Banting semalam.

Masdiana berkata ketika ini proses mengenal pasti pelajar dan pengumpulan data sedang dilakukan.

Sebelum ini, isteri Dato’ Menteri Besar itu memaklumkan Pekawanis akan menggantikan peruntukan baucar ‘Back To School’ tahun hadapan kepada pembayaran yuran sekolah.

Datin Seri Masdiana Muhamad beramah mesra bersama anak asuhan ketika sesi lawatan pusat taska anak-anak barisan hadapan di Taska Tambahan Hospital Banting, Banting pada 30 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sumbangan mainan, buku kepada taska tambahan dapat sambutan

BANTING, 30 NOV: Kempen menyumbang mainan kepada taska tambahan anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) bermula tengah bulan lalu mendapat sambutan.

Yang Dipertuanya, Datin Seri Masdiana Muhamad berkata pihaknya turut menerima bahan bacaan daripada orang ramai untuk diberikan kepada taska yang menempatkan anak-anak petugas barisan hadapan.

“Kempen ini masih dibuka. Orang ramai boleh menghantar barang sumbangan ke pejabat Pekawanis dan semua barangan akan diagihkan kepada taska tambahan.

“Pekawanis turut menyerahkan alatan melukis dan mewarna kepada anak-anak petugas sebagai bahan pembejaran mereka,” katanya selepas melawat taska tempat kerja Hospital Banting hari ini.

Datin Seri Masdiana Muhamad bergambar bersama selepas sesi lawatan pusat taska anak-anak barisan hadapan di Taska Tambahan Hospital Banting, Banting pada 30 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Isteri Dato’ Menteri Besar berkata menerusi lawatan itu, pihaknya dapat melihat aktiviti harian dilakukan kanak-kanak.

“Sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan, kita akan rancang program lain bersesuaian. Jika taska mempunyai saranan boleh kemukakan,” katanya.

Oktober lalu, Kerajaan Selangor mengaktifkan semula sembilan taska tambahan sebagai tempat penjagaan anak-anak petugas barisan hadapan sepanjang PKPB.

Lokasi meliputi Hospital Sungai Buloh, Hospital Banting, Hospital Selayang, Hospital Kajang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pekawanis serah lebih RM30,000 bantu Syria Care

SHAH ALAM, 15 NOV: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) menyerahkan RM30,360 kepada Syria Care pada 10 November lalu.

Pekawanis dalam kenyataan memaklumkan pertubuhan itu turut mewakafkan empat buah rumah di Kampung Malaysia Syria Care, Projek Wakaf Perumahan Pelarian Syria di Al Bardaqli, Atma, utara Syria.

“Dua daripada rumah itu adalah hasil usaha Yang Amat Mulia Tengku Puteri Datin Paduka Arafiah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj,” katanya dalam kenyataan di Facebook Pekawanis.

Serahan dilakukan Yang DiPertua Pekawanis, Datin Seri Masdiana Muhammad kepada Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki di kediaman Menteri Besar Selangor.

Difahamkan setakat ini 292 unit rumah bagi projek itu diwakafkan orang ramai.

Pada masa sama, Syria Care juga sedang mengumpul dana untuk menyiapkan Souq Barakah, sebuah premis perniagaan yang menjual pelbagai barangan keperluan harian seperti bahan dapur, buah-buahan dan daging mentah.

Orang ramai yang ingin membuat wakaf tunai Souq Barakah dibuka serendah RM30 dan boleh layari https://www.syriacare.org.my/shop/wakaf-tunai-souq-barakah/ untuk maklumat lanjut.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pekawanis mahu tumpu usaha berdaya wanita miskin

SHAH ALAM, 26 OKT: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) terus berazam memberdaya wanita terutama golongan berpendapatan rendah (B40).

Yang dipertuanya berkata pertubuhan itu mahu golongan tersebut menjana pendapatan sendiri tanpa bergantung kepada sumbangan makanan atau kewangan semata-mata.

Datin Seri Masdiana Muhamad

“Dalam masa terdekat ini kami akan mengadakan bengkel jahitan pelitup muka yang akan disertai golongan B40 terpilih dari setiap daerah di Selangor,” kata Datin Seri Masdiana Muhamad ketika dihubungi.

Beliau berkata Pekawanis turut menumpukan usaha menyediakan set perlindungan diri kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus membendung penularan Covid-19.

Katanya, program bersama anak-anak petugas hadapan juga bakal dirancang dalam tempoh terdekat.

“Pekawanis mahu program yang dijalankan bergerak seiring dengan Kerajaan Negeri iaitu sentiasa membantu dan memberdaya rakyat,” kata Masdiana.

Mengulas Belanjawan Selangor 2021 yang akan dibentang pada Jumaat, beliau berharap pertubuhan itu menerima peruntukan setimpal seperti tahun-tahun sebelumnya.

 

Categories
SELANGOR

Pekawanis peruntuk RM150,000 bantu 860 pesakit di 43 DUN

RAWANG, 26 SEPT: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) memperuntukan lebih RM150,000 untuk disalurkan kepada 860 pesakit di 43 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Yang Dipertuanya, Datin Seri Masdiana Muhamad berkata bantuan Program Ziarah Medik itu sebagai alternatif meringankan kos membeli ubatan.

“Setiap DUN memilih 20 pesakit susah untuk dibantu. Penerima juga mendapat sumbangan dari Pusat Khidmat Masyarakat DUN masing-masing.

“Untuk fasa pertama ia baharu selesai dan fasa kedua dilaksanakan November depan,” katanya ketika ditemui di Selangor Fruit Valley (SFV) semalam.

Masdiana berkata Pekawanis akan mengagihkan bantuan sempena sambutan Deepavali dan program Back To School untuk pembukaan sekolah awal tahun hadapan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pekawanis sumbang RM144,000 bantu ibu tunggal, asnaf sempena Aidilfitri

BATU CAVES, 19 MEI: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) memperuntukkan RM144,000 bagi membantu ibu tunggal serta asnaf di negeri ini menyambut Aidilfitri.

Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhamad berkata bantuan berupa duit raya diberikan kepada 30 penerima di setiap 48 Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Bantuan ini diberikan setiap tahun kepada penerima berbeza. Kita utamakan ibu tunggal namun sekiranya mereka menerima bantuan lain, kita akan beri kepada asnaf.

“Langkah ini memastikan individu layak menerima bantuan sekali gus membantu meringankan beban mereka,” katanya ketika Majlis Sumbangan Hari Raya Pekawanis DUN Sungai Tua hari ini.

Jelas Masdiana yang juga isteri kepada Dato’ Menteri Besar, program sejak 2008 tetap dianjurkan walaupun tahun ini berbeza susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Selalunya kita kumpul ramai-ramai dan buka puasa bersama tetapi tahun ini kita tidak dapat meraikan suasana itu. Setakat ini lebih 20 DUN sudah menyerahkan sumbangan dan dijangka selesai minggu ini,” katanya.

Dalam majlis berkenaan, Masdiana turut menyerahkan bubur lambuk dan kuih raya sumbangan Pejabat Dato’ Menteri Besar.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Ahli Pekawanis disaran laksana program dekati masyarakat

SHAH ALAM, 21 JAN: Ahli Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) di setiap kawasan disaran melaksanakan program komuniti tahun ini, kata yang dipertuanya.

Masdiana Muhamad berkata pertubuhan yang dianggotai isteri wakil rakyat perlu mendekati masyarakat terutama wanita di peringkat akar umbi supaya lebih dikenali.

“Kita tidak mahu lagi program hanya di peringkat negeri, sebaliknya dibuat menyeluruh termasuk di kampung dan hasilnya akan bantu suami yang juga yang berhormat di kawasan berkenaan.

“Ini seiring dengan misi Selangor Maju Bersama iaitu pemimpin dan rakyat saling mengenali,” katanya selepas Majlis Tadabbur Al-Quran dan tazkirah khas sempena tahun baharu di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar di sini semalam.

Hadir sama penaung Pekawanis Yang Amat Mulia Tengku Putri Datin Paduka Hajjah Arafiah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan penasihatnya Datin Seri Shamshida Taharin.

Pada masa sama, Masdiana turut berharap lebih banyak agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan bekerjasama dengan pertubuhan itu bagi menggerakkan kerja amal di seluruh negeri.

Categories
AGENSI SELANGOR

Masdiana-Jamu Ratu Malaya bantu 900 kanak-kanak

BATU CAVES, 8 DIS: Seramai 900 kanak-kanak dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua dan DUN Taman Templer menerima sumbangan Kembali Ke Sekolah di Dewan Seri Siantan, di sini, hari ini.

Isteri Dato’ Menteri Besar, Masdiana Muhamad berkata, ia adalah sumbangan individu daripada beliau  bersama Jamu Ratu Malaya (JRM) Holistik Sdn Bhd.

Katanya, ia adalah kolaborasi pertama kali pihaknya bersama JRM Holistik serta optimis ia akan diteruskan pada masa akan datang dalam memastikan lebih ramai kanak-kanak dari keluarga kurang berkemampuan dapat dibantu.

“Buat masa sekarang kita memilih dua DUN ini (Sungai Tua) memandangkan ia DUN suami saya (Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari), manakala DUN Taman Templer pula kerana saya pernah bersekolah di Sekolah Rendah Selayang Baru.

“Terima kasih juga kepada JRM Holistik kerana sudi memberikan sumbangan ini dan semoga kita dapat perluaskan lagi untuk semua kanak-kanak seluruh Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program Sumbangan “Back To School” Sinar Insani anjuran JRM Holistik.

Pada masa sama, Masdiana berkata, beliau amat menggalakkan kerjasama dari semua pihak terutama syarikat korporat untuk bersama terlibat dalam program tanggungjawab sosial korporat, sekali gus membantu golongan asnaf.

“Dengan sumbangan anda semua ia mampu menceriakan hari mereka terutama golongan kanak-kanak,” katanya.

Terdahulu, JRM Holistik yang diwakili pengasasnya, Rozita Ibrahim turut menyampaikan sumbangan berupa beg sekolah, peralatan menulis dan set bekas makanan kepada kanak-kanak terbabit.

Rozita ketika ditemui berkata, beliau teruja di atas sambutan hari ini dan berharap akan ada lagi kerjasama bersama Kerajaan Negeri pada masa akan datang.

“Jika diizinkan saya mahu memperluaskan lagi sumbangan ini dan tidak hanya untuk program kembali ke sekolah tetapi mungkin program Ramadhan,” katanya.

Categories
NASIONAL

PEKAWANIS sumbang RM172,000, bantu persiapan Syawal

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 MEI: Sejumlah RM172,000 diperuntukkan Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) kepada 43 Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membantu golongan kurang bernasib baik menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Yang DiPertuanya, Masdiana Muhamad berkata, pihaknya komited untuk terus membantu kumpulan sasar berkenaan yang terdiri daripada ibu tunggal, mualaf dan asnaf seluruh negeri.

“Ini bukan kali pertama yang dilaksanakan PEKAWANIS. Sejak tahun 2008, pihak kami komited membantu kumpulan sasar tanpa mengira kaum dan agama.

“Kita akan terus memberi perhatian dan mengambil peduli golongan yang kurang berkemampuan.

“Malah, bukan sahaja pada musim perayaan sebegini, tetapi usaha ini akan berterusan kerana ia seiring dengan dasar Kerajaan Negeri yang sentiasa prihatin kepada rakyatnya,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Sumbangan Hari Raya, Tadabbur Al-Quran dan Iftar PEKAWANIS, di Dewan Megawati, Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, di sini.

Masdiana berkata, seramai 30 orang terpilih dari setiap DUN akan menerima wang tunai dan barangan keperluan asas.

“Sumbangan ini hasil daripada peruntukan dari Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) menerusi tanggungjawab sosial korporatnya (CSR).

“Justeru, sumbangan ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban mereka untuk membuat persiapan menyambut perayaan yang bakal tiba tidak lama lagi.

“PEKAWANIS amat prihatin dengan nasib mereka, apatah lagi pada musim perayaan sebegini sudah tentu kita bantu, supaya golongan ini dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih ceria,” katanya.

Pada masa sama, Masdiana berkata, PEKAWANIS akan meneruskan agenda untuk memajukan umat Islam menerusi pelbagai program pembangunan insan yang akan dilaksanakan dari masa ke masa.

“Pada program ini, kira-kira 600 peserta menyertai program Tadabbur. Selain itu, kita turut mengadakan program zikir. Oleh sebab itu, program seperti ini akan terus dilaksanakan kerana sambutan yang sangat menggalakkan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Santunan Mahabbah rai 120 anak yatim, penghuni RPA

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 15 MEI: Keceriaan jelas terpancar pada wajah 120 anak yatim termasuk remaja puteri apabila diraikan dalam Program Santunan Mahabbah dan Majlis Berbuka Puasa, di Rumah Puteri Arafiah (RPA), di sini, hari ini.

Kesemua mereka yang berusia lingkungan tujuh hingga 21 tahun itu adalah dari Rumah Darul Wadah, Rumah Jagaan Al-Fikrah dan Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur (PEKEAS) yang diundang khas sempena majlis anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS).

Pengerusi RPA, Masdiana Muhamad berkata, program itu bertujuan menghimpunkan penghuni di ketiga-tiga rumah kebajikan terbabit untuk lebih mengenali antara satu sama lain di bawah satu bumbung sama.

Katanya, selain berkongsi kegembiraan bersama golongan kurang bernasib baik, inisiatif itu bagi memperkukuh hubungan silaturahim antara ketiga-tiga pengurusan rumah kebajikan terbabit.

“Anak-anak di RPA selalunya bergaul sesama mereka sahaja, tetapi apabila menerima kunjungan hari ini, mereka gembira dapat menyantuni tetamu berkenaan.

“Pada masa sama, tetamu boleh melihat sendiri bagaimana suasana di rumah perlindungan ini dan boleh bandingkan suasana belajar di sini.

“Malah, mereka turut berpeluang berkongsi pandangan daripada segi pengurusan dan keperluan yang masih kurang,” katanya kepada SelangorKini.

Turut hadir, Penasihat PEKAWANIS & RPA merangkap Timbalan Pengerusi KASIH Malaysia, Datin Seri Shamshida Taharin; Setiausaha Kehormat PEKAWANIS, Mazura Mokhtar dan Pengurus Kanan QSR Brands (M) Holding Bhd, Hayuzi Darus.

Selain dijamu juadah berbuka yang enak, kesemua mereka turut menerima duit raya sumbangan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) berjumlah RM100 setiap seorang yang disampaikan Masdiana dan Shamshida.

Sementara itu, syarikat korporat, QSR Brands turut menyerahkan replika cek sumbangan makanan sebanyak 200 pek kepada wakil RPA.

Majlis juga diisi dengan aktiviti kerohanian seperti tazkirah Ramadan dan permainan santunan kasih serta persembahan selain disusuli dengan solat maghrib, isyak dan tarawih secara berjemaah.

Pada masa sama, isteri Dato’ Menteri Besar itu berharap, program sedemikian dapat memberi manfaat kepada semua pihak selaras matlamat untuk terus menyantuni tetamu yang mengunjungi rumah perlindungan berkenaan.

“Kita mahu mereka diraikan ini gembira dan sedar betapa ramai pihak yang prihatin dengan nasib mereka misalnya pemberi sumbangan,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Wanita perlu bijak laksana tugas ikut keutamaan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 MEI: Golongan wanita baik yang bekerja mahupun suri rumah perlu bijak melaksanakan tugas mengikut keutamaan serta pandai menguruskan masa.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Mohamad berkata, jika gagal menghayati dan mengamalkan kedua-duanya, pasti akan berhadapan masalah kedua-dua tanggungjawab itu.

“Masalah ini akan menjadi bebanan fikiran yang akhirnya akan menurunkan prestasi kerja, sekali gus meruntuhkan institusi kekeluargaan.

“Apa yang amat dikhuatiri ialah apabila ia menyebabkan gangguan emosi dan mental yang parah. Akhirnya, tanggungjawab tugas dan rumah tangga akan terbengkalai serta menjurus kepada kegagalan dalam hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Persatuan Semarak Cinta Kasih (SPREAD LOVE) dan Majlis Sambutan Hari Ibu bertemakan ‘Wanita Gemilang, Ibu Penyayang’, di sini.

Masdiana yang juga isteri kepada Dato’ Menteri Besar berkata, ramai kaum ibu mempunyai kerjaya profesional dan memegang jawatan tinggi dalam sesebuah organisasi, institusi atau syarikat yang menjadi trend ketika ini.

Justeru, katanya, bebanan tugas dipikul mereka amat berat kerana selain perlu menunaikan tanggungjawab di pejabat, mereka juga mempunyai tanggungjawab lebih besar menanti di rumah.

“Jika dahulu isteri sering disamakan dengan Menteri Kewangan tetapi pada pendapat saya, jawatan Menteri Pembangunan dan kadangkala lebih kepada Menteri Sumber Manusia sebab peranan wanita yang begitu menyeluruh dan sukar ditandingi lelaki.

“Sesungguhnya, menjadi seorang ‘wanita waja’ yang berjaya dalam kerjaya dan rumah tangga adalah impian setiap wanita,” katanya.

Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

400 terima sumbangan PEKAWANIS sempena Tahun Baharu Cina

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 FEB: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), hari ini menyerahkan sumbangan kepada warga emas dan ibu tunggal, sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Sumbangan membabitkan kira-kira 400 penerima daripada 11 Dewan Undangan Negeri (DUN) itu disempurnakan Yang Dipertua PEKAWANIS, yang juga isteri kepada Dato’ Menteri Besar, Masdiana Muhamad.

Bercakap kepada SelangorKini, beliau berkata, PEKAWANIS mula memberikan sumbangan kepada golongan memerlukan itu sejak 2008 apabila pentadbiran kerajaan bertukar.

“Semua DUN terima bantuan sama daripada PEKAWANIS tetapi pada majlis ini, kita buat untuk 11 DUN sahaja sementara DUN lain pula ada juga yang sudah pun diserahkan sumbangan.

“Setiap DUN kita ada 30 penerima yang menerima sumbangan RM100 setiap seorang dan ini bermakna PEKAWANIS memperuntukan RM3,000 sumbangan bagi setiap DUN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan PEKAWANIS sempena Perayaan Tahun Baharu Cina, di Dewan Megawati, Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, PEKAWANIS akan menambah baik program sumbangan perayaan pada masa akan datang dengan membahagikan kesemua DUN di Selangor berdasarkan zon, untuk membolehkan program dilangsungkan secara berpusat, di zon terbabit.

Sementara itu, ketika mengulas perkembangan program PEKAWANIS, Masdiana berkata, Majlis Tadabbur al-Quran, antara program paling mendapat sambutan apabila dihadiri kira-kira 900 hadirin.

Selain itu, katanya, PEKAWANIS turut berusaha meningkatkan pembabitan kaum bukan Melayu menyertai aktiviti PEKAWANIS dalam program Jom Sihat.