Categories
NASIONAL

GST sumbang kenaikan inflasi negara

Gst biasa

KUALA LUMPUR 28 OKT : Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilihat boleh menjadi punca kepada kenaikan inflasi, jika isu berkenaan terus dipandang ringan kerajaan pusat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kemungkinan besar penyalahgunaan kuasa berlaku membabitkan kerajaan pusat sebagai jalan mudah untuk meningkatkan hasil dengan segera.

Katanya, hal itu kerana GST sentiasa dianggap berada pada kadar yang lebih rendah berbanding tahap cukai pendapatan.

“CIMB Research meramalkan pelaksanaan GST pada ketika penyelewengan berleluasa dan penguatkuasaan yang lemah akan membolehkan inflasi kepada tahap lima peratus lebih tinggi daripada tahap sekarang.

“Komuniti perniagaan seluruhnya juga menjangkakan penambahan kos sebanyak RM2 bilion untuk penyediaan sistem dan pematuhan perundangan,” katanya dalam ucapan perbahasan Belanjawan Negara 2014, di Parlimen, di sini, hari ini.

Anwar berkata, pelaksanaan itu akan merangsang kerajaan pusat yang boros untuk menaikkan kadar GST ketika berlaku kesempitan hasil.

“Pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) membawa masuk RM16.4 bilion ke dalam kantung negara, manakala pelaksanaan GST pada kadar enam peratus dijangka akan membawa pulangan tambahan sebanyak RM12 bilion dan jumlah itu dibiayai rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan Belanjawan Negara 2014 hanya satu pengulangan dan pengekalan sikap boros berbelanja Barisan Nasional yang hanya hanya memberi keuntungan kepada sebilangan kecil rakyat.

“Ia menguntungkan beberapa kumpulan kecil, tetapi menjadi penambahan derita ekonomi dan bebanan kewangan rakyat terbanyak terutama golongan berpendapatan kecil serta sederhana,” katanya.

-NFN-