Categories
NASIONAL

Kerajaan pusat perlu sedia hadapi inflasi kesan laksana GST

GST Grafik Baru

KUALA LUMPUR 29 OKT : Kerajaan Pusat perlu bersiap sedia dalam menghadapi kadar kenaikan inflasi apabila pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan, pada 2015.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Cheng, berkata kerajaan pusat perlu menyediakan langkah segera bagi mengatasi masalah kenaikan inflasi itu.

Beliau mencadangkan perbelanjaan di setiap kementerian perlu dipotong sebanyak 10 peratus supaya rakyat tidak terbeban dengan pembayaran GST terbabit.

“Kerajaan perlu bersiap sedia menghadapi kenaikan kadar inflasi sebaik GST dilaksana, pada 2015.

“Saya tidak faham kenapa Barisan Nasional (BN) kata GST baik kerana pelaksanaannya menyebabkan rakyat Malaysia perlu menampung RM700 seorang,” katanya dalam perbahasan Belanjawan 2014, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata, CIMB Research mennyatakan kerajaan akan memperoleh pendapatan tambahan daripada GST sebanyak RM12 bilion.

“Selepas potong cukai pendapatan, cukai jualan dan perkhidmatan (SST), GST akan tambah RM12 bilion. Rakyat yang kena bayar beban itu,” katanya.

Dalam perbahasan itu juga, Ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw, berkata pelaksanaan GST menyebabkan harga rumah dan kos pengurusan di hospital akan ditanggung oleh rakyat.

“Kos akan lebih tinggi, apabila dipindahkan kepada barangan. Contohnya bagi harga rumah, sudah tentu kos bahan binaan meningkat, selain kos urusan hospital swasta yang turut naik dan ditanggung  pesakit.

Jadi, kami minta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meneliti semula pelaksanaan GST yang ‘kononnya’ tidak akan membebankan rakyat,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Golongan miskin juga kena bayar GST

Dr Rosli YaakopSHAH ALAM 29 OKT : Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bakal memberi kesan negatif kepada golongan miskin yang terpaksa membayarnya apabila mula dilaksanakan, bermula 1 April 2015.

Mantan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Dr Rosli Yaakop, berkata kesan GST itu menyeluruh dan memberikan kesan keada semua rantaian ekonomi, sekali gus turut membawa impak kenaikan harga bagi sebahagian besar bahan makanan asas.

“Golongan miskin turut menjadi mangsa GCT kerana terpaksa membayarnya dan ini hanya akan menambahkan beban cukai ke atas semua lapisan rakyat kerana mereka adalah pengguna.

“Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan beberapa makanan asas tidak perlu bayar cukai GST tetapi itu bukan jaminan harga barangan terbabit akan kekal,” katanya di dalam portal Harakah daily.

Beliau yang juga pakar ekonomi PAS berkata, pengumuman pelaksanaan GST itu juga sengaja dilakukan pada tempoh yang masih jauh dengan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Barisan Nasional (BN) anggap bila tiba PRU-14, kesan GST yang pada awalnya mengundang kemarahan rakyat akan reda dan mereka akan kembali sokong BN,” katanya.

Dr Rosli berkata, dakwaan Najib kononnya kadar GST Malaysia terendah iaitu pada kadar enam peratus, berbanding Singapura dan Indonesia tidak disokong dengan kenyataan lain.

“Satu fakta yang gagal disebut Najib adalah di Singapura, cukai korporat dan cukai peribadi jauh lebih rendah antara 16 hingga 17 peratus.

“Di Malaysia walaupun diumum turun satu hingga dua peratus tetapi kadar dua cukai itu masih tinggi antara 23 hingga 24 peratus,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

GST sumbang kenaikan inflasi negara

Gst biasa

KUALA LUMPUR 28 OKT : Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilihat boleh menjadi punca kepada kenaikan inflasi, jika isu berkenaan terus dipandang ringan kerajaan pusat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kemungkinan besar penyalahgunaan kuasa berlaku membabitkan kerajaan pusat sebagai jalan mudah untuk meningkatkan hasil dengan segera.

Katanya, hal itu kerana GST sentiasa dianggap berada pada kadar yang lebih rendah berbanding tahap cukai pendapatan.

“CIMB Research meramalkan pelaksanaan GST pada ketika penyelewengan berleluasa dan penguatkuasaan yang lemah akan membolehkan inflasi kepada tahap lima peratus lebih tinggi daripada tahap sekarang.

“Komuniti perniagaan seluruhnya juga menjangkakan penambahan kos sebanyak RM2 bilion untuk penyediaan sistem dan pematuhan perundangan,” katanya dalam ucapan perbahasan Belanjawan Negara 2014, di Parlimen, di sini, hari ini.

Anwar berkata, pelaksanaan itu akan merangsang kerajaan pusat yang boros untuk menaikkan kadar GST ketika berlaku kesempitan hasil.

“Pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) membawa masuk RM16.4 bilion ke dalam kantung negara, manakala pelaksanaan GST pada kadar enam peratus dijangka akan membawa pulangan tambahan sebanyak RM12 bilion dan jumlah itu dibiayai rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan Belanjawan Negara 2014 hanya satu pengulangan dan pengekalan sikap boros berbelanja Barisan Nasional yang hanya hanya memberi keuntungan kepada sebilangan kecil rakyat.

“Ia menguntungkan beberapa kumpulan kecil, tetapi menjadi penambahan derita ekonomi dan bebanan kewangan rakyat terbanyak terutama golongan berpendapatan kecil serta sederhana,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Najib boros, bil eletrik dan air kediaman rasmi lebih RM2.5 juta

Anthony-LokeKUALA LUMPUR 28 OKT : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya,Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menanggung sendiri bil elektrik dan air di kediaman rasmi mereka dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke, berkata cadangan itu berikutan peningkatan bil elektrik di kediaman rasmi dua pemimpin berkenaan iaitu sebanyak RM8500 sehari, berbanding RM6000, dua tahun lalu.

Katanya, jumlah itu menjadikan perbelanjaan bil elektrik di Kompleks Seri Perdana lebih RM2.2 juta, manakala lebih RM300,000 dibelanjakan untuk bil air, pada tahun lalu.

Bagi Kompleks Sri Satria pula lebih RM865,000 dibelanjakan untuk bil elektrik, mankala perbelanjaan bil air sebanyak RM99,264.

“Najib minta rakyat supaya berjimat cermat tetapi ketika ini, beliau dan timbalannya yang boros mengurus perbelanjaan kos elektrik dan air di kediaman rasmi mereka,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Sehubungan itu, Anthony berkata, Najib dan Muhyiddin perlu menunjukkan contoh yang baik dalam menguruskan kos terbabit supaya tidak membebankan rakyat.

Beliau turut memberikan contoh pembaziran yang berlaku apabila Kompleks Seri Perdana dibina di atas tanah seluaslebih 17.19 hektar, berbanding White House dibina seluas kira-kira 7.29 hektar bersamaan Kompleks Seri Satria.

-NFN-