Categories
AGENDA NASIONAL

Boleh dikompaun hanya pakai pelindung muka di tempat sesak

SHAH ALAM, 19 DIS: Individu yang memakai pelindung muka perlu mengenakannya bersama pelitup muka ketika berada di tempat sesak, kata menteri kanan keselamatan.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan kompaun kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) pencegahan Covid-19.

Beliau menjelaskan Kementerian Kesihatan Malaysia belum membenarkan pelindung muka menggantikan pelitup muka kecuali kepada pelajar sekolah.

“Pemakaian pelitup muka masih diwajibkan, jadi bagi yang memakai pelindung muka perlu memakai pelitup muka di dalamnya.

“Pihak berkuasa boleh mengambil tindakan terhadap individu yang melanggar SOP,” katanya dalam sidang media harian di sini semalam.

Categories
AGENDA NASIONAL

Murid sekolah rendah dibenar pakai pelindung muka sahaja

SHAH ALAM, 25 OGOS: Murid berumur 12 tahun ke bawah dibenarkan memakai pelindung muka ke sekolah tanpa perlu memakai pelitup muka, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan tersebut diambil bagi mengurangkan beban keluarga kurang berkemampuan, terutama yang mempunyai ramai anak.

“Saya dimaklumkan harga pelindung muka lebih murah iaitu lebih kurang RM3 hingga RM5 sekeping selain boleh diguna selama berbulan-bulan.

“Harga pelitup muka pula agak membebankan bagi keluarga berkaitan, sekiranya sekeping RM1, kalau anak lima orang kosnya sudah RM5 untuk sehari,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Ismail Sabri bagaimanapun berkata pihaknya masih menggalakkan murid memakai pelindung muka bersama pelitup muka.

“Kita juga cadangkan kepada Kementerian Kesihatan mengeluarkan garis panduan mengenai langkah membersih dan mencuci pelindung muka bagi memastikan bahan itu selamat digunakan untuk jangka masa lama,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Proton sasar hasilkan 60,000 pelindung muka petugas barisan hadapan

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd menghasilkan pelindung muka iaitu komponen penting bagi Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan sektor penjagaan kesihatan.

Operasi pengeluaran yang melibatkan kakitangan Proton itu dijangka bermula pada 13 April ini di ibu pejabatnya di Shah Alam.

Syarikat itu menyasarkan penghasilan 60,000 pelindung muka dalam masa 20 hari.

“Sebagai jenama automotif kebangsaan, usaha Proton ini didorong tanggungjawab membangunkan industri kereta tempatan dan menyokong negara dan rakyat sekiranya mereka memerlukan sebarang bantuan.

“Syarikat mempunyai kepakaran untuk menghasilkan kereta. Kami menggunakan kelebihan itu untuk menghasilkan peralatan PPE dalam usaha menyokong barisan hadapan negara membendung penyebaran COVID-19,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Datuk Radzaif Mohamed dalam kenyataan.

Beliau berkata pelindung muka itu dihantar secara berperingkat dan Proton bekerjasama dengan pihak kementerian untuk mengedarkan peralatan itu secara percuma mengikut tahap keperluan di setiap daerah.

Sebelum ini, syarikat itu meminjamkan 50 unit Proton X70 untuk kegunaan kakitangan Kementerian Kesihatan berikutan penularan Covid-19.

-BERNAMA