Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga kawasan di Petaling dikenakan PKPD mulai 1 Julai

SHAH ALAM, 29 JUN: Tiga kawasan di Petaling dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari mulai 1 Julai.

Menteri kanan keselamatan berkata lokasi berkenaan ialah Mentari Court di PJS 8, Taman Perumahan SS 91A, Sungai Way dan Pangsapuri Westlite – PKNS.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan arahan dibuat berikutan kadar jangkitan Covid-19 yang tinggi di ketiga-tiga kawasan berkenaan.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 137 kes di Mentari Court, Taman Perumahan SS 9A (64 kes) dan Pangsapuri Westlite (215 kes).

“Setelah membuat penilaian risiko, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di tiga lokaliti dalam daerah Petaling, Selangor berkuat kuasa 1 hingga 14 Julai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, empat kawasan di negeri ini dikenakan PKPD selama 14 hari mulai 30 Jun iaitu CLQ Gamuda Gardens, Kundang Jaya, Rawang dan Taman Murni, Sepang.

Turut dikenakan arahan sama ialah Pangsapuri Sri Ayu, Bandar Baru Bangi dan CLQ Johan Setia di Klang.

Categories
AGENDA NASIONAL

Latihan berpusat Liga Malaysia, hoki dan takraw dibenar mulai 15 Februari

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Kerajaan membenarkan program latihan berpusat bagi pasukan bola sepak dalam Liga Malaysia, Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) mulai 15 Februari.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat setelah perbincangan dan penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tempat latihan dan pergerakan atlet/pemain adalah terkawal mengikut model gelembung sukan,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata penginapan atlet/pemain juga perlu mengikut tatacara operasi piawai (SOP) iaitu ‘kuarantin di kem’ dan ‘kuarantin di rumah’ seperti yang telah ditetapkan.

Katanya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga telah membentangkan cadangan pembukaan beberapa aktiviti sukan khususnya yang bersifat individu serta tanpa sentuhan bagi tujuan kecergasan fizikal dan meningkatkan tahap kesihatan diri.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata penelitian akhir sedang dibuat dan keputusan akan diumum dalam masa terdekat.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga membuat keputusan membenarkan operasi sektor industri kreatif bermula esok.

Senarai aktiviti terlibat adalah produksi animasi/muzik, pascaproduksi di studio, pembangunan muzik secara digital, rakaman lagu di studio dan penggambaran praproduksi.

Turut dibenarkan penggambaran di studio merangkumi drama, telemovie, iklan, dokumentari, sitcom, livestreaming, rakaman kebudayaan, seni dan warisan tanpa penonton.

Katanya, SOP terperinci boleh dirujuk di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di https://www.mkn.gov.my/

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kedai pakaian, alatan sukan dibenar operasi mulai esok

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membenarkan baki keseluruhan perniagaan peruncitan beroperasi semula serta kebenaran makan di restoran bermula esok dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu bagi memastikan kelangsungan ekonomi perniagaan peruncitan iaitu antaranya kedai pakaian dan aksesori, aksesori kereta, kraftangan, kedai permainan kanak-kanak, kedai peralatan sukan dan sebagainya.

“Antara SOP yang perlu dipatuhi adalah pemilik premis perlu melakukan nyahkuman di premis masing-masing tiga kali sehari, mewajibkan pekerja dan pelanggan memakai pelitup muka dalam premis, memastikan (pelanggan dengan) suhu (badan) lebih 37.5 darjah celsius tidak dibenarkan masuk ke premis.

“Kedai pakaian pula perlu sediakan sarung tangan kepada pelanggan, kedai kosmetik hanya menjalankan aktiviti jual beli sahaja, tidak dibenarkan mencuba produk,” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Mengenai kebenaran makan di kedai makan, Ismail Sabri berkata ia hanya terhad kepada dua pelanggan untuk satu meja dengan jarak fizikal sekurang-kurangnya satu meter di restoran serta pemilik restoran perlu merekodkan butiran pelanggan.

Katanya, butiran lanjut mengenai SOP tersebut boleh didapati di laman sesawang MKN.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata kebenaran bagi kedai barangan dan perkhidmatan fotografi serta penggunaan studio hanya melibatkan seorang pelanggan dan jurugambar sahaja.

Katanya, penggunaan studio penggambaran tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan gambar passport, visa dan lesen.

Categories
AGENDA NASIONAL

Boleh dikompaun hanya pakai pelindung muka di tempat sesak

SHAH ALAM, 19 DIS: Individu yang memakai pelindung muka perlu mengenakannya bersama pelitup muka ketika berada di tempat sesak, kata menteri kanan keselamatan.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan kompaun kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) pencegahan Covid-19.

Beliau menjelaskan Kementerian Kesihatan Malaysia belum membenarkan pelindung muka menggantikan pelitup muka kecuali kepada pelajar sekolah.

“Pemakaian pelitup muka masih diwajibkan, jadi bagi yang memakai pelindung muka perlu memakai pelitup muka di dalamnya.

“Pihak berkuasa boleh mengambil tindakan terhadap individu yang melanggar SOP,” katanya dalam sidang media harian di sini semalam.