Categories
ADN SELANGOR

14,000 pelitup muka diagih kepada penduduk Kinrara

SHAH ALAM, 10 JUN: Sebanyak 14,000 pelitup muka sumbangan beberapa pihak akan diedarkan kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara.

Ahli Dewan Negerinya, Ng Sze Han berkata syarikat kesihatan, MoH Pharmaceutical menyumbangkan 10,000 pelitup muka manakala 4,000 lagi masing-masing daripada E-Vicky dan Tokong Xiao Ling Gong Puchong.

“Pasukan saya akan mengedar barangan itu ke kawasan perumahan yang belum menerimanya daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara,” katanya melalui Facebook.

April lalu, EXCO Kerajaan Negeri itu mengedarkan 132,500 pelitup muka kepada 33,125 isi rumah di DUN berkenaan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor kes tertinggi tipu pelitup muka, MB pesan sentiasa waspada

SHAH ALAM, 4 JUN: Orang ramai dinasihatkan berhati-hati sebelum membeli pelitup muka dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan, saran Dato’ Menteri Besar.

Foto Twitter Dato’ Seri Amirudin Shari

“Pelitup muka antara item yang perlu ada dalam norma baru kehidupan kita, namun pastikan anda tidak menjadi mangsa penipuan dalam talian. Semak sebelum membeli,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter hari ini.

Beliau turut berkongsi panduan antaranya menyemak komen pembeli, elak membeli jumlah yang banyak dan memeriksa kesahihan akaun peniaga melalui portal khas Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.

Selangor merekodkan 122 kes penipuan jualan pelitup muka dalam talian, tertinggi di negara ini sejak 18 Mac lalu hingga semalam.

Sebanyak 572 kertas siasatan dibuka dengan anggaran kerugian RM5.5 juta. Setakat ini, seramai 181 individu ditahan manakala 53 individu lagi dituduh di mahkamah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes tipu pelitup muka RM5.5 juta, Selangor paling tinggi

SHAH ALAM, 4 JUN: Selangor merekodkan 122 kes penipuan jualan pelitup muka dalam talian, tertinggi di negara ini sejak 18 Mac lalu hingga semalam.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata ia diikuti Johor dan Pulau Pinang, masing-masing 68 kes membabitkan urusan jual beli di Facebook dan WhatsApp.

“Elakkan berurusan di laman sesawang mencurigakan dan semak ulasan serta komen daripada pembeli lain. Jangan terpedaya dengan tawaran murah,” tegas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Susulan itu, katanya, polis membuka 572 kertas siasatan dengan anggaran kerugian RM5.5 juta. Setakat ini, seramai 181 individu ditahan manakala 53 individu lagi dituduh di mahkamah.

Pelitup muka mendapat permintaan tinggi daripada pengguna susulan penularan Covid-19.

Categories
AGENSI SELANGOR

300 kotak pelitup muka untuk institusi tahfiz al-Quran Selangor

KLANG, 2 JUN: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbang 300 kotak pelitup muka kepada Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (Pitas) semalam.

Pengurus Besar Yide Nur Mohd Razali Abdullah berkata ia sebagai tanda prihatin terhadap keperluan perlindungan diri golongan memerlukan ketika berada di pusat komersial atau kawasan umum bagi mencegah penularan Covid-19.

“Bantuan kepada mereka ini adalah hasil sumbangan ikhlas daripada orang ramai yang menyalurkannya ke Tabung Covid-19 Mais,” katanya dalam kenyataan.

Sumbangan disampaikan Setiausaha Mais Dr Ahmad Shahir Makhtar kepada Pengerusi Pitas Muhammad Hafiz Mohd Haneefa.

Mohd Razali berkata pihaknya turut serta dalam penyerahan barangan berkenaan kepada sekolah dan maahad tahfiz berdaftar di bawah Pitas untuk digunakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jual pelitup muka mahal, peniaga didenda RM20,000

SHAH ALAM, 2 JUN: Sebuah premis perniagaan didenda RM20,000 serta-merta oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor kerana menjual pelitup muka melebihi harga maksimum.

Tindakan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dalam pemeriksaan di sekitar Petaling Jaya semalam.

“Dalam pemeriksaan yang dijalankan, tujuh aduan berjaya disiasat dan satu tindakan kes dihasilkan kerana menjual atau menawarkan untuk menjual barangan harga terkawal (pelitup muka) melebihi harga maksimum,” kata KPDNHEP melalui Facebook hari ini.

Agensi tersebut memaklumkan sebuah pasar raya turut didenda RM2,000 mengikut akta sama kerana gagal mempamerkan tanda harga pada setiap barang yang dijual.

“Pemeriksaan yang dilakukan dapat menghasilkan pengeluaran 72 kenyataan pemeriksaan premis kepada premis persendirian dan terbuka sebagai bukti kehadiran dan pemeriksaan daripada penguat kuasa di lapangan,” katanya.

Sementara itu, KPDNHEP memaklumkan pemeriksaan ke atas farmasi mendapati bekalan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman mencukupi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Jual pelitup muka mahal, pemilik premis runcit dikompaun RM10,000

CHUKAI, 26 MEI: Seorang pemilik premis runcit dikenakan kompaun sebanyak RM10,000, selepas dikesan menjual pelitup muka melebihi harga siling yang ditetapkan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu Saharuddin Mohd Kia berkata, hasil pemeriksaan, anggota penguatkuasa KPDNHEP Kemaman mendapati pemilik premis tersebut, seorang wanita berusia 45 tahun telah menjual 70 unit pelitup muka tiga lapis dengan harga RM2.40 seunit.

“Kesemua barangan bernilai RM168 itu dirampas dan siasatan sekitar pukul 12.30 tengah hari tadi dibuat mengikut peruntukan di bawah Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Sekiranya disabitkan kesalahan, denda maksimum boleh dikenakan terhadap individu tersebut sebanyak RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saharuddin berkata, harga jualan runcit bagi pelitup muka yang dikawal ialah RM0.15 seunit bagi jenis satu lapis, RM0.20 seunit bagi jenis dua lapis, RM1.50 seunit bagi jenis tiga lapis dan RM6 seunit bagi jenis N95.

Dalam pada itu, Saharuddin berkata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), KPDNHEP Negeri Terengganu telah menjalankan 5,798 pemeriksaan dan melibatkan 87 kes dengan nilai kompaun sebanyak RM33,000.

Selain itu, sebanyak 205 aduan yang diterima daripada orang awam, telah diambil tindakan oleh pihaknya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tindakan tegas pasar raya jual mahal pelitup muka

MELAKA, 13 MEI: Tindakan tegas akan dikenakan terhadap pasar raya yang didapati cuba mengambil kesempatan terhadap orang ramai dengan memaksa mereka membeli penutup mulut dan hidung pada harga yang tinggi sebelum memasuki premis mereka.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi berkata semua pasar raya diingatkan agar mematuhi harga siling yang ditetapkan kerajaan bagi penutup hidung dan mulut tiga lapisan iaitu pada harga RM1.50 seunit.

“Orang ramai perlu buat aduan jika ada pasar raya yang bertindak sedemikian. Kita akan jalankan siasatan dan kalau benar perkara itu berlaku, ada pasar raya yang melanggari undang-undang itu, kami boleh ambil tindakan terhadap pasar raya terbabit,” katanya pada sidang media selepas melawat kilang MAMEE-Double Decker (M) Sdn Bhd di sini, hari ini.

Satu portal berita hari ini melaporkan pengurusan sebuah gedung pakaian terkenal di Kelantan didapati mengenakan syarat semua pengunjung memakai penutup mulut dan hidung ketika berada di dalam premisnya mengambil kesempatan menjual barangan itu dengan harga RM10 untuk lima keping atau RM2 sekeping.

Sementara itu, Nanta berkata mi segera menjadi laris sepanjang pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas sehingga semalam.

“Pada 18 Mac lalu, kadar keberadaan mi segera di pasaran adalah 63.16 peratus dan kadar keberadaan makanan itu meningkat sangat stabil kepada 98.10 peratus pada semalam,” katanya.

Dalam perkembangan lain, menurut beliau Skim Kawalan Harga Musim Perayaan terhadap 11 jenis barangan sempena perayaan utama yang bakal menjelang iaitu Hari Raya Aidil Fitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai akan dilaksanakan selama tujuh hari dan tarikh pelaksanaannya akan diumumkan tidak lama lagi.

Beliau berkata sejak 18 Mac sehingga semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melakukan 53,349 pemeriksaan dan pemantauan premis perniagaan bekalan dan harga membabitkan 1,427 pengilang, 11,453 pemborong dan 40,469 peruncit.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KP Kesihatan: Pakai pelitup muka di kawasan awam dan sesak

PUTRAJAYA, 4 MEI: Pemakaian pelitup muka sangat digalakkan dalam kalangan rakyat terutama bagi mereka yang berada di kawasan awam dan sesak bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

“Kementerian Kesihatan (KKM) menggalakkan mereka memakai pelitup muka tetapi sekarang ini bukan satu kewajipan,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham mengingatkan syarat lain juga perlu dipatuhi iaitu penjarakan sosial yang selamat sekurang-kurangnya satu meter serta amalan kebersihan diri yang tinggi dengan kerap mencuci tangan.

“Kalau boleh amalkan jarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter jadi kita boleh elakkan penularan Covid-19. KKM harap semua rakyat Malaysia akan patuh kepada tatacara operasi piawai (SOP),” katanya.

Ditanya mengenai pematuhan orag awam terhadap Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Dr Noor Hisham berkata ia terlalu awal untuk dinilai.

“Bagaimanapun, melihat kepada amalan di negara lain seperti Taiwan dan Korea Selatan, mereka tidak ada PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) tetapi mereka mempunyai disiplin sosial dan mematuhi SOP.
“Sekarang SOP adalah jelas dan KKM menggesa semua rakyat Malaysia untuk mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup separuh muka, kerap membasuh tangan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata SOP untuk industri dan restoran juga jelas dan pematuhannya adalah sangat penting untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Jika mereka boleh mematuhinya, kita boleh memutuskan rantaian jangkitan, jika tidak terdapat risiko untuk kadar jangkitan meningkat lebih tinggi daripada 0.7 sekarang dan ini akan dipantau rapi,” katanya.

Mengenai justifikasi KKM terhadap PKPB yang diwartakan, Dr Noor Hisham berkata strategi KKM dalam PKP fasa 1, 2 dan 3 ialah untuk meratakan lengkung dengan menggalakkan setiap orang duduk di rumah.

“Melihat kepada situasi PKPB ialah untuk membenarkan sektor perniagaan beroperasi semula. Apa yang penting ialah mematuhi SOP.

“PKP fasa 1, 2 dan 3 dan bahagian awal fasa 4 ialah untuk memastikan orang ramai duduk di rumah, itulah mesejnya. Sekarang mesejnya kepada orang awam mengenai PKPB ialah mematuhi SOP,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata amat penting untuk orang awam mempunyai disiplin sosial dan pematuhan sosial, selain memastikan industri dan restoran mematuhi SOP atau berhadapan tindakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

-BERNAMA