Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Pelitup muka: Perisai penting hadapi Covid-19

Oleh Hasnah Jusid

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Percaya atau tidak, kini pelitup separuh muka, yang biasanya hanya dipakai sewaktu musim jerebu di negara ini, kini sudah dikategorikan sebagai ‘perisai’ paling penting dalam menghadapi musuh tidak kelihatan Covid-19, selain daripada memastikan penjarakan sosial.

Pemakaiannya dikatakan sebagai kaedah pencegahan penting mengelakkan penyebaran 60 peratus penyakit saluran pernafasan yang tersebar melalui virus, termasuk Covid-19.

Selaras dengan itu, mulai 1 Ogos ini, pelitup separuh muka wajib dipakai di dalam pengangkutan awam dan di kawasan sesak atau tumpuan umum, dengan orang ramai boleh didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988), sekiranya gagal mematuhi peraturan terbaharu itu.

Ini kerana walaupun Malaysia diiktiraf sebagai antara negara yang berjaya dalam menangani pandemik itu, namun nampaknya rakyat bersikap sambil lewa dalam pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) kerajaan, bagi membendung penularan wabak itu.

Peraturan baharu itu menimbulkan reaksi pelbagai pihak, pakar kesihatan dan orang awam yang bersetuju dengan langkah itu, menyifatkannya sebagai amat tepat bagi memastikan disiplin dan pematuhan orang ramai, sekali gus mengurangkan risiko jangkitan.

Menyedari keputusan kerajaan itu adalah untuk kebaikan bersama, seorang pekerja swasta Zaiton Mohamad, 35, berkata beliau sendiri berasa lebih yakin untuk berada di tempat awam apabila melihat ramai yang turut mengenakan pelitup separuh muka.

Pemakaian Pelitup Muka Penting

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM) Prof Dr Sazaly Abu Bakar berkata pemakaian pelitup separuh muka seharusnya sudah lama diwajibkan di kawasan sesak dan padat.

“Bila pakai pelitup muka ini, secara tidak langsung kita menghalang tangan daripada menyentuh kawasan pada anggota badan, yang boleh menyebabkan kemasukan virus ke dalam badan kita,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Farmasi Malaysia menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati dalam membeli pelitup muka fabrik atau tiga lapis, yang banyak dijual dalam talian.

“Pada saya masyarakat kena tahulah, jangan main pakai saja tapi benda itu tidak mendatangkan kesan perlindungan, atau pencegahan.

“Kalau beli dalam talian siapa nak bertanggungjawab jika terjadi apa-apa. Bagaimana mahu tahu sumber pelitup muka itu dari mana pembuatannya. Sebab kita mahukan yang pertama berkualiti yang kedua, selamat digunakan dan ketiga ia berfungsi,” kata Pengerusinya, Amrahi Buang.

Keluhan Orang Ramai Harga Mahal Pelitup Muka

Pada masa sama, di sebalik sambutan positif pelbagai pihak atas peraturan baharu itu, timbul juga keluhan mengenai harga pelitup separuh muka yang dikatakan agak mahal, ekoran terdapat peniaga yang menaikkan harga sesuka hati selain penjualan tiruan.

Malahan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), melalui pemeriksaan ke atas 43,402 premis di seluruh negara mulai 29 Jan sehingga hari ini, telah mengeluarkan sebanyak RM392,400 kompaun atas pelbagai kesalahan seperti menjual pelitup separuh muka melebihi harga maksimum.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata turut dikesan banyak kes penjualan pelitup muka tiruan, dengan modus operandinya membeli pelitup separuh muka tanpa jenama daripada China dan membuat pembungkusan semula.

Bagaimanapun, KPDNHEP dilihat mengambil langkah bijak dengan membuat keputusan mengurangkan harga siling pelitup separuh muka kepada RM1.20 seunit daripada RM1.50, dan harga borong bahan itu yang ketika ini RM1.45 seunit juga akan diturunkan kepada RM1.15 bermula 15 Ogos, seperti diumumkan Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi baru-baru ini.

Kerajaan juga akan terus mengkaji keperluan untuk menurunkan harga pelitup separuh muka dan memastikan bekalan mencukupi, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Pakai pelitup muka sekarang, tak perlu tunggu 1 Ogos

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Pandemik Covid-19 kembali mengancam adalah benar, seperti yang dapat dilihat di beberapa negara apabila ia kembali mengganas dan Malaysia tidak harus membiarkan ini berlaku kepada negara tercinta, kata Pengerusi Perikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye.

“Kewarganegaraan yang bertanggungjawab memerlukan pematuhan terhadap semua tatacara operasi piawai (SOP) dan semua peraturan lain yang mengatur keselamatan dan kesihatan rakyat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sebagai contoh pemakaian pelitup muka, tidak perlu menunggu sehingga 1 Ogos untuk mematuhi peraturan baharu itu.

“Kita boleh mula memakai pelitup muka sekarang. Masih ada tempoh satu minggu sebelum tarikh akhir dan diharapkan semua rakyat Malaysia akan menunjukkan sifat prihatin mereka dengan memakai pelitup muka dari sekarang dengan cara yang betul,” katanya.

Lee merujuk kepada pengumuman Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu mengenai pemakaian pelitup muka di kawasan sesak atau tumpuan umum dan dalam pengangkutan awam akan diwajibkan mulai 1 Ogos.

Sambil menyambut baik peraturan baharu itu, beliau menggesa kerajaan agar menjelaskan kekaburan mengenai definisi tempat awam dan kawasan sesak.

“Definisi jelas dan pematuhan ketat pasti akan membuahkan hasil yang diharapkan, diinginkan dan disambut oleh semua orang dalam perjuangan kita menentang Covid-19,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Petugas Covid-19 Selangor wajibkan pelitup muka di tempat awam

SHAH ALAM, 23 JULAI: Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) mewajibkan orang ramai memakai pelitup muka khususnya di tempat awam.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata dua kes positif membabitkan penularan tempatan baru-baru ini menunjukkan wabak itu masih wujud dalam komuniti.

“Kami di Selangor menetapkan pemakaian pelitup muka sebagai mandatori khusus di tempat awam, kecualilah di rumah sendiri atau dalam kereta.

“Ini menunjukkan virus ini masih dalam komuniti kita. Ia masih bersama kita. Saya harap tiada gelombang kedua, namun kes di Gombak dan Hulu Langat itu menunjukkan virus itu ada dalam komuniti kita,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Peningkatan kes penularan tempatan di Selangor menyebabkan daerah Gombak dan Hulu Langat kembali berada di zon kuning.

Beliau berkata orang ramai perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM) terutama pemakaian pelitup muka dan tidak terlalu selesa dengan kembali kepada norma kehidupan lalu.

Dr Dzulkefly turut bimbang dengan kes tidak bergejala kerana ia memberikan impak yang besar dan semua pihak perlu peka untuk menangani penularan wabak.

“Saya tegaskan sekali lagi, yang tidak bergejala itu adalah lebih bahaya kerana dia menyangka dia sihat. Kita kena tahu bahawa beban virus adalah maksimum sehari dua sebelum bergejala.

“Bayangkan sebelum bergejala itulah berlakunya jangkitan itu apabila kita batuk bersin dan sebagainya dan kita buat sentuhan-sentuhan, bersalaman dan sebagainya,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan wajibkan pelitup muka mulai 1 Ogos

SHAH ALAM, 23 JULAI: Kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di dalam pengangkutan awam dan tempat sesak bermula 1 Ogos bagi mencegah gelombang baharu jangkitan Covid-19.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata langkah tersebut perlu selepas masyarakat didapati leka dan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

“Kerajaan perlu bertegas kerana kita tidak mahu kes meningkat semula kerana langkah penting untuk mencegah penularan Covid-19 adalah pakai pelitup muka dan patuh penjarakan sosial serta amalan kebersihan diri yang tinggi.

“Sekiranya dijadikan mandatori kerajaan boleh menangkap individu tidak memakainya dan boleh didenda RM1,000 atau penjara jika gagal membayar kompaun mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Beliau menjelaskan bagi meringankan beban rakyat, kerajaan bersetuju membenarkan penggunaan pelitup muka kain yang dijahit sendiri.

“Ia berdasarkan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa pelitup muka kain juga berkesan untuk mencegah penularan covid-19,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

PBT boleh ambil tindakan premis tak patuh SOP, wajibkan pelitup muka

PUCHONG, 23 JULAI: Pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mengambil tindakan terhadap pemilik premis yang gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) termasuk mewajib pemakaian pelitup muka.

Ng Sze Han berkata perkara itu dibenarkan berdasarkan peruntukan yang ditetapkan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Kalau merujuk kepada Akta Kerajaan Tempatan, ada satu klausa yang menyatakan PBT berhak atau berkuasa untuk mengadakan apa-apa polisi atau garis panduan untuk menangani wabak.

“PBT boleh mengambil tindakan kepada pekedai-pekedai yang tidak mengikuti peraturan ini,” kata EXCO kerajaan tempatan ketika sidang media selepas melawat projek tebatan banjir di Puchong Jaya.

Beliau berkata buat masa ini tiada akta mewajibkan pemakaian pelitup muka, namun Kerajaan Negeri menasihatkan orang ramai memakainya di tempat awam bagi mengekang penularan Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bantu golongan tak mampu beli pelitup muka sebelum diwajibkan

SHAH ALAM, 22 JULAI: Kerajaan perlu memikirkan langkah bagi membantu golongan tidak berkemampuan membeli pelitup muka sebelum mewajibkan pemakaiannya di tempat awam, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya.

Michelle Ng Mei Sze berkata ia berikutan, pelaksanaan undang-undang itu dijangka dalam tempoh agak lama dan menyebabkan rakyat perlu membeli pelitup muka dalam jumlah banyak.

“Saya bersetuju dengan memakai pelitup muka di tempat awam memberi kesan dalam usaha untuk membendung penularan wabak Covid-19.

“Bagaimanapun, sebelum pemakaiannya diwajibkan, kerajaan perlu memikir cara untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan membeli pelitup muka untuk tempoh masa yang panjang, di samping memastikan bekalan secara berpanjangan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Orang awam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan mengamalkan penjarakan sosial serta memakai pelitup muka sepanjang berada di Perpustakaan Negara sebagai langkah bagi mengekang penularan COVID-19 ketika tinjauan pada 21 Julai 2020/ Foto: BERNAMA

Sementara itu, ADN Permatang, Rozana Zainal Abidin berkata pelitup muka wajib digunakan di tempat awam berikutan ada zon hijau di negeri ini yang sudah bertukar ke zon kuning.

“Ya, saya bersetuju kita memakai pelitup muka memandangkan beberapa mukim bertukar kepada kuning, seperti yang terkini adalah mukim Cheras.

“Kita boleh lihat ramai yang tidak menggunakan pelitup muka kerana merasakan keadaan telah pulih, namun kita sentiasa perlu ingat bahawa Selangor pernah mencatat kes tertinggi,” katanya.

Bagi ADN Dengkil, Adhif Syan Abdullah pula berharap supaya kerajaan dapat mewajibkan pemakaian pelitup muka ekoran terdapat peningkatan kes baharu Covid-19.

“Masyarakat tidak boleh ambil mudah dengan tidak memakai pelitup muka, ini kerana mungkin ada lokaliti yang kita pergi kebarangkalian mempunyai virus Covid-19.

“Sekiranya kita terus patuh dengan tatacara operasi piawai (SOP) seperti penjarakan sosial dan memakai pelitup muka, sudah tentu penyebaran wabak berkenaan dapat disekat,” katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan pihaknya kini sedang meneliti cadangan sama ada mengenakan denda RM1,000 atau penjara bagi individu yang tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua hukuman itu sedang dipertimbangkan untuk dilaksanakan sebelum mewajibkan pemakaian pelitup muka.

Beliau berkata pengenalan dua hukuman itu termaktub dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tidak pakai pelitup muka, pengguna SELangkah boleh lapor

SHAH ALAM, 22 JULAI: Pengguna aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) kini boleh membuat laporan sekiranya melihat ada individu tidak memakai pelitup muka di dalam mana-mana premis.

Ia boleh dilakukan apabila mereka mengimbas kod QR sebelum memasuki premis atau bangunan kerajaan.

Tinjauan SelangorKini mendapati, pengguna perlu menjawab soalan iaitu ‘Berapa orang yang anda perhatikan tidak bertopeng muka di sini?, kosong (0) atau 1-4 atau 5 dan lebih’.

 

Selain soalan berkenaan, pengguna juga akan diberi soalan, ‘Adakah orang di hadapan anda memakai pelitup muka (facemask) dengan betul (menutup hidung dan mulut)?’

Langkah berkenaan dilihat selari dengan saranan Kementerian Kesihatan (KKM) yang kini sedang meneliti cadangan sama ada akan mengenakan denda RM1,000 atau penjara bagi individu yang tidak memakainya di tempat awam.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua hukuman itu sedang dipertimbangkan untuk dilaksanakan dan pengenalannya termaktub dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Pada 15 Julai lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan seramai 6.15 juta individu sudahpun menggunakan aplikasi SELangkah dibangunkan Kerajaan Selangor.

Ia mula diperkenalkan 4 Mei lalu bagi menjejak jangkitan Covid-19 di mana-mana premis perniagaan atau pejabat bagi memudahkan pengesanan kontak jika berlaku.

Pemilik premis hanya perlu mencetak kod QR melalui portal selangkah.mbiselangor.com.my atau selangkah.my dan mempamerkannya untuk diimbas pengunjung.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pakai pelitup muka dengan betul, elak jangkitan Covid-19

PUTRAJAYA, 21 JULAI: Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengulangi gesaan supaya orang ramai memakai pelitup muka dengan cara betul.

Beliau berkata pemakaian alat tersebut merupakan satu kaedah pencegahan penting bagi mengelak penyebaran penyakit saluran pernafasan yang tersebar melalui virus, termasuk Covid-19.

“Ia boleh digunakan sama ada untuk melindungi orang yang sihat daripada dijangkiti atau untuk mencegah orang yang dijangkiti daripada menjangkiti orang lain,” tegasnya pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini, hari ini.

Pelitup muka perlu menutupi ruang hidung sehingga dagu manakala pemakaian tidak sempurna dengan membiarkan ia tergantung di leher, dahi atau menutupi sebahagian hidung dan mulut tidak bertepatan dan sebaliknya membawa risiko pencemaran atau jangkitan kepada pemakai.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas mengenai perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan semalam berkata kerajaan sedang menimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam dan perincian mengenainya akan diumumkan apabila peraturan berkaitan dimuktamadkan kerajaan.

Dr Noor Hisham berkata penggunaan pelitup muka boleh dibahagikan kepada penggunaan bagi tujuan perubatan dan bukan perubatan.

Penggunaan pelitup muka bagi tujuan perubatan melibatkan petugas kesihatan yang perlu menggunakan perlindungan seperti disarankan dalam panduan ‘Guidelines on Covid-19 Management in Malaysia’.

Bagi penggunaan pelitup muka bukan perubatan pula disyorkan untuk mereka yang tidak mengalami gejala namun berada di tempat Covid-19 tersebar luas dan jarakan sosial sukar diamalkan, contohnya golongan pekerja dan orang awam sihat yang berada di tempat awam dan persekitaran sesak.

Orang awam yang mempunyai gejala saluran pernafasan, golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan mereka yang mempunyai latar belakang penyakit-penyakit kronik, terutama di kawasan jangkitan Covid-19 berlaku serta jarakan sosial sukar diamalkan perlu menggunakan pelitup sebaruh muka ‘surgical 3-ply mask’, katanya.

Menurut beliau Pertubuhan Kesihatan Sedunia turut mengesyorkan pelitup muka bukan perubatan jenis fabrik dengan tiga lapisan iaitu lapisan dalam bersifat menyerap air (hidrofilik) dan lapisan luar yang diperbuat daripada bahan bersifat menghindar penyerapan air (hidrofobik) yang boleh mengehadkan pencemaran dari luar daripada menembus masuk ke hidung dan mulut pemakai.

“Lapisan tengah hidrofobik yang diperbuat daripada bahan bukan tenunan sintetik seperti polipropilena atau lapisan kapas boleh meningkatkan penapisan atau menahan titisan cecair.

“Kementerian Kesihatan turut mengingatkan bahawa pelitup muka bukan perubatan, bukanlah satu alat perubatan mahupun alat pelindung diri,” katanya.

Selain itu, beliau menegaskan pelitup muka bukan perubatan tidak boleh dipakai oleh kanak-kanak yang berumur kurang daripada dua tahun, bagi mereka yang sukar bernafas dan individu yang tidak sedarkan diri, tidak atau kurang berupaya dan mereka yang tidak dapat menanggalkan pelitup muka tanpa bantuan.

Dr Noor Hisham berkata KKM sangat menggalakkan pemakaian pelitup muka terutamanya di kawasan awam dan berisiko tinggi jika penjarakan sosial sukar diamalkan.

Katanya, pemakaian pelitup muka belum diwajibkan kerana jika ia diwajibkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), mereka yang gagal memakainya boleh dikenakan denda atau penjara.

Beliau berkata kerajaan masih melihat kepada tindakan denda atau penjara tetapi KKM hanya mengesyorkan pemakaian kerana ia dapat memutuskan rantaian jangkitan sehingga 65 peratus.

“Sekarang ialah isu kalau mewajibkan (pemakaian) apakah kita akan mengenakan denda RM1,000 kepada mereka yang tidak pakai di tempat awam ataupun penjara. Itu sedang diteliti sebelum kita laksanakan mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata dua kaedah dapat mencegah penularan Covid-19 iaitu pemakaian pelitup muka dan jarakan sosial yang dapat memutuskan rantaian sehingga 70 peratus.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan pertimbang wajibkan pelitup muka di tempat awam

SHAH ALAM, 20 JULAI: Kerajaan sedang mempertimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam, kata perdana menteri.

“Perincian mengenai perkara itu akan diumumkan apabila peraturan berkaitan dimuktamadkan kerajaan,” kata Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas Perkembangan Terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bangunan Parlimen hari ini.

Beliau turut menegur orang ramai yang dilihat semakin mengabaikan tatacara operasi piawai (SOP) terutama dalam pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial.

“Saya selalu berpesan supaya saudara-saudari semua elakkan berjabat tangan. Saya tengok sekarang bukan sahaja berjabat tangan malah berpeluk ketika berjumpa sahabat handai dan sanak-saudara.

“Ya, itu bagus untuk eratkan persahabatan dan persaudaraan tetapi jangan lupa kita masih berada dalam fasa pemulihan Covid-19, jadi amalan ini walaupun baik dari segi pergaulan sosial, namun tidak baik untuk mengelak dijangkiti virus,” katanya lagi.

Muhyiddin berkata sepanjang fasa PKPP, semua pihak adalah petugas hadapan yang perlu menasihati antara satu sama lain.

“Ibu bapa mesti sentiasa ingatkan anak-anak memakai pelitup muka ketika keluar dari rumah. Ingatkan mereka jaga penjarakan sosial, membasuh tangan, elakkan tempat sesak dan jangan berjabat tangan.

“Ingatkan mereka setiap hari. Tak mengapalah kalau dikata berleter pun kerana ini amat penting. Ini kerana kita semua sayangkan keluarga kita,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Manfaat Kiss diperluas untuk beli PPE, pelitup muka

SHAH ALAM, 15 JULAI: Manfaat Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss) diperluas untuk pembelian peralatan perlindungan peribadi (PPE), pelitup muka, sarung tangan dan cecair pembasmi kuman.

EXCO kebajikan berkata penambahbaikan bantuan terutama inisiatif untuk golongan wanita yang terjejas akibat Covid-19 kini pada peringkat akhir kelulusan.

“Kerajaan Negeri bersikap terbuka menerima maklum balas daripada pemegang kad bagi kebaikan semua pihak,” kata Dr Siti Mariah Mahmud ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa Dr G Gunaraj berhubung manfaat yang diterima penerima Kiss sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Pada 1 November tahun lalu, Selangor menambah peruntukan program berkenaan sebanyak RM12 juta menjadikan jumlah keseluruhan bagi 2020 meningkat kepada RM62 juta.

Sejak diperkenalkan pada 2017, inisiatif itu memberi manfaat kepada hampir 50,000 wanita di negeri ini.

Categories
AGENSI SELANGOR

KPDNHEP rampas 1,750 pelitup muka tiruan di Puchong

KUALA LUMPUR, 1 JULAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kelmarin merampas 1,750 keping pelitup muka tiruan dalam satu operasi di sebuah premis di Puchong, dekat sini.

Pengarah Penguatkuasanya Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun turut ditahan, disyaki menjual pelitup muka tiruan berkenaan secara dalam talian.

“Empat pegawai penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya menyamar sebagai pembeli dan berhubung dengan penjual sehingga membawa kepada lokasi pembungkusan pelitup muka.

“Operasi dijalankan susulan laporan daripada pemilik cap dagang berdaftar bagi pelitup muka jenama Cross Protection yang mengesyaki barangan berkenaan yang dijual secara dalam talian adalah palsu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata hasil serbuan merampas sebanyak 35 kotak jenama berkenaan dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1,575.

Katanya, modus operandi suspek ialah dengan membeli pelitup muka tanpa jenama daripada China dan membuat pembungkusan semula.

Iskandar Halim berkata permohonan reman ke atas suspek berkenaan dibenarkan oleh mahkamah bermula semalam sehingga Jumaat selama empat hari bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pakar: Kanak-kanak bawah lima tahun tidak sesuai pakai pelitup muka

IPOH, 29 JUN: Penggunaan pelitup muka bagi kanak-kanak berumur bawah lima tahun ketika di dalam kelas tidak digalakkkan kerana boleh mengundang risiko keselamatan, kata Pakar Perunding Kanan Pediatrik Datuk Dr Amar Singh.

Bekas Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh berkata kanak-kanak pada peringkat usia tersebut terutama yang percakapannya belum lancar atau mempunyai masalah kesihatan seperti asma, mungkin berdepan kesukaran jika memakai pelitup muka untuk tempoh lama.

“Mereka ini mungkin boleh pakai untuk sementara sahaja.

“Kanak-kanak yang ada masalah kesihatan seperti asma atau sakit jantung kita tidak cadangkan pakai pelitup muka untuk tempoh lama kerana bimbang mereka akan sesak nafas. Lebih membimbangkan kalau yang belum pandai bercakap (untuk beritahu masalah),” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Dr Amar Singh mengulas peraturan beberapa tabika serta tadika yang mewajibkan semua murid memakai pelitup muka sepanjang sesi pembelajaran apabila persekolahan bermula kembali Rabu ini selepas ditutup sejak 18 Mac susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Menurut Dr Amar Singh yang juga Penasihat Majlis Kebangsaan Intervensi Awal Kanak-Kanak (NECIC), bagi kanak-kanak yang boleh memahami dan mengikut arahan, pemakaian pelindung muka mungkin lebih sesuai.

“Tapi ini (pelindung muka) tidak begitu bagus berbanding pelitup muka, tapi ia tidak mengganggu, senang nak bernafas dan guru boleh tengok muka kanak-kanak itu,” katanya sambil menambah guru juga perlu setiap masa memakai alat itu bagi mengelak titisan air liur terkena pelajar.

Mengenai pemakaian cecair pensanitasi tangan, Dr Amar Singh berkata tiada masalah untuk kanak-kanak menggunakan cecair itu walaupun mengandungi alkohol kerana produk tersebut antara pilihan berkesan untuk menyahaktifkan bakteria serta virus termasuk Covid-19 selain membasuh tangan menggunakan air dan sabun.

“Ada ibu bapa bimbang untuk gunakan cecair pensanitasi tangan mengandungi alkohol kepada anak mereka, sebenarnya tiada masalah. Tetapi, jika tanpa alkohol itu sebenarnya tidak menjamin dapat membunuh kuman, bakteria atau virus,” katanya.

Pengguna disaran menggunakan cecair pensanitasi tangan mengandungi kadar alkohol 60 hingga 80 peratus untuk membasmi kuman dan peratusan lebih tinggi kurang sesuai kerana sifat bahan itu yang cepat kering selain menyebabkan kulit menjadi kering dan merekah.

-BERNAMA