Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

NGO digesa lebih kreatif laksana program cegah dadah

SHAH ALAM, 27 FEB: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dadah disaran lebih kreatif dengan mempelbagaikan program pencegahan dan pemulihan.

Dato’ Menteri Besar berkata NGO juga perlu merangka modul baharu serta bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk melaksanakan program bagi mendidik remaja, terutama pelajar sekolah supaya menjauhi najis berkaitan.

“Semua pihak perlu memainkan peranan dengan membantu kepimpinan setempat merancang, menggerak dan memperkasa aktiviti kemasyarakatan.

“Kita semua mesti bersama-sama memperkukuhkan tekad dan azam kerana ini merupakan usaha untuk meningkatkan martabat agama serta bangsa sekali gus merealisasikan Selangor Sejahtera Tanpa Dadah,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika berucap pada Majlis Penutup Sambutan Bulan Anti Dadah Peringkat Negeri Selangor di Bilik Mesyuarat di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Khamis lalu.

Teks ucapan dibacakan Setiausaha Kehormat Persatuan Mencegah Dadah (Pemadam) Selangor Daing Muhammad Reduan Bachok.

Beliau berkata komitmen Kerajaan Negeri mencegah penyalahgunaan dadah dizahirkan menerusi penubuhan Skuad Penerangan Komuniti (SPEAK).

“Saya berharap Pemadam dan SPEAK Negeri Selangor akan terus menjadi organisasi yang mampu memberi contoh dan terus melakukan usaha ini,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pemadam Selangor sumbang RM10,000 bantu mangsa bah Pahang

SHAH ALAM, 9 FEB: Persatuan Mencegah Dadah (Pemadam) Selangor menyumbang RM10,000 kepada Pahang yang terjejas teruk berikutan banjir awal bulan lalu.

Agensi tersebut berkata bantuan Misi Prihatin Banjir pada 30 Januari lalu akan diagihkan kepada lima daerah negeri itu bagi meringankan beban mangsa.

“Sumbangan ini mewakili Pengerusi Pemadam Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari sebagai tanda kesedaran sosial dan prihatin terhadap mangsa. Turut diserahkan ialah alatan pembersihan,” kata persatuan itu dalam kenyataan.

Pemadam memaklumkan misi melibatkan tujuh petugas mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan mendapat kelulusan polis serta Majlis Keselamatan Negeri Pahang.

Pada 26 Januari, Kerajaan Selangor menyerahkan bantuan kepada Pahang, Terengganu dan Kelantan susulan bencana yang melinda tiga negeri pantai timur itu.

Sebanyak RM1 juta diberi kepada Pahang manakala Terengganu dan Kelantan masing-masing RM500,000 melalui Pakej Kita Selangor yang diumumkan pada 20 Januari.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor catat kadar penagihan dadah terendah

SHAH ALAM, 9 DIS: Selangor mencatatkan kadar penggunaan dadah 0.21 peratus, paling rendah di negara ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyifatkan kadar itu sangat baik berikutan kepadatan penduduk negeri ini yang mencecah 6.3 juta orang.

“Kita belum lagi menang dan ia memerlukan usaha berterusan. Kita harap pelbagai program oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) dapat memerangi masalah ini,” katanya selepas merasmikan Lorong Antidadah dan Pejabat Pemadam Selangor semalam.

Pada masa sama, Amirudin mengakui Kerajaan Selangor sukar membanteras penggunaan dadah berikutan kedudukan demografi negeri yang menjadi tumpuan ramai.

“Selangor berhampiran ibu negara dan menjadi pilihan orang ramai yang sekali gus menyumbang kegiatan jenayah termasuk dadah,” katanya lagi.

 

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Pemadam Selangor mohon sumbangan jaya Kasih Ramadhan

SHAH ALAM, 23 APRIL: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor memohon sumbangan pelbagai pihak untuk membantu golongan terjejas akibat penularan Covid-19 di bawah Program Kasih Ramadhan.

Organisasi itu berkata pihaknya menyasarkan membantu 5,200 orang membabitkan 1,300 keluarga yang terdiri orang kena pengawasan (OKP), warga emas dan asnaf bagi membolehkannya menjalani ibadat puasa seperti biasa.

“Pemadam Negeri Selangor mengalu-alukan orang ramai menyalurkan sumbangan wang serendah RM50 agar OKP, warga emas dan asnaf terpilih boleh terus bersahur dan berbuka puasa demi melaksanakan rukun Islam ketiga.

“Sumbangan Kasih boleh dilakukan melalui akaun Maybank Pemadam Negeri Selangor (0121 0132 3712) dengan tanda nota Kasih Ramadhan,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Untuk keterangan lanjut boleh menghubungi 011 2722 4764 (Sarah) menerusi aplikasi WhatsApp dan di Facebook, Twitter serta Instagram Pemadam Negeri Selangor.

Penyerahan sumbangan Kasih Ramadhan itu akan disempurnakan Dato Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari selaku penaung dan pengerusi Pemadam Selangor pada satu tarikh sesuai.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pemadam Selangor batal projek ‘Adopt Us’

SHAH ALAM, 17 APRIL: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor membatalkan projek ‘Adopt Us’ iaitu bantuan dana dan derma orang ramai untuk disumbangkan kepada Zoo Negara.

Pertubuhan itu menerusi Facebook memaklumkan usaha terbabit terpaksa dihentikan berikutan beberapa masalah teknikal tidak dapat dielakkan.

“Kami amat menghargai sumbangan anda dan berterima kasih atas sokongan. Penderma boleh hubungi Sarah di talian 011-2722 4764 untuk pemulangan wang,” kata kenyataan itu.

Projek itu bermula sejak 13 April lalu bertujuan memastikan haiwan di Zoo Negara mendapat bekalan makanan mencukupi.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pemadam Selangor bantu kumpul dana Zoo Negara

SHAH ALAM, 14 APRIL: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Negeri Selangor mengambil inisiatif membantu mengumpulkan dana dan derma orang ramai untuk disumbangkan kepada Zoo Negara.

Projek khidmat komuniti bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Suspended Meal itu bertujuan untuk memastikan haiwan di Zoo Negara mendapat bekalan makanan mencukupi.

Pemadam Negeri Selangor menerusi hantaran di Facebooknya berkata projek itu bermula semalam sehingga 30 April ini.

“Ayuh kita bersama-sama membantu untuk mengekalkan Zoo Negara sebagai pusat pemuliharaan dan pemeliharaan yang produktif di Malaysia,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh melakukannya menerusi akaun CIMB Pemadam Negeri Selangor (8001940436) atas nota ‘Derma ZN’.

Bagi sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Nadjwa di talian 012-9320812 atau WhatsApp ke 011-27224764 (Sarah) atau emel ke [email protected].

Baru-baru ini, Zoo Negara memohon sumbangan daripada orang ramai untuk mengumpul dana bagi menampung kos keperluan penjagaan seperti makanan.

Ini kerana walaupun Zoo Negara ditutup kepada umum berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), haiwan masih memerlukan penjagaan termasuk makanan dan perubatan.