Categories
SELANGOR

Selangor rampas tanah pemilik ingkar lakukan pembakaran terbuka

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 JUN: Individu yang secara sengaja atau tidak menyebabkan pembakaran terbuka di atas tanah milik mereka akan berdepan tindakan rampasan pemilikan bagi mengawal masalah jerebu yang sedang berlaku sekarang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata dua daerah sudah dikenal pasti iaitu Klang dan Kuala Langat, bahkan borang rampasan tanah mula diedarkan.

Katanya, jabatan khas melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) ditugaskan untuk memantau kebakaran terbuka sedang mengesan kawasan yang dikenal pasti menyumbang kepada masalah berkenaan.

jerebu pembakaran terbuka johan setia 02“Buat masa ini, dua kawasan iaitu di Klang dan Kuala Langat kita kenal pasti dan senarai tanah yang dalam proses rampasan akan saya keluarkan secara rasmi esok (hari ini),” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Exco, di Bangunan SUK, di sini, semalam.

Abdul Khalid turut mengingatkan masyarakat di negeri itu khususnya pemilik tanah supaya bertanggungjawab terhadap aset mereka dan memantau supaya pembakaran terbuka tidak sering berulang.

“Kerajaan Negeri hendak ingatkan kepada masyarakat, jika didapati pembakaran berleluasa dan sering berlaku di tempat sama, maka kita akan kenakan proses rampas tanah.

_MG_6215 copy“Tidak bermakna terbakar sahaja, Kerajaan Negeri hendak ambil alih. Yang kita maksudkan adalah tanah yang asyik terbakar kerana ia memburukkan lagi jerebu terutama pada musim panas ini.

“Kita ambil keputusan ini kerana tuan tanah adalah mereka yang bertanggungjawab menjaga kepentingan aset mereka,” katanya.

Dalam laporan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat terdapat 49 kebakaran terbuka dikesan di Selangor yang menyumbang kepada keadaan jerebu.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Tingkat penguatkuasaan undang-undang, atasi pembakaran terbuka

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 18 JUN: Kerajaan Negeri mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang di semua agensi dalam usaha mengurangkan kes kebakaran kawasan tanah gambut yang menjadi punca jerebu.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong, berkata ia membabitkan undang-undang larangan melakukan pembakaran terbuka di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Katanya, tindakan seumpama itu juga dilakukan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) bagi mengenakan tindakan setimpal ke atas pihak yang melakukan pembakaran terbuka.

gambar hiasan

“JAS juga sudah menjalankan program pemantauan dan rondaan darat ke atas kawasan berisiko tinggi seperti tanah gambut dan tapak pelupusan sampah.

“Ia turut dilaksanakan melalui penerbangan udara dengan kerjasama Unit Udara Polis dan penerbangan swasta bagi pengesanan awal mengelak kebakaran daripada terus merebak,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Dr Xavier Jayakumar (PKR-Seri Andalas) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DNS), di sini, semalam.

Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke 30/2012 pada 15 Ogos 2012 juga memutuskan PTD berhak merampas tanah terbiar walaupun mempunyai pemilik apabila menjadi punca pembakaran terbuka.

elizabeth-sidang-dun-blue-01Elizabeth berkata, Kerajaan Negeri turut melebarkan usaha menangani masalah jerebu dengan menubuhkan Unit Penguatkuasaan Khas di Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagi memantau kawasan pertanian Revolusi Hijau, Johan Setia, Klang.

“Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Perhutanan serta Jabatan Mineral dan Geosains juga melaksanakan langkah pencegahan pembakaran terbuka di kawasan hutan (tanah gambut) dengan kaedah ‘Water Management System’ melalui pembinaan ‘Checkdam’ dan pembinaan telaga air tanah (Tubewell) untuk mengawal kebakaran daripada terus merebak,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Exco: Orang ramai digesa tidak buat pembakaran terbuka

Oleh: Norhayati Umor

SHAH ALAM 17 FEB : Orang ramai dinasihatkan tidak membuat pembakaran terbuka di tanah persendirian atau pertanian bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata sekiranya di dapati bersalah akan dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara lima tahun.

jerebu pembakaran terbuka johan setia 02Katanya, bagi tempoh 1 Februari hingga Selasa lalu, sebanyak 62 kes pembakaran terbuka dilaporkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang membabitkan tujuh daerah di negeri ini.

“Klang mencatatkan kes tertinggi iaitu 25, diikuti dengan Petaling 10 kes, Sepang lapan kes, Gombak dan Hulu Selangor masing-masing lima kes dan Kuala Langat satu kes,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata Kerajaan Negeri melarang sebarang pembakaran terbuka kerana ia akan memburukkan lagi keadaan memandangkan keadaan ketika ini panas dan kering.

“Kita bimbang sekiranya pembakaran kecil dilakukan, ia akan merebak ke kawasan lain,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Exco : Elak pembakaran terbuka jejas kesihatan

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 12 FEB : Kerajaan Negeri menyeru orang ramai tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka bagi mengelakkan keadaan berjerebu semasa cuaca panas yang melanda negara ketika ini semakin buruk.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata pembakaran terbuka bukan sahaja menyumbang kepada peningkatan suhu panas tetapi juga kejadian jerebu yang menjejaskan kesihatan.

DSC_1839“Kejadian pembakaran terbuka ini boleh berlaku sama ada secara sengaja, kecuaian atau tidak sengaja.

“Bagaimanapun, saya harap orang ramai cuba elakkan pembakaran terbuka ini sewaktu menguruskan sampah termasuk sampah kebun, pembersihan tanah dan sebagainya kerana ia tidak dibenarkan,” tegas Elizabeth dalam sidang media Mesyuarat Exco di sini.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama masyarakat untuk melaporkan sebarang kejadian pembakaran terbuka kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Jabatan Alam Sekitar bagi mengelakkan keadaan lebih buruk.

“Sesiapa yang tertangkap dan didapati bersalah boleh didenda sehingga RM500,000 dan boleh dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun,” katanya lagi.

Untuk bulan Februari ini sahaja, terdapat 62 kes pembakaran terbuka di tujuh daerah dilaporkan di seluruh Selangor dengan 15 kes berjaya diselesaikan sementara 47 kes lagi masih belum diselesaikan.

Kes pembakaran terbuka ini paling banyak dilaporkan di Klang dengan 25 kes diikuti daerah Petaling (10 kes), Sepang dan Hulu Langat dengan 8 kes masing-masing, Hulu Selangor dan Gombak (5 kes) dan Kuala Langat (1).

EZY