Categories
AGENDA NASIONAL

Fasa kedua program vaksin libatkan warga emas, OKU bermula hari ini

KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, bermula di beberapa negeri hari ini, dan akan berlanjutan sehingga Ogos.

Fasa kedua program vaksinasi yang melibatkan vaksin jenis Pfizer-BioNTech dan Sinovac, memberi keutamaan kepada 9.4 juta penerima warga emas berusia 60 tahun ke atas, pesakit penyakit kronik dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Di Pulau Pinang, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri itu Datuk Dr Asmayani Khalib berkata, seramai 2,024 warga emas di negeri tersebut dijangka menerima suntikan vaksin hari ini dan sebanyak lima dewan di setiap daerah akan dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) iaitu di Kompleks Masyarakat Penyayang di daerah Timur Laut; Kompleks Sukan Balik Pulau (Barat Daya); Dewan Millennium di Kepala Batas (Seberang Perai Utara), Dewan Serbaguna Jawi (Seberang Perai Selatan) dan Seberang Perai Arena Convention Centre (Seberang Perai Tengah).

Seorang warga emas Ang Ah Hay @ Teng Foo Ying, 91, ketika ditemui Bernama berkata, beliau berasa lega setelah menerima suntikan tersebut, malah turut menyeru orang ramai terutamanya warga emas untuk datang ke PPV terdekat bagi mendapatkan vaksin.

“Saya rasa lega sebab sudah terima vaksin…orang tua (warga emas) yang lain kena datang (ambil suntikan vaksin) supaya tidak dijangkiti Covid-19,” katanya yang ditemani anak lelakinya Ong Chin Huat, 56, selepas selesai menerima suntikan tersebut.

Di Terengganu, majlis pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Fasa 2 peringkat negeri dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Pusat Sains dan Kreativiti Kuala Terengganu (PSKT).

Tiga PPV dibuka untuk permulaan fasa kedua, iaitu di PSKT untuk daerah Kuala Terengganu, Dewan Datuk Seri Amar Diraja (Kemaman) dan Dewan Serbaguna Sungai Tarom (Setiu).

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak berkata, bagi penduduk di daerah lain, mereka boleh mendapatkan suntikan vaksin di klinik kesihatan sedia ada, dan pada masa sama bilangan PPV itu akan ditambah berdasarkan keperluan semasa.

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 250,399 rakyat Terengganu (29.7 peratus), telah berdaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin dalam MySejahtera setakat 14 April lepas.

“Empat daerah menunjukkan pencapaian melebihi 30 peratus iaitu Kemaman seramai 44,473 orang (33.6 peratus) diikuti Kuala Terengganu (59,713 orang iaitu 32.5 peratus), Marang (26,017 orang iaitu 32 peratus) dan Kuala Nerus (33,161 bersamaan 30.8 peratus),” katanya.

Di Negeri Sembilan, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri itu Datin Dr Harlina Abdul Rashid berkata, seramai 456 warga emas menerima suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech hari ini, melibatkan dua PPV iaitu seramai 228 individu di PPV Dewan Majlis Bandaraya Seremban dan selebihnya di PPV Pejabat Daerah dan Tanah Jempol.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah Jempol Syahrul Nizam Saleh berkata, seramai 12,478 individu di daerah itu telah mendaftar untuk menerima suntikan pada fasa kedua, dan menjangkakan angkanya akan terus bertambah berdasarkan kelancaran program pada hari ini.

Di Kedah pula, seramai 1,577 orang terdiri daripada warga emas dan OKU bakal menerima vaksin dalam tempoh empat hari terawal yang bermula hari ini di Stadium Tertutup, Sultan Abdul Halim di Alor Setar.

Menurut Pegawai Daerah Kota Setar merangkap Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) daerah Datuk Mohd Asri Redha Abdul Rahman berkata, pihaknya juga turun padang ke kawasan kampung untuk menggalakkan mereka mendaftar, termasuk membantu warga emas membuat pendaftaran dengan kerjasama Jabatan Penerangan.

“Bagi pusat pemberian vaksin di stadium ini, segala persediaan rapi telah dibuat untuk proses pemberian vaksin pada fasa kedua yang bermula hari ini,” katanya yang turut memaklumkan lebih 30 peratus penduduk Kota Setar berumur 18 tahun ke atas, telah pun mendaftar bagi menerima vaksin itu setakat ini.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

JKNS tawar jawatan pembantu tadbir kontrak program vaksin

SHAH ALAM, 17 APRIL: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menawarkan jawatan kosong kontrak sebagai pembantu tadbir (N19) di bawah Program Imunisasi Kebangsaan.

Jabatan menjelaskan tawaran tersebut terbuka kepada warganegara berumur 18 tahun ke atas di bawah Program Pekerjaan Jangka Pendek (MySTEP) bagi 2021.

“Pemohon mestilah berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan setaraf dengannya oleh kerajaan dengan tawaran gaji RM1,600 sebulan.

“Tempoh kontrak sehingga 31 Disember 2021 dan akan di tempatkan di JKNS,” katanya menerusi hebahan di Facebook.

Tambahnya, individu yang layak boleh mengemukakan resume beserta gambar berwarna dan salinan sijil berkaitan ke e-emel [email protected] pada atau sebelum 23 April jam 2 petang.