Categories
AGENDA NASIONAL

KKM belum terima dokumen Pfizer penilaian vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) masih belum menerima sebarang dokumen daripada syarikat Pfizer untuk penilaian pendaftaran dan pengujian vaksin Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Susulan itu, Dr Noor Hisham berkata KKM tidak mempunyai sebarang maklumat sama ada terdapat masalah dalam pembekalan dos vaksin itu sebagaimana yang dilaporkan oleh sebuah agensi berita antarabangsa.

“Adalah menjadi tanggungjawab NPRA untuk memastikan setiap produk itu melalui proses penilaian dan pengujian berasaskan prinsip-prinsip kualiti, keselamatan dan keberkesanan terlebih dahulu sebelum didaftarkan untuk pasaran di Malaysia.

“NPRA juga memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin serta ubat-ubatan yang berdaftar sentiasa terjamin melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai menjawab pertanyaan masyarakat berhubung laporan agensi berita Reuters pada 4 Dis yang menyatakan syarikat farmaseutikal tersebut mungkin tidak dapat mencapai sasaran pengeluaran vaksin berkenaan pada 2020 kerana kekurangan bahan mentah.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata KKM bagaimanapun akan sentiasa memantau perkembangan produk vaksin Covid-19 oleh Pfizer dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu.

“Pihak KKM akan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai dari semasa ke semasa,” katanya.

-BERNAMA