Categories
AGENDA NASIONAL

Hasil kajian bukti dos penggalak heterologous tawar lebih perlindungan

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Dos penggalak heterologous (vaksinasi primer Sinovac diikuti dos penggalak Pfizer) menawarkan lebih perlindungan terhadap jangkitan berbanding dos penggalak homologous (tiga dos vaksin Sinovac) dalam kalangan penerima Sinovac, menurut Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) Kementerian Kesihatan (KKM).

Menyangkal dakwaan Pharmaniaga Berhad berhubung keberkesanan lebih rendah penggalak heterologous dalam kalangan penerima vaksinasi primer Sinovac terhadap Omicron, ICR berkata fakta dan bukti sedia ada telah disalah tafsir.

“Di peringkat global, terdapat bukti yang konsisten dan baru muncul bahawa vaksinasi penggalak heterologous menghasilkan tindak balas imun yang lebih kuat dan efektif berbanding penggalak homologous bagi penerima primer vaksin tidak aktif (Sinovac).

“Selari dengan bukti baru muncul dan gelombang Omicron yang sedang berlaku, KKM terus mengesyorkan Pfizer atau AstraZeneca sebagai dos penggalak pilihan untuk penerima vaksin Sinovac,” menurut ICR dalam kenyataan, semalam.

Kenyataan itu menyebut di Malaysia, kajian Program Keberkesanan Dunia Sebenar Vaksin COVID-19 di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan menggunakan data dari 21 Nov 2021 hingga 7 Jan 2022, bagi membandingkan kadar jangkitan dalam kalangan penerima dos penggalak dan individu yang hanya melengkapkan vaksinasi primer.

“Analisis itu adalah berdasarkan data sebenar iaitu merangkumi 13 juta penduduk yang telah menerima vaksinasi primer Pfizer dan Sinovac.

“Selepas mengambil kira perancu, mereka yang baru sahaja menerima dos penggalak berdepan kemungkinan sekurang-kurangnya 90 peratus untuk tidak dijangkiti COVID-19 berbanding individu yang hanya mengambil dua dos vaksin,” katanya.

Merujuk kajian yang dijalankan di beberapa negara sebagai contoh, ICR turut menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai keberkesanan dos penggalak heterologous bagi vaksinasi primer Sinovac.

“Kajian yang dijalankan di Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong menunjukkan bahawa dua dos Sinovac disusuli dos penggalak Pfizer heterologous berupaya meningkatkan paras antibodi peneutralan terhadap varian Omicron selepas tiga hingga lima minggu menerima dos penggalak.

“Bagaimanapun, tiga dos Sinovac gagal untuk mengeluarkan antibodi peneutralan yang bertindak balas terhadap Omicron bagi kebanyakan penerima.

“Dalam satu lagi kajian di Brazil, dos penggalak heterologous (dengan AstraZeneca, Janssen dan Pfizer) menyaksikan tindak balas imun yang lebih baik berbanding dos penggalak homologous dengan dos penggalak Sinovac sekali gus berpotensi memberi perlindungan lebih utuh,” katanya.

Menurut ICR, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan menyebut rejim dos penggalak homologous mahupun heterologous secara imunologinya adalah berkesan.

“Satu pracetak daripada kajian di Chile mendapati keberkesanan vaksin yang diubah suai ke atas jangkitan COVID-19 bergejala adalah 78.8 peratus bagi tiga dos Sinovac, 96.5 peratus bagi dos penggalak Pfizer (menyusuli dua dos Sinovac) dan 93.2 peratus bagi dos penggalak AstraZeneca (menyusuli dua dos Sinovac).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM lulus vaksin untuk kanak-kanak 5 hingga 11 tahun

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Vaksin COVID-19 Comirnaty keluaran Pfizer (Pfizer) diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk imunisasi kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-368 yang bersidang hari ini.

“’Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion for Injection’ diluluskan untuk imunisasi COVID-19 kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.

Sediaan ini mempunyai kekuatan yang lebih rendah berbanding vaksin Comirnaty yang diberikan kepada individu berusia 12 tahun dan ke atas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu mesyuarat berkenaan juga meluluskan Comirnaty (Tris/Sucrose) 30mcg dengan formulasi baharu untuk imunisasi COVID-19 kepada individu berumur 12 tahun dan ke atas.

Formulasi baharu ini katanya tidak memerlukan pencairan sebelum disuntik dan mempunyai tempoh jangka hayat lebih panjang, iaitu 10 minggu berbanding formulasi sedia ada iaitu satu bulan apabila disimpan pada suhu 2 darjah Celcius  hingga 8 darjah Celcius dinyah beku.

Dalam pada itu PBKD juga meluluskan penggunaan vaksin Convidecia® Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Vektor Adenovirus Jenis 5) (Cansino) sebagai dos penggalak kepada individu berumur 18 tahun ke atas.

Vaksin penggalak ini katanya boleh diambil dengan sela masa tiga hingga enam bulan selepas menerima dos pertama vaksin yang sama.

Bagaimanapun katanya kelulusan pendaftaran bersyarat itu masih memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi vaksin-vaksin tersebut kekal positif,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Penerima Pfizer, AstraZeneca disaran ambil dos penggalak selepas tiga bulan

SHAH ALAM, 28 DIS: Kerajaan menyarankan individu yang menerima vaksin Pfizer dan AstraZeneca sekurang-kurangnya tiga bulan lalu mengambil dos penggalak.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata suntikan dos penggalak disyorkan kepada golongan warga emas, dewasa dan mempunyai penyakit kronik.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan sebahagian penduduk mula menerima dos penggalak pada Januari dan Februari depan. Keutamaan janji temu suntikan dibuat mengikut turutan umur dan status kesihatan.

“Kita akan buka lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) dan klinik kesihatan swasta bagi pemberian dos penggalak sama seperti Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebelum ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata KKM mengutamakan dos penggalak jenis vaksin Pfizer dan Astrazeneca manakala jenis Sinovac diberikan jika individu berkenaan mempunyai masalah kesihatan.

Mengulas lanjut, katanya hasil kajian awal melibatkan 21 juta pemberian dos penggalak di United Kingdom menunjukkan data keselamatan yang amat meyakinkan.

“Justeru, badan regulatori seperti di United Kingdom, Kanada dan Australia serta panel pakar kesihatan kini mengesyorkan sela masa bagi vaksinasi dos penggalak boleh diberi seawal tiga bulan selepas menerima vaksin primer,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Rumusan saintifik buktikan Pfizer berkesan sebagai dos penggalak

PUTRAJAYA, 12 NOV: Rumusan saintifik pemberian vaksin jenis Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech sebagai dos penggalak di luar negara termasuk Thailand, Chile dan Turki menunjukkan keberkesanan yang baik.

Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal, Institut kesihatan Negara (NIH) Dr Kalaiarasu M Peariasamy berkata vaksin Comirnaty digunakan sebagai dos penggalak di Malaysia buat masa ini.

“Apa yang kita lihat, untuk golongan muda dan lebih 65 tahun, vaksin Pfizer yang diberi sebagai dos penggalak menunjukkan peningkatan imuniti. Ini pada tahap yang tinggi,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Kalaiarasu berkata kajian di Chile menunjukkan dos penggalak secara homologous iaitu penerima vaksin Coronavac menerima dos penggalak dari jenis vaksin sama menunjukkan peningkatan keberkesanan terhadap jangkitan antara 56 hingga 80 peratus.

Bagi dos penggalak yang diberikan secara heterologous, atau penggunaan vaksin penggalak berlainan, iaitu Comirnaty menunjukkan kadar keberkesanan antara 56 hingga 90 peratus dan antara 56 hingga 93 peratus bagi vaksin keluaran AstraZeneca, katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata satu video yang tular mengenai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi perhatian kepada vaksin campuran digunakan sebagai dos penggalak, namun video itu dirakam pada Julai yang ketika itu tiada bukti saintifik yang nyata lagi.

Beliau berkata kajian vaksin campuran di beberapa negara seperti Thailand dan Chile menunjukkan keberkesanan yang baik sehingga 90 peratus.

Justeru Dr Noor Hisham menyeru individu yang sudah menerima tarikh menerima dos penggalak agar tampil mendapatkannya.

“Kami dapati 40 peratus tidak hadir untuk mendapatkan dos penggalak. Nasihat KKM adalah tampil dapatkan dos penggalak untuk tingkatkan imuniti menghadapi jangkitan berlaku,” katanya.

Dr Noor Hisham hari ini menerima dos penggalak, berkata jangkitan mula berlaku di beberapa negara Eropah termasuk Jerman dan Austria dengan peningkatan mendadak yang telah memulakan program vaksinasi lebih awal.

Katanya, situasi itu harus dijadikan pengajaran kepada rakyat Malaysia untuk segera mendapat dos penggalak bagi mendapatkan perlindungan selain menggunakan kaedah serampang dua mata iaitu meningkatkan liputan vaksinasi dan tindakan kesihatan awam.

Dr Noor Hisham berkata Sinovac dan AstraZeneca telah menghantar data kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk permohonan dos penggalak dan mesyuarat pada 17 Nov ini akan menilai semula data itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dos penggalak Pfizer diberi kepada penerima vaksin Sinovac mulai esok

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melanjutkan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 jenis Comirnaty (Pfizer-BioNTech) kepada individu yang telah lengkap dos vaksin Sinovac, sekurang-kurangnya selepas tiga bulan penerimaan dos kedua vaksin itu.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pemberian dos penggalak secara heterologous itu adalah secara penggunaan off-label dan akan diberikan kepada penerima vaksin Sinovac yang layak mulai esok secara berfasa di seluruh negara.

“Sebagai permulaan, dos penggalak ini akan diberikan kepada individu berumur 60 tahun ke atas berdasarkan saranan Strategic Advisory Group of Expert (SAGE) on Immunisation daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang bersidang pada 4 hingga 7 Okt lepas.

“Pemberian itu akan dijadikan sebagai cabang kajian dalam kajian The Real World Evaluation of Covid-19 Vaccination (RECoVaM) dan kajian kesan serius selepas vaksinasi (SAFECOVAC), iaitu bagi semua penerima dos penggalak,” katanya pada sidang media hari ini.

Khairy berkata pemberian dos penggalak itu dilakukan secara sukarela dan percuma di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan objektif memastikan tempoh perlindungan optimum kepada penerima vaksin Covid-19 di Malaysia.

Katanya inisiatif itu akan diterajui oleh pengamal perubatan swasta di bawah penyelarasan Protect Health Corporation Sdn Bhd.

“Individu yang layak akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera dan melalui pesanan ringkas kepada nombor telefon yang berdaftar bagi individu yang tidak mempunyai MySejahtera.

“Kaedah janji temu pemberian dos penggalak akan ditambah baik dari semasa ke semasa dan tidak lama lagi penerima vaksin boleh membuat janji temu melalui sistem yang sedang dibangunkan oleh KKM,” katanya.

Terdahulu Menteri Kesihatan itu berkata pelaksanaan pemberian dos penggalak telah dimulakan di seluruh negara pada 13 Okt lepas menggunakan vaksin Comirnaty, melibatkan seramai 47,728 penerima setakat 19 Okt lepas.

Beliau berkata ketika ini pemberian dos penggalak diberikan kepada penerima vaksin Comirnaty sekurang-kurangnya enam bulan yang lepas dengan keutamaan kepada anggota barisan hadapan (kesihatan dan keselamatan), warga emas berusia 60 tahun dan ke atas dan individu dengan komorbid.

Mengenai situasi pandemik bagi minggu epid ke-41 (10 hingga 16 Okt), Khairy berkata jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) awam bagi Zon Tengah (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya) mula menunjukkan tren meningkat selepas kebenaran merentas negeri diberikan pada 11 Okt lepas.

Beliau berkata situasi sama turut berlaku di Sarawak, terutamanya bagi pesakit kategori tiga, empat, dan lima, selepas kebenaran rentas negeri diberikan.

“Begitu juga trend kemasukan pesakit Covid-19 kategori tiga, empat, dan lima ke hospital awam di Zon Selatan, dengan Negeri Sembilan mula menunjukkan trend meningkat bermula minggu epidemik ke-40,” katanya.

Sementara itu, Khairy turut mengumumkan pelancaran Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan yang akan menelitikan strategi ujian untuk Covid-19 yang lebih jelas seperti konteks apa yang diperlukan untuk melakukan ujian Covid-19.

Katanya dokumen itu akan dimuat naik di dalam laman sesawang KKM pada pagi esok.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM lulus vaksin Pfizer sebagai dos penggalak pertama negara

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 Pfizer iaitu Comirnaty Concentrate for Dispersion for Injection (Comirnaty) diberi kelulusan bersyarat sekurang-kurangnya enam bulan selepas dos kedua bagi golongan berumur 18 tahun dan ke atas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkara itu diluluskan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-365 hari ini.

“Vaksin Comirnaty keluaran Pfizer Manufacturing Belgium NV (Belgium) dan BioNTech Manufacturing GmbH, Germany sebelum ini telah diluluskan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berumur 12 tahun dan ke atas pada 15 Jun lepas.

“Ini merupakan vaksin Covid-19 pertama yang diluluskan bagi penggunaan dos penggalak di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin ini dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa, bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi vaksin tersebut kekal positif.

“KKM sentiasa komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin Covid-19 di Malaysia, dengan memastikan ia telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

FDA beri kelulusan penuh penggunaan Pfizer

WASHINGTON, 24 OGOS: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Isnin menggesa individu yang belum divaksinasi untuk segera mendapatkan suntikan di tengah-tengah penularan varian Delta.

Biden berkata demikian selepas Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) memberikan kelulusan penuh terhadap vaksin Pfizer, lapor Xinhua.

“Jadi, biar saya katakan dengan jelas: Sekiranya anda antara satu daripada berjuta-juta orang Amerika yang sebelum ini tidak mahu disuntik selagi tidak mendapat kelulusan penuh dari FDA, sekarang saat yang dinanti telah tiba.

“Inilah masanya untuk anda divaksinasi dan dapatkannya hari ini,” kata Biden.

Sejak beberapa minggu lalu, pentadbiran Biden melancarkan keperluan vaksin dalam kalangan pekerja persekutuan, anggota tentera, kemudahan perubatan persekutuan dan pekerja rumah penjagaan.

Sehingga Ahad, 51.5 peratus daripada jumlah penduduk AS telah lengkap divaksin, menurut data CDC.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin mana yang lebih bagus lawan Covid-19, Sinovac atau Pfizer?

SHAH ALAM, 23 JULAI: Semua vaksin selamat dan berkesan melawan virus Covid-19 tetapi tahukah anda, mana yang lebih baik: Sinovac atau Pfizer?

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan kelebihan dua vaksin tersebut seperti berikut:

– Sinovac boleh mengurangkan jangkitan sebanyak 65.9 peratus, sementara Pfizer pula 64 peratus

– Sinovac berjaya mengurangkan kemasukan ke hospital sebanyak 87.5 peratus, sementara Pfizer pula lebih baik, 93 peratus

– Sinovac boleh mengurangkan kemasukan ke unit rawatan rapi 90.3 peratus, sementara Pfizer pula 93 peratus

– Sinovac mampu mencegah kematian sehingga 86.3 peratus, sementara KKM tiada maklumat tentang keupayaan Pfizer

KKM menegaskan semua vaksin yang diluluskan untuk digunakan di negara ini adalah selamat dan berkesan.

“Vaksin yang paling bagus adalah vaksin paling awal yang ditawarkan kepada anda,” kata kementerian melalui Facebooknya hari ini.

“Pengambilan vaksin untuk melindungi komuniti daripada penyakit Covid-19 yang teruk adalah prioriti sekarang.”

Categories
AGENDA NASIONAL

Sinovac, Pfizer sama berkesan rawat Covid-19, kurangkan kadar kematian

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Data perubatan mengenai penggunaan vaksin menunjukkan vaksin Sinovac dan Pfizer sama berkesan dalam melawan Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam catatan Facebook hari ini, Dr Noor Hisham berkata pada 7 Julai, New England Journal of Medicine menerbitkan laporan mengenai pengalaman Sinovac di Chile mulai Februari hingga Mei 2021 yang melibatkan 4.2 juta individu diberi vaksin sepenuhnya berbanding 5.5 juta penduduk yang tidak diberi vaksin.

“Sinovac didapati boleh mengurangkan jangkitan Covid-19 sebanyak 65.9 peratus, mengurangkan rawatan di hospital sebanyak 87.5 peratus, mengurangkan jumlah pesakit ditempatkan unit rawatan rapi (ICU) sebanyak 90.3 peratus dan mengurangkan kadar kematian sebanyak 86.3 peratus,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata ujian Pfizer sebaliknya yang melaporkan keberkesanan 95 peratus adalah sangat kecil dan hanya menganalisis 170 kes Covid-19 melibatkan sekumpulan lapan individu yang divaksinasi dan 162 orang yang tidak divaksinasi.

Oleh itu, beliau berkata tidak banyak perbezaan antara vaksin Sinovac dan Pfizer dalam penggunaannya.

“Kedua-duanya sangat berkesan untuk mencegah penyakit yang teruk dan dimasukkan ke hospital, tetapi kurang efektif untuk melawan Covid-19 bergejala ringan atau tanpa gejala,” tambahnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong zahir penghargaan Amerika Syarikat sumbang sejuta vaksin Pfizer

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada Amerika Syarikat (AS) atas sumbangan 1 juta dos vaksin Pfizer bagi meningkatkan keupayaan proses vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi laman rasmi Facebook Istana Negara hari ini turut menyampaikan ucapan terima kasih Al-Sultan Abdullah kepada Duta Besar Amerika Syarikat di Malaysia, Brian McFeeters atas sumbangan itu.

“Sumbangan ini jelas membuktikan persahabatan dan hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara.

“Semoga sumbangan bekalan vaksin ini membantu negara memerangi pandemik Covid-19 dan memperhebatkan lagi PICK,” titah baginda menerusi laman sosial itu hari ini.

Selain itu, Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Sains, Tenologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba atas pelaksanaan kerjasama antara Malaysia dan AS dalam menjayakan sumbangan bekalan vaksin itu.

Pada masa sama, Al-Sultan Abdullah turut menyeru rakyat di negara ini supaya bersama-sama berdoa agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi daripada sebarang musibah dan pandemik Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.

Semalam, sebanyak 1 juta dos vaksin jenis Pfizer BioNTech sumbangan AS tiba di Lapangan terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada pukul 8.10 pagi menerusi penerbangan Raya Airways, sehari selepas negara itu menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-245 tahun.

Sumbangan itu adalah sebahagian daripada 80 juta dos dijanjikan oleh Presiden AS Joe Biden kepada negara-negara maju dan membangun.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 25 juta dos vaksin Pfizer tiba suku ketiga tahun ini

PUTRAJAYA, 27 MEI: Malaysia akan menerima 25.6 juta dos vaksin Pfizer-BioNtech pada suku ketiga tahun ini, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Memaklumkan perkara itu pada sidang media Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara maya hari ini, beliau berkata ia susulan perjanjian tambahan sebanyak 12.8 juta dos, yang ditandatangani Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dengan syarikat pengeluar vaksin itu pada 21 Mei lepas.

“Ini menjadikan jumlah dos vaksin Pfizer yang telah ditempah kerajaan meningkat kepada 44.8 juta atau cukup untuk 70 peratus daripada jumlah populasi,” katanya.

Untuk bulan Jun sahaja, Khairy berkata negara akan menerima 2.2 juta dos vaksin Pfizer-BioNtech dengan 444,600 dos akan dihantar setiap minggu, selama lima minggu.

Khairy dalam pada itu berkata, rundingan terkini Malaysia dengan Sinovac Biotech dan Pharmaniaga Bhd diputuskan bahawa, kesemua tempahan sebanyak 12 juta dos vaksin keluaran syarikat dari Beijing, China itu, akan dihantar sepenuhnya pada Jun dan Julai ini.

Mengenai bekalan vaksin AstraZeneca pula, beliau menjangkakan penerimaan sebanyak 610,000 dos pada Jun dan 410,000 dos pada Julai.

“Bagaimanapun ini tertakluk kepada kelulusan NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara),” katanya.

Dengan statistik jadual penerimaan tersebut, beliau menjangkakan sasaran 150,000 suntikan vaksin dapat dilaksanakan sehari bermula bulan depan, selain penambahan jumlah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.

“Saya beri jaminan kepada rakyat yang belum dapat tarikh janji temu, akan memperolehinya dalam bulan-bulan akan datang. Penghantaran vaksin juga cukup dan cepat yang membolehkan program imunisasi berjalan lancar dan pantas,” kata Khairy.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada vaksin Covid-19 Pfizer dijual di platform Shopee

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Platform pembelian secara dalam talian Shopee menafikan pihaknya menawarkan vaksin Pfizer’s Covid-19 untuk jualan, sebagaimana yang dipaparkan menerusi satu foto yang tular di Twitter dan WhatsApp sejak beberapa hari lepas.

Shopee dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa pihaknya tidak dapat mengesan sebarang senarai jualan barang berkenaan di platform mereka.

“Penulis twit itu mengesahkan bahawa imej dalam foto berkenaan sebenarnya telah diubah suai, dan ia sememangnya palsu. Imunisasi Covif-19 adalah perkara yang berkaitan kesihatan negara, ia tidak seharusnya dianggap perkara remeh,” menurut kenyataan itu semalam.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengesahkan bahawa berita mengenai penjualan vaksin itu adalah palsu.

Shopee turut mengingatkan pihak yang menyebar maklumat palsu mengenai vaksin itu bahawa perkara berkenaan sedang dipantau oleh polis dan MCMC.

“Dua hari lepas, satu gambar palsu yang kononnya menunjukkan penjualan vaksin Covid-19 Pfizer di Shopee telah menjadi tular, dan ia disertakan dengan maklumat kononnya vaskin itu dijual pada harga RM63.88,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA