Categories
AGENDA NASIONAL

LLM diarah sedia laporan insiden perancah besi jatuh dalam seminggu

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan jurutera perunding iaitu Zaidun Leeng Sdn Bhd (ZLSB) diarah menyediakan laporan lengkap dalam tempoh seminggu berhubung insiden perancah besi jatuh di kawasan pembinaan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH), semalam.

Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan, laporan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) berhubung insiden yang berlaku di persimpangan bertingkat Kota Damansara, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada 7.15 malam itu juga akan diteliti sebelum tindakan lanjut diambil.

Menurut kementerian itu, kejadian tersebut berlaku di lokasi kelima daripada keseluruhan 14 lokasi di kawasan itu yang sedang menjalankan kerja-kerja dengan mengguna pakai kaedah kejuruteraan yang sama dengan empat daripadanya dilaporkan telah siap.

“Untuk makluman, semasa kerja-kerja menuang konkrit dijalankan, kawasan pembinaan adalah ditutup sepenuhnya kepada pengguna sepertimana prosedur yang telah ditetapkan.

“Semakan awal LLM menunjukkan reka bentuk perancah adalah teratur dan disahkan jurutera perunding. Baki kerja melibatkan 10 lokasi hanya boleh diteruskan setelah laporan audit oleh pihak Jurutera Perunding Bebas (ICE) dikeluarkan,” maklum kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

KKR yang kesal dengan kejadian itu juga telah mengarahkan pihak konsesi iaitu Projek Lintasan Damansara Shah Alam Sdn. Bhd. (PLDSASB) menghentikan serta-merta kerja yang melibatkan struktur sementara.

Selain itu, syarikat berkenaan juga diminta memberikan bantuan yang sewajarnya kepada dua pekerjanya yang cedera dalam kejadian itu.

Sebagai langkah keselamatan, lorong kanan kedua-dua hala di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di kawasan berkenaan juga ditutup sepenuhnya.

Dalam kejadian pada 7.15 malam semalam, dua pekerja warga Bangladesh berusia 20-an dan 40-an cedera selepas perancah besi runtuh di tapak pembinaan DASH.

Sementara itu, PLDSASB yang merupakan pemaju bagi projek pembinaan DASH dalam kenyataan berasingan memaklumkan operasi pembersihan perancah besi berkenaan yang masih berjalan akan bersambung esok apabila terpaksa dihentikan pada 3 petang tadi kerana hujan lebat.

PLDSASB juga menasihati pengguna lebuh raya berkenaan supaya berhati-hati ketika melalui kawasan terlibat yang lorong kanan dari kedua-dua arah Lebuhraya NKVE ditutup dan laluan kontra telah diaktifkan untuk melancarkan trafik, selain pengguna dinasihatkan mematuhi arahan pengawal trafik serta papan tanda penunjuk arah yang disediakan di lokasi.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) Datuk Mohammad Azlan Abdullah menjelaskan Prolintas selaku pemaju DASH secara konsisten mengingatkan kontraktor terlibat supaya sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) serta mengambil langkah bersesuaian dalam aspek keselamatan pembinaan lebuh raya.

“Hasrat dan objektif kami sangat jelas untuk memastikan projek ini dibina dengan cara yang paling selamat, siap pada waktunya dan mengikut standard amalan kejuruteraan tertinggi.

“Bagaimanapun, insiden yang berlaku pada petang semalam amat mendukacitakan dan kami bersama kontraktor terlibat iaitu MRCB Builders Sdn Bhd akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, serta akan terus menambah baik proses dan pelaksanaan projek yang sedia ada,” katanya.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan untuk rekod, pembinaan DASH melibatkan lapan kontraktor utama di samping penglibatan secara menyeluruh oleh jurutera perunding bebas dalam reka bentuk, pengawasan dan penyeliaan daripada pelbagai aspek.

Untuk sebarang maklum balas atau pertanyaan, orang ramai boleh hubungi mana-mana saluran komunikasi Prolintas menerusi hotline -1 300 88 5522 dan e-mel ke [email protected].

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Kerja pembinaan perlu dihenti kecuali Perkhidmatan Perlu – KKR

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Kerja pembinaan perlu dihentikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri yang terlibat, kecuali bagi kerja disenaraikan Perkhidmatan Perlu, kata Kementerian Kerja Raya.

Menurut kenyataan kementerian itu, kerja perlu merangkumi, antaranya penyelenggaraan dan pembaikan kritikal seperti pembaikan cerun dan jalan; pembinaan infrastruktur awam utama serta pembinaan bangunan bagi projek yang menyediakan penginapan pekerja yang lengkap di tapak bina atau Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ).

Pengecualian juga diberikan bagi operasi perkhidmatan profesional/perunding serta perkhidmatan lain dalam rantaian bekalan seperti bekalan bahan binaan dan penghantaran bahan, terhad kepada tapak bina yang diluluskan beroperasi.

Berdasarkan soalan lazim (FAQ) berkaitan PKP yang dikeluarkan kementerian itu, kebenaran beroperasi perlu diperoleh daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui portal Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) MITI.

Majikan juga perlu mematuhi peraturan waktu operasi ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

Pada masa sama, pekerja pembinaan tidak dibenar berpindah dari satu tapak bina ke tapak yang lain, di samping mereka perlu membawa pas pekerja yang sah atau surat kebenaran majikan dan surat kelulusan beroperasi CIMS MITI untuk sebarang pergerakan.

Menurut FAQ itu, Pegawai Penguasa Projek bertanggungjawab memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepenuhnya serta mengawal pergerakan keluar/masuk di tapak bina sepanjang tempoh PKP.

Kementerian itu turut mengulangi arahan semua pekerja asing diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19.

“Bagi pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), majikan hanya perlu membiayai kos perkhidmatan yang dikenakan oleh klinik kerana kit ujian RTK Antigen telah dibekalkan oleh Perkeso kepada klinik panel,” menurut FAQ itu.

Bagi pekerja asing yang bukan pencarum Perkeso, kos saringan perlu ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

KKR komited naik taraf jalan ‘blackspot’

KUALA PILAH, 18 APRIL: Kementerian Kerja Raya komited untuk menaik taraf jalan raya termasuk Jalan Persekutuan di seluruh negara yang dikesan sebagai ‘blackspot’ atau penyumbang kepada kadar kemalangan yang tinggi.

Menteri berkenaan, Baru Bian berkata, adalah menjadi dasar kementerian untuk memberi keutamaan kepada projek seumpama itu kerana ia melibatkan keselamatan dan nyawa.

Katanya, setiap negeri lebih mengetahui jalan mana di negeri masing-masing yang perlu dinaik taraf tetapi faktor ‘blackspot’ akan diambil kira dalam menentukan keutamaan sesuatu projek menaik taraf jalan itu.

“Ini adalah satu prinsip atau dasar kita yang mana kita juga akan menaik taraf Jalan-jalan Persekutuan di seluruh negara (dan) sekiranya ada faktor kemalangan itu, ia menjadi keutamaan pada kita,” katanya selepas merasmikan Laluan FT51 dari Kampung Sawah Liat ke Kampung Gedang daerah Kuala Pilah, di sini hari ini.

Turut hadir Anggota Parlimen Kuala Pilah Eddin Syazlee Shith yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Mengulas lanjut, Baru berkata projek FT51 itu dinaik taraf untuk mengurangkan kadar kemalangan.

“Saya ingin tekankan bahawa projek ini telah dimulakan selepas permohonan dibuat mengenai jalan raya di kawasan ini yang banyak kemalangan terjadi, jadi kita ambil serius kerana itu projek ini diterima tiga tahun lepas dan berjaya disempurnakan 17 Dis tahun lepas,” katanya.

Tambahnya, projek menaik taraf laluan FT51 juga adalah sebahagian daripada komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menyediakan infrastruktur sokongan bermutu tinggi yang mana jajaran itu menjadi laluan penting menghubungkan Negeri Sembilan Barat dan Timur meliputi daerah Kuala Pilah, Jempol dan Tampin.

“Kos yang telah diluluskan bagi projek ini adalah sebanyak RM25 juta meliputi kos keseluruhan termasuk pengambilan tanah, pengalihan utiliti manakala kos projek bernilai RM16.8 juta,” katanya.

SEREMBAN, 18 April — Laluan projek FT51 dari Kampung Sawah Liat Ke Kampung Gadang Kuala Pilah telah dinaik taraf bagi mengurangkan kadar kemalangan.
Projek yang menelan belanja sebanyak RM25 juta meliputi kos keseluruhan termasuk pengambilan tanah, pengalihan utiliti manakala kos projek bernilai RM16.8 juta telah dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya Baru Bian.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Saya juga amat berbangga kerana dimaklumkan penyerahan projek ini merangkumi tiga dalam satu iaitu ‘Certificate of Practical Completion’, ‘As-Built Drawings’ dan ‘Statement of Final Account’ yang perlu dicontohi projek lain yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya,” katanya.

Dalam pada itu, Baru juga berkata penjimatan kos bagi sesuatu projek yang dilaksanakan dapat dicapai sekiranya pelaksanaan projek dijalankan dengan lancar dan berdisiplin.

“Penjimatan kos menjadi isu yang penting dan kita galakkan kontraktor untuk jimatkan kos bahkan kita memang ada beberapa kontraktor yang dapat buat begitu (penjimatan kos) dan ini adalah satu teladan bagi kontraktor lain,” katanya.

Projek menelan kos projek sebanyak RM16.8 juta itu mula dibina pada 15 Mei 2015 dan siap pada 17 Dis 2018, melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan sepanjang 1.5 kilometer.

Ia melibatkan penambahbaikan selekoh berbahaya, menaik taraf bahu jalan berturap 2 meter dan tidak berturap 1 meter, pembinaan dua ‘box culvert’, pengambilan tanah pengalihan utiliti dan juga pengalihan sungai. -BERNAMA