Categories
AGENSI SELANGOR

Pelanggan e-Bazar Ramadan meningkat, ramai peniaga berminat sertai

SHAH ALAM, 6 MEI: Program e-Bazar Ramadan mendapat sambutan menggalakkan dengan jumlah pelanggan membeli juadah berbuka puasa semakin meningkat, kata Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor.

Justeru, pemerbadanan berharap sambutan orang ramai itu berterusan walaupun pelanggan sudah mempunyai pilihan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) dilaksanakan.

“MBI turut menerima permintaan dari peniaga untuk sertai e-dapur namun terpaksa dihadkan atas faktor penempatan.

“Setakat ini 133 peniaga sudah menyertai e-dapur ini membabitkan 10 lokasi selain beberapa restoran dijadikan pusat pengumpulan makanan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

E-dapur kini beroperasi di Ampang, Bangi, Semenyih, Sepang, Damansara, Klang, Petaling Jaya, Puchong, Seri Kembangan dan Subang Jaya. Lokasi ke-11 di Batu Caves akan beroperasi Khamis ini.

Pada 24 April lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan penyediaan 200 ruang untuk peniaga menjual juadah berbuka puasa melalui dua saluran e-dagang, Grab dan Platform Selangor (Plats) dengan penghantaran dibuat melalui Grab, BungkusIt, Mr Speedy, Zepto Express dan MatDespatch.

Pratempahan bermula 10 malam hingga 1 tengah hari manakala pesanan dalam talian dibuka bermula 2.30 sehingga 5.30 petang.

Categories
AGENSI SELANGOR

Penghidap ‘Hydrocephalus’ terharu terima kerusi roda bermotor

PUCHONG, 22 OKT: Kerusi roda bermotor yang diterima menjadi hadiah paling bermakna bagi penghidap penyakit Hydrocephalus atau kepala besar, Muhammad Helmi Firdaus Abdul Halid, 22, selepas berdepan kesukaran berdiri dan berjalan ekoran penyakit kronik itu sejak kecil.

Kerusi roda berkenaan disumbangkan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor menerusi Bisnes Amal MBI di rumahnya di Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara 6 di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI, Mohd Jaafarudin Md Ali berkata, kerusi roda elektrik yang dilengkapi indikator tahap kelajuan dan bateri disumbangkan bagi memudahkan pergerakan anak bongsu daripada tiga beradik itu menjalani rutin harian.

“Ini antara salah satu pendekatan CSR MBI dalam menyantuni golongan memerlukan. Keputusan membekalkan kerusi roda elektrik kerana ia lebih efisien dan sesuai untuk kegunaan hariannya.

“Dia (Helmi) bukan sahaja duduk di rumah, tetapi sebenarnya perlu berulang alik ke tempat kerja di Puchong Perdana.

“Walaupun Orang Kelainan Upaya (OKU), tetapi dia tidak pernah berputus asa dengan ujian ini, sebaliknya terus bekerja keras demi menyara kehidupan kakak dan ibunya,” katanya kepada SelangorKini, hari ini.

Ketua Pegawai CSR Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor, Mohd Jaafarudin Mohd Ali. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sumbangan diserahkan Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong dan turut dihadiri Pegawai Kordinator Program Yayasan Hydrocephalus Negara, Nur Iman Rusdi.

Pada masa sama, MBI turut menghulurkan sumbangan wang tunai berjumlah RM3,000 kepada ibu pemuda terbabit, Hasazila Mohamed Hashim, 46, yang menderita penyakit buah pinggang dan jantung.

Sementara itu, Helmi yang mesra disapa sebagai Amy mengakui terharu atas keprihatinan MBI menyumbangkan kerusi roda berkenaan memandangkan dia sudah lama menantikan bantuan seumpama itu.

“Saya gembira dan berterima kasih dengan bantuan ini kerana seumur hidup saya tidak pernah pakai kerusi roda.

“Saya tidak tahu untuk balas macam mana, sebaliknya hanya mampu berdoa semoga Allah SWT murahkan rezeki penyumbang,” katanya yang sebelum ini pernah bergerak menggunakan papan luncur.

Bagaimanapun, Amy yang kini bekerja secara kontrak sebagai penjaga dan pencuci tandas awam sejak empat tahun lalu berkata, dia tidak pernah menganggap status OKU sebagai halangan untuk bekerja demi menyara kehidupan menggunakan wang hasil titik peluh.

Elizabeth Wong (dua, kiri) menyerahkan sumbangan kerusi roda bermotor kepada Muhammad Helmi Firdaus (tengah), turut sama Mohd Jaafarudin Mohd Ali (kanan) ketika Program CSR MBI di Pangsapuri Enggang, Puchong pada 22 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Buat masa sekarang, walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda saya akan terus tolong ibu mencari rezeki selagi kudrat masih ada.

“Dalam pada itu, saya harap ibu bapa di luar sana yang memiliki anak OKU supaya terus memberikan semangat jika anak mereka mahu bekerja dan jangan halang, tetapi kena pantau juga,” katanya sambil menitiskan air mata.

Sebelum ini, kisah hidup Helmi yang penuh inspirasi disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan dengan menunjukkan pengorbanan pemuda OKU itu dalam mencari rezeki halal kerana perlu memikul tanggungjawab sebagai tulang belakang keluarga.

Lebih luluh, dalam paparan berkenaan, dia yang lumpuh daripada pinggang ke kaki menyatakan keinginan untuk mendapatkan pekerjaan tetap untuk terus menyara kehidupannya sekeluarga.

Pada masa ini, Amy mendapat bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan.

Difahamkan, sebagai usaha mencari pendapatan tambahan, dia turut mengutip besi buruk dan tin untuk dijual.

Pembaca yang ingin menyumbang boleh menghubungi Hasazila Mohamed Hashim di talian 011 6194 7550 atau melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1013129000075371 Muhammad Helmi Firdaus.

Categories
AGENSI SELANGOR

Jelajah 360 Smart Selangor di Kapar bermula hari ini

KAPAR, 7 SEPT: Jelajah 360 Smart Selangor anjuran Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor untuk siri keenam bagi daerah Klang yang berlangsung di Jalan Pasar Malam Bukit Kapar, di sini, bermula hari ini.

Jelajah berkonsepkan karnival itu turut mendapat kerjasama erat Universiti Selangor (UNISEL) termasuk Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Aktiviti yang berlangsung hari ini termasuk taklimat pinjaman simpanan oleh Hijrah Selangor, program motivasi pelajar, ‘meet and greet’ Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan tidak ketinggalan cabutan bertuah.

Adun Sementa, Daroyah Alwi bergambar bersama pemenang yang menjawab soalan pada sesi taklimat Kempen Jimat Air ketika program Karnival Jelajah 360 Smart Selangor di Jalan Pasar Malam Bukit Kapar Klang, pada 7 September 2019.Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Penduduk Klang juga berpeluang menikmati Konsert Alami Smart Selangor yang akan diserikan dengan kehadiran Aiman Tino, Mark Adam, Shiha Mentor, Sabhi Sadhi dan Man Raja Lawak.

Karnival jelajah yang berlangsung hingga esok turut menampilkan Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad juga isteri kepada Dato’ Menteri Besar melalui program Zumbathon.

MBI dalam kenyataan berkata, pemilihan Klang sebagai lokasi ketiga mempunyai signifikan tersendiri termasuk bergelar Bandar DiRaja bagi Selangor serta mempunyai kepadatan penduduk tertinggi.

Pengunjung yang hadir pada program Karnival Jelajah 360 Smart Selangor di Jalan Pasar Malam Bukit Kapar Klan, pada.7 September 2019.Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

“Rakyat Selangor dipelawa memeriahkan karnival ini kerana pelbagai inisiatif diperkenalkan Kerajaan Negeri bagi meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

“Jelajah 360 Smart Selangor juga dilihat mampu menghubungkan rakyat secara terus kepada pentadbiran negeri dan pada masa sama ‘service delivery’ kerajaan dapat ditingkatkan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MBI: Mari rancakkan lagi ekonomi negeri

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG, 1 JUL: “Mari rancakkan lagi ekonomi negeri”, itu pesanan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor, Raja Shahreen Raja Othman.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Jalinan Lebaran MBI Selangor di Hotel Saujana Kuala Lumpur Subang di sini, hari ini.

“Hari ini MBI meraikan rakan-rakan seperniagaan dari seluruh negara dan juga negeri, kita bukan sahaja berniaga dengan mereka tetapi pada masa sama turut menjalinkan persahabatan.

“Semoga dengan persahabatan ini kita akan bersama-sama terus merancakkan lagi ekonomi negeri dan juga negara,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Majlis yang bermula pada jam 12 tengahari itu turut diserikan dengan kehadiran Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Hadir sama, EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Datuk Abdul Rashid Asari dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Mengulas lanjut, Raja Shahreen berkata, selain sahabat korporat, MBI turut meraikan ahli-ahli keluarga kakitangan MBI pada sebelah malam nanti.

“Dijangkakan kira-kira 3,000 tetamu yang hadir pada hari ini dan turut memeriahkan majlis,” katanya.

Pelbagai juadah enak dihidangkan kepada tetamu antaranya dimsum, lemang, ketupat dan tidak ketinggalan aiskrim durian.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Raja Muda berkenan rasmi trak Smart Selangor Virtual Reality Simulator

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 7 SEPT: DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan ‘Smart Selangor Virtual Reality Simulator’ di Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2018 (SIBS 2018), semalam.

Turut mengiringi baginda Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI Selangor), YM Raja Shareen Raja Othman.

Hadir sama Exco Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim.

Raja Shareen berkata, trak ‘Smart Selangor Virtual Reality Simulator’ itu merupakan usaha MBI Selangor mempamerkan secara holistik pelaksanaan ‘Smart Selangor’ dengan gaya persembahan yang progresif dan berkesan.

“Simulasi VR ini memberikan pengguna gambaran tentang masa depan ‘Smart Selangor’ selaras dengan wawasannya menjadi Negeri Pintar utama di ASEAN menjelang 2025.

“Ia menggambarkan Smart Energi, Pengurusan Sisa Pintar, Mobiliti Pintar serta Pendidikan Pintar, dalam kalangan yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran ‘Smart Selangor Virtual Reality Simulator’ yang diadakan sempena SIBS 2018, di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Pada masa sama, beliau berkata, Trak VR itu disediakan bermula 6 hingga 9 September juga Konvensyen Bandaraya Pintar dan Ekonomi Digital Selangor dari 13 hingga 15 September 2018 untuk orang ramai mencuba.

“Pavilion MBI Selangor juga mempunyai sudut Smart Selangor oleh Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), sudut SMARTSEL, sudut Maritim Gateway Selangor, dan pusat maklumat EIP,” katanya.

Beliau turut memaklumkan mulai Oktober 2018, MBI Selangor dan Universiti Selangor (UNISEL), Bahagian Teknologi Maklumat SUK, dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menganjurkan lawatan jalan dengan Trak VR Smart Selangor itu sebagai tarikan utama bermula dari Sungai Besar.

Katanya, ia bertujuan memberi peluang orang ramai mengalami Smart Selangor 2025 serta inisiatif dan program lain oleh Kerajaan Negeri Selangor.

“Antara aktiviti semasa Jelajah 360 Smart Selangor adalah pameran oleh agensi kerajaan dan jabatan, Perpustakaan Smart Smart Mobile, hiburan oleh artis tempatan, trak makanan dan tempat pasar serta forum dengan selebriti,” katanya.