Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

10 pendayung sampan santuari kelip-kelip terima bantuan makanan

SHAH ALAM, 15 FEB: Keluarga pendayung sampan Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan menerima bantuan bakul makanan dari Ahli Parlimen Kuala Selangor, baru-baru ini.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sumber pendapatan keluarga berkenaan terjejas ekoran tiada pelawat ke pusat pelancongan itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Seramai 10 keluarga menerima bantuan makanan ini, selain menyerahkan bantuan, ziarah kali ini juga membolehkan saya melihat keadaan kesihatan keluarga mereka terutamanya warga emas.

“Semoga pemberian bakul makanan ini dapat membantu meringankan belanja dapur keluarga berkenaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Dr Dzulkefly yang juga pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menasihatkan orang ramai terus patuh tatacara operasi piawai (SOP).

“Semoga keadaan akan pulih seperti sedia kala kerana kesan amat ketara terutamanya mereka yang bergantung kepada upah harian dan hasil laut,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

TNB bantu pendayung sampan kelip-kelip terjejas Covid-19

SHAH ALAM, 23 DIS: Seramai 36 pendayung sampan Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan, Kuala Selangor menerima sumbangan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Bantuan berjumlah RM25,500 disampaikan Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB Datuk Omar Sidek di Dewan Siantan Majlis Daerah Kuala Selangor pada 17 Disember lalu.

Omar dalam kenyataan berkata pihaknya peka terhadap keadaan ekonomi golongan itu yang kurang menerima pengunjung susulan penularan Covid-19.

“TNB menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka yang terjejas agar dapat bangkit semula dengan lebih kuat apabila keadaan mengizinkan,” katanya.

Pada 2005, syarikat tenaga itu memeterai kerjasama dengan Kerajaan Selangor bagi memulihara populasi kelip-kelip dan menjadikan kawasan itu sebagai kampung angkat.

Sebanyak RM5 juta disalurkan sejak 2007 bagi infrastuktur, promosi dan publisiti serta pembangunan ekonomi Kampung Kuantan.

Sementara RM2.8 juta diperuntuk antara 2017 hingga kini untuk penyelidikan dan pembangunan habitat kelip-kelip.

 

Categories
SELANGOR

TNB santuni pendayung sampan santuari kelip-kelip terjejas Covid-19

SHAH ALAM, 21 DIS: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyantuni 36 pendayung sampan Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan, Kuala Selangor ekoran pendapatan mereka terjejas akibat wabak Covid-19.

Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) Datuk Omar Sidek berkata sumbangan berjumlah RM25,500 disampaikan dalam satu majlis pada 17 Disember lalu.

“TNB peka dengan keadaan ekonomi pendayung sampan di Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan yang tidak lagi menerima kedatangan pengunjung seperti dahulu.

“Sebagai melaksanakan tanggunjawab sosial, TNB menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka yang terjejas agar dapat bangkit semula dengan lebih kuat apabila keadaan mengizinkan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Omar, Kampung Kuantan merupakan kampung angkat TNB selaras dengan keprihatinannya terhadap masyarakat setempat dan alam sekitar bagi manfaat generasi akan datang.