Categories
AGENDA NASIONAL

Parlimen: Turun harga kit ujian kendiri antara RM5-RM10

SHAH ALAM, 11 OKT: Ahli Parlimen Kuala Selangor mencadangkan kerajaan menetapkan harga siling kit ujian kendiri Covid-19 pada kadar RM5 hingga RM10 seunit bagi membolehkan lebih ramai mampu membelinya.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu juga bagi menyokong strategi FTTIS (kenal pasti, pengujian, pengesanan, kuarantin dan sokongan) yang diperkasakan kerajaan untuk beralih dari fasa pandemik ke endemik.

Menurutnya, ujian kendiri memainkan peranan penting untuk memutuskan penularan wabak dalam fasa endemik dan hanya boleh dilakukan secara meluas sekiranya kit berkenaan mudah diperoleh.

“Sebab itu saya cadangkan harganya mesti kurang RM10…kalau dapat RM5, kit berkenaan boleh menjadi peralatan seharian kepada orang ramai.

“Contohnya sebelum keluar rumah apabila seseorang mendapati dirinya mempunyai gejala, dia boleh buat ujian kendiri dan terus buat laporan di MySejahtera,” kata Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian pada perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Covid-19) yang antaranya bertujuan meningkatkan had statutori hutang negara kepada 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ketika ini, harga siling kit ujian kendiri RTK Antigen ditetapkan RM19.90 seunit bagi jualan runcit manakala RM16 satu set bagi harga borong.

Categories
AGENDA NASIONAL

Persekutuan majikan: Pelabur keluar jika laksana PKP panjang

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Kerajaan harus mencari langkah yang lebih relevan dan tepat untuk menilai keadaan Covid-19 tempatan dan bukan hanya bergantung pada jumlah jangkitan harian yang dicatatkan untuk menentukan kawalan pergerakan, kata Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF).

Presidennya Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata rakyat Malaysia tidak boleh terus hidup dalam ketakutan terhadap Covid-19 dan kekal dalam keadaan kawalan pergerakan yang berpanjangan kerana perniagaan dan rakyat tidak lagi mampu bertahan.

“Langkah kawalan pergerakan ini turut memberi kesan mengerikan terhadap kesihatan mental sebahagian besar rakyat Malaysia dengan kes bunuh diri, jenayah, keganasan rumah tangga, kemurungan dan kehilangan tempat tinggal meningkat dengan ketara.

“Selain itu, gangguan terhadap rantaian bekalan perniagaan kerana kawalan pergerakan yang berlanjutan boleh menyebabkan para pelabur yang sudah lama bertapak di sini untuk keluar dari Malaysia, sementara bakal pelabur pula akan lebih berwaspada untuk melabur.

“Situasi yang menekankan ini perlu berubah dan diperbetulkan dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Hussain menegaskan kedua-dua majikan dan rakyat memainkan peranan penting dalam mempercepat Pelan Pemulihan Negara (PPN) ke arah keadaan ‘normal baru’ dengan menerapkan dan mematuhi langkah-langkah keselamatan di tempat kerja.

Beliau menambah sudah tiba masanya majikan menunjukkan tanggungjawab yang serius dan meyakinkan rakyat dan kerajaan dengan menyediakan persekitaran kerja yang selamat, sihat dan bersih.

“Banyak negara yang terkena varian Delta yang diserap melalui udara telah menerima Covid-19 sebagai endemik dan jika semua pihak berkepentingan menyedari ini dan bekerjasama, itu akan memberikan kebaikan dan kesejahteraan kepada semua rakyat Malaysia,” ujarnya.

— BERNAMA