Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ringan beban rakyat, Selangor cadang jual telur, daging, ikan bawah harga siling

SHAH ALAM, 8 FEB: Kerajaan Negeri bercadang menjual telur ayam, daging lembu dan ikan di bawah harga siling dalam usaha meringankan beban rakyat.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashimi berkata perancangan itu susulan sambutan menggalakan orang ramai menerusi inisiatif jualan ayam dengan harga RM8 sekilogram

“Ini merupakan inisiatif terbaru sehingga perayaan Aidilfitri. Kita sudah perkenalkan ayam dan ia diikuti telur ayam, daging lembu dan juga beberapa jenis ikan.

“Kualiti produk yang dijual kita jaga manakala harganya pula di bawah harga siling,” katanya selepas menghadiri program Ikon Agro Selangor 2021 di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini, malam tadi.

Sementara itu, beliau berkata setakat ini terdapat dua lokasi jualan ayam murah dan pihaknya akan meluaskan lagi inisiatif tersebut di kawasan lain bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat.

“Sama ada kita bekerjasama dengan FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) Selangor atau PBT (pihak berkuasa tempatan) di pasar awam, kita akan memuktamadkanya nanti.

“Ini supaya bermula sekarang hingga hari raya, rakyat ada kemudahan dari segi mendapat keperluan harian ini dengan harga berpatutan,” katanya.

Kerajaan Selangor menjual ayam standard dengan harga siling RM8 sekilogram selama dua minggu bermula semalam bagi mengurangkan beban kenaikan harga barang makanan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penjualan melibatkan 50,000 ekor ayam itu dijalankan di Wisma PKPS serta Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan.

Inisiatif menerusi Program Intervensi Harga Makanan Ehsan membabitkan dana RM1 juta itu akan dipanjangkan ke kawasan Dewan Undangan Negeri dan parlimen sekiranya

Categories
AGENDA NASIONAL

Harga baharu kit ujian kendiri Covid-19 diumum minggu depan

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Pengurangan harga siling kit ujian kendiri Covid-19 akan diumum minggu depan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

“Jika sebelum ini saya pernah katakan ia akan dikurangkan pada Disember, berita baiknya kita tidak perlu tunggu sampai Disember, kita boleh turunkan November ini, jadi saya akan umumkan minggu depan,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen selepas pembentangan Bajet 2022 hari ini.

Nanta berkata penetapan pengurangan harga bakal diumumkan nanti mengambil kira kepentingan rakyat dan semua pihak terlibat setelah melalui libat urus dengan pihak berkaitan.

September lepas kementerian itu menetapkan harga borong dan runcit maksimum Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen Covid-19 masing-masing pada harga RM16 dan RM19.90.

Beliau berkata KPDNHEP setakat ini meluluskan 2,500 premis atau syarikat untuk menjual kit ujian kendiri itu bagi memudahkan pengguna mendapatkannya dan pihaknya juga mengalu-alukan lebih banyak syarikat dan premis yang berminat menjual kit itu supaya tampil memohon kepada kementerian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Parlimen: Turun harga kit ujian kendiri antara RM5-RM10

SHAH ALAM, 11 OKT: Ahli Parlimen Kuala Selangor mencadangkan kerajaan menetapkan harga siling kit ujian kendiri Covid-19 pada kadar RM5 hingga RM10 seunit bagi membolehkan lebih ramai mampu membelinya.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu juga bagi menyokong strategi FTTIS (kenal pasti, pengujian, pengesanan, kuarantin dan sokongan) yang diperkasakan kerajaan untuk beralih dari fasa pandemik ke endemik.

Menurutnya, ujian kendiri memainkan peranan penting untuk memutuskan penularan wabak dalam fasa endemik dan hanya boleh dilakukan secara meluas sekiranya kit berkenaan mudah diperoleh.

“Sebab itu saya cadangkan harganya mesti kurang RM10…kalau dapat RM5, kit berkenaan boleh menjadi peralatan seharian kepada orang ramai.

“Contohnya sebelum keluar rumah apabila seseorang mendapati dirinya mempunyai gejala, dia boleh buat ujian kendiri dan terus buat laporan di MySejahtera,” kata Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian pada perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Covid-19) yang antaranya bertujuan meningkatkan had statutori hutang negara kepada 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ketika ini, harga siling kit ujian kendiri RTK Antigen ditetapkan RM19.90 seunit bagi jualan runcit manakala RM16 satu set bagi harga borong.

Categories
AGENDA NASIONAL

Harga siling RON95 dihad RM2.05 seliter, diesel RM2.15

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Kerajaan bersetuju untuk menetapkan had harga siling bagi petrol RON95 dan diesel, masing-masing pada paras RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini berkata langkah itu dibuat bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga minyak yang ketara apabila harga sebenar minyak di pasaran global meningkat.

Beliau berkata paras harga siling bagi kedua-dua produk itu lebih rendah berbanding had harga yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu pada 2019 iaitu RM2.08 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.18 seliter untuk diesel.

“Kerajaan akan menampung perbezaan harga pasaran sebenar dengan harga runcit yang ditetapkan secara mingguan melalui peruntukan subsidi.

“Keputusan ini diambil berdasarkan trend harga pasaran sebenar produk petroleum yang semakin meningkat susulan peningkatan permintaan minyak mentah dunia yang turut dipengaruhi oleh pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi di seluruh dunia,” katanya.

Tengku Zafrul berkata trend harga minyak global itu turut dipengaruhi oleh pelan vaksinasi Covid-19 yang mula dilancarkan secara beransur di seluruh dunia di mana Malaysia juga akan melancarkan Program Imunisasi Kebangsaannya bermula hujung bulan ini.

Katanya kerajaan tetap komited untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dan akan memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia.

“Langkah yang bersesuaian akan diambil bagi mengimbangi tanggungan subsidi kerajaan dengan keperluan untuk terus memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Harga siling benih padi ditetap RM35 setiap 20kg mulai 2021 – menteri

KUALA SELANGOR, 22 DIS: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menetapkan harga siling benih padi sah tidak melebihi RM35 untuk setiap 20 kilogram, bagi menghapuskan manipulasi harga barangan berkenaan.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, penetapan harga siling benih padi sah itu akan bermula pada musim penanaman pertama padi di seluruh negara awal tahun depan.

Beliau berkata sebelum ini, harga benih padi sah yang dibeli oleh pesawah daripada ejen selain Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), mampu mencecah RM60 untuk setiap 20 kg.

“Penetapan harga siling ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 320,000 pesawah di Semenanjung. Ia merupakan antara inisiatif program Insentif Benih Padi Sah (IBPS), bagi membantu golongan sasar sektor padi dan beras.

“Bekalan benih padi sah juga sudah mula dihantar ke Selangor seterusnya ke Perak dan negeri di utara Semenanjung. Ia tidak dilakukan serentak, kerana mengikut musim penanaman awal padi di setiap negeri,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Pengagihan Benih Padi Sah di Pusat Belian Padi Sawah Sempadan, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah NAFAS Dr Anis Mahmud.

Tambah Kiandee, NAFAS selaku pemborong tunggal dalam program IBPS juga, boleh melantik ejen berdaftar bagi membekalkan benih padi sah di kawasan yang menjalankan aktiviti penanaman padi di seluruh negara.

“NAFAS boleh melantik ejen daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) atau ejen persendirian yang diiktiraf pertubuhan itu, dengan mempertanggungjawabkan mereka untuk melakukan penghantaran benih padi sah,” katanya.

Pada persidangan Dewan Negara Rabu lepas, Kiandee berkata penambahbaikan program IBPS adalah bagi menjamin mutu perkhidmatan, selain memberikan hak kepada pesawah memilih jenis benih padi sah yang terbaik untuk ditanam di sawah mereka.

Penambahbaikan IBPS menggariskan lima hala tuju iaitu melantik NAFAS sebagai pemborong tunggal program berkenaan; penetapan harga siling benih padi sah RM35 setiap beg (20kg); lesen dan permit pengedaran diberikan kepada mereka yang berdaftar dengan kerajaan; penetapan beberapa variasi benih padi sah akan dihasilkan syarikat pengeluar benih sah, serta menyediakan stok penimbal benih padi sah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Harga siling pelitup muka antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Persoalan sama ada kerajaan akan menurunkan lagi harga siling pelitup muka tiga lapis pada harga RM1 yang berkuat kuasa ketika ini, bakal dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu itu terkandung dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri yang diajukan Cha Kee Chin (PH-Rasah) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Cha ingin tahu sama ada harga siling itu akan diturunkan secara berperingkat pada masa depan memandangkan bekalan pelitup muka mencukupi dan harga pasaran semasa lebih murah daripada harga siling.

Dalam sesi sama, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) akan bertanya kepada Menteri Kesihatan mengenai sama ada kementerian itu bercadang untuk memberi pegawai perubatan kontrak kemudahan yang setara dengan pegawai perubatan tetap memandangkan mereka memberi perkhidmatan sama kepada masyarakat.

Pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan pula, tumpuan beralih kepada soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) yang meminta Menteri Kerja Raya menyatakan jumlah penjimatan oleh kerajaan dengan penamatan Perjanjian Rakan Pelaksana Projek (PDP) Pan Borneo Sarawak serta jangkaan projek berkenaan siap sepenuhnya.

Usai sesi itu, Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi dijangka membacakan Rang Undang-undang Koperasi (Pindaan) 2020 buat kali pertama.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Harga siling RM1 pelitup muka dikuat kuasa Sabtu

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Harga siling runcit baharu RM1 bagi sekeping pelitup muka jenis tiga lapisan akan dikuat kuasa Sabtu ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata harga berkenaan ditetapkan selepas pihaknya mendapati bekalan pelitup muka jenis berkenaan mencukupi untuk menampung permintaan seluruh negara.

“Memandangkan RM1.50 harga siling selama ini telah sekian lama (ditetapkan) dan bekalan pelitup muka di pasaran adalah mencukupi hasil pemeriksaan dan pemantauan kementerian dan libat urus bersama pihak industri, pengilang dan juga peruncit yang menjualnya.

“Didapati juga walaupun harga siling sebelum ini RM1.50, ada yang menjual rendah dari harga itu, maka memang benar bekalan pelitup muka ini mencukupi di pasaran, oleh itu kementerian mengambil tindakan untuk menyemak semula (harga siling),” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Isnin lepas, Nanta pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, mengumumkan kerajaan bersetuju menetapkan harga siling baharu berkenaan bagi mengurangkan beban orang ramai susulan arahan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak mulai 1 Ogos lepas.

Nanta berkata pihaknya memberi komitmen untuk terus menyemak harga dan menurunkan lagi harga siling runcit pelitup muka sekiranya keadaan membolehkan.

“Ia bergantung kepada bekalan, itu yang penting, sebab tak guna kita turunkan (harga) tapi (bekalan) tak dapat di pasaran. Kenapa tak dapat? Kalau harga pengeluaran masih tinggi maka orang mungkin tak dapat jual.

“Kita melihat kepada situasi dahulu, walaupun 80 sen tetapi nak beli pun tak ada. Kenapa? Ia kerana pengilang tempatan tak dapat tampung permintaan, jadi kita perlu import,” katanya.

Mengenai penguatkuasaan, Nanta berkata sesiapa yang didapati menjual lebih tinggi daripada harga siling, tindakan akan diambil mengikut undang-undang sedia ada.

“Buat masa sekarang …dari segi pemantauan mungkin tidaklah (jual lebih tinggi dari harga siling) sebab kita tak buat secara mengejut. Berita ini (turun harga siling pelitup muka) saya dah umum hampir seminggu lepas di Parlimen, jadi memang penjual, peruncit, pemborong sudah mengetahui kita (kerajaan) akan turunkan harga siling,” katanya.

Sementara itu, KPDNHEP dalam satu kenyataan turut memaklumkan harga siling borong bagi pelitup muka jenis tiga lapisan juga diturunkan daripada RM1.45 seunit ke 95 sen.

Menurut kenyataan itu, dari 29 Jan sehingga Isnin lepas, sebanyak 47,703 pemantauan terhadap harga dan bekalan pelitup muka dijalankan yang menyaksikan 55 kes dibuka dengan nilai rampasan sebanyak RM536,951.40 dan jumlah kompaun RM392,400.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Menteri: Harga siling pelitup muka turun kepada RM1 seunit

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Kerajaan bersetuju untuk menurunkan harga siling pelitup muka tiga lapis kepada RM1 seunit, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata KPDNHEP bersedia untuk menurunkan lagi harga siling pelitup muka dari semasa ke semasa bagi mengurangkan beban orang ramai susulan arahan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak mulai, 1 Ogos lalu.

“Saya ingin memaklumkan harga tiga lapis pelitup muka akan diturunkan lagi kepada RM1 seunit di peringkat runcit. Maknanya 95 sen di peringkat borong. Usaha ini diharapkan membantu mengurangkan beban orang ramai dan ibu bapa menyediakan pelitup muka buat anak.

“Kementerian juga bersedia untuk menurunkan lagi harga siling ke paras yang lebih rendah dari semasa ke semasa. Langkah ini akan dilakukan secara berterusan. RM1 satu unit tidak akan berakhir di situ sahaja kerana kita akan tengok dan kaji lagi bersama pemegang taruh,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Nanta menjawab soalan Chong Chieng Jen (PAKATAN-Stampin) mengenai rasional kementerian meningkatkan harga maksimum topeng muka tiga lapis daripada 80 sen seunit ke RM1.50 seunit.

Jelasnya, susulan arahan mewajibkan pemakaian pelitup muka itu, permintaan terhadap pelitup muka di pasaran meningkat dan menyebabkan pengeluaran pelitup muka ditingkatkan sekali gus memberi kesan kepada penurunan harganya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Harga siling pelitup muka RM1.20 seunit mulai 15 Ogos

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Harga siling pelitup muka akan diturunkan kepada RM1.20 seunit daripada RM1.50 bermula 15 Ogos, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata harga borong bahan itu yang ketika ini RM1.45 seunit juga akan diturunkan kepada RM1.15 bermula pada tarikh sama.

Penurunan harga itu, kata beliau, selaras dengan langkah kerajaan untuk menimbangkan keperluan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam seperti yang disaran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dari segi bekalan, tinjauan dan pemantauan mengenai pengeluaran serta pengedaran pelitup muka adalah mencukupi ditambah juga dengan yang diimport… jadi soal bekalan tidak ada masalah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata kerajaan akan terus mengkaji keperluan untuk menurunkan harga pelitup muka dan memastikan bekalan mencukupi.

Alexander berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) mengenai rasional penurunan harga siling pelitup muka.

Pada 20 Julai, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata kerajaan sedang menimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam susulan ancaman Covid-19 masih belum berakhir.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Harga durian perlu dikawal, elak pengguna tertipu – PPMM

KANGAR, 8 JULAI: Setiap kali tiba musim ‘raja buah’ pasti ada pengguna yang mengeluh, apabila merasa diri mereka tertipu selepas membeli durian pada harga tinggi sedangkan kualitinya tidak seberapa.

Lebih mengecewakan, apabila pulang ke rumah mendapati bahawa buah durian yang dibeli mengkal (tidak masak), busuk, tawar, isi berwarna putih dan sebagainya.

Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Leftenan Kolonel (B) Che Hassan Che Johan berkata, sudah tiba masanya pihak kerajaan campur tangan memperkenalkan harga siling buah durian klon, mengikut gred.

“Sebagai contoh harga buah durian jenis Musang King mempunyai gred A, B dan C, harga siling ditetapkan berdasarkan gred buah dan tindakan diambil kepada peniaga menjualnya lebih tinggi daripada harga yang telah ditetapkan,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Beliau mengulas laporan media sebelum ini, mengenai sikap segelintir peniaga durian yang menjual buah tersebut, mengikut model kereta yang digunakan pembeli.

“Bukan semua orang mampu membeli durian, lebih-lebih lagi mereka mempunyai anak yang ramai.

“Sebagai contoh apa perasaan seorang ayah kepada lima orang anak yang hanya mampu membeli sebiji dua buah durian tetapi apabila pulang ke rumah mendapati buah yang dibeli rosak atau isinya keras,” katanya.

Che Hassan berkata, alasan yang diberikan harga durian tidak boleh dikawal kerana ianya buah bermusim adalah tidak wajar lagi.

Beliau menasihati pengguna agar membawa bekas ketika membeli buah durian agar mereka tidak mudah tertipu.

“Nasihat saya apabila beli buah durian, jangan bawa balik sekali dengan kulit, sebaliknya kupas durian dan letak isi dalam bekas terlebih dahulu,” katanya.

-BERNAMA