Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

3.18 juta penduduk Selangor lengkap dua dos vaksin

SHAH ALAM, 25 OGOS: Seramai 3.18 juta atau 66.9 peratus penduduk Selangor yang layak divaksin lengkap menerima dua dos suntikan pelalian setakat hari ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi perkongsian infografik di Facebook memaklumkan sebanyak 7.12 juta dos vaksin diberi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menurut maklumat itu, sebanyak 377,953 dos disuntik bawah program Vaksin Selangor (Selvax).

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan Kerajaan Negeri kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 rakyat yang belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Usaha itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka PICK yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Lebih 40 peratus penduduk Selangor lengkap dua dos vaksin

SHAH ALAM, 12 OGOS: Seramai 2.09 juta atau 44.4 peratus daripada penduduk yang memohon vaksin lengkap menerima dua dos pelalian Covid-19 setakat pagi ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan 5.76 juta dos diberi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan 3.66 juta atau 77.17 peratus menerima dos pertama.

“Manakala bagi program Vaksin Selangor (Selvax) sebanyak 270,696 dos vaksin diberikan dan 70,138 lengkap menerima dua dos suntikan.

“Kita mengikut pelan yang direncana dan akhir Ogos atau September dapat lihat keputusan vaksinasi iaitu penurunan kes bagi kategori tiga hingga lima selain berada di landasan betul menuju ke fasa pemulihan seterusnya,” katanya.

Amirudin berkata demikian dalam sidang media khas berkenaan status dan usaha terkini vaksinasi di Selangor secara maya hari ini.

Pada 16 Julai, Amirudin berkata semua warga Selangor yang mendaftar akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 1 Ogos.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan Kerajaan Selangor kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memberi manfaat kepada 250,000 rakyat yang belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Penduduk Selangor paling ramai berbelanja guna khidmat e-dagang

SHAH ALAM, 1 NOV: Penduduk Selangor menjadi pengguna paling ramai berbelanja melalui perkhidmatan e-dagang, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Menurut jabatan itu, statistik berkenaan diperoleh hasil tinjauan dilakukan terhadap lapan juta isi rumah di seluruh negara.

“Data menunjukkan 2.22 juta isi rumah dari Selangor berbelanja menerusi platform e-dagang sepanjang tahun lalu diikuti Johor (984,000), Pulau Pinang (736,000), Perak (712,000) dan Kuala Lumpur (648,000).

“Bagi perbelanjaan mengikut kaum pula, Bumiputera mendahului dengan 4.69 juta isi rumah atau 58.7 peratus seterusnya Cina (2.09 juta), India (680,000) dan lain-lain (528,000),” katanya dipetik Kosmo!.

Berdasarkan dapatan tinjauan sama, Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati pakaian dan kasut menjadi antara barangan paling popular dibeli rakyat Malaysia menerusi platform berkaitan atau portal beli belah dalam talian.

“Seramai 744,000 isi rumah di seluruh negara membeli barangan tersebut sepanjang tahun lalu,” katanya.

Jabatan itu memaklumkan, isi rumah membuat perbelanjaan ke atas barangan dan perkhidmatan menerusi platform e-dagang meningkat daripada 11.3 peratus pada 2016 kepada 23.3 peratus tahun lalu.