Categories
AGENDA NASIONAL

Perodua atasi sasaran, jual 220,154 unit kenderaan tahun lalu

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Perodua berjaya mencatatkan jualan sebanyak 220,154 unit kenderaan bagi tempoh sepanjang 2020 yang mengatasi sasaran awal 210,000, didorong oleh permintaan tinggi pengguna memanfaatkan pengecualian cukai jualan yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata syarikat itu mengeluarkan sejumlah 220,968 unit kenderaan pada tahun lepas walaupun terpaksa menghentikan pengeluaran pada Mac hingga Mei 2020 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan untuk membendung penularan Covid-19.

“Namun, langkah pengecualian cukai jualan pada Jun 2020 berjaya menarik minat pembeli dan meneruskan kelangsungan pengeluar kenderaan serta ekosistem automotif tempatan.

“Perodua juga mencapai detik sejuta Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) pada Nov 2020 — tepat dua tahun selepas mencatat detik setengah juta yang mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai pengeluar terbesar EEV di Malaysia,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Zainal Abidin turut menyifatkan pencapaian jualan yang lebih baik daripada dijangkakan itu dapat memberi kesan positif secara langsung terhadap ekosistem automotif Malaysia dengan membantu para pembekal dan pengedar menghadapi cabaran pada 2020.

“Kami mengharapkan tahun 2021 yang lebih baik kerana terdapat petunjuk positif bahawa pandemik Covid-19 dapat diatasi dengan vaksin yang baharu dikeluarkan. Selain itu, kami akan mengumumkan angka sasaran bagi 2021 dalam masa terdekat ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut memberi komitmen Perodua untuk terus memenuhi tempahan sedia ada dan berusaha mencapai jumlah jualan lebih tinggi pada 2021.

“Kami mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2021 kepada semua rakyat Malaysia. Perodua akan terus menambah baik semua aspek operasi bagi memenuhi serta mengatasi semua keperluan dan kehendak mobiliti anda, termasuk menambah baik kecekapan bahan api melalui teknologi canggih yang kekal mampu milik,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kecualikan cukai jualan beli kenderaan baharu tingkat permintaan – MAA

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Pengecualian cukai untuk penjualan kenderaan yang diumumkan semalam diharapkan dapat meningkatkan permintaan dan memacu industri tersebut pada suku yang akan datang mendatang setelah mengalami kemerosotan.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Datuk Aishah Ahmad berkata pengecualian cukai yang diumumkan dapat membantu mengurangkan kos serta menurunkan harga jualan digabungkan dengan tawaran dan diskaun dari peniaga kereta.

“Bagaimanapun, kami masih berhati-hati terhadap unjurannya dan akan kekal kepada sasaran jumlah jualan kami yang disemak iaitu sebanyak 400,000 unit berbanding dengan jangkaan sebelum sebanyak 620,000 unit,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Di bawah peraturan cukai jualan dan perkhidmatan, kenderaan akan dikenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus.

Aishah berkata jualan kereta yang dianggap sebagai barangan bernilai bagi pembeli akan mengikuti trend pekerjaan di negara ini.

“Bank ketika ini mengenakan prosedur ketat dalam meluluskan pinjaman kereta. Kami akan memantau trend ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Pada bulan April, hanya 141 jualan kenderaan dicatatkan berbanding 49,935 pada tempoh yang sama tahun lalu kerana pandemik Covid-19 dan juga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) dalam satu kenyataan menyambut baik insentif diberikan kepada industri automotif Malaysia.

Presidennya K. Ravindran berkata inisiatif itu adalah berita baik bagi industri automotif dan penjimatan penuh akan dinikmati pelanggan.

“Dan kami menjangkakan bahawa penurunan harga akan membantu memperkukuhkan semula industri automotif,” katanya.

UMWT akan membuat penyesuaian berkaitan dengan harga runcit semua modelnya dan melaksanakannya pada 15 Jun.

Langkah-langkah itu diumumkan hari ini oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin ketika mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk mengimbangi kesan wabak Covid-19.

Kerajaan memberi pengecualian cukai jualan untuk pembelian kenderaan baharu mulai 15 Jun hingga 31 Disember 2020.

Untuk model pemasangan tempatan (CKD), pengecualian diberi sebanyak 100 peratus sementara pengecualian sebanyak 50 peratus dikenakan terhadap unit yang diimport (CBU).

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBPJ sokong pengecualian sewa, hilang hasil bukan ukuran

SHAH ALAM, 22 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya menyokong pengecualian sewa bagi meringankan beban peniaga susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan membendung penularan Covid-19.

Datuk Bandarnya Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata kehilangan hasil bukan ukuran ketika ini, sebaliknya rakyat perlu patuh terhadap arahan tersebut sehingga 31 Mac ini.

“Kehilangan hasil bukan perkara penting untuk kita tekankan, sebaliknya kita minta orang ramai patuh kepada arahan yang dikeluarkan dan sentiasa mengamalkan kebersihan diri serta melakukan jarak sosial,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, hari ini.

Seramai 80,000 penjaja dan peniaga berlesen dalam premis diberikan pengecualian sewa dan insentif sekali bayar RM500 melalui Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 yang diumumkan 20 Mac lalu.

Permohonan dibuka mulai 1 hingga 30 April ini dan pembayaran akan dibuat selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan.