Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jelajah Selangor Bekerja bantu remaja capai impian cebur bidang automotif

KUALA SELANGOR, 30 OKT: Percubaan pertama seorang remaja menyertai Jelajah Selangor Bekerja menemui kejayaan apabila ditawar sebagai operator pengeluaran di Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton).

Lebih menggembirakan buat Syed Nazrey Syed Hussin, 23, dari Sabak Bernam, pekerjaan ditawar syarikat multinasional itu memenuhi impiannya menceburi bidang automotif.

Lulusan kejuruteraan pertanian yang kini mencari rezeki sebagai pramusaji, beliau gembira kerana hasratnya bekerja dalam bidang selaras kelulusannya tercapai selepas beberapa kali mencuba.

“Ini kali pertama saya sertai Jelajah Selangor Bekerja dan tidak sangka cepat sahaja ditawarkan lebih-lebih dengan syarikat besar seperti Proton.

“Banyak manfaat diberikan seperti gaji menarik, hostel dan latihan untuk kami meningkatkan diri,” katanya ditemui di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor di sini, hari ini.

Lebih 2,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Jelajah Selangor Bekerja peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati.

Sebanyak 19 majikan daripada syarikat ternama terlibat meliputi sektor perkhidmatan, pembuatan, elektronik, pengurusan dan aeroangkasa.

Lebih 25,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi enam siri jelajah hingga 27 November depan.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Permintaan tinggi, Perodua sasar jualan 240,000 unit pada 2021

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menyasar menjual 240,000 kenderaan tahun ini berikutan permintaan tinggi terhadap model-modelnya serta lanjutan pengecualian cukai jualan yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Sasaran sembilan peratus itu lebih tinggi berbanding 220,163 unit yang dijual pada 2020, kata pengeluar kereta nasional itu.

Kenderaan Perodua menguasai 41.6 peratus bahagian daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 529,434 kenderaan yang dijual tahun lalu dengan unit terjual terdiri daripada 66,330 Myvi, 59,651 Axia, 56,996 Bezza, 22,494 Aruz, 14,691 Alza dan satu model lain, kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata 2021 akan menjadi tahun pemulihan Perodua susulan pengecualian cukai jualan yang dilanjutkan sehingga akhir Jun 2021, perkembangan terkini vaksin Covid-19 dan permintaan berterusan terhadap semua modelnya.

“Dengan jangkaan pemulihan jualan Perodua, kami menjangkakan pembelian komponen tempatan sebanyak RM6.5 bilion tahun ini.

“Kami juga ingin menambah stok kami dengan menaikkan sasaran pengeluaran kami kepada 272,000 kenderaan tahun ini – tertinggi dalam sejarah kami. Kenaikan ini akan membawa kepada penghantaran yang cepat pada tahun ini,” katanya.

Sasaran pengeluaran Perodua bagi 2021 itu merupakan peningkatan sebanyak 23 peratus daripada 220,968 unit yang dikeluarkan pada 2020, dan dengan kesemua modelnya mengandungi lebih 90 peratus komponen tempatan, Perodua kekal menjadi pembeli komponen automotif terbesar di Malaysia.

Zainal Abidin berkata Perodua juga menyasar pengambilan servisnya meningkat 20 peratus daripada dua juta unit pada 2020 kepada 2.4 juta unit pada 2021, terdiri daripada pelanggan semasa serta baharu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Harga minyak dunia pacu ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan sentimen positif, dipacu oleh peningkatan harga minyak yang terus diniagakan dengan lebih kukuh, kata penganalisis.

Pada 9.01 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.0430/0470 berbanding dolar AS daripada paras 4.0480/0510 pada Selasa.

Ketua Strategis Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata ringgit berada dalam wilayah pertengahan yang amat positif sekitar paras 4.05 selepas mengalami pelbagai perkembangan turun naik sebagaimana mata wang berkaitan minyak lainnya, sepanjang tahun ini.

“Kita akan melihat ramai peniaga tempatan mengakhiri aktiviti mereka bagi tahun ini, namun ringgit dijangkakan terus diniagakan secara stabil walaupun berlakunya beberapa aktiviti pengambilan untung di peringkat ekuiti global,” katanya kepada Bernama.

Pada pagi ini, minyak mentah Brent yang juga penanda aras global naik 0.39 peratus untuk diniagakan pada US$51.29 setong.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia naik berbanding dolar Singapura pada 3.0472/0504 daripada 3.0484/0509 pada Rabu namun susut berbanding euro kepada 4.9595/9661 daripada 4.9584/9625 semalam.

Ringgit juga jatuh sedikit berbanding yen Jepun kepada 3.9063/9109 daripada 3.9039/9080 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.4625/4691 daripada 5.4527/4587 sebelum ini.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Jualan Proton naik empat bulan berturut, tempahan lepasi jangkaan

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Momentum jualan Proton Holdings Bhd (Proton) meningkat dari bulan Ogos ke September apabila syarikat automotif nasional itu mencapai keputusan positif bagi kadar jualan tahun ke tahun untuk bulan keempat berturut-turut.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton EDAR, Roslan Abdullah berkata jumlah jualan pada September adalah 11,935 unit, ia adalah kedua tertinggi bagi 2020 bersamaan dengan penambahan 4.9 peratus berbanding Ogos dan 12.5 peratus berbanding pada bulan sama pada 2019.

“Proton menjual sebanyak 73,607 unit kenderaan pada tahun ini, bersamaan dengan pegangan pasaran 21.6 peratus dan menduduki tempat kedua dalam industri automotif Malaysia,” kata Proton dalam kenyataan.

Tiga model Proton mencatatkan jualan tertinggi untuk segmen masing-masing, sama seperti Ogos, tiga model Proton mendahului segmen tersendiri pada bulan ini.

SUV terlaris di Malaysia, Proton X70 mencatat jualan sebanyak 2,849 unit, prestasi jualan yang kedua terbaik dalam tahun 2020. Proton Persona dan Proton Exora juga kekal sebagai model terlaris dalam kelas masing-masing, katanya.

Proton X50 mendapat 20,000 tempahan dalam masa dua minggu. Proton X50 adalah model terbaharu Proton, pembuatan model ini di kilang pengeluaran baharu Proton di Tanjung Malim bermula pada 15 September lepas dan tempahan mula diterima pada hari berikutnya.

“Selepas jualan keseluruhan industri (TIV) melebihi 50,000 unit untuk tiga bulan berturut-turut, kami boleh membuat anggapan bahawa pasaran automotif Malaysia berada dalam keadaan stabil ketika ini.

“Proton merasa lega kerana pencapaian jualan bulanan ini melebihi jumlah jualan bulanan pada tahun lepas dan ini adalah penunjuk bahawa kita kembali ke tahap penjualan lestari,” katanya.

Setakat ini, dalam masa dua minggu selepas tempahan mula diterima, jumlah tempahan melebihi jangkaan.

“Pihak Proton ingin berterima kasih kepada para pelanggan yang menunjukkan minat yang amat tinggi kepada Proton X50. Kami di Proton akan memberi tumpuan kepada proses pengeluaran untuk memenuhi permintaan pelanggan dalam tiga bulan terakhir bagi 2020 dan pada masa sama, turut memberi penekanan terhadap kualiti produk,” kata Roslan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kecualikan cukai jualan beli kenderaan baharu tingkat permintaan – MAA

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Pengecualian cukai untuk penjualan kenderaan yang diumumkan semalam diharapkan dapat meningkatkan permintaan dan memacu industri tersebut pada suku yang akan datang mendatang setelah mengalami kemerosotan.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Datuk Aishah Ahmad berkata pengecualian cukai yang diumumkan dapat membantu mengurangkan kos serta menurunkan harga jualan digabungkan dengan tawaran dan diskaun dari peniaga kereta.

“Bagaimanapun, kami masih berhati-hati terhadap unjurannya dan akan kekal kepada sasaran jumlah jualan kami yang disemak iaitu sebanyak 400,000 unit berbanding dengan jangkaan sebelum sebanyak 620,000 unit,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Di bawah peraturan cukai jualan dan perkhidmatan, kenderaan akan dikenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus.

Aishah berkata jualan kereta yang dianggap sebagai barangan bernilai bagi pembeli akan mengikuti trend pekerjaan di negara ini.

“Bank ketika ini mengenakan prosedur ketat dalam meluluskan pinjaman kereta. Kami akan memantau trend ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Pada bulan April, hanya 141 jualan kenderaan dicatatkan berbanding 49,935 pada tempoh yang sama tahun lalu kerana pandemik Covid-19 dan juga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) dalam satu kenyataan menyambut baik insentif diberikan kepada industri automotif Malaysia.

Presidennya K. Ravindran berkata inisiatif itu adalah berita baik bagi industri automotif dan penjimatan penuh akan dinikmati pelanggan.

“Dan kami menjangkakan bahawa penurunan harga akan membantu memperkukuhkan semula industri automotif,” katanya.

UMWT akan membuat penyesuaian berkaitan dengan harga runcit semua modelnya dan melaksanakannya pada 15 Jun.

Langkah-langkah itu diumumkan hari ini oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin ketika mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk mengimbangi kesan wabak Covid-19.

Kerajaan memberi pengecualian cukai jualan untuk pembelian kenderaan baharu mulai 15 Jun hingga 31 Disember 2020.

Untuk model pemasangan tempatan (CKD), pengecualian diberi sebanyak 100 peratus sementara pengecualian sebanyak 50 peratus dikenakan terhadap unit yang diimport (CBU).

-BERNAMA