Categories
PBT SELANGOR

PeBT pemangkin pembangunan negeri

OLEH NORHAYATI UMOR

RAWANG, 8 DIS: Golongan belia terutamanya Penggerak Belia Tempatan (PeBT) disaran untuk terus aktif dalam gerak kerja sekali gus, menjadi pemangkin pembangunan, di negeri itu.

Timbalan Speaker Dewan Negeri, Mohd Khairuddin Othman berkata, dengan peruntukan sebanyak RM4.96 juta bagi tujuan pemerkasaan generasi muda dan PeBT, Kerajaan Negeri yakin usaha itu dapat mencapai objektifnya.

“Dalam usaha untuk memartabatkan PeBT yang merupakan agen penggerak ke arah pembangunan Negeri, Blueprint Pembangunan Generasi Muda 2018- 2022 akan diwujudkan yang akan dijadikan sebagai asas gerak kerja PeBT.

“Ia sebagai satu panduan dalam pembangunan generasi muda Negeri Selangor pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian mewakili Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari pada Majlis Apresiasi Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Dan Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita Keluarga Majlis Perbandaran Selayang (MPS), di sini.

Mohd Khairuddin berkata, teras keusahawanan dan peluang pekerjaan juga akan menjadi dasar Kerajaan Negeri dalam menyediakan pelbagai insentif kepada belia.

Katanya, rangsangan aktiviti keusahawanan itu antara lain memberi bantuan perniagaan atau tapak perniagaan.

“Kita juga akan memberi fokus kepada aktiviti kesukanan melalui Program Pesta Sukan Generasi Muda Selangor (GEN-S) yang akan diperluaskan lagi,”’ katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyentuh berkenaan pemberdayaan wanita yang merupakan tunjang kepada pembinaan keluarga dan masyarakat yang berdaya saing.

Justeru, Kerajaan Negeri sentiasa menjadi peneraju dalam merencana kebijakan yang memberdaya dan memartabatkan golongan wanita.

“Sebanyak RM3 juta turut diperuntukkan tahun hadapan bagi Program Pemberdayaan Wanita melalui Pusat Wanita Berdaya di 56 DUN seluruh Selangor.

“Peruntukan ini akan digunakan bagi melaksana program khusus buat golongan wanita tidak mengira umur mahupun bangsa,” katanya.

Categories
SELANGOR

PeBT MPS Zon 2 terus dampingi belia

OLEH AFIX REDZUAN

GOMBAK SETIA, 8 JUN : Lebih 230 belia terdiri daripada pelajar, alumni dan guru-guru menghadiri majlis berbuka puasa ‘Jom Buka kat Surau SMK Gombak Setia’ yang dianjurkan Penggerak Belia Tempatan Majlis Perbandaran Selayang (PeBT MPS) Zon 2 dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia (SMKGS).

Menurut Sufian Amri Penggerusi PeBT MPS Zon 2, penganjurannya bertujuan memperkenalkan peranan PeBT kepada belia yang hadir dari kawasan sekitar zon 2.

“Antara objektif utama program ini untuk berkumpul dan memahami peranan belia dalam penggunaan media sosial di bulan Ramadan.

“Kita juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Datuk Muhammad Yunus dan Datin Salmah,Penghulu Mukim Setapak, Mohd Fazli Abdul Latif serta Pengetua SMKGS, Norlilah Ismail yang hadir untuk beramah mesra dengan belia bagi mengeratkan hubungan,” katanya dalam kenyataan.

Majlis dimulakan dengan penyerahan sumbangan bagi anak yatim dan asnaf, bicara ramadan, berbuka puasa sebelum diikuti solat Maghrib, solat Isyak serta terawih yang diimamkan Naib Juara Pencetus Ummah (PU) musim ke-3, PU Dr Taha Omar.

PU Taha turut menyertai sesi bual bicara bertajuk ‘Media Sosial Ramadan #Done’ yang dikupas bersama Ustaz Izmir Fariz.