SUBANG JAYA, 6 OKT: Pengusaha pelancongan di negeri ini diingatkan mematuhi peraturan ditetapkan pihak berwajib susulan kelonggaran dalam fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).
EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata langkah mengawal pandemik memerlukan usaha bersama dengan sentiasa mengambil langkah waspada bagi mengelak kemudaratan.
“Pengusaha perlu memastikan individu yang ingin memasuki premis menunjukkan bukti pengisytiharan penerimaan vaksinasi lengkap Covid-19.
“Vaksinasi lengkap bermaksud dua dos suntikan untuk vaksin jenis Pfizer-BioNTech, Astrazeneca dan Sinovac serta melepasi 14 hari dari tarikh suntikan kedua, manakala satu dos bagi vaksin Johnson&Johnson dan Cansino selepas hari ke-28,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas memantau pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) dan pelancaran Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 di Sunway Lagoon di sini semalam.
Menurut Loy Sian, pengusaha juga harus memastikan 50 peratus kapasiti premis bagi aktiviti pelancongan termasuk status risiko rendah di aplikasi MySejahtera.
Selangor antara negeri yang terlibat dalam peralihan dari fasa dua ke fasa tiga PPN berkuat kuasa 1 Oktober.
Peralihan fasa tersebut memberi kelonggaran kepada rakyat yang mendapat suntikan dua dos vaksin untuk melakukan aktiviti pelancongan dalam negeri melibatkan penginapan di hotel dan inap desa.
Aktiviti dibenarkan melibatkan premis pelancongan di Selangor antaranya:
1. Hotel dan inap desa
2. Zoo, taman tema, selam, akuarium, taman negara
3. Premis hasil seni budaya dan warisan, muzium perpustakaan, galeri
4. Pusat hiburan keluarga