Categories
AGENSI SELANGOR

TNB sasar pasang 1.5 juta meter pintar di Lembah Klang, Melaka

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Sebanyak 1.5 juta pemegang Akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Melaka dan Lembah Klang bakal dilengkapi dengan meter pintar menjelang hujung tahun ini.

Pengarah Projek Infrastruktur Pemeteran Maju (AMI) TNB Ir Mohamed Ghous Ahmad berkata setakat ini pihaknya telah memasang kira-kira 1.06 juta meter pintar tersebut di kedua-dua kawasan berkenaan.

Di Melaka, beliau berkata TNB telah memasang kira-kira 300,000 meter pintar manakala di kawasan Lembah Klang lebih kurang 706,000 rumah dilengkapi dengan alatan berkenaan.

“Antara kawasan di Selangor yang telah dilengkapi dengan meter pintar ini ialah Shah Alam, Cheras, Bangi dan Petaling Jaya manakala di Kuala Lumpur antara kawasannya di Bangsar, Bandar Sri Damansara, Segambut dan Ampang.

“Melalui Peraturan Berasaskan Insentif (IBR), TNB diberi peruntukan untuk memasang sebanyak 1.5 juta meter pintar menjelang penghujung tahun ini dan berdasarkan jumlah yang dipasang sekarang kita yakin bakinya akan dapat dipasang menjelang akhir tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Mohamed Ghous berkata pihaknya juga kini sedang dalam usaha untuk mendapatkan peruntukan tambahan daripada kerajaan pusat untuk melengkapkan kesemua tiga juta pengguna TNB di Lembah Klang dengan meter pintar.

“Selepas itu kita sasarkan kesemua 9.1 juta pengguna TNB di seluruh negara akan dilengkapi dengan meter pintar menjelang 2026,” katanya.

Sementara itu, Ketua Retail TNB Selangor Ismail Lathifi Teh berkata pemasangan meter pintar tersebut akan memberi pelbagai kelebihan kepada pelanggan kerana selain untuk melihat dan membayar bil TNB, pengguna juga boleh memantau jumlah penggunaan tenaga elektrik secara harian.

“Dengan meter pintar ini, data penggunaan akan dihantar setiap 30 minit sekali ke pusat penyimpanan data TNB, bagi pengguna yang mempunyai aplikasi MyTNB mereka boleh memantau dan mengawal penggunaan tenaga elektrik secara harian dan ia juga mendidik pengguna untuk menggunakan tenaga secara berhemah,” katanya.

Beliau berkata TNB berharap lebih ramai pengguna akan memuat turun aplikasi berkenaan dan memanfaatkannya, dan syarikat itu menyasarkan pada penghujung tahun ini 80 peratus pengguna TNB akan menggunakan aplikasi tersebut.

Beliau turut menasihati orang ramai untuk menghubungi talian TNB jika terdapat keraguan terhadap individu atau kontraktor yang hadir bagi menukar meter di kediaman mereka.

Bagi pengguna yang masih ragu-ragu dengan kontraktor kami, mereka boleh menghubungi talian khidmat pelanggan TNB 1-300-88-5454 dan TNB akan menghantar kakitangan untuk memantau keadaan, katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar tol turun bantu kurang kos operasi perniagaan

NILAI, 23 FEB: Pengurangan kadar tol 18 peratus bagi Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) yang ketika ini dinikmati pengguna membentuk persekitaran baharu, yang membolehkan semua pihak berjimat.

Bagi sektor perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta peniagaaan kecil, penjimatan berkenaan sudah pasti dapat mengurangkan kos operasi.

Pengusaha kedai makan, Azrul Nizam Zainal Abidin, 28, berkata pelaksanaan pengurangan kadar tol membantu menurunkan kos dan meningkatkan keuntungan perniagaannya yang berusia empat bulan memandangkan sering kali mengambil bekalan bahan mentah di Gombak, Selangor.

“Laluan yang digunakan dari Nilai melalui Plaza Tol Nilai, Lebuhraya Utara Selatan Lingkaran Tengah (ELITE) dan keluar di Plaza Tol Jalan Duta. Saya bawa kereta sahaja dan perjalanan ini melibatkan kadar bayaran tol RM10.50, kos tol pergi balik sebanyak RM21.

“Tetapi selepas pengurangan saya hanya bayar RM8.61 sehala dan untuk dua hala sebanyak RM17.22. Sehari saya jimat RM3.78 dan kalau sebulan boleh cecah hampir RM102.06,” katanya kepada Bernama, di sini.

Beliau berkata penjimatan tol berkenaan dilaburkan semula bagi meningkatkan kuantiti jualan termasuk tambahan tiga balang air yang boleh dihidangkan kepada kira-kira 120 pelanggan.

“Biasanya jualan sehari sebanyak 240 set hidangan. Daripada penjimatan tol lebih kurang RM100 ini saya boleh laburkan semula bagi kos pembelian ayam untuk tingkatkan kuantiti jualan sehingga 30 set hidangan sekali dalam sebulan dengan keuntungan kira-kira RM267 secara kasar untuk set hidangan biasa.

“Segelas air harganya RM3.90 dan jika ada penambahan sebanyak 120 gelas, bermakna daripada situ akan jana keuntungan kira-kira RM468 sekali dalam sebulan,” katanya.

Peniaga perabot Mohamad Izzudin Yakub, 33, berkata selepas 21 hari pelaksanaan pengurangan kadar tol ini, nilai yang dapat dijimatkan hampir RM60 untuk perjalanannya pergi dan balik dari Nilai ke Sungai Buloh, Selangor.

“Laluan ini memang laluan utama saya setiap hari untuk uruskan bekalan dan tempahan, saya akan masuk dari Plaza Tol Nilai dan menggunakan Lebuhraya Plus sebelum menuju Lebuhraya ELITE untuk keluar di Plaza Tol Sungai Buloh.

“Kalau ikutkan kadar tol sebelum ini RM9.80, selepas pengurangan kadarnya menjadi RM8.04 dengan penjimatan RM1.76 sehala, jika pergi balik penjimatan sebanyak RM3.52, jadi untuk tempoh 21 hari saya sudah jimat sebanyak RM74 dan kalau sebulan boleh jimat dalam RM105.60,” katanya.

Beliau berkata nilai penjimatan itu boleh dimanfaatkan untuk kegunaan lain antaranya membeli petrol atau menambah nilai kad Touch & Go.d

Mengakui pada awalnya merasakan pengurangan 18 peratus itu tidak memberi impak besar, namun apabila dikira secara mingguan atau bulanan, penjimatan yang dicatatkan agak ketara, katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi (iaitu kelas 1, 4 dan 5 bagi Lebuhraya PLUS termasuk Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Utara Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE) serta kenderaan kelas 2, 3, 4 dan 5 bagi Jambatan Pulau Pinang.

-BERNAMA