Categories
AGENDA NASIONAL

PKP Diperketatkan: Ibu pejabat Bank Muamalat di Jalan Melaka tutup

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Ibu pejabat dan cawangan Bank Muamalat Malaysia Bhd di Jalan Melaka, di sini, akan ditutup berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai hari ini hingga 28 April.

Dalam satu kenyataan hari ini, bank itu berkata pelanggan boleh ke cawangan terdekatnya di Jalan Ipoh untuk perniagaan perbankan mereka atau menggunakan perkhidmatan perbankan dalam talian.

Ia berkata bank akan terus menjalankan operasi asasnya untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggannya yang mungkin memerlukan perkhidmatan kritikal.

“Pada ketika ini, kami juga memberi jaminan kepada pelanggan Bank Muamalat bahawa perniagaan kami terus beroperasi seperti biasa, dengan gangguan minimum,” katanya.

Semua kawasan Masjid India dan jalan-jalan di sekitarnya diletak di bawah PKPD hari ini. Ini berikutan pelaksanaan PKPD di dua buah bangunan di Jalan Masjid India – Selangor Mansion and Malayan Mansion pada 7 April lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Premis Hasil Care Line di Bangi ditutup sementara Khamis – LHDN

KUALA LUMPUR, 8 APRIL: Premis Hasil Care Line (HCL) di Bangi, Selangor ditutup sementara pada Khamis (9 April) untuk menjalankan kerja sanitasi dan pembersihan premis.

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dalam kenyataan memaklumkan dalam tempoh penutupan sementara itu, operasi HCL akan dibantu oleh Hasil Recovery Call Centre (HRCC) LHDNM yang terletak di Kuching, Sarawak.

“Akan tetapi kelewatan dalam melayani setiap panggilan adalah dijangka dan LHDNM memohon maaf atas sebarang kesulitan.

“Sebarang pertanyaan dan maklum balas mengenai isu percukaian dan perkara berkaitan boleh dimajukan melalui talian 03-89111000 dan borang maklum balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/,” menurut kenyataan itu.

LHDN juga boleh dihubungi melalui media sosial rasmi di Facebook https://www.facebook.com/LHDNM dan Twitter – https://twitter.com/LHDNMofficial.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Sebahagian rangkaian kereta api bawah tanah London tutup

LONDON, 19 MAC: Perkhidmatan rangkaian kereta api bawah tanah London ditutup sebahagiannya, lapor agensi berita Anadolu, memetik Transport London pada Khamis.

Bermula hari ini sehingga diberitahu kelak, 40 stesen kereta api akan ditutup.

Rangkaian Waterloo & City ditutup sepenuhnya. Semua rangkaian ditutup pada Jumaat dan Sabtu, hanya kakitangan yang menjalankan tugas kritikal seperti pegawai kesihatan dibenarkan menggunakan perkhidmatan bas.

Perkhidmatan bas dan kereta api ditutup sebahagiannya susulan keputusan kerajaan mengharamkan semua perjalanan tidak penting.

Sky News melaporkan kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menutup kebanyakan kedai di ibu negara pada hujung minggu.

Farmasi dan pasar raya tetap dibuka tetapi di bawah pengawasan. Namun, belum ada keputusan rasmi berhubung perkara itu.

Kerajaan juga memutuskan menutup sekolah sehingga diberitahu kelak.

Menurut data Perkhidmatan Kesihatan Negara (NHS), Covid-19 meragut 33 nyawa dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan angka korban seramai 104 orang.

Kes yang disahkan meningkat sebanyak 676 lagi menjadikan jumlah keseluruhan 2,526 orang.

-BERNAMA