Categories
AGENSI SELANGOR

LZS tangguh operasi tiga lagi cawangan, elak penularan Covid-19

SHAH ALAM, 19 OKT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menangguhkan operasi tiga lagi cawangannya bermula hari ini ekoran peningkatan kes Covid-19.

Agensi itu berkata cawangan tersebut ialah di Masjid Kota Damansara, Seksyen 14 Petaling Jaya dan Puchong yang ditutup sehingga 27 Oktober.

“Justeru, masyarakat digalak memilih transaksi dalam talian sebagai alternatif urusan zakat.

“Semakan bantuan dan cetakan penyata boleh didapati melalui pautan ezo.zakatselangor.com.my, manakala urusan bayaran melalui fpx.zakatselangor.com.my,” maklum LZS di Facebook hari ini.

Pada 9 Oktober, cawangan Klang Sentral dan Kompleks Majlis Agama Islam Selangor, Klang ditutup kerana kedua-duanya berada dalam zon merah Covid-19.

Categories
AGENSI SELANGOR

Hampir semua cawangan LZS beroperasi ketika PKPB

SHAH ALAM, 14 OKT: Dua puluh dua cawangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) beroperasi seperti biasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa hari ini.

Agensi itu dalam kenyataan berkata cawangan yang ditutup ialah Kompleks Majlis Agama Islam Selangor, Klang dan Klang Sentral berikutan kedua-duanya berada dalam zon merah.

“Orang ramai yang hadir wajib mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) iaitu memakai pelitup muka, menyukat suhu badan, menggunakan cecair pembasmi kuman dan mengimbas kod QR MySejahtera.

“Selain itu, kebersihan premis LZS akan turut dipantau dan dipastikan berada pada tahap optimum dengan mengadakan proses nyah kuman secara berkala,” katanya dalam kenyataan.

LZS turut memaklumkan waktu operasi kesemua cawangannya bermula jam 9 pagi hingga 3.30 petang, manakala bagi cawangan UTC Shah Alam dari jam 8 pagi hingga 7 malam.

“Masyarakat juga digalak memilih transaksi dalam talian sebagai alternatif urusan zakat,” kata agensi itu lagi.

Bagi semakan bantuan dan cetakan penyata, layari ezo.zakatselangor.com.my, manakala untuk bayaran melalui pautan fpx.zakatselangor.com.my. Pengguna juga boleh hubungi talian 1-300-88 -4343 untuk pertanyaan lanjut.

PKPB dilaksana di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai hari ini hingga 27 Oktober bagi mencegah penularan Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP Diperketatkan: Ibu pejabat Bank Muamalat di Jalan Melaka tutup

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Ibu pejabat dan cawangan Bank Muamalat Malaysia Bhd di Jalan Melaka, di sini, akan ditutup berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai hari ini hingga 28 April.

Dalam satu kenyataan hari ini, bank itu berkata pelanggan boleh ke cawangan terdekatnya di Jalan Ipoh untuk perniagaan perbankan mereka atau menggunakan perkhidmatan perbankan dalam talian.

Ia berkata bank akan terus menjalankan operasi asasnya untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggannya yang mungkin memerlukan perkhidmatan kritikal.

“Pada ketika ini, kami juga memberi jaminan kepada pelanggan Bank Muamalat bahawa perniagaan kami terus beroperasi seperti biasa, dengan gangguan minimum,” katanya.

Semua kawasan Masjid India dan jalan-jalan di sekitarnya diletak di bawah PKPD hari ini. Ini berikutan pelaksanaan PKPD di dua buah bangunan di Jalan Masjid India – Selangor Mansion and Malayan Mansion pada 7 April lepas.

-BERNAMA