Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah kanak-kanak 9.24 juta pada 2020, wakili 28.3 peratus penduduk

PUTRAJAYA, 24 NOV: Golongan kanak-kanak merangkumi 28.3 peratus daripada 32.7 juta penduduk Malaysia dengan 4.77 juta adalah kanak-kanak lelaki sementara baki 4.47 juta kanak-kanak perempuan, demikian menurut Laporan Statistik Kanak-kanak Malaysia, 2020 yang dikeluarkan hari ini.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin ketika mengulas laporan itu berkata jumlah kanak-kanak pada 2020 berkurangan sebanyak 78,100 kepada 9.24 juta orang berbanding 9.32 juta yang dicatat pada tahun terdahulu.

“Penurunan ini ketara dalam kumpulan umur 0-4 tahun dan 13-17 tahun. Untuk kumpulan umur 0-4 tahun, pengurangan ialah sebanyak 1.5 peratus (37,800).

“Ini disebabkan penurunan dalam bilangan kelahiran hidup kepada 488,000 pada 2019 berbanding 502,000 pada tahun sebelumnya. Sementara itu, jumlah kanak-kanak dalam kumpulan usia 13-17 tahun pula menyusut 1.5 peratus (41,600),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dari segi kesihatan, Mohd Uzir berkata liputan kesemua imunisasi untuk bayi pada 2019, iaitu Bacillus Calmette-Guerin (BCG); Poliomyelitis (polio); Diphtheria, Tetanus and Pertussis (DTP); Haemophilus influenza type b (HIB) dan Hepatitis B melepasi 95 peratus dan mencapai sasaran liputan imunisasi kebangsaan.

Bagi memenuhi keperluan jagaan anak, beliau berkata jumlah pusat jagaan kanak-kanak berdaftar meningkat 11.2 peratus kepada 4,903 pada 2019, dengan peningkatan tertinggi dicatatkan di Selangor (19.7 peratus), diikuti Perlis (19 peratus) dan Pulau Pinang (16.5 peratus).

“Ini seiring dengan pertambahan bilangan pekerja wanita kepada 5.87 juta pada 2019,” katanya, menambah penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan mendorong mereka menghantar anak masing-masing ke pusat jagaan.

Mohd Uzir berkata pada 2020, operasi pusat jagaan kanak-kanak terjejas disebabkan kesukaran ibu bapa menghantar anak ke pusat tersebut susulan penularan pandemik Covid-19.

Beliau berkata pendaftaran di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan bertambah sebanyak 9,500 daripada 4.84 juta kepada 4.85 juta pada 2019, peningkatan ini disumbangkan oleh pendidikan prasekolah (0.7 peratus) dan sekolah rendah (1.3 peratus).

“Untuk sekolah swasta, peningkatan pendaftaran boleh dilihat di tadika dan sekolah rendah yang masing-masing merekodkan 3,000 dan 200 pada 2019 berbanding tahun sebelumnya,” kata beliau.

Berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat, Mohd Uzir berkata bilangan kes baharu orang kurang upaya untuk kanak-kanak pada 2019 ialah 20,321 dengan komposisi terbesar ialah kumpulan umur 6-12 tahun (50.5 peratus).

Mohd Uzir berkata bilangan kanak-kanak bawah 18 tahun yang terlibat dalam jenayah berkurangan sebanyak 8.7 peratus, daripada 5,294 kes pada 2018 kepada 4,833 kes pada tahun berikutnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

Sektor pelancongan perlu pekerja mahir komunikasi, digital

PUTRAJAYA, 12 OGOS: Permintaan bagi kemahiran menyelesaikan masalah, komunikasi dan digital akan membawa kepada pewujudan pekerjaan baharu merentasi semua subsektor pelancongan di Malaysia, demikian menurut Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata ia merupakan dapatan daripada Kajian Environmental Scan for The Tourism Sector in Malaysia oleh Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) yang digunakan sebagai sebahagian ‘sistem makluman awal’ bagi mengenal pasti trend industri baharu yang muncul dalam sektor pelancongan.

“Pengalaman dan permintaan daripada pelancong yang merupakan pelanggan dalam industri pelancongan telah berubah seiring dengan kemajuan teknologi.

“Justeru, tuntutan pelanggan juga semakin meningkat dan pengusaha memerlukan pekerja mahir teknologi yang berupaya memberi respons kepada permintaan pelanggan yang celik teknologi,” katanya.

Berucap pada perasmian Persidangan Mengenai Masa Depan Pekerjaan Bagi Sektor Pelancongan di Malaysia (Pasca-Covid-19) di sini hari ini, beliau berkata teknologi automasi dan digital baharu telah mengubah sifat sebenar pelbagai jenis pekerjaan dalam sektor pelancongan.

Mohd Uzir berkata sebagai contoh, Internet benda (IoT) kini diguna pakai untuk menjadikan pekerjaan dalam sektor pelancongan dan hospitaliti lebih mudah.

“Kesannya perubahan teknologi mengurangkan keperluan kerja yang melibatkan mekanisasi rutin serta meningkatkan permintaan untuk kerja teknikal dan analitikal yang berkemahiran tinggi.

“Ini turut meningkatkan permintaan untuk kemahiran kognitif, sosial dan emosi bagi menyelesaikan masalah kompleks di samping keperluan untuk bekerja secara berpasukan serta interaksi sesama manusia,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah penduduk Malaysia dijangka 32.7 juta pada 2020

PUTRAJAYA, 15 JULAI: Penduduk Malaysia tahun ini dianggarkan berjumlah 32.7 juta orang berbanding 32.5 juta pada 2019 dengan kadar pertumbuhan penduduk tahunan sebanyak 0.4 peratus, menurut penerbitan Anggaran Penduduk Semasa Malaysia 2020.

Mengulas mengenai penerbitan itu, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan kadar pertumbuhan penduduk itu disebabkan oleh pengurangan bilangan penduduk bukan warganegara daripada 3.1 juta tahun lepas kepada 3.0 juta pada 2020.

“Ini selaras dengan penutupan sempadan kita dan pergerakan pulang warga asing ke negara masing-masing berikutan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penyebaran pandemik Covid-19 di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Uzir berkata kadar pertumbuhan warganegara kekal stabil pada 1.1 peratus dengan jumlah penduduk meningkat daripada 29.4 juta pada 2019 kepada 29.7 juta tahun ini.

Tahun ini, beliau berkata penduduk lelaki melebihi jumlah perempuan dengan masing-masing sebanyak 16.8 juta dan 15.9 juta, dan nisbah jantina adalah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Mohd Uzir berkata penerbitan itu juga melaporkan bahawa peratus penduduk berusia 0 hingga 14 tahun (umur muda) menurun kepada 23.3 peratus berbanding 23.5 peratus pada 2019.

Peratus keseluruhan bagi penduduk 15 hingga 64 tahun (umur bekerja) juga menurun daripada 69.8 peratus pada 2019 kepada 69.7 peratus pada 2020, katanya.

“Ini berikutan jumlah penduduk bukan warganegara yang lebih rendah, kebanyakannya terdiri daripada pekerja asing,” katanya.

Menurut Mohd Uzir, peratusan penduduk berumur 65 tahun ke atas (umur tua) meningkat daripada 6.7 peratus kepada 7 peratus pada tempoh sama.

“Umur penengah juga meningkat daripada 28.9 tahun pada 2019 kepada 29.2 tahun, tahun ini,” katanya.

Mohd Uzir berkata Malaysia dijangka mengalami penuaan penduduk pada 2030 dengan peratusan penduduk berumur 60 tahun ke atas adalah 15.3 peratus.

Tiga negeri dengan komposisi penduduk tertinggi pada 2020 adalah Selangor (20 peratus) diikuti Sabah (12 peratus) dan Johor (11.6 peratus), katanya.

-BERNAMA