Categories
AGENDA NASIONAL

4,471 kes kanak-kanak hilang dilaporkan dari 2017 hingga 1 September lalu

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Sebanyak 4,471 kes kehilangan kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah dilaporkan dari 2017 hingga 1 Sept tahun ini, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri I Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

Beliau berkata berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), daripada jumlah itu, 4,399 orang kanak-kanak telah dijumpai semula manakala 72 orang lagi masih hilang.

Bagi kes orang hilang berumur 18 tahun dan ke atas pula, beliau berkata sebanyak 6,074 kes dilaporkan dalam tempoh sama dengan 4,871 orang telah dijumpai semula manakala 1,203 orang masih hilang.

“Antara langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menangani masalah ini adalah dengan mewujudkan Portal Kanak-kanak Hilang. Maklumat berkenaan dipaparkan di portal https://knk2hilang.rmp.gov.my yang boleh diakses oleh orang awam.

“Portal ini memberi peluang kepada masyarakat untuk bekerjasama mengesan kanak-kanak yang hilang dengan lebih cepat dan berkesan dengan menyalurkan maklumat yang terkini melalui Internet,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Ismail menjawab soalan Senator Datuk Koh Nai Kwong yang ingin tahu mengenai statistik bilangan kes kehilangan orang dan kanak-kanak yang dilaporkan di Malaysia dalam tempoh lima tahun sebelum ini termasuk bilangan orang telah ditemui dan masih belum ditemui serta langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menangani masalah itu.

Selain itu, beliau berkata PDRM juga menjalin kerjasama dengan 40 agensi lain melalui NUR Alert iaitu sistem amaran awal bagi kes kehilangan kanak-kanak untuk membantu agensi penguatkuasa undang-undang dalam menjalankan siasatan dan membawa kepada tangkapan yang pantas.

“PDRM turut mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam penganjuran program-program kesedaran untuk mengelakkan kes ini daripada berulang. Kempen Kesedaran Kanak-kanak atau Child Awareness Campaign (CAC) bertujuan memberikan kesedaran kepada masyarakat bahawa kanak-kanak mudah terdedah menjadi mangsa dan adalah penting untuk memastikan keselamatan mereka terjamin,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Senator Muhammad Zahid Md Arip, Ismail berkata berdasarkan siasatan PDRM, antara sebab orang hilang adalah mengalami masalah keluarga atau kurang mendapat perhatian keluarga; keluar rumah kerana mengikut rakan sebaya atau kekasih untuk mencari kebebasan; kemurungan; nyanyuk, masalah mental atau tidak siuman dan masalah jenayah.

Selain itu, katanya orang hilang juga merangkumi orang yang mencari pekerjaan, hilang daripada keluarga mungkin ada perselisihan faham dengan keluarga; lari dari pengutip hutang dan penderaan fizikal atau mental.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kadar pengangguran naik kepada 4.5 peratus pada 2020

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Kedudukan tenaga buruh Malaysia yang terjejas pada 2020 berikutan krisis kesihatan dan kesan ekonomi, menyebabkan kadar pengangguran mencecah 4.5 peratus berbanding 3.3 peratus pada 2019, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pasaran buruh global berada dalam situasi tidak menentu sepanjang 2020 yang mengakibatkan kehilangan pekerjaan dan pengurangan jam bekerja serta sumber pendapatan berikutan pandemik Covid-19 dan langkah mengekang penularan pandemik ini yang dilaksanakan oleh kebanyakan negara.

“Semasa krisis kesihatan, kadar pengangguran bulanan adalah dalam lingkungan 3.9 peratus hingga 5.3 peratus — penambahan melebihi 200,000 penganggur.

“Pembukaan semula lebih banyak aktiviti perniagaan dengan pematuhan kepada tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan sehingga akhir tahun ini dilihat telah dapat mengimbangi kepentingan kesihatan dengan pemulihan ekonomi dan perniagaan,” katanya dalam kenyataan berdasarkan Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, 2020.

Mengulas mengenai situasi tenaga buruh pada tahun lepas, Mohd Uzir berkata tenaga buruh yang merangkumi penduduk bekerja dan penganggur, meningkat 0.6 peratus kepada 15.7 juta orang daripada 15.6 juta orang pada 2019.

Sementara itu, beliau berkata kadar pengangguran tahunan meningkat 1.2 mata peratus kepada 4.5 peratus pada 2020, kadar tertinggi sejak 1993.

Bilangan penganggur bertambah 39.9 peratus kepada 711,000 orang daripada 508.2 ribu orang pada 2019.

Daripada jumlah ini, 72.3 peratus adalah penganggur aktif yang meningkat 40.4 peratus kepada 514,200 orang daripada 366,200 orang pada 2019.

Beliau berkata bilangan mereka yang bekerja berkurang 0.8 peratus kepada 15 juta orang berbanding 15.1 juta orang pada 2019.

Melihat kepada guna tenaga mengikut sektor ekonomi, beliau berkata majoriti penduduk bekerja tertumpu dalam sektor perkhidmatan dengan peratus sumbangan sebanyak 64.5 peratus diikuti pembuatan (16.7 peratus) dan pertanian (10.5 peratus).

Sementara itu, penduduk bekerja dalam sektor pembinaan dan perlombongan dan pengkuarian masing-masing meliputi 7.8 peratus dan 0.5 peratus.

Mohd Uzir berkata pasaran buruh Malaysia diramalkan akan meningkat secara marginal namun masih berdepan dengan cabaran ketidaktentuan situasi krisis kesihatan.

“Ketika pelbagai fasa PKP 2.0 juga dilaksanakan secara berterusan bagi mengekang penularan pandemik ini, beberapa kelonggaran bagi aktiviti ekonomi untuk beroperasi juga dibenarkan dengan pematuhan SOP yang ketat.

“Dengan fasa pemulihan ekonomi yang berterusan disokong pelbagai program inisiatif oleh kerajaan bagi membantu kelangsungan perniagaan serta pelancaran program pemvaksinan pada 2021, ia diharapkan dapat membantu melegakan serta mengurangkan beban perniagaan.

“Ini sekali gus boleh membantu mempercepatkan pemulihan pasaran buruh,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah penduduk Malaysia dijangka 32.7 juta pada 2020

PUTRAJAYA, 15 JULAI: Penduduk Malaysia tahun ini dianggarkan berjumlah 32.7 juta orang berbanding 32.5 juta pada 2019 dengan kadar pertumbuhan penduduk tahunan sebanyak 0.4 peratus, menurut penerbitan Anggaran Penduduk Semasa Malaysia 2020.

Mengulas mengenai penerbitan itu, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan kadar pertumbuhan penduduk itu disebabkan oleh pengurangan bilangan penduduk bukan warganegara daripada 3.1 juta tahun lepas kepada 3.0 juta pada 2020.

“Ini selaras dengan penutupan sempadan kita dan pergerakan pulang warga asing ke negara masing-masing berikutan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penyebaran pandemik Covid-19 di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Uzir berkata kadar pertumbuhan warganegara kekal stabil pada 1.1 peratus dengan jumlah penduduk meningkat daripada 29.4 juta pada 2019 kepada 29.7 juta tahun ini.

Tahun ini, beliau berkata penduduk lelaki melebihi jumlah perempuan dengan masing-masing sebanyak 16.8 juta dan 15.9 juta, dan nisbah jantina adalah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Mohd Uzir berkata penerbitan itu juga melaporkan bahawa peratus penduduk berusia 0 hingga 14 tahun (umur muda) menurun kepada 23.3 peratus berbanding 23.5 peratus pada 2019.

Peratus keseluruhan bagi penduduk 15 hingga 64 tahun (umur bekerja) juga menurun daripada 69.8 peratus pada 2019 kepada 69.7 peratus pada 2020, katanya.

“Ini berikutan jumlah penduduk bukan warganegara yang lebih rendah, kebanyakannya terdiri daripada pekerja asing,” katanya.

Menurut Mohd Uzir, peratusan penduduk berumur 65 tahun ke atas (umur tua) meningkat daripada 6.7 peratus kepada 7 peratus pada tempoh sama.

“Umur penengah juga meningkat daripada 28.9 tahun pada 2019 kepada 29.2 tahun, tahun ini,” katanya.

Mohd Uzir berkata Malaysia dijangka mengalami penuaan penduduk pada 2030 dengan peratusan penduduk berumur 60 tahun ke atas adalah 15.3 peratus.

Tiga negeri dengan komposisi penduduk tertinggi pada 2020 adalah Selangor (20 peratus) diikuti Sabah (12 peratus) dan Johor (11.6 peratus), katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kadar tenaga buruh meningkat kepada 68.8 peratus

PUTRAJAYA, 13 JAN: Kadar penyertaan tenaga buruh pada November 2019 naik 0.1 peratus kepada 68.8 peratus berbanding bulan sebelumnya, menurut Statistik Utama Tenaga Buruh Malaysia.

Mengulas laporan itu, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata angka itu juga meningkat 0.4 peratus berbanding bulan yang sama 2018 iaitu 68.4 peratus.

Katanya bilangan tenaga buruh pada November 2019 pula meningkat 2.4 peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya kepada 15.83 juta.

“Pada tempoh yang sama, penduduk bekerja turut meningkat 2.5 peratus kepada 15.32 juta,” katanya.

Mohd Uzir berkata kadar pengangguran kekal 3.2 peratus bagi dua bulan berturut-turut melibatkan 513,900 penganggur.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

LAPORAN KHAS: Selangor catat penurunan 7,183 kes denggi

Oleh: SYASYA SUFFIAN

SHAH ALAM, 19 MAC: Jumlah kes denggi tekini di Selangor mengikut statistik yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS)  adalah 17,885 kes dengan 85 kematian, bermula 4 Januari sehingga 16 Mac lalu.

Berdasarkan laman sesawang JKNS, jumlah keseluruhan lokaliti wabak di Selangor pada akhir minggu epid ke-9 mencatat 714 lokaliti.

Terjah denggi MB di Seksyen 6 Shah Alam (7)Statistik menunjukkan dua daerah dilaporkan menunjukkan peningkatan kes denggi iaitu Hulu Langat yang mencatat 378 kes, sehingga 7 Mac lalu dengan peningkatan 24 kes berbanding, akhir Februari lalu.

Daerah Sepang juga menunjukkan peningkatn 15 kes denggi yang kini mencatatkan 317 kes di 31 lokaliti, berbanding bulan lalu.

Manakala, lokaliti wabak di enam daerah lain dilaporkan mencatatkan penurunan.

Sehingga kini, terdapat penurunan 7,183 kes denggi di Selangor berbanding akhir Februari lalu.

-NFN-