Categories
NASIONAL

Program Inkubator, cungkil potensi pengarah muda

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 15 JUN: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bakal memperkenalkan Program Inkubator bagi mencungkil bakat pengarah muda berpotensi menghasilkan filem.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, program itu dirangka bagi memberi peluang dan semangat kepada semua pembikin filem baharu untuk mengetengahkan lagi hasil karya inovatif mereka.

Katanya, sejumlah RM500,000 geran juga akan disediakan Finas kepada mereka yang berjaya menghasilkan filem menerusi Program Inkubator.

“Melalui Program Inkubator itu, kita akan melihat karya pembikin filem ini dan mereka juga perlu hadir atau mengikuti beberapa kursus serta kelas bagi menggarap bakat supaya dapat menghasilkan filem sehingga ke layar perak.

“Kita sudah meletakkan setengah juta geran kepada mereka yang berjaya dalam program ini dan berupaya untuk menghasilkan filem,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media selepas FiTA WAVE Short Film Awards 2019 di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, malam tadi.

Pada masa sama, Ahmad Idham berkata, program itu sudah dirangka dan ia termasuk dalam dana kandungan digital tahun ini.

“Selepas ini kita akan berurusan terus dengan FiTA (Fakulti Filem, Teater dan Animasi) bagi mendapatkan data pelajar mereka yang berpotensi untuk menyertai program ini.

“Kelas akan bermula Julai depan dan sekiranya mereka lulus sepanjang program itu berlangsung, mereka akan dapat membawa hasil karya sehingga ke layar perak,” katanya.

Terdahulu, FiTA WAVE Short Film Awards 2019 adalah pertandingan filem pendek yang dianjurkan FiTA, UiTM, Jabatan Pengajian Tinggi (Kementerian Pendidikan) dan Yayasan Hasanah.

Pertandingan itu terbuka kepada semua penduduk Malaysia dan bukan Malaysia di negara ini, serta dibahagikan kepada tiga kategori antaranya sekolah menengah, institusi pengajian tinggi awam atau swasta juga kategori terbuka (usia 18-35 tahun).

Menerusi bakat dimiliki anak muda itu, Finas bersetuju untuk bekerjasama membantu meluaskan lagi bakat mereka menerusi Program Inkubator terbabit.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)

Categories
NASIONAL

Finas bakal perkenal modul baharu Skim Wajib Tayang

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akan memperkenalkan modul Skim Wajib Tayang yang baharu, selain menentukan satu garis panduan untuk industri filem tanah air.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, modul yang bertujuan mengatasi isu filem tidak laku sedang dilihat di peringkat pegawai undang-undang.

“Isu filem tidak laku ini terjadi kerana kita tidak ada garis panduan filem yang macam mana boleh masuk panggung. Di Hollywood, tak semua filem boleh masuk panggung, tetapi di Malaysia, semua filem boleh masuk panggung.

“Kami ada satu modul wajib tayang baharu, yang kami akan umum dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Sinergi Industri Finas bersama Media di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, ditanya cabaran menerajui Finas, Ahmad Idham yang memegang jawatan tersebut sejak 12 Mac lalu berkata penyelewengan kewangan merupakan cabaran terbesar yang terpaksa dihadapinya.

“Bila masuk dalam Finas, memang saya terkejut dengan pelbagai masalah yang timbul. Saya tertanya-tanya, apa dah jadi? Mana duit Finas pergi? Kes dengan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) berlambak-lambak.

“Saya tak rasa saya boleh selesaikan semua masalah ini dalam waktu terdekat. Tetapi, saya yakin ia akan diselesaikan secara berperingkat,” katanya yang menyerahkan kepada SPRM dalam menyelesaikan isu melibatkan penyelewengan Finas.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo meminta SPRM mempercepatkan siasatan kes dana Finas membabitkan RM25 juta. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Ketirisan dana Finas: KKMM tidak akan berkompromi

OLEH SYAZWAN SUFIAN

SHAH ALAM, 20 JUN: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) tidak akan bertolak ansur kepada mana-mana pihak terlibat melakukan ketirisan dalam peruntukan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, KKMM tidak akan berkompromi dalam apa jua perkara melibatkan elemen rasuah atau salah guna kuasa dalam agensi mahupun jabatan di bawah bidang kuasa kementerian tersebut.

“Perkara melibatkan elemen rasuah, ketirisan ataupun salahguna kuasa di dalam industri kreatif negara kita, sekiranya ada, boleh melemahkan persaingan sihat yang perlu bagi mengembangkan industri ini dan boleh melumpuhkan perkembangan industri ini secara keseluruhan.

“Jadi, sekiranya siasatan menunjukkan wujudnya sebarang elemen ini, maka tindakan tegas perlu diambil secara undang-undang ataupun secara dalaman bagi menangani perkara ini serta-merta,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, baru-baru ini pihaknya dimaklumkan beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir di ibu pejabat Finas bagi menjalankan siasatan berhubung peruntukan untuk 2017, pada 7 Jun lalu.

“SPRM sahkan bahawa siasatan sedang dijalankan dan mereka harus diberi ruang sepenuhnya menjalankan siasatan selain pihak berkaitan perlu memberi kerjasama bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.

“Saya harap siasatan ini juga akan melihat secara mendalam kepada aturcara dalam mana peruntukan Finas digunakan dalam masa lalu,” katanya.

Pada masa sama, Gobind berkata KKMM mengalu-alukan sebarang cadangan bagi memperkukuhkan kementerian itu.