Categories
AGENDA NASIONAL

Finas perhalusi lesen operasi pawagam pandu masuk

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan meneliti dan memperhalusi Lesen Pemameran Filem (EF) bagi sektor pawagam pandu masuk seiring pengamalan normal baharu susulan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri perkara itu perlu dilakukan bagi menjaga keselamatan kandungan filem yang bakal ditayangkan agar tidak menjadi ‘mangsa’ cetak rompak.

“Pawagam pandu masuk adalah di bawah sektor pemameran, mungkin ia wujud disebabkan normal baharu sekali gus menjadi satu trend. Faktor keselamatan adalah kriteria penting yang dititikberatkan kerana kita kena jaga sektor pengeluaran.

“Untuk itu, kita mungkin akan menggubal atau melakukan beberapa penambahbaikan terhadap lesen berkenaan untuk disesuaikan dengan jenis tayangan sebegini. Namun, sehingga hari ini, kita masih belum ada keputusan muktamad,” katanya pada Bernama.

Pada 9 Julai lepas, kerajaan bersetuju membenarkan permohonan aktiviti pawagam pandu masuk tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan, antaranya pengunjung mesti berada di dalam kenderaan masing-masing, penjualan makanan dibuat secara dalam talian dan mengambil makanan secara pandu lalu.

Untuk itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperincikan SOP berkaitan aktiviti ini bagi rujukan semua operator yang terlibat.

Menurut Ahmad Idham, pengawalan seperti itu perlu dibuat supaya ia tidak bercanggah dengan agenda Finas untuk memperkasakan industri perfileman di Malaysia.

Mengulas lanjut, katanya, terdapat dua senario bagi pemameran pawagam pandu masuk dalam menayangkan sesebuah filem.

“Sama ada ia akan menjadi platform penayangan filem terkini seiring dengan pawagam sedia ada atau ia boleh menjadi platform yang hanya menayangkan filem lama serta sekadar program ‘merakyatkan’ filem bagi mempromosikan filem bertema,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyifatkan konsep pawagam pandu masuk ini sebagai sesuatu yang menarik sekali gus mewujudkan platform hiburan yang lebih santai dan selamat untuk seisi keluarga.

“Cuma, mungkin ia sedikit mencabar kerana negara kita beriklim khatulistiwa yang panas dan lembap sepanjang tahun, itu akan menjadi kesukaran dalam memilih lokasi yang bersesuaian,” katanya.

Seorang operator pawagam pandu masuk, Johnson Lourdes dari Johnson Media Resources berkata pihaknya bersedia memberi perkhidmatan tersebut buat kaki wayang mulai Ogos depan.

Bakal menayangkan pelbagai filem tempatan dan antarabangsa, beliau bagaimanapun enggan mendedahkan lokasi pawagam berkenaan dengan lebih lanjut.

“Setakat ini, kita sudah mengenal pasti beberapa lokasi. Kita sasarkan untuk membawa 250 kereta sekali masuk untuk setiap kali tayangan filem.

“Untuk maklumat lanjut, kami akan mengumumkannya di Facebook kami, JMR Outdoormovies Services, tidak lama lagi,” katanya sambil memberitahu ia akan beroperasi pada setiap malam hujung minggu.

Johnson Media Resources, merupakan syarikat pembekal peralatan pemameran filem sejak 2010 turut berpengalaman dalam menganjurkan tayangan filem luar sebelum ini.

Bahkan, Johnson juga optimis pawagam pandu masuk ini akan berjaya seterusnya memberikan pengalaman sinematik yang unik sambil mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Kita yakin ia akan dapat sambutan yang memberangsangkan daripada penonton. Sekarang ia adalah trend satu dunia apabila orang lebih menggemari pawagam luar sambil memandu dalam kemudahan tayangan,” katanya.

Positif dengan perkembangan baharu terbabit, Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Pansha atau nama sebenarnya Panchacharam P Nalliah, menyifatkan kewujudan pawagam pandu masuk ini relevan dengan situasi semasa selain memberi kepelbagaian pilihan kepada penonton.

“Ia adalah satu peluang baharu dan biasanya apa-apa yang baharu akan buat kita lebih teruja. Kita harap ia boleh berjaya seterusnya menyokong industri perfileman di negara ini,” katanya.

Seorang kaki wayang yang juga pelawak terkenal tanah air, Harith Iskander pula beranggapan pawagam pandu masuk akan memberi satu pengalaman baharu yang sangat mengujakan.

“Ini adalah satu perkembangan yang bagus dan platform baharu dalam perniagaan pawagam. Apa yang penting, penonton mahu merasai dan menikmati sendiri pengalaman tersebut. Ia adalah sesuatu yang sangat berharga,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EKSKLUSIF: Hans Isaac saran pelakon muda tidak bawa watak veteran

HULU KELANG, 22 OKT: Dato’ Hans Isaac mencadangkan pelakon muda tidak membawa watak orang tua bagi membolehkan pelakon veteran terus mendapat peluang.

Namun pelakon terkenal itu, yang kini dilantik sebagai pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), menjelaskan cadangan ini bersifat peribadi dan belum rasmi.

“Kita dalam perbincangan (belum sah). Pelakon muda tidak boleh main watak yang veteran dapat mainkan. Jangan gunakan solekan macam orang tua, putihkan rambut atau sebagainya. Tidak boleh.

“Hanya veteran kita sahaja yang boleh mainkan watak itu. Inilah keutamaan yang kami mahu laksanakan,” katanya kepada SelangorKini dalam wawancara khas awal Oktober lalu.

Beliau ditanya mengenai kebajikan pelakon veteran apabila perbadanan itu ingin memperkenalkan caruman Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada penggiat seni.

Hans menjelaskan, pakej itu akan diperkenalkan kepada pelakon muda bawah 60 tahun tetapi tidak membabitkan penggiat seni warga emas.

“Tahap umur yang kami cadang adalah 60 tahun, tetapi ia menjadi masalah kepada penggiat seni berumur lebih 60 tahun. Kalau mereka kerja, kita tidak boleh paksa mereka dengan syarat yang kami cuba laksanakan,” katanya.

Beliau juga mendedahkan, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo sangat mengambil berat golongan penggiat seni veteran yang tidak bernasib baik.

“YB Menteri agak sensitif dalam hal ini kerana apabila veteran berjumpa dengannya, beliau prihatin. Ini yang YB Menteri selalu bercerita dengan saya,” jelas Hans lagi.

“Oleh itu, beliau mahu fokus kepada isu (nasib) veteran. Setiap mesyuarat beliau akan menyentuh isu veteran. Jadi, kami pengurusan FINAS akan cuba sedaya upaya untuk cari mana-mana peluang membantu golongan ini.”

Berikut bahagian pertama temubual dengan pelakon “Buli Balik” yang memenangi anugerah pelakon pembantu lelaki terbaik Festival Filem Malaysia 2006:

SelangorKini: Sejak memegang jawatan sebagai pengerusi FINAS mulai April lalu, bagaimana Dato’ menghadapinya pada peringkat permulaan ini?

Hans Isaac: Apabila diberi tanggungjawab ini, saya menerimanya sebagai satu tanggungjawab yang besar. Kenapa saya terima? Saya mahu ‘merawat’ FINAS, mengetuai FINAS ini tidaklah begitu penting, tetapi yang lebih penting, hasilnya kemudian. Boleh atau tidak saya membantu industri?

Saya mahu membantu industri (filem), sahabat-sahabat kami yang dalam keadaan kesusahan. Kami laksanakannya untuk kebaikan mereka pada masa depan, (termasuk) pelan perlindungan masa depan dan pelan kewangan.

Kita kena buat semuanya. Banyak perkara yang kita kena lihat, bukan satu sahaja. Semua orang sekarang mahukan (sesuatu) untuk mereka, (sama ada pembikin) filem atau dokumentari, isu hak cipta dan pekerja. Banyak kluster untuk industri ini. Apabila kita laksanakan satu (sahaja), yang lain akan marah.

Ahli-ahli lembaga pengarah FINAS tahun ini bekerja bertungkus-lumus, 15 hingga 20 hari. Sedangkan kerja (mesyuarat) mereka dua atau tiga kali sahaja dalam sebulan, tetapi mereka ambil inisiatif sendiri kerana tanggungjawab mereka.

Salah satu hala tuju Dato’ menerajui FINAS, melaksanakan Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sekali gus mengiktiraf industri hiburan sebagai profesional. Boleh Dato’ terangkan lebih lanjut?

(Dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan pada 11 Oktober, puluhan ribu penggiat seni boleh mendapat faedah daripada dua skim ini, seperti pekerja dalam sektor lain. — pengarang)

Kepentingan faedah KWSP dan PERKESO ini banyak. Pemain industri mengatakan mereka tidak mampu untuk membuat potongan itu. Ya, kami faham. Memang kami tahu tetapi mereka tidak tahu yang stesen TV akan mengeluarkan wang untuk membantu melaksanakan inisiatif ini. Puratanya (potongan untuk caruman) tidak seperti pekerja sepenuh masa, (potongan ini) asasnya kepada kerja separuh masa.

Jadi, KWSP juga menyatakan apa yang kita (FINAS) mahu laksanakan ini, mereka akan gunakan dalam industri-industri lain juga. Tanpa sedar, usaha FINAS ini tidak hanya kepada FINAS dan industri seni sahaja. Sebaliknya, masyarakat Malaysia dalam pelbagai sektor lain akan menggunakan kaedah ini.

(Dalam belanjawan yang sama, kerajaan bercadang melebarkan manfaat KWSP dan PERKESO kepada 18 sektor lain yang tidak bersifat sepenuh masa, termasuk petani dan nelayan. — pengarang)

KWSP, PERKESO, Kumpulan Astro, Media Prima dan Radio Televisyen Malaysia bekerja sebaik boleh untuk melaksanakannya. Mereka sokong 100 peratus walau ada orang dakwa mereka tidak sokong. Saya betulkannya, sebenarnya mereka sokong. Cuma perlu pindaan akta, (perubahan) ini akan mengambil sedikit masa.

Bagaimana timbul idea untuk laksanakan dua inisiatif ini, apakah masalah yang timbul dalam industri sehingga FINAS terpanggil untuk melaksanakannya?

Banyak isu-isu dalam industri kita, sahabat-sahabat saya, kru-kru dalam industri kreatif ini. Mereka tidak mempunyai wang atau dokumen (pendapatan) untuk membeli rumah. Jadi, mereka hanya menyewa rumah.

Saya mahu lihat mereka ada rumah sendiri. Apabila pencen, ada satu rumah, untuk balik setiap hari. Saya akan bangga apabila ahli lembaga pengarah dan pengurusan FINAS berjaya melaksanakannya.

PERKESO sebenarnya senang, ia adalah polisi insurans. Apabila kita bekerja, apa-apa (kemalangan) yang berlaku, mereka dapat pelindungan insurans itu. Walaupun habis 18 jam kerja, penat, balik rumah jatuh katil, patah tangan, insurans memberi pelindungan; bukan hanya (kemalangan) di lokasi.

Jadi, struktur (bantuan caruman KWSP dan PERKESO) yang mahu dilaksanakan ini positif 100 peratus.

Ada ramai juga yang merungut soal (pendapatan di) stesen TV, gaji kami banyak ini sahaja. Itu isu berlainan, kita akan lihat kemudian. Jangan gabungkan satu isu lain dengan apa yang kami mahu laksanakan sekarang.

Selain caruman KWSP tadi, mungkin ada cadangan untuk menaikkan gaji kerana ada kru tidak bekerja tetap. Ada kerja, ada gaji dan begitu juga sebaliknya.

Kalau tiada kerja, macam mana kita hendak laksanakan KWSP? Terpulang kepada individu-individu itu sendiri. Kehebatan seseorang artis, kualiti atau hubungan mereka dengan syarikat atau penyiar. Hubungan itu kita tidak boleh jaga (campur tangan) kerana hal itu peribadi antara dua pihak.

Kami hanya usulkan (penambahbaikan). Di Malaysia, gaji minimum sebanyak RM1,100. Walaupun ia masih kurang tetapi itulah gaji minimum yang kita patut berikan mengikut syarat-syarat kerajaan.

Adakala kru dapat hanya RM500, sedangkan gaji minimum RM1,100. Jadi kalau kita (syarikat) buat potongan (caruman) sedikit, mungkin RM100 atau RM80 untuk masa hadapan, kalau (penggiat seni) buat dua kerja sebulan, sudah dapat dua potongan. Jadi terpulang atas individu untuk terima perkara ini atau tidak.

Caruman ini akan memberi faedah kepada artis muda dan baharu. Bagaimana dengan nasib penggiat veteran?

Tahap umur yang kami cadang adalah 60 tahun tetapi ia menjadi masalah kepada penggiat seni berumur lebih 60 tahun. Kalau mereka bekerja, kita tidak boleh paksa mereka dengan syarat-syarat yang kami cuba laksanakan ini.

Jadi, saya akan menggunakan konsep lain. Saya sudah berbincang dengan penyiar dan mereka akan diberikan kerja iaitu:

Pertama, kita masih dalam perbincangan (belum sah). Pelakon muda tidak boleh main watak yang veteran dapat mainkan. Jangan gunakan solekan macam orang tua, putihkan rambut atau sebagainya. Tidak boleh. Hanya veteran-veteran kita sahaja yang boleh mainkan watak itu. Inilah keutamaan yang kami mahu laksanakan.

Kedua, insurans PERKESO. Mereka akan dilindungi oleh insurans. Setakat ini, saya tahu mereka tidak mempunyai insurans ini. Tetapi bukan semua syarikat, ada sesetengah (syarikat) itu ada inisiatif sendiri untuk kakitangan mereka. Oleh itu kami mahu wajibkan kepada semua.

Ketiga, kita akan cuba mencari pembiayaan untuk menangani isu-isu artis veteran ini. YB Menteri agak sensitif dalam hal ini kerana apabila veteran berjumpa dengannya, beliau prihatin. Ini yang YB Menteri selalu bercerita dengan saya.

Oleh itu, beliau mahu fokus kepada isu (nasib) veteran. Setiap mesyuarat beliau akan menyentuh isu veteran. Jadi, kami pengurusan FINAS akan cuba sedaya upaya untuk cari mana-mana peluang membantu golongan ini. Janji kami, kita akan cuba sebaik mungkin. Kami akan berikan yang terbaik.

Wawancara ini dijayakan bersama Nurul Farina Nazlan, Norhayati Umor dan Dewi Abdul Rahman pada 3 Oktober 2019 di ibu pejabat FINAS, Hulu Kelang, Selangor.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penggiat seni bakal nikmati caruman KWSP, Perkeso mulai Januari 2020

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Lebih 30,000 penggiat seni tanah air bakal menikmati kemudahan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) apabila dilaksanakan bermula Januari 2020.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Issac berkata, proses menyiapkan kemudahan caruman itu sudah mencapai 90 peratus.

“Apabila dilancarkan pada Oktober depan, kemudahan caruman ini akan dinikmati lebih 30,000 penggiat seni tanah air dan sekali gus nasib mereka akan lebih terbela.

“Ditambah pula, di bawah Akta Finas 1981 (Akta 244), ia membolehkan skim ini diperkenalkan kepada penggiat seni yang bekerja dalam industri termasuk jurumekap, ‘runner’ dan krew produksi,” katanya ketika ditemui selepas Sesi Townhall bersama Penggiat Industri Filem Siri 1 Kompleks Studio Merdeka Finas, di sini hari ini.

Sesi dialog itu dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan turut dihadiri lebih 300 penggiat seni tanah air.

Mengulas lanjut, Hans menjelaskan proses dan jumlah caruman itu bergantung kepada gaji dan polisi insurans.

“Jika gaji pekerja adalah pada tahap gaji mininum iaitu RM1,100, maka majikan mereka wajib memotong caruman. Melalui caruman ini juga, majikan tetap diwajibkan membuat caruman kepada pekerja walaupun tempoh bekerja mereka adalah singkat,” katanya.

Jelas Hans, ini termasuklah di mana situasi seseorang pelakon bekerja untuk dua projek bagi sebuah produksi pada satu masa yang sama, maka produksi diwajibkan membayar caruman itu.

“Jika penerbit tidak bayar caruman itu, Sijil Perakuan Penggambaran Filem (SPP) mereka akan ditahan,” katanya.

Terdahulu, skim KWSP dan Perkeso adalah antara 15 manifesto penting dalam pelan pembentangan Hans sebaik dilantik sebagai Pengerusi Finas pada 8 April lalu.

Inisiatif itu adalah bagi memastikan kebajikan pemain indsutri seni tanah air terbela.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perbanyak sesi dialog dua hala Finas-penggiat seni

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) disaran mengadakan lebih banyak sesi dialog dua hala dengan kumpulan khusus yang terbabit dalam industri perfileman di negara ini bagi mengetahui permasalahan mereka.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, ini penting kerana isu yang dihadapi setiap kumpulan itu adalah berbeza dan ini akan memudahkan penyelesaian masalah pada masa hadapan.

“Adakan lebih banyak sesi dengan kumpulan khusus selepas ini. Seperti segmen muzik yang di dalamnya ada penulis lirik, penggubah lagu dan penyanyi. Ini akan memastikan setiap kumpulan ini diberi perhatian dan tiada yang tercicir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi Townhall Finas bersama Penggiat Industri Filem Siri 1 di Kompleks Studio Merdeka Finas di sini, hari ini.

Gobind turut menyarankan penggiat industri perfileman negara ini mencari mekanisme penyelesaian terbaik dalam setiap isu yang dihadapi mereka.

“Penggiat industri perfileman mempunyai dua pilihan iaitu penyelesaian masalah untuk jangka pendek atau wujudkan satu struktur yang kukuh dan bertahan bagi jangka panjang.

“Jadi, mereka perlu membentuk sesuatu yang mapan untuk generasi yang akan datang,” katanya.

Beliau turut menjelaskan akan melihat semula akta yang melibatkan industri perfileman yang ada di antaranya relevan pada masa kini.

Sebagai contoh akta yang menggariskan orang yang berkepentingan dalam industri seni tidak boleh menjadi ahli lembaga Finas.

“Ini sesuatu yang luar biasa kerana orang ‘berkepentingan’ itu masing-masing ada peranan tersendiri dalam industri itu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Finas lantik Pemangku Ketua Pengarah baharu

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 OKT: Timbalan Ketua Setiausaha Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Shakib Ahmad Shakir dilantik Pemangku Ketua Pengarah Finas baharu berkuat kuasa hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dalam kenyataan.

“Ia bagi menggantikan Dato’ Fauzi Ayob yang sudah bertugas sejak 1 Januari 2017.

” Selaras dengan perkara itu, dimaklumkan juga bahawa Timbalan Setiausaha Bahagian Kewangan KKMM, Fairul Azida Shahabudin turut dilantik sebagai pemangku Timbalan Ketua Pengarah Finas, menggantikan Dato’ Azmir Saifudin Mutalib berkuat kuasa mulai tarikh sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Finas ditubuhkan pada 1981 yang berfungsi sebagai agensi khusus dipertanggungjawab merancang pembangunan perfileman tempatan.

Selain memancu aktiviti pengeluaran filem dan video tempatan, Finas juga turut menubuhkan Akademi Filem pada 1987, bertujuan bagi memberikan latihan formal jangka pendek, peringkat sijil dan diploma kepada golongan karyawan yang berminat dalam bidang perfileman.

Bagi menggalakkan perfileman negara, Finas turut memberikan bantuan dalam bentuk kemudahan pinjaman dan sewaan alat kelengkapan penggambaran serta kemudahan produksi filem, dewan pratonton dan studio.